TOMYAM PUTIH - AYAM

Assalamulaikum, 

Dalam cuaca yang sering hujan sekarang ini, memang sedap menikmati menu panas dan pedas seperti tomyam. Jika anda teringin membuat tomyam, tetapi tidak ada stok pes tomyam di rumah, boleh juga cuba masak tomyam putih yang rasanya memang tak kalah dengan tomyam pes merah biasa.

Uniknya resepi ini kerana menggunakan cili kering dan bawang merah yang di goreng tanpa minyak terlebih dahulu sebelum di masukkan kedalam kuah tomyam.

Baiklah, bagi yang inginkan resepi, ada saya sertakan di bawah ini beserta langkah demi langkah memasaknya.
TOMYAM PUTIH - AYAM
Bahan A
4 cawan stok ayam - saya rebuskan tulang ayam sebentar untuk menjadikan stok.

Bahan B (Di goreng tanpa minyak - sebentar sahaja)
3-4 tangkai cili kering (boleh juga gunakan cili padi)
2 ulas bawang merah di potong dua

Bahan C
350gm isi ayam tanpa tulang - di potong kira-kira 1 inci
3 sudu besar kicap ikan atau sotong
2 batang serai - Di ketuk dan potong sepanjang 2 inci
1 inci lengkuas
5 helai daun limau purut - di carik (buang tulang di tengahnya)
2 sudu besar air asam jawa
200 gram cendawan tiram
1 biji tomato - di potong empat (Boleh juga gunakan tomato cherry)
3 sudu besar air limau nipis 
½-1 sudu teh gula 
Garam secukup rasa
Beberapa tangkai daun ketumbar.

Cara memasak: 

1. Masak 4 cawan stok ayam di dalam periuk yang sederhana besar, sementara itu goreng sebentar tanpa minyak, cili kering dan bawang merah yang di belah dua tadi.
2. Bila stok ayam mulai panas, masukkan cili kering yang di goreng tadi. Jika suka pedas, patahkan cili tersebut terlebih dahulu (cili menjadi agak garing selepas di goreng).

3. Masukkan pula bawang merah dan bila stok ayam tersebut mendidih, masukkan isi ayam dan sos ikan. Renihkan selama 15 minit sehingga isi ayam tersebut benar-benar lembut.
4. Masukkan pula air asam jawa, gula, cendawan, tomato serta air limau nipis. 
5. Rasa kuah tomyam tersebut, dan sesuaikan dengan citarasa anda dengan menambah air limau nipis, sos ikan atau garam mengikut selera, jika di perlukan. Taburkan dengan daun ketumbar sebelum di hidangkan panas.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)