Assalamualaikum,
Alhamdulillah, sarapan pulut kuning dengan kari daging saya sekeluarga hari ini. Sejak kebelakangan ini saya dah agak kurang makan pulut sebab kadang-kadang badan jadi berangin. Haha...nampak sangat diri ini dah makin tua, kan. Tapi dah ada anak-anak yang suka makan saya buatkan juga untuk sarapan pagi. Lagipun mudah sangat nak masak pulut kuning ni. Selalu tu kalau ada lebihan kari daging atau ayam memang sarapan esoknya saya masak pulut kuning lah.
Kali ini saya kukus pulut kuning yang digandingkan dengan kari daging. Bagi yang teringin nak buat tu, jom kita 'skodeng' resipinya.
5 cawan beras pulut
1 keping asam gelugur
2 sudu kecil serbuk kunyit
3 cawan santan pekat
Garam dan gula
Cara - Cara:
1. Beras pulut dicuci bersih dan ditoskan. Bancuh serbuk kunyit dengan air anggaran melebihi paras beras pulut. Masukkan asam keping.Gaul supaya beras pulut rata dengan warna kuning.Rendam semalaman.
2. Toskan beras, keluarkan asam keping. Sementara itu panaskan pengukus dan setelah air mendidih, masukkan beras pulut dalam loyang pengukus dan kukuslah selama 20minit.
3. Sementara itu satukan santan pekat, garam dan gula. Kacau sekejap atas api hingga naik wap tetapi jangan sampai mendidih dan pecah minyak. Tujuannya untuk steril santan supaya pulut kuning tahan lama.
4. Selepas 20 minit, angkat pulut dan masukkan ke dalam bekas yang besar.Tuangkan santan sedikit demi sedikit ke atas pulut, kacau sebati. Buat hingga santan Habis.
5. Biarkan sekejap dalam 8 hingga 10minit supaya pulut sebati dengan santan. Masukkan semula dalam kukusan dan kukus selama 20-30min (hingga pulut kuning betul-betul masak)
KARI DAGING
Bahan-bahan:
600 gm daging batang pinang - cuci dan hiris
1 peket kecil rempah kari daging - larutkan menjadi pes dalam 1/4 cawan air
1 sudu besar kerisik
2 keping asam gelugur
6 cawan santan (3 cawan santan cair dan 3 cawan santan pekat)
3 biji kentang - kupas kulit dan di potong empat
Garam, gula secukup rasa
¼ cawan minyak masak
Bahan untuk menumis
2 biji buah pelaga
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 tangkai daun kari
10 ulas bawang merah - dimayang
6 ulas bawang putih - dimayang
1 inci halia – hiris
Cara-cara:
1. Panaskan minyak.Tumis bahan tumis hingga wangi.
2. Masukkan pula rempah kari, kerisik dan masak hingga pecah minyak.
3. Masukkan santan cair, daging dan dikacau rata.
4. Masukkan kentang dan asam gelugur dan renih sehingga daging dan kentang empuk.
5. Masukkan pula pati santan dan masak hingga mendidih. Renih seketika hingga pecah minyak dan perasakan dengan garam dan gula.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)