KUIH KOCI PULUT HITAM BERSANTAN

Assalamualaikum,

Dah lama tak buat kuih koci. Teringin rasanya nak makan kuih yang lemak-lamak manis  ni. 6 tahun yang lepas ketika kerja di pejabat tidak sesibuk sekarang saya memang buat kuih koci untuk diletak di gerai lori bergerak berdekatan dengan rumah saya kerana ada permintaan. 

Alhamdulillah kuih koci memang mempunyai penggemar tersendiri dan setiap hari memang habis 100 biji kuih koci yang ditinggalkan.  Masa itu kalau ada tempahan untuk majlis-majlis pun saya terima. Tetapi saya mula berhenti membuat kuih yang satu ini kerana ada ketika agak sukar mendapat bekalan daun pisang serta kelapa untuk membuat inti. Ditambah pula dengan kerja di pejabat yang mula sibuk, maka nak tak nak saya tinggalkan bisnes kuih ini. Masa itu saya buat kuih koci biasa bukan pulut hitam macam resipi yang ingin saya kongsikan dibawah ini.

Resipi hari ini tidak disediakan step by step seperti selalu sebab saya dah pernah sediakan pada entry sebelum ini iaitu disini, bezanya resipi terdahulu tidak gunakan tepung pulut hitam.

Jom cuba buat kuih koci pulut hitam bersantan. Kredit kepada pemilik asal resipi Zalinzalina dan saya kongsikan pula disini.

KUIH KOCI PULUT HITAM BERSANTAN 
Bahan-bahan
2 cawan tepung pulut
2 sudu beras pulut hitam - dikisar halus dan ayak
sedikit garam
1 cawan air (Jangan tuang semuanya nanti lembik. Masukkan sikit demi sedikit hingga doh tak lekat tangan. Baki air tu dalam 3 sudu besar)
daun pisang secukupnya - potong 5inci x 5inci dan layur seketika

Cara membuatnya: 

1. Campurkan tepung pulut dan tepung beras pulut hitam serta garam didalam sebuah bekas. Kacau sebati kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Pastikan doh tak lekat ditangan dan teksturnya seperti doh buah melaka/onde-onde. Tutup sekejap dengan kain agar doh tidak keras.

2. Masak air didalam periuk hingga mendidih.

3. Ambil sedikit adunan tepung pulut tadi, bulatkan kemudian leper diatas tapak tangan tangan. Masukkan inti kelapa, tutup dan bulatkan balik. Buat sampai habis doh.

4. Masukkan doh-doh kuih koci ni kedalam air rebusan yang telah mendidih sehingga ia terapung lalu angkat dan toskan. (sama seperti buat onde-onde/buah melaka).

5. Masukkan pula kuih koci ni kedalam bekas berisi campuran santan dan tepung beras.

6. Guna sudu, ambil doh koci sekali dengan kuah santan pekat tadi letak atas daun pisang yang disapu minyak. Bungkus macam bantal atau nasi lemak pun boleh. Kemudian kukus sekejap dalam 7 minit untuk bagi aroma daun pisang dan bolehlah dihidangkan.

INTI KELAPA
1 biji kelapa parut 
1 ketul gula melaka
3/4 cawan gula pasir
1 sudu besar tepung gandum dibancuh dengan sedikit air sahaja
daun pandan disimpul

Caranya :

1. Masak gula melaka, 3/4 cawan gula pasir dan daun pandan dengan sedikit air hingga gula melaka hancur, kemudian tapiskan. Masukkan kelapa parut tadi.

2. Masak sekejap atas dapur, bila dah agak kering masukkan bancuhan tepung gandum. Kacau lagi hingga bercampur, kemudian sejukkan. Bulat-bulatkan inti tersebut.

KUAH SANTAN PEKAT
3 sudu besar tepung beras
3cawan santan pekat
sedikit garam
campurkan tepung beras kedalam santan pekat, kacau sebati dan masukkan garam. Masak adunan ni sehingga pekat, ketepikan seketika untuk proses seterusnya.