ASAM PEDAS IKAN PARI

Assalamualaikum,

Ini adalah entry kedua dalam bulan April ni. Alamak, kemanalah mood berblogging ni pergi. Teruk benar reputasi kebelakangan ni. Hanya kata maaf dan terimakasih kepada pengunjung blog yang masih sudi bertandang di sini. 

Sayang awak semua tau kerana sudi masuk kesini mencari resepi dan mencubanya. Kesian juga kepada pembaca yang ingin 'copy paste' resepi-resepi tetapi terdapat sedikit kesulitan kerana buat sementara waktu saya terpaksa melumpuhkannya seketika di sebabkan ada pihak yang tidak bertanggung jawab mengambil gambar-gambar masakan di sini untuk kepentingan sendiri tanpa pengetahuan dan persetujuan saya. 

Baiklah, untuk perkongsian hari ini apa kata kita cuba memasak asam pedas ikan pari. Mungkin resepi ini lain sedikit dari resepi yang anda masak selalu tu. Bagi saya rempah yang di sangai(goreng sebentar tanpa minyak) itu buatkan asam pedas ni wangi dan sedap tau.Jom kita lihat...:)
ASAM PEDAS IKAN PARI 
3 ketul ikan pari - yang telah di potong 
Bahan Kisar (A)
15tangkai cili kering - di rebus sebentar hingga lembut
1 sudu besar pes asam jawa
1/2 inci belacan
5 ulas bawang merah - di tumbuk 
4 ulas bawang putih - di tumbuk
1/2 inci halia - di tumbuk 

Bahan yang di goreng tanpa minyak dan di tumbuk (B)
1/2 sudu besar jintan manis
1/2 sudu besar lada hitam 
1/2 sudu besar ketumbar 
Bahan (C)
1 biji tomato - di belah empat 
2 kuntum bunga kantan - di belah 
5 tangkai daun kesum 
2 batang serai - di ketuk
3 biji timun kecil - di potong
2 helai daun limau purut - buang urat di tengahnya
3 cawan air 
Cara memasak: 

1. Bersihkan ikan dengan air limau nipis untuk menghilangkan bau hanyir.

2. Sementara itu kisar cili kering dengan belacan dan ketepikan. Goreng bahan-bahan B seketika dan tumbuk kasar.
3. Masukkan sedikit minyak kedalam periuk, tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang di tumbuk tadi serta serai yang di ketuk hingga wangi dan kekuningan.

4. Tuang pula cili yang di kisar tadi, rempah yang di tumbuk (Bahan B) kacau sebentar hingga cili masak dan masukkan pula air.

6. Masukkan isi ikan dan renihkan seketika.

5. Akhir sekali masukkan pula bunga kantan, daun kesum, tomato, daun limau purut dan renihkan hingga mendidih dan masak. Masukkan juga garam dan serbuk perasa (jika suka). Boleh juga imbangi rasa kuah dengan sedikit gula.