Assalamualaikum,
Pernah dengar tak siput kabung? Siput kabung adalah sejenis siput laut yang mirip kepada siput kupang tetapi isinya kecil sedikit, lebih lembut dan agak manis. Jika ditempat lain saya tak pasti ada atau tidak siput ini atau mungkin ada nama lain yang diberikan. Jika di pantai perairan Langkawi siput ini memang mudah didapati dan sekarang adalah musimnya.
Selalunya siput kabung dipelbagaikan dalam masakan seperti digulaikan dengan betik mengkal, goreng kicap, dijadikan jemput-jemput dan kerabu juga. Hari ini saya nak kongsikan resipi kerabu siput kabung dan bagi yang susah nak dapatkan siput ini boleh je gantikan dengan siput lain. Gantikan dengan udang kertas atau sotong yang direbus juga sedap tau.
Jom kita tengok resipi dibawah ni.
KERABU SIPUT KABUNG
Bahan-bahan
500gm isi siput kabung - Rebus sebentar dan toskan
1 labu bawang besar
3 tangkai pucuk gajus & 5 tangkai kacang botol@ kelisa
1 sudu besar kerisik
Bahan tumbuk
5 tangkai cili merah
7 tangkai cili padi
1 inci belacan
Garam & gula secukup rasa
2 biji limau kasturi - diambil jusnya dan gaul dengan bahan tumbuk
Cara membuatnya:
1. Rebus sebentar isi siput kabung dan toskan. Ketepikan seketika.
2. Bawang besar, kacang botol@kelisa dan pucuk gajus dimayang halus.
3. Didalam mangkuk besar campurkan kacang kelisa, bawang besar, pucuk gajus, kerisik dan sambal yang telah ditumbuk tadi sambil digaul rata.
4. Tuang bahan yang digaul tersebut kedalam bekas isi siput kabung dan gaul hingga sebati. Rasa sekali lagi masam, masin, pedas dan manis campuran kerabu tersebut dan adjust ikut selera anda.
Sekian perkongsian kerabu siput kabung yang sungguh simple dan selamat mencuba.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)