Memaparkan catatan dengan label SAYUR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SAYUR. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Sayur favourite saya yang mudah nak memasaknya tetapi enak walaupun hanya digandingkan dengan nasi panas dan ikan goreng sahaja. Memang menu ini penyelamat diwaktu sibuk sebab mudah dan cepat untuk dimasak. Rasanya semua dah pandai nak memasak lemak labu kuning dan kacang panjang ni. Tapi saya masukkan juga ke blog ini bagi yang belum tahu. Boleh juga gantikan kacang panjang dengan bayam ataupun sayur petola...ikutlah selera masing-masing ye. 

Jom tengok resipi dan step by step yang saya sediakan dibawah ini dan selamat memasak :)  

MASAK LEMAK LABU KUNING DAN KACANG PANJANG
labu kuning secukupnya 
7 tangkai kacang panjang 
3 ulas bawang merah - di hiris
2 ulas bawang putih - di hiris
air secukupnya
2 cawan santan pekat 
segenggam udang hidup - di kopek kulitnya dan cuci bersih
3 tangkai cili padi - dibelah 2

Cara memasak :

1. Kupas labu kuning, potong kiub dan potong kacang panjang kira-kira ukuran 1 inci. Bersihkan dan masukkan kedalam periuk bersama bawang merah, bawang putih dan cili padi.

2. Masukkan pula udang yang telah dibersihkan kedalam periuk tadi.

3. Seterusnya masukkan air, santan pekat dan masak hingga mendidih dan labu menjadi agak empuk. Kacau kuah sesekali agar santan tidak pecah.

4. Perasakan dengan garam secukup rasa dan kacau perlahan-lahan agar sayur sebati dengan santan. Renihkan sebentar dan setelah masak bolehlah matikan api dapur.

5. Sayur masak lemak labu kuning dan kacang panjang ini enak dihidangkan dengan nasi putih bersama lauk-lauk lain.

Assalamualaikum,

Sayur keladi style Kedah ni sedap di gandingkan dengan Nasi Ulam. Hidangan begini memang membuka selera terutama sekali di bulan puasa. Selalunya saya kisar udang kering sebagai salah satu bahan untuk kuah tetapi kali ini tidak ada stok udang kering jadi saya gantikan sahaja dengan ikan bilis. Untuk membangkitkan lagi rasa, saya masukkan juga isi ikan kembung rebus kedalam kuah ketika merenih. 

Kali ini saya tidak sertakan langkah demi langkah cara memasak sayur keladi utara ini kerana dah pernah ada entry tersebut di SINI

Jom kita lihat resipinya:) 

SAYUR KELADI UTARA 
Bahan-bahan
500gm batang keladi 
10 tangkai cili Kering - rendam air mendidih hingga lembut dan toskan
4 ulas bawang merah
1/2 inci belacan
1/2 cawan ikan bilis
1 sudu teh lada hitam
3 keping asam gelugur
1 ekor ikan kembung rebus - Ambil isinya
3 tangkai daun kesum

Cara memasak:

1. Bersihkan, siang dan kupas kulit luar batang keladi. Rebus hingga agak lembut selepas itu buang air rebusan dan lalukan batang keladi tersebut dengan air mengalir. Ini untuk menghilangkan rasa gatal batang keladi selepas dimasak.

2. Tumbuk ataupun kisar cili kering,bawang merah,belacan,ikan bilis dan lada hitam.

3. Masukkan bahan kisar kedalam periuk bersama air secukupnya dan asam gelugur, masak hingga mendidih.

4. Seterusnya masukkan isi ikan kembung serta garam dan gula secukup rasa.

5. Akhir sekali masukkan batang keladi yang telah direbus tadi bersama daun kesum dan renih hingga masak.

Assalamualaikum, 

Dah hampir seminggu tak sedap badan dan demam, Alhamdulillah hari ni rasa OK sedikit dan mula teringin nak makan nasi dengan lauk simple pembuka selera. Bila ke Pasar pagi tadi saya belilah sebungkus ikan gelama kering dan bila fikir-fikir, sedap pula gandingkan dengan masak lemak kobis dengan sotong. Kebetulan, Pulau Langkawi sekarang ni banyak bekalan sotong dan aktiviti mencadat sotong memang meriah dikalangan nelayan dan pelancong pada waktu malam.

Baiklah, sebaik sahaja balik dari pasar saya terus masak dan resipi masak lemak kobis ini saya skodeng dari rumah Cik Mat Gebu, cuma saya ubah suai sedikit ikut bahan yang ada dirumah ni. Simple je resipinya tapi...tersangatlah sedap, secukup rasa. Jom kita jamu mata...pada yang teringin nak masak, bolehlah ikut resipi dibawah ni atau selusuri link blog Cik Mat untuk resipi asal.

MASAK LEMAK KOBIS DENGAN SOTONG
Bahan-bahan
1/2 biji kobis bulat saiz sederhana - dihiris, cuci dan toskan
1 tangkai cili merah - di mayang
5 ekor sotong - di hiris tak putus 
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
2 sudu besar udang kering - rendam 10 minit, tos dan tumbuk kasar
1 biji bawang besar- hiris halus
4 ulas bawang putih-  diketuk
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

Cara membuatnya : 

1. Bersihkan sotong don potong tak putus.

2. Masukkan bawang besar, bawang putih, sotong dan udang kering kedalam periuk bersama santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih. 

3. Masukkan kobis dan gaul rata. Masak sekejap.

4. Tuang sedikit air jika perlu. Kacau, masukkan cili merah. Tambah pati santan dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api kecil sambil dikacau selalu. 
Rasa dan jika sudah secukup rasa boleh matikan api dapur.
Apakah masakan yang paling enak sekali bagi anda? Pasti majoriti bersetuju bahawa air tangan ibulah masakan yang terbaik pernah kita nikmati walaupun ianya kadangkala ringkas sahaja kerana di hasilkan dengan jujur dan penuh kasih sayang.

Seiring dengan perubahan zaman, ramai wanita bekerjaya sekarang ini. Namun ia tidak mengubah fungsi seorang ibu yang memasak dan sentiasa memastikan keluarga tercinta mendapat hidangan yang berkhasiat. Keterbatasan waktu bukan lagi halangan untuk ibu bekerjaya memasak, kerana Nestle ada produk Maggi® CukupRasa™ yang menjadikan hidangan anda lebih ‘syiok’ dan cepat di sediakan.

Maggi® CukupRasa™ ini memang menjadi pilihan saya sejak dulu. Tidak perlu menambah garam dan serbuk perasa lagi di dalam masakan kerana sedikit taburan Maggi® CukupRasa™ memang melengkapkan hidangan. Tidak perlu risau lagi masakan tak menjadi atau berkali-kali menambah garam untuk mendapatkan rasa yang ideal.  

Anak-anak memang suka dan ternanti-nanti masakan air tangan saya terutama sekali sayur campur bergajus. Kadang-kadang sayur ini di ratah begitu sahaja tanpa nasi. Isi ayam ranggup yang di campurkan dalam sayur ini juga menjadi rebutan kerana rasanya yang enak. Sebelum di goreng saya perap isi ayam ini dengan Sos Tiram Maggi serta di salut dengan tepung jagung terlebih dahulu.

Nak rasa sendiri keenakan sayur campur bergajus ni kenalah cuba memasak sendiri di rumah. Resipi saya sertakan di sini.

SAYUR CAMPUR BERGAJUS
Bahan A
1/4 cawan biji gajus - di goreng dan toskan
  10 tangkai cili kering - di goreng dan toskan
1/2 cawan isi ayam - di potong memanjang 
1 sudu besar Sos Tiram Maggi 
1/2 cawan tepung jagung 
1 cawan minyak sayuran - untuk menggoreng 

Bahan B
1/4 cawan lobak merah - di potong seperti mancis
1/4 cawan brokoli
4 tangkai sayur bok choy
4 tangkai putik jagung - di potong menyerong 
1/4 cawan hirisan lada benggala (kuning dan merah)
1/4 cawan air
1/2 sudu besar Maggi® CukupRasa™ 
2 sudu besar minyak sayuran - untuk menumis 

Cara membuatnya :

1. Panaskan 1 cawan minyak di dalam kuali, goreng isi ayam yang di perap dengan Sos Tiram Maggi serta golekkan dengan tepung jagung terlebih dahulu sehingga garing. Goreng juga biji gajus dan cili kering secara berasingan.Tos dan ketepikan seketika.

2. Di dalam kuali yang lain, panaskan 2 sudu besar minyak sayuran. Masukkan putik jagung dan lobak merah terlebih dahulu. Kacau sebentar dan masukkan pula sayur brokoli dan bok choy sambil di kacau lagi.

3. Seterusnya tuangkan air kedalam sayuran dan kacau lagi.
4. Setelah sayuran separuh masak masukkan lada benggala dan taburkan penambah perasa semua dalam satu, Maggi® CukupRasa™ kedalam sayuran.


5. Seterusnya masukkan cili kering, isi ayam dan biji gajus yang di goreng tadi. Kacau hingga semuanya bercampur dengan sayuran dan matikan api dapur. Jangan terlebih masak ye, kerana zat dan vitamin dalam sayuran akan hilang.


Siaplah resipi sayur campur bergajus dan bolehlah di hidangkan dengan nasi panas untuk keluarga tercinta. Mudah, cepat, berkhasiat dan yang penting keenakan rasanya memikat selera.
Assalamualaikum,

Bagaikan tak lengkap hidangan nasi tanpa sayuran, walaupun ada yang tak suka makan sayur tetapi jika kita kreatif sedikit di dalam penyediannya, ia boleh menjadi hidangan yang di gemari.  

Hari ini saya ingin berkongsi resepi mudah iaitu tumis kacang panjang telur masin. Seperti juga hidangan sayuran lain, masa penyediannya juga singkat sahaja dan sedap di nikmati dengan nasi panas. 

TUMIS KACANG PANJANG TELUR MASIN
Bahan-bahan
300gm kacang panjang - di potong sepanjang 1 inci
1 sudu besar sambal belacan - atau tumbuk 1 tangkai cili merah dengan 1 sudu teh belacan
1 sudu teh gula
1/2 sudu teh lada sulah
1/4 cawan air 
5 ekor udang saiz sederhana - di kopek kulitnya
1 biji telur masin - di rebus dan belah dua (1 bahagian di cincang dan satu bahagian lagi di potong baji)

Bahan Tumis
2 sudu besar minyak masak
2 ulas bawang putih - di hiris
3 ulas bawang merah - di hiris
1/2 tangkai cili besar - di hiris

Bahan Sos
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1/2 sudu besar sos sotong

Cara membuat :

1. Tumis Bawang merah, bawang putih dan cili besar hingga harum dan keperangan.
2. Masukkan pula kacang panjang dan dan udang sambil di kacau.

3. Masukkan air dan masak sehingga kacang lembut sedikit.
4. Seterusnya masukkan bahan sos, lada sulah dan gula sambil di kacau. Jika kuah agak pekat, bolehlah di masukkan sedikit air lagi. Masukkan juga satu sudu besar sambal belacan.
5. Masukkan pula sebahagian telur masin yang di hancurkan dan kacau rata serta matikan api dapur. 
6. Hidangkan sayur yang telah masak dengan menabur sebahagian lagi telur masin yang di potong.
Assalamualaikum,

Resepi sayur ringkas ini ternyata enak sekali walaupun di ratah begitu sahaja tanpa nasi. Selalunya sayur asparagus ini kurang mendapat tempat mungkin kerana ramai yang kurang tahu bagaimana untuk mengayakan resepinya. Tetapi ternyata, rasa asparagus itu sendiri yang lemak sesuai di masak tumis, seperti resepi yang saya ingin kongsikan ini.

Jom langsung saja kita lihat resepi mudah ini.
TUMIS ASPARAGUS DENGAN TOFU TELUR
Bahan-bahan
200gm asparagus - di potong sepanjang 1 inci
Bahan B (sos)
1 sudu besar sos ikan  
1 sudu besar sos cili  
1 sudu besar sos tiram 
1/2 kiub ayam di larutkan dengan 1/2 cawan air 
1/2 sudu kecil minyak bijan

Bahan C (tumis)
2 ulas bawang putih - dicincang 
1/2 inci halia di cincang 
1 tangkai cili merah - di hiris nipis
1/2 biji lada benggala hijau/kuning- dihiris kepada kepingan saiz yang sama 
Bahan D (di salut dengan tepung jagung dan goreng)
50gm isi ayam di potong nipis 
1 kiub tofu telur - potong sepanjang 1 inci
Tepung jagung secukupnya 

Cara Memasak:

1. Campurkan semua bahan B di dalam sebuah mangkuk dan ketepikan seketika.

2. Sementara itu golekkan isi ayam dan tofu telur di dalam tepung jagung dan goreng sebentar. Angkat dan ketepikan seketika.

3. Di dalam kuali lain masukkan sedikit minyak, tumis bawang putih dan halia sehingga wangi. Masukkan juga bahan-bahan C yang lain.
4.  Masukkan pula asparagus dan bahan (B) sos serta kacau rata. Bila sudah sebati dan asparagus lembut sedikit masukkan tofu telur dan isi ayam yang telah di goreng tadi.

5. Pekatkan kuah dengan memasukkan satu sudu besar tepung jagung yang di larutkan dengan 1/4 cawan air sambil di kacau seketika.

6. Bila sayur telah masak bolehlah di hidangkan segera dengan nasi panas.

Assalamualaikum,

Suka makan peria? Pasti ramai yang tak suka kerana rasanya yang pahit...namun khasiatnya untuk kesihatan tubuh banyak sekali jika ingin di sebut satu persatu. Boleh saja cari di google tentang khasiat peria ni. Sebenarnya ada cara untuk hilangkan rasa pahit buah peria ni iaitu dengan rendamkan dalam air garam dan ramas-ramas sedikit sebelum memasaknya. 

Tiap hari yang manis-manis saja masuk ketubuh, hari ni kita masak yang pahit pula. Barulah seimbang, kan :).  Resepinya yang mudah-mudah saja...jom kita lihat.
TUMIS PERIA & IKAN MASIN
Bahan-bahan 
Sebiji buah peria - di belah di tengahnya, buang biji dan hiris nipis.
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah 
1 biji telur
50gm ikan masin - talang
1/2 cawan air
1 kiub ikan bilis/ayam
garam secukup rasa (jangan letak jika ikan sudah terasa masin)
Cara memasak:

1. Isi ikan masin di potong kiub dan rendam dengan air untuk menghilangkan rasa masin, manakala peria di hiris nipis dan rendamkan dengan air garam sambil di ramas dan toskan untuk menghilangkan rasa pahit.
2. Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak masak, goreng ikan masin hingga berbau wangi.
3. Masukkan pula cili merah dan bawang putih sambil di kacau rata, dan campurkan dengan peria yang di potong tadi. Pecahkan telur ke dalam sayur sambil di kacau.
4. Masukkan air dan perasakan dengan kiub ikan bilis. Bila sayur telah masak bolehlah di matikan api dan hidangkan.


Assalamualaikum,

Wah..wah...wahh...rasanya dah lama sangat blog ni terbiar semenjak cuti sekolah bermula. Selain dari sibuk menguruskan kemasukan tempahan dari agensi pelancongan yang masuk ke Langkawi, saya juga menyepi seketika kerana menghadiri kursus selama tiga hari di Alor Setar. Memang hasrat hati ingin sangat nak update apa yang patut tapi apakan daya line internet di hotel benar-benar tenat. Asyik 'loading' memanjang. 

Hari ini dah kembali ke rumah, bolehlah kongsikan resepi yang mudah-mudah. Masakan biasa yang budak-budak pun boleh buat, iaitu sup petola dengan fucuk. Jomlah kita lihat...bagi anak-anak gadis yang sedang bercuti sekolah sekarang ni, bolehlah cuba masak untuk keluarga sekali-sekala, mesti ibu lebih sayang :)
SUP PETOLA DENGAN SET FUCUK 
BAHAN-BAHAN
2 biji sayur petola - di buang kulit luar dan potong menyerong
3 ulas bawang merah - di hiris nipis 
2 ulas bawang putih - di hiris nipis
1 tangkai cili merah - Di hiris nipis
50gm udang (saya gunakan udang kecil) 
sebiji telur 
1 kiub ikan bilis 
sedikit lada sulah
Set Fucuk (Di bungkus bersama cendawan, kincam dan su'un) 
Garam secukup rasa
3 sudu besar minyak masak
Air secukupnya
Cara memasak:

1.  Tuang minyak kedalam periuk, tumis bawang putih dan bawang merah hingga wangi. Masukkan juga udang dan kacau sebentar.

2. Masukkan air kedalam periuk dan pecahkan telur. Biarkan telur masak sedikit, masukkan pula set fucuk dan cili merah, masak hingga lembut sedikit. Jangan terlebih kacau, nanti telur pecah.
3. Akhir sekali masukkan sayur petola, kiub ikan bilis, garam dan lada sulah. Renihkan hingga masak dan sedia untuk di hidangkan. 
Assalamualaikum, 


Kangkung ikan masin adalah sayur yang ringkas tetapi membuka selera untuk di gandingkan dengan nasi panas. Memasaknya juga tidak mengambil masa yang lama. Selalunya sayur kailan di goreng dengan ikan masin tetapi jika gantikan dengan kangkung juga sedap rasanya. Saya gunakan ikan masin jeruk di dalam botol untuk resepi ini inspirasi dari di SINI.

Jom kita lihat resepinya.. :)
KANGKUNG IKAN MASIN
Bahan-bahan

Satu ikat kangkung 
1 keping ikan tenggiri masin(yang dijeruk dalam botol)-potong kiub kecil-kecil.
1 sudu teh minyak dari botol ikan masin tadi
1 biji bawang besar - dimayang bulat
1 inci halia - diketuk
bawang putih-diketuk
1 sudu besar sos tiram
1 susu besar sos ikan
sedikit air asam limau nipis & serbuk lada sulah
minyak untuk menggoreng
Cara memasak:

1. Panaskan minyak dan tumis ikan masin tenggiri tadi hingga naik bau, kemudian tumis bawang putih,bawang besar dan halia .Masukkan juga sos tiram.

2. Masukkan sayur dan tambah minyak dari botol ikan masin tadi. masukkan sos ikan kacau rata.
3. Masukkan sedikit air (dalam 2 sudu besar). Biarkan seketika dan setelah masak hidangkan di dalam pinggan. Taburkan sedikit lada sulah dan perahan asam limau tadi.




   
Assalamualaikum,

Saya adalah penggemar sayur tetapi semua ahli rumah ini mengelak untuk makan sayur kecuali sayur kacang buncis dan lobak merah. Hanya dua sayur ini yang anak-anak suka. Bila saya masak sayur lain sedikit, memang mereka mengelak dari menjamahnya. Entah kenapa anak-anak kecil tak suka sayur ya. Nak kata pahit, tak juga tapi kebanyakan dari teman-teman saya memang mengeluh yang anak mereka tak suka mengambil sayuran dalam hidangan. Cuma satu hal yang saya mulai perasan. Bila anak-anak menginjak remaja dan di sekolah menengah, mereka mula faham dan dah mula makan sayur yang saya hidangkan. Ini berlaku kepada anak-anak saya...tak tahu pula bagaimana perkembangan anak-anak lain di luar sana.

Baiklah, kebetulan saya mengambil cuti dan di rumah sepanjang hari ini, dapatlah saya memasak sayur kegemaran saya iaitu baby bok choy. Selalu jika kita makan di restoran Thai ada menu baby bok choi yang di kukus dengan bawang putih. Hanya itu saja tanpa lauk tambahan seperti udang, tapi rasanya tetap enak. Resepi yang saya masak ini telah saya ubahsuai dengan menambah sedikit udang kering sebagai pembangkit rasa. Kepada yang suka makanan sihat dan ingin mencuba, jomlah kita lihat resepinya...ringkas sahaja.
SAYUR BABY BOK CHOY DENGAN SOS BAWANG PUTIH.
Bahan-bahan
6 tangkai sayur baby bok choy
2 ulas bawang putih - di cincang 
3cm halia muda - di hiris nipis
2 sudu besar udang kering - di rendam terlebih dahulu
Bahan B
2 sudu besar kicap cair 
2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu teh gula
1 sudu teh tepung jagung 
1/2 cawan air
1 sudu minyak masak

Cara membuatnya:

1. Potong dua sayur baby bok choy dan bersihkan di celah-celah batangnya. Masukkan ke dalam pengukus dan kukus selama 5 minit.
2. Sementara sayur masak, sediakan sosnya. Masukkan minyak kedalam kuali, tumis bawang putih, halia dan udang kering hingga garing dan wangi.
3. Masukkan kesemua bahan B dan kacau hingga pekat. Setelah masak matikan api.

4. Susun sayur baby bok choy yang di kukus tadi ke dalam pinggan hidangan dan tuang sos (Bahan B) yang di masak tadi.

5. Sebagai hiasan, bolehlah di taburkan bawang goreng dan hidangkan segera bersama lauk lain dan nasi panas.