Assalamualaikum,


Satu lagi biskut yang mudah dibuat tapi sedap adalah biskut cornflakes rangup. Seronok buat biskut ni sebab tidak mengambil masa yang lama. Alhamdulillah hari ni dua orang anak yang tinggal di asrama pulang bercuti jadi saya ada pembantu didapur isikan adunan kedalam cawan kertas dan bakar. Sekejap sahaja selesai dan tambah lagi satu koleksi biskut mudah untuk lebaran tahun ini.

Resipinya saya ambil dari blog Sinar Kehidupanku. Terima kasih ye yatie, dan izinkan saya share resipi ini sekali lagi di blog ini :) 

BISKUT CORNFLAKES RANGUP
Bahan-Bahan
250 gm mentega
3/4 cawan gula aising
1 sudu kecil esen vanilla
1 biji kuning telur
250gm cornflakes - ramas-ramas sikit
2 cawan tepung naik sendiri
Mangkuk kertas
Ceri merah dan ceri hijau-dipotong kecil

Cara-Cara

1. Pukul mentega dan gula aising hingga sebati.

2. Setelah sebati, masukkan telur dan pukul lagi, setelah itu masukkan esen vanilla.

3. Masukkan tepung naik sendiri dan cornflakes yg di ramas, gaul sebati guna senduk kayu je.

4. Masukkan dlm mangkuk kertas dan hiaskan dengan potongan ceri merah dan hijau.

5. Bakar dalam oven yg telah di panaskan pada suhu 170 C selama 15 minit.
Biarkan sejuk di redai biskut. Simpan dlm bekas kedap udara.

Assalamualaikum, 

Entry biskut raya yang kedua pada tahun ini adalah Biskut Wafer berkeju. Resipinya ada berbagai versi dan yang ini saya cuba dari resipi teman-teman yang berkongsi di Instagram. Saya tidak pasti siapa pencipta asal resipi biskut ini tetapi rasanya memang sangat sedap dan harum ketika hampir masak kerana ditabur keju cheddar. 

Wafer jenama apapun sesuai digunakan untuk resipi biskut ini dan sebaiknya yang mudah dipotong. Jom cuba kelainan biskut pada lebaran tahun ini. Resipi ada dibawah ini.  

BISKUT WAFER COKLAT
Bahan A
200gm margerin
100gm mentega
2 kuning telur
wafer coklat secukupnya
keju cheddar - parut secukupnya

Bahan B
450gm tepung gandum
50gm susu tepung 
100gm gula icing

Bahan C
1 kuning telur
1 sudu makan susu cair/segar

Cara membuatnya:

1. Pukul margerin, mentega dan kuning telur sebentar sahaja sekadar bahan bercampur.

2. Masukkan bahan B iaitu Tepung gandum, gula icing dan susu tepung. Kacau dengan spatula hingga bercampur rata.


3. Gelek adunan, letak wafer dan gulung adunan tersebut. 

4. Ratakan agar kemas dan potong dengan pisau yang tajam.
5. Sapu kuning telur yang dipukul dengan susu cair atas biskut dan hiaskan dengan keju parut. Bakar pada suhu 140'c selama 45minit (suaikan dengan oven masing-masing)


Assalamualaikum, 

Hari raya semakain hampir dan sekarang dimana-mana shopping mall memang sesak terutama sekali pada waktu malam kerana ramai yang dah mula membeli-belah kelengkapan Hari Raya. Tunggu sehari dua lagi ramai pula yang akan pulang ke kampung halaman. Yang pastinya surirumah lah orang yang paling sibuk menjelang lebaran tiap tahun, memastikan segalanya lengkap sesuai dengan kemampuan.

Pembaca blog ni dah mula buat biskut raya atau biskut tunjuk sahaja? Memang kalau diikutkan wanita bekerjaya kadangkala tak sempat dan uli dan gentel tepung tetapi percayalah, walau seringkas manapun biskut yang kita hasilkan, suami dan anak-anak pasti suka. Disamping itu ia dapat merapatkan ikatan kekeluargaan bila anak-anak yang dah remaja juga melibatkan diri membantu proses membuat biskut didapur.

Hari ini saya ingin kongsikan biskut yang paling mudah sekali tetapi sedap tau iaitu biskut Putri Salju. Putri salju ni tak adalah beria-ia 'make-up' berbagai warna seperti biskut-biskut moden sekarang ini. Walaupun hanya 'berbedak' gula icing sahaja tetapi rasanya sedap sangat. Anak saya yang bongsu suka benar biskut ni. Nampaknya kena tambah buat lagi sebab belum sempat raya lagi, dah separuh balang dihabiskannya Nak cuba buat sendiri? Jom lihat resipinya :)   
    
BISKUT PUTRI SALJU 
Bahan-bahan
400 gram tepung gandum
250 gram mentega 
2 sudu makan gula halus
1 kuning telur
Secubit garam
Gula icing secukupnya - untuk menyalut biskut

Cara membuatnya :

1. Putar mentega, gula, dan garam selama 2 minit. Masukkan telur dan kacau dengan spatula sekadar bercampur sahaja.

2. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sambil diayak. 


3. Kacau rata dan  setelah menjadi adunan, tutup bekas adunan plastik wrap dan simpan di dalam peti sejuk selama 30 minit. Kalau tak ada plastik wrap, gunakan bekas bertutup. Setelah itu keluarkan adunan.

4. Gelek adunan dan tekapkan dengan acuan biskut. Susun dalam loyang yang telah disapu mentega (nipis).

5. Bakar biskut menggunakan api bawah sahaja pada suhu 150'c selama lebih kurang 25minit. Terus golekkan biskut yang telah masak dan masih panas kedalam gula icing. 

6. Setelah biskut sejuk bolehlah disimpan kedalam bekas kedap udara.

Assalamualaikum, 

Kontroversi betul tajuk entry hari ni. Ada pula ye kelapa muda imitasi? Selalunya kita dengar telur atau beras tiruan berlegar dipasaran dan menimbulkan keresahan pengguna. Hihihi...jangan risau, kelapa tiruan@imitasi ni sebenarnya dibuat dari bahan-bahan yang selamat. Sedap pulak tu. Sekali pandang macam isi kelapa muda yang asli kan? 

Idea untuk membuat isi kelapa muda imitasi ini datang setelah melihat teman-teman di group masakan dari Indonesia yang begitu kreatif sekali mempelbagaikan resipi dessert. Bahan utama dalam resipi ini adalah serbuk Nutrijell. Di Malaysia setakat ini memang saya belum pernah berjumpa jenama tersebut, atau mungkin juga cuma di Langkawi tidak ada. Jadi saya cuba tukarkan dengan serbuk jeli Kristal keluaran Nona. Wahh...hasilnya memang menjadi dan sempat saya hidangkan untuk keluarga berbuka tadi.

Nak cuba buat sendiri dirumah? Jom kita lihat resipinya :)  
ISI KELAPA MUDA TIRUAN@IMITASI 
Bahan-bahan
1 bungkus serbuk jeli Kristal - Saya guna jenama Nona (10gm)
500ml air 
200ml santan 
3 sudu makan gula pasir  

Cara membuatnya: 

1. Campur santan dan air kedalam periuk dan kacau hingga rata.
2. Jerang periuk diatas dapur sambil dikacau perlahan, masukkan gula pasir.
3. Masukkan pula serbuk jeli dan kacau hingga mendidih dan angkat. 
4. Tuang kedalam loyang, tunggu sehingga wapnya hilang. Masukkan kedalam peti sejuk.

5. Setelah menjadi, kaup jeli isi kelapa tiruan dengan sudu ataupun penutup botol.
6. Sedia dihidangkan mengikut selera. Jika saya, hanya buat sirap pandan dan masukkan isi kelapa muda tersebut tersebut.   
Assalamualaikum, 

Puding sutera oren ini sangat segar dihidangkan ketika berbuka puasa. Tetapi teksturnya yang lembut ala-ala dadih tidak sesuai dimasukkan kedalam loyang besar kerana cara untuk menikmatinya adalah menggunakan sudu. Kalau nak cuba buat sendiri dirumah saya cadangkan guna bekas plastik  tahan panas yang selalu kita gunakan untuk membuat dadih atau mengukus kek coklat. Gelas-gelas yang kecil pun sesuai juga.

Tentang rasanya...alhamdulillah sedap sangat gandingan susu pekat manis dengan larutan jus oren sunquick perasa tropical. Ditambah pula dengan rasa masam dari isi limau mandarin dalam tin semasa menghidang tu. Fuh...benar-benar membuka selera tau. Nak buat pun semudah ABC...lepas sahur pun sempat. Bila dah siap, masukkan kedalam petiais tinggal hidangkan je untuk berbuka. Jom kita tengok resipi. Hanya 5 bahan yang digunakan.   

PUDING SUTERA OREN 
Bahan-bahan 
10gm agar-agar serbuk 
1 tin susu pekat manis 
3 1/2 tin air - sukat guna tin susu pekat manis tadi
2 sudu besar oren sunquick - saya guna perasa tropical
1 tin isi limau mandarin

Cara membuatnya:

1. Masukkan susu pekat manis dan air kedalam periuk, hidupkan api dapur.

2. Masukkan pula serbuk agar-agar kedalam larutan susu tersebut sambil dikacau.


3. Seterusnya masukkan oren sunquick dan kacau lagi hingga mendidih. Setelah itu matikan api dapur.


4. Tuang kedalam acuan kegemaran dan setelah hilang wap bolehlah disimpan kedalam peti sejuk.


5.  Setelah sejuk, atur isi oren mandarin serta masukkan sirap dalam tin secukupnya sebelum menghidang.

Assalamualaikum, 

Susah kan nak cari kuih lapis yang sedap, lemak manis secukup rasa di jual di bazar ramadhan. Memang ada yang mahir buat kuih ini tetapi ada juga yang buat ala kadar sahaja. Kalau nak puas makan, baiknya buat sendiri. Satu adunan cukuplah untuk 5 orang sekeluarga. Kalau ikut resipi yang saya sertakan dibawah ini pasti menepati citarasa. Tekstur kuih tidak keras dan tidak pula lembik, sedang-sedang sahaja dan boleh pula di kupas selapis demi selapis ketika menikmatinya.

Resipi asal saya cuba dari blog K.An - Periuk Tanah tetapi saya gantikan dengan pes cappuccino. Memang sedap. Tapi kalau suka dengan resipi asal, boleh juga gunakan warna merah dan esen ros. Terpulanglah kepada citarasa masing-masing ye. 

Jom kita lihat resipinya :) 
KUIH LAPIS CAPPUCCINO
Bahan-bahan:
1 cawan tepung beras
2 cawan santan sederhana pekat (caranya-campurkan 1 cawan santan pekat dengan 1 cawan air)
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan gula pasir- boleh kurangkan 1 sudu besar jika ingin kurang manis
1/4 sudu teh garam
1 sudu besar pes cappuccino

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 7 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Panaskan sebentar biar jadi suam-suam kuku. Tutup api.

2. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. 

                      3.  Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berbintil.                                                                       
3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian.  Campurkan satu bahagian dengan pes cappuccino.

4. Masukkan loyang ke dalam kukusan. Tuang adunan cappuccino ke dalam loyang. Kukus selama 5 minit dengan api kuat. Setelah lapisan pertama masak, tuang adunan biasa tanpa warna. Kukus lagi. Ulang proses hingga habis dengan diakhiri dengan lapisan cappuccino dan kukus selama 15 minit.
5. Setelah siap, sejukkan kuih lapis sebelum dipotong. Kuih lapis yang elok, boleh dimakan selapis demi selapis

Assalamualikum,

Hari ini bercuti barulah dapat memenuhi special requested dari cinta hati, Puding Karamel Pandan sebagai 'Dessert' untuk berbuka. Puding yang paling mudah nak buat dan popular pada bulan-bulan biasa, apatah lagi pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Selalunya di tiap bazaar Ramadhan mesti ada jual puding yang satu ini. Harganya boleh tahan juga walaupun cara membuatnya amatlah mudah sekali dan tidak mengambil masa yang lama.

Kali ini sengaja saya masukkan dua sudu besar pasta pandan kedalam adunan puding untuk kelainan dan bahan-bahan lain sama sahaja seperti biasa yang kita gunakan untuk membuat puding karamel.

Ingin cuba sendiri dirumah? Jom kita lihat resipi dan cara membuatnya :). Sumber asal dari blog HANA cuma saya tambahkan pasta pandan.
PUDING KARAMEL PANDAN
Bahan-bahan
4 biji telur gred A
satu tin susu cair (400ml)
150ml air biasa
4 sudu besar gula
1sudu kecil esen vanilla
2 sudu besar pasta pandan

Karamel:
5 sudu besar gula
2 sudu besar air

Cara-cara

1. Sediakan karamel@gula hangus - masukkan gula dan air ke dalam kuali. Hanguskan hingga keperangan kemudian tuang terus ke dalam loyang. Sejukkan.
2. Dalam mangkuk, satukan semua bahan puding. Kacau perlahan jangan sampai berbuih. 
3. Pukul sekadar pecah kuning telur serta sebati dan masukkan pasta pandan. 
3. Kemudian tapiskan. dan tuang ke dalam loyang karamel.
4. Kukus selama 45min atau sehingga masak. 

5. Sejukkan kemudian terbalikkan. Potong dan hidangkan.

Assalamualaikum,

Sekejap sahaja dah 11 ramadhan kita lalui hari ini. Ramadhan tahun ini saya agak kurang rancak update blog kerana masa dan kesihatan kurang mengizinkan. Terimakasihlah kepada yang prihatin dan pm di facebook bertanya khabar kenapa saya jarang update blog dan tidak muncul di facebook. Memang hari-hari masak juadah untuk berbuka dan bersahur tetapi tak sempat nak ambil gambar dan update kedalam blog. Hari ini ada sedikit ruang, bolehlah masukkan gambar dan resipi kari ayam hijau ala Thai bagi yang ingin mencubanya. Maaflah gambar langkah demi langkah yang disediakan ala kadar sahaja dan tidak 'detail'.

Di rumah ni kalau masak menu Thai memang ramai yang suka dan mendapat sambutan, tak kiralah apa je masakannya. Tambahan pula Kari ayam hijau ala Thai ini rasanya sedap kombinasi rasa aneka rempah. Memang membuka selera. Nak cuba masak sendiri dirumah? Langkah pertama mestilah sediakan dulu pesnya. Kalau sediakan dalam kuantiti yang banyak pun boleh dan masukkan kedalam peti sejuk. Jika nak guna hanya campurkan dengan santan dan terus masak sahaja. Jom kita lihat resipinya :) 

KARI AYAM HIJAU ALA THAI
Bahan-bahan
400gm isi ayam bahagian dada - dipotong saiz sederhana 
1 cawan santan pekat
2 1/2 cawan santan cair
4 helai daun limau purut - dicarik dan buang tulang tengahnya 
8 biji terung thai - belah empat dan rendam dalam air seketika
1/2 cawan daun kemangi 
1 1/2 sudu besar sos ikan Thai 
2 sudu teh gula melaka 
1 sudu teh garam 
Bahan Pes 
1/2 sudu teh biji ketumbar
1/2 sudu teh jintan putih
1 sudu teh lada putih 
5 tangkai cili hijau 
15 tangkai cili padi hijau 
1 sudu teh garam 
1 sudu besar lengkuas yang telah dicincang 
2 batang serai - dicincang 
1 sudu besar kulit buah limau purut - hiris nipis
5 sudu besar daun ketumbar dicincang
10 ulas bawang putih 
3 ulas bawang merah 
1 sudu teh belacan 

Cara memasak : 

1. Goreng tanpa minyak biji ketumbar, jintan putih dan lada sulah. Setelah itu masukkan kedalam lesung batu dan tumbuk hingga lumat. Masukkan pula cili padi , garam dan cili hijau, sambil ditumbuk lagi.

2. Seterusnya masukkan semua bahan-bahan B dan tumbuk hingga menjadi pes. Ketepikan seketika.
3. Panaskan minyak, masukkan santan pekat dan pes kari hijau. Masak hingga pecah minyak sambil dikacau.

4. Masukkan isi ayam dan daun limau purut sambil dikacau. Masukkan pula gula melaka dan sos ikan dan masaklah dalam 4minit.
5. Setelah itu masukkan santan cair, tomato, daun kemangi dan terung thai. Renih sehingga mendidih dan masak sepenuhnya. Suaikan rasa dan bolehlah dihidangkan bersama nasi.
Assalamualaikum, 

Pernah tak makan nasi ulam Kedah? Bagi yang belum pernah mesti terfikir nasi yang digaul dengan hirisan pelbagai ulam-ulaman ini rasanya pelik ataupun pahit, kan? Sebenarnya, nasi ulam ni sangat enak setelah dicampur dengan ikan talang masin yang ditumbuk halus dan kerisik (ada yang letak kelapa parut yang disangai hingga perang) serta bahan-bahan lainnya. Di hidangkan pula dengan asam rebus keladi ataupun setidaknya asam rebus ikan ala Kedah...hmm memang membuka selera. Selain dari itu nasi ulam juga mengandungi khasiat yang tinggi dari gabungan pelbagai ulam-ulaman. Sebab itulah agaknya orang dulu-dulu payah dihinggapi penyakit, berbeza dengan hidangan anak-anak kita yang manis-manis dan lemak pada zaman sekarang. 

Di Kedah nasi ini selalunya popular pada bulan ramadhan dan bagi yang tinggal di kampung-kampung, ulam untuk menghasilkan nasi ini biasanya dikutip disekeliling rumah. Zaman sekarang ini tak semua rumah ada tanam ulam-ulaman tetapi masih boleh dibeli dari pasar basah. Tetapi tak semua ulam ada dijual contohnya pucuk putat, daun sekentut dan pucuk mengkudu seperti yang digunakan oleh mak saya dan orang lama untuk melengkapkan lagi nasi ini. 

Saya hanya letak ulam seadanya sahaja...cukuplah sekadar untuk lepaskan kempunan.  Jom lihat resipi nasi ulam kedah dengan asam rebus ikan yang saya sediakan ini. Mungkin ada yang ingin mencuba :) 
     NASI ULAM KEDAH DAN ASAM REBUS IKAN
Bahan-bahan
2 cawan nasi putih

Ulam-ulaman yang saya guna (sekadar yang ada)
Pucuk gajus 
Daun selom 
ulam raja
pegaga
bunga kantan 
pucuk cemumar
daun kunyit 
daun kemangi 
daun kunyit
5 ulas bawang merah - dimayang

Bahan Tumbuk 
1 inci halia muda
1 inci lengkuas muda 
3 tangkai cili padi 
2 batang serai - diambil bahagian putih yang lembut 
1 sudu teh lada hitam

1 keping isi ikan talang - digoreng garing dan di tumbuk halus
3 sudu besar kerisik (ada yang letak kelapa yang digoreng)

Cara-cara

1. Hiris halus semua ulam-ulaman.
2. Tumbuk halia muda, lengkuas, cilipadi, serai dan lada hitam.


3. Selepas itu goreng garing ikan masin talang dan tumbuk hingga lumat.
 
4. Satukan kesemua ulaman yang dihiris, isi ikan talang masin yang ditumbuk dan kerisik. Suaikan rasanya. Jika ikan tersebut dah masin, tidak perlu lagi masukkan garam.
5. Setelah siap, bolehlah dihidangkan bersama asam rebus ikan atau keladi.

ASAM REBUS IKAN
Bahan A - Kisar
10 tangkai cili kering - di potong dan rebus hingga lembut serta toskan
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan 
2 cm kunyit hidup 
2 cm halia 
4 cawan air

Bahan B
1 ekor ikan saiz sederhana - dipotong 
2 biji timun kecil - di potong serong 
1/2 cawan air  asam jawa 
garam dan gula secukup rasa

Cara memasak

1. Masukkan bahan yang di kisar dan air ke dalam periuk. 

2. Renih dan masukkan pula air asam jawa.

3. Seterusnya masukkan isi ikan satu persatu dan biarkan mendidih.

4. renih sehingga masak dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.


5. Matikan api dapur dan bolehlah di hidangkan dengan nasi ulam.

Assalamualaikum,

Alhamdulillah hari ini kita dah melalui  2 Ramadhan 1437H dan semoga segalanya berjalan dengan lancar serta amalan puasa kita diterima, bukan sekadar lapar dan dahaga sahaja. InshaAllah pada bulan puasa ini Fiza's Cooking cuma akan siarkan entry blog pada waktu malam sahaja untuk menghormati bulan Ramadhan yang mulia.

Semoga dengan perkongsian yang tidak seberapa ini dapat memberi manafaat dalam menyediakan juadah berbuka ataupun bersahur untuk keluarga tercinta. Perkongsian pertama saya untuk bulan puasa tahun ini adalah Apam Beras yang resipinya telah banyak dicuba oleh blogger-blogger lain. Saya hanya tambahkan namanya sebagai Apam Beras Gebu Gebas, kerana apam ini amat lembut dan gebu serta enak sekali. Sangat sesuai untuk hidangan berbuka. 

Ingin cuba untuk hidangan berbuka esok? Jom kita lihat resipinya :) 
APAM BERAS GEBU GEBAS
Sumber : Hazila

Bahan Bahan 
1 cawan nasi 
2 cawan tepung beras 
1 cawan gula pasir 
1 3/4 cawan air 
1 sudu kecil yis segera 
1 peket kecil ENO 
Acuan apam 
Sedikit minyak masak 


Cara membuat :

1. Kisar nasi dengan air hingga halus.  


2. Kemudian masukkan tepung beras, gula dan yis. Kisar lagi hingga sebati.

2. Perap adunan lebih kurang 3-4 jam. Kemudian masukkan serbuk ENO dan kacau perlahan-lahan hingga sebati dan biarkan seketika.


3. Panaskan kukusan dengan API BESAR. Tutup tudung periuk dengan tuala dapur.

4. Sapukan sedikit minyak masak di dalam acuan apam supaya senang untuk keluarkan apam nanti. 

5. Tuang adunan apam ke dalam acuan 3/4 penuh. Letakkan di dalam periuk pengukus.

6. Setkan masa selama 15 MINIT, jangan buka penutup periuk sebelum 15 MINIT habis. 


7. Selepas 15 minit, buka penutup pengukus, keluarkan apam dan biarkan ia sejuk sebentar sebelum keluarkan dari acuan.
Assalamualaikum,


Air kelapa muda adalah sinonim bagi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum sebagai agen penyembuhan secara tradisional beberapa jenis penyakit dan mempunyai khasiat yang tinggi. Selain dari itu rasanya sangat segar dan menghilangkan kelesuan serta dehidrasi ketika cuaca panas.

Bagi yang tinggal di kampung-kampung memang mudah nak dapatkan kelapa muda kerana kebanyakkan rumah pasti akan tanam pohon perbagai guna ini. Tapi bagi yang tinggal di bandar pun dah senang nak dapatkan kelapa muda sekarang ini kerana banyak dijual di pasaraya besar contohnya seperti di TESCO. Siap potong lagi dan pembungkusannya kemas dan bersih. 

Untuk hari ini saya ingin kongsikan resipi Jeli Kelapa Muda yang saya cuba dari blog Kak Nor Secubit Garam. Terima kasih untuk resipi jeli yang sedap ini dan saya kongsikan sekali lagi di blog fiza's Cooking. Semoga memberi manafaat kepada yang ingin mencubanya :) 

JELI KELAPA MUDA

Bahan-bahan
10gm serbuk agar-agar 
2.6 liter air kelapa 
Isi kelapa muda secukupnya
11 sudu besar gula - terpulang pada citarasa masing-masing
3 helai daun pandan

Nota : Sekiranya air kelapa muda tidak mencukupi, bolehlah ditambah dgn air biasa untuk mencukupkan sukatan 2.6 liter.

Cara membuatnya :

1. Belah kelapa muda dan kaup menggunakan sudu isi kelapa tersebut.
2. Masukkan air kelapa muda, serbuk agar-agar, gula dan daun pandan ke dalam periuk.

3. Masaklah hingga mendidih dan masukkan isi kelapa muda. Padamkan api dapur.

4. Biarkan suam sedikit dan bolehlah dimasukkan kedalam acuan/loyang yang disukai.
5. Masukkan kedalam petiais dan setelah sejuk bolehlah dihidangkan.