Memaparkan catatan dengan label NASI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NASI. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan 
Buang emak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan

Gitu, pembuka bicara petang ini. Hihihi...pantun diatas tu memang indah sekali dengan pembayang dan maksud mempunyai hubungan dan rima akhir juga tersusun rapi. Pembayangnya juga ada unsur alam dan dilontarkan dengan bahasa kiasan yang halus dan penuh dengan sindiran.  Cuma hakak nak pesan pada adik-adik yang sedang dilamun cinta, janganlah sampai buang keluarga semata-mata mengejar nafsu cinta yang tak kemana. Takut menyesal dikemudian hari dik oiii. Tetiba je kan saya jadi hakak bawang petang hari ni. Hihihi...

Sebenarnya saya nak cerita cuma resipi nasi lemak sambal bilis je, tapi melalut-lalut pula sampai ke pantun bagai. Tak apalah disamping berkongsi resipi kita selitkan juga nasihat dan sama-sama berpesan-pesan. Eh jomlah kita tengok perkongsian resipi dibawah ni...
NASI LEMAK SAMBAL IKAN BILIS
Bahan-bahan
Nasi lemak:
3 cawan beras - dibasuh & tuskan 
4½ cawan air yang bercampur dengan santan (3 cawan air & 1 ½ cawan santan)
2 cm halia - dihiris nipis
1 batang serai - diketuk
2 ulas bawang merah - dihiris
1 sudu teh lada hitam 
2 helai daun pandan -disimpul
1 sudu teh garam 

Sambal tumis ikan bilis:
100gm ikan bilis - dibersihkan & digoreng
½ cawan air asam jawa
½ cawan minyak masak 
Garam & gula secukup rasa (suaikan dengan ikan bilis yang masin)

Bahan Kisar
Sedikit ikan bilis - dibersihkan 
15 tangkai cili kering -direbus
2 labu bawang besar
½ inci belacan 

Cara membuat:

1. Nasi lemak : Masukkan beras ke dalam periuk nasi elektrik, diikuti dengan santan bercampur air dan garam.

2. Kemudian masukkan daun pandan, halia, serai bawang merah dan lada hitam. Kacau sekali lalu dan tutup periuk. Masak seperti nasi biasa.

3. Sambal tumis ikan bilis : Rebus cili kering sehingga benar-benar kembang dan tuskan. Kisar bersama bahan dikisar.

4. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga pecah minyak.

5. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Renihkan lagi.

6. Bila sambal telah pekat, bolehlah masukkan ikan bilis yang telah digoreng atau hidangkan berasingan dengan nasi lemak.

7. Setelah nasi masak, bolehlah dihidangkan dengan telur rebus, sambal ikan bilis dan kacang goreng.

Assalamualaikum, 

Apa khabar netizen yang masih sudi masuk ke blog fiza's Cooking? Masih belum terlambat rasanya untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2018, dan semoga tahun ini perjalanan hidup, rezeki dan kesihatan kita semua lebih baik dari tahun-tahun lalu, InshaAllah. 

Ok ini adalah entry pertama saya untuk tahun ini iaitu Nasi Ayam Hainan. Kalau kita lihat bahan-bahan yang digunakan nampak macam banyak kan. Tetapi sebenarnya bahan-bahan tu memang dah tersedia dalam dapur kita dan digunakan untuk masakan sehari-hari.

Baiklah jom tengok resipi nasi ayam hainan sedap yang saya sediakan dibawah ini. 
NASI AYAM HAINAN 
Bahan ayam hainan
1 ekor ayam - dipotong empat 
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1 inci halia - dipotong nipis
2 kiub ayam
2 liter air
Garam secukup rasa

Bahan nasi 
4 cawan beras  - dicuci dan tuskan 
2 sudu besar minyak 
2 biji bawang putih - dikisar 
2 inci halia - dikisar 
½  sudu besar minyak bijan 
2 helai daun pandan - disimpul 
5 cawan air rebusan ayam 

Bahan sambal (dikisar halus)
3 biji cili merah 
2 ulas bawang putih
1 labu bawang besar 
½  inci halia
1 sudu besar jus limau nipis
1 sudu besar gula pasir
2 sudu besar sos cili 

Bahan sup 
½  bahagian air rebusan ayam
½  sudu teh lada sulah 
1 pokok daun sup - dihiris halus

Cara membuat :

1. Ayam Hainan : Rebus ayam dengan bahan-bahannya dengan api sederhana dalam 30minit. Angkat ayam dan ketepikan.

2. Bahagi dua air rebusan ayam untuk digunakan melengkapkan sup dan nasi ayam nanti.

3. Nasi : Panaskan minyak, tumis bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan air rebusan ayam dan seterusnya beras, simpulan daun pandan dan minyak bijan. Masak seperti biasa.

4. Sambal : Tuang semua bahna yang telah dikisar dalam periuk, masak hingga agak pekat.

5. Sup : Didalam periuk lain, panaskan baki air rebusan ayam hingga mendidih dan masukkan lada sulah serta daun sup. Matikan api dapur.

6. Setelah siap, hidang bersama daun salad, hirisan timun dan hirisan tomato sebagai pelengkap menu nasi ayam hainan ini. 

Ok itulah resipi Nasi Ayam Hainan sedap, entry pertama saya pada tahun 2018 ni. Selamat mencuba ye ;) 

Assalamualaikum,

Masih bercerita tentang Majlis pelancaran Baba's Versus 1001 Rasa pada 12hb Oktober yang lalu. Setiap tetamu yang hadir diberi buah tangan istimewa berupa Apron dan rempah ratus keluaran syarikat Baba products (M) Sdn Bhd iaitu seperti rempah briyani, serbuk kurma mix, serbuk kari daging  dan serbuk kari ikan.

Saya memang pengguna setia rempah ratus keluaran baba's sebelum ini dan rempah ratus yang diberi itu melengkapkan satu masakan hidangan tengahari untuk keluarga sebaik sahaja saya tiba dirumah. Untuk resipi Kari ikan boleh klik diSINI dan resipi pajeri nenas utara klik diSINI
NASI BRIYANI 
Bahan A
3/4 cawan minyak sapi
6 sudu besar biji gajus | 3 sudu besar kismis 
1 labu bawang besar - dihiris | 1 biji tomato di potong dadu | 5 sudu besar kisaran bawang putih & halia(pes)

Bahan B
½ ekor ayam dipotong sederhana 
3 sudu besar rempah briyani baba's 
6 cawan beras basmathi (1 KG) - dibasuh dan toskan 
6 cawan air (1450ml)
Garam secukup rasa
2 - 3 helai saffron
4 sudu besar hirisan daun pudina
4 sudu besar hirisan daun ketumbar 

Cara memasak :

1. Panaskan minyak sapi didalam periuk dan tumiskan semua bahan A sehingga naik aroma (dalam 2 minit)

2. Masukkan daging ayam dan masak dengan api sederhana (dalam 5 minit)

3. Gaulkan rempah briyani babas dengan beras basmathi dan kacau dengan perlahan iaitu kira-kira 2 minit.

4. Masak nasi tersebut didalam periuk nasi dan tambahkan garam dan air.

5. Tambahkan saffron sebelum nasi masak sepenuhnya, hiasi dengan daun pudina dan ketumbar dan hidangkan.


AYAM MASAK KURMA
Bahan A (untuk menumis)
2 sudu besar minyak sapi
½ inci kulit kayu manis | 1 bunga lawang | 2 bunga cengkih |2 buah pelaga

Bahan B
1 labu bawang besar - di mayang 
1 tangkai daun kari 
1 biji tomato - di potong empat 
Bahan Kisar : 4 ulas bawang putih + 4cm halia = jadikan pes

Bahan C
 ½ ekor ayam - dipotong 
1 paket serbuk kurma Baba's - 25gm
Garam secukup rasa
2 cawan air 
2 biji kentang - dipotong empat 
½ cawan santan pekat 

Cara Memasak :

1. Tumiskan bahan A dalam minyak sapi hingga wangi dan masukkan semua bahan B. Kacau dalam 5 minit.

2. Masukkan pula ayam,serbuk kurma Baba's, garam dan sedikit air. Kacau lagi hingga sebati (kira-kira 5 minit)

3. Tambahkan kentang dan air selebihnya, tutup periuk dan biarkan masak selama lebih kurang 15minit.

4. Setelah kuah mendidih dan ayam serta kentang empuk, masukkan santan kedalam periuk  dan renihkan selama lebih kurang 2 minit. Perasakan dengan garam dan bolehlah dihidangkan. 


AYAM BAKAR BEREMPAH
Resipi asal : Chef Hanieliza
Bahan
1/2 ekor ayam 
2 sudu besar rempah kari (Saya guna rempah kari daging Baba's)
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar serbuk lada hitam
garam secukup rasa

Bahan dikisar halus
1 labu bawang besar 
3 ulas bawang putih 
2 inci halia 

Cara Membuat :
1. Bersihkan ayam dan basuh. Tuskan sehingga kering.
2. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul rata.
3. Perapkan selama 2 jam atau lebih.
4. Gunakan pemanggang jaib atau kuali non-stik bakar ayam selama 20 minit sambil balikkan sekali sekala.
5. Hidangkan dengan sos lada hitam atau sos cili.

Tips :

Boleh bakar dalam oven pada suhu 180'C selama 20 hingga 30 minit. Susunkan ayam atas jaring untuk dapatkan garing kedua-dua belah bahagian (tidak perlu pusingkan ayam).
Assalamualaikum, 

Tengahari begini kalau dapat rasa nasi kerabu memang sedaplah kan. Ada berbagai versi resipi nasi kerabu  yang dikongsikan oleh teman-teman blogger yang lain dan ini adalah versi yang simple dan tak cukup set. Nasi kerabu yang saya buatkan ini pun agak kurang menyerlah warna birunya kerana bunga telang yang adapun hanya 10 kuntum yang diberi oleh sahabat saya yang turut memberi benih bunga telang untuk disemai. Alhamdulillah, sekarang pokok yang disemai mula menjalar dan mengeluarkan kuntum. Nanti mudahlah nak buat nasi kerabu lagi.

Walaupun tidak ada daging bakar, sambal tumis kelapa dan keropok ikan dalam set nasi ini ianya tetap sedap dan menyelerakan. Jom jamu mata lihat gambar dan resipi. InshaAllah next time saya shoot lagi resipi nasi kerabu ini dengan resipi yang lebih lengkap.

NASI KERABU

NASI
2 cawan beras
Air secukupnya untuk masak nasi (dalam 2 ½ cawan)
20 kuntum bunga telang - diramas dan perah airnya
2 helai daun pandan
1 batang serai - pilihan 
2 helai daun limau purut - pilihan

Cara membuatnya :
1. Cuci beras.
2. Rendam beras dengan air bunga telang selama 10 minit dalam periuk elektrik.
3. Masukkan daun pandan dan serai, lalu masak nasi seperti biasa.

IKAN GORENG TEPUNG
7 ekor ikan kembung
1 cawan tepung beras
1 biji telur
1/3 cawan air
1 ½ sudu teh garam
Minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya :
Campurkan tepung, telur dan garam ke dalam air dan digaul rata. (gunakan spatula atau pengisar supaya tepung tidak berketul)
Celupkan ikan dan goreng di dalam minyak panas sehingga masak. Angkat dan toskan.

SAMBAL KELAPA
½ biji kelapa parut
1 ekor ikan kembung
1 batang serai
4 ulas bawang merah & 2 ulas bawang putih
½ inci halia
15 biji lada hitam
Gula melaka
1 sudu teh garam

Cara membuatnya :
1. Rebus ikan dengan air yang sedikit. Setelah masak, keluarkan isinya dan tumbuk lumat. Kisar serai, bawang merah, bawang putih dan serai. Lada hitam pula ditumbuk sehingga hancur.

2. Goreng kelapa tanpa minyak menggunakan api kecil sehingga bewarna coklat. (jangan berhenti mengacau kerana kelapa akan mudah hangus.  Kemudian, campurkan isi ikan, bahan kisar, lada hitam, gula merah dan garam. Gaul sehingga semuanya rata. Kacau seketika lagi sehingga masak sepenuhnya.

SAMBAL LADA
10 tangkai cilipadi
1 sudu besar cuka
2 biji cili merah
5 biji limau kasturi - ambil jusnya
gula dan garam secukup rasa

Cara membuatnya :
1. Kisar semua bahan dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Assalamualaikum,

Nasi dagang ni menu kegemaran saya sekeluarga tambahan lagi si bongsu. Tapi dia kurang pandai pula nak makan nasi dagang ni dengan gulai ikan tongkol sedangkan itulah gandingan yang paling mantap sekali. Selalunya kalau saya buat nasi dagang, saya masukkan telur rebus juga kedalam kuah gulai dan itulah yang paling dia suka. Boleh bertambah-tambah nasi dibuatnya.

Untuk pagi ini saya kongsikan resipi nasi dagang yang sedap dan mudah je nak masak tetapi sebelum itu bagi yang ingin mencuba kenalah cari beras nasi dagang dan ikan tongkol terlebih dahulu. Jom follow resipi dibawah ni. 
NASI DAGANG
Bahan-bahan :
4 cawan beras nasi dagang - rendam semalaman
1 cawan beras pulut - rendam semalaman
2 sudu kecil halba
Santan cair secukupnya
Santan pekat secukupnya
Garam secukupnya

Bahan dimayang halus
8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 ½ inci halia

Cara membuatnya :

1. Toskan beras nasi dagang dan beras pulut yang telah direndam semalaman.
2. Kukus bersama santan cair hingga separuh masak. Gaul sebati.
3. Angkat dan masukkan kedalam bekas dan gaul bersama santan pekat, garam, bawang merah, bawang putih dan halia. 
4. Gaul sebati, kemudian masukkan halba dan kukus sekali lagi hingga masak.

GULAI IKAN TONGKOL
1 ½  kg ikan tongkol - direbus dengan asam gelugur dan garam
1 kg santan
3 sudu besar serbuk kari ikan
1 keping nisan kerek@gula kabung (orang Kedah panggil gula Gerek) - optional
1 keping asam gelugur
2 sudu besar kerisik
7 tangkai cili padi
½ sudu besar serbuk jintan manis 
½ sudu besar serbuk ketumbar 
Garam secukup rasa

Bahan Kisar 
10 tangkai cili kering - rendam dengan air panas dan toskan
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci lengkuas,1 inci halia dan 1 inci kunyit

Cara membuatnya :
1.Tumis bahan kisar hingga wangi dan masukkan serbuk jintan manis, serbuk ketumbar dan serbuk kari. Masak hingga pecah minyak.
2. Seterusnya masukkan santan, nisan kerek, kerisik dan garam secukup rasa. Renih hingga mendidih. Masukkan pula ikan tongkol yg direbus tadi dan apabila telah masak dan sebelum diangkat masukkan cili api.
Assalamualaikum, 

Wah...dah sebulan lebih nampaknya saya tidak update sebarang berita di blog ni. Last update pada penghujung bulan Ogos dulu dan hari ini penutup bulan September baru tergerak nak masuk semula ke blog dan update. Masih ada resipi-resipi lama yang tersimpan di draft tapi nak mula menulis tu, ya Allah...malas yang amat rasanya.

Bagi follower yang masih ingat dan ada yang pm saya di media sosial bertanya khabar, terima kasih saya ucapkan. Saya tak kemana-mana dalam tempoh sebulan ni. Alhamdulillah sihat, cuma sibuk dengan tugas di pejabat dan mengejar target dalam tugas harian dan sibuk juga uruskan keluarga tercinta. iyelah kadang-kadang berhenti sejenak bergelumang dengan media sosial ini dapat merehatkan minda dan inshaAllah lebih fresh bila mula berkarya semula. Oh ya walaupun saya menyepikan diri dari berblogging, masih ada yang sudi menawarkan untuk bekerjasama iaitu menyumbang resepi dan menulis untuk majalah serta undangan untuk menjayakan majlis. Terimakasih kepada pihak yang terlibat dan Alhamdulillah, semuanya tetap berjalan sederhana seperti biasa walaupun dibelakang tabir. Job kecil-kecilan sahaja, sesuailah dengan saya yang sentiasa sibuk dengan kerja.

Baiklah, terus sahaja kepada perkongsian resipi nasi ayam panggang yang dah lama benar tersimpan dalam draft di blog ni. Cuma yang spoil sikit, ayam yang saya gunakan ni, peniaga dipasar dah tersalah potong. Saya pesan ayam seekor dipotong dua dan berlalu pergi ke gerai sayur. Bila saya datang semula dia dah siap potong dan saya cuma sedar ayam ini dipotong kecil ketika membuka bungkusan tersebut dirumah. Oleh kerana dah siap semua barang, saya masakkan juga nasi ayam panggang ni. Tetapi bagi yang ingin mencuba, anda disyorkan guna ayam yang di potong dua atau empat kerana teksturnya lebih juicy selepas dipanggang.

Ok lah, jom kita tengok resipi nasi ayam panggang yang saya sediakan dibawah ni. 

NASI AYAM PANGGANG 
Bahan untuk nasi ayam:
3 cawan beras - dicuci dan ditoskan
2 sudu besar minyak masak
4 ulas bawang putih - dihiris
4 ulas bawang merah - dihiris
4 ½ cawan air rebusan ayam (daripada ayam yang direbus)
1 ketul kiub ayam
2 helai daun pandan - dikoyak dan simpulkan
2 inci halia - diketuk

Untuk sos cili:
4 biji cili merah
2 biji cili padi (ikut citarasa)
3 ulas bawang putih
2 cm halia muda - dihiris
100 ml air rebusan ayam (daripada ayam yang direbus)
1 sudu teh gula
garam secukup rasa
3 sudu besar jus limau kasturi

Untuk sos kicap:
(digaul dalam mangkuk):
Kicap lemak manis secukupnya
4 sudu besar air rebusan ayam (daripada ayam yang direbus)
3 sudu kecil minyak bawang putih (bawang putih cincang yang digoreng dengan minyak masak)

Bahan untuk rebusan ayam :
1 ekor ayam - saiz sederhana
1 ketul kiub ayam 
1 inci halia - diketuk
4 ulas bawang putih - diketuk

Bahan untuk perapan ayam:
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
3 sudu besar  madu
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu teh minyak bijan (pilihan / kalau tak letak pun tak apa)

Sedikit lada sulah

Cara Memasak

Untuk ayam:

1. Cuci ayam dengan bersih di bawah air yang mengalir, kemudian masukkan kedalam periuk. Rebus ayam bersama halia, bawang putih dan masukkan juga kiub ayam.
2. Setelah air rebusan mendidih dan isi ayam agak lembut, matikan api dapur dan toskan ayam. Perap ayam dalam dalam 15minit, masukkan kedalam oven dan panggang sehingga kulit ayam agak garing.

3. Sementara ayam masak, asingkan air rebusan tadi untuk penyediaan nasi, sos kicap dan sos cili.

5. Biarkan ayam seketika sebelum memotong mengikut saiz hidangan yang diingini (untuk mengelak dari isi ayam menjadi keras setelah sejuk, jangan potong ayam tersebut ketika masih panas). 

Untuk nasi:
1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan gorengkan bawang merah dan bawang putih yang dicincang sehingga naik bau dan berwarna perang keemasan.
2. Masukkan beras ke dalam kuali dan kacau sehingga rata. Kemudian, alihkan beras tadi ke dalam periuk nasi.
3. Masukkan air rebusan ayam, pati Ayam , daun pandan dan halia yang diketuk ke dalam periuk nasi yang berisi beras.
Untuk sos cili:
1. Kisar cili merah, cili padi, bawang putih dan halia yang dihiris bersama dengan air rebusan ayam di dalam pengisar sehingga ia mencapai kepekatan yang diingini.
2. Untuk sos yang tahan lama, bolehlah dimasak terlebih dahulu dan ia boleh disimpan di dalam bekas kaca kedap udara sehingga 1 minggu di dalam peti sejuk.


Assalamualaikum, 

Nasi lemak memang memang enak dinikmati tak kiralah sebagai sarapan pagi, minum petang ataupun makan malam. Rasanya dah banyak entry resipi nasi lemak dalam blog ini tapi saya tepek jugalah hari ini resipi nasi lemak sambal udang special. Lagipun dah lama tak update sebarang cerita. Bukan tak ada resipi yang hendak dikongsikan, tapi nak start menulis tu kadang-kadang mood menjunam kelaut dalam. Gitu kaedahnya...cakap jelah malas kan senang :D 

Apapun jom kita tengok resipi nasi lemak sambal udang special yang saya sediakan dibawah ni. Sayang kamu-kamu semua yang masih sudi masuk ke blog ini tau. Mmuah ciket!

NASI LEMAK SAMBAL UDANG 
Bahan-bahan
1 kg beras - Basuh dan toskan
1 liter santan - 5 cawan santan
3 helai daun pandan koyakkan dan simpul
1 inci halia - dihiris nipis
3 ulas bawang merah - dihiris
garam secukupnya
sedikit gula jika suka

Cara membuatnya :

1. Masukan semua bahan kedalam rice cooker, masak sehingga beras sebati dengan santan.

2. Bila nasi kering, kacau rata dan tutup semula tudung periuk. Biarkan ia sentiasa panas dalam rice cooker tersebut.

3. Setelah nasi masak, hidangkan bersama sambal udang, telur rebus, ikan bilis goreng, ulam timun dan kacang goreng.

SAMBAL UDANG
500gm udang 
10 tangkai cili kering - di potong dan rendam dalam air mendidih
1 labu bawang holland - di hiris 
1 inci belacan 
2 ulas bawang putih
3 sudu besar ikan bilis 
1 labu bawang besar - dimayang bulat
garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan minyak masak untuk menumis

Cara membuatnya :

1. Goreng bawang holland, belacan ikan bilis dan bawang putih (berasingan satu persatu) hingga layu. toskan.

2. Toskan pula cili kering yang direndam dalam air mendidih dan campurkan dengan bahan yang digoreng tadi. Kisar hingga halus.

3. Tumis bahan kisar dan kacau hingga cili benar-benar masak dan pecah minyak.

4. Seterusnya masukkan udang kedalam bahan tumisan dan perasakan dengan garam dan gula.

5. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar, kacau hingga bawang layu bolehlah matikan api dapur.

Assalamualaikum, 

Hari ini saya update entry tertunggak yang tak sempat nak masuk ke blog sebelum ini. Sebelum tu nak bagitahu, gambar nasi goreng sempoi ni agak kurang lawa sedikitlah sebab saya tak sempat nak keluarkan kamera dah lepas masak. Hanya ambil gambar pakai handphone je dalam remang-remang senja gitu. Mana nak kejar waktu magrib lagi...nasib baiklah tak ada penampakkan, hanya segelas ribena bertenggek nun dihujung meja :D.

Ceritanya saya memang sibuk seharian di pejabat hari tu. Sampai rumah pun dah senja, jadi saya masak yang simple sahajalah. Anak-anak pula selera lebih kepada burger dan ayam goreng yang saya beli dalam perjalanan pulang. Akhirnya saya ambil seketul ayam goreng yang dibeli tadi untuk buat nasi goreng. Sekejap sahaja dah siap, maklumlah dah nama pun nasi goreng sempoi...memang mudahlah. 

Jom tengok resipi nasi goreng sempoi dan selamat mencuba :) 

NASI GORENG SEMPOI
Bahan-bahan
1 mangkuk nasi sejuk 
1 ketul ayam goreng (leftover) - ambil isinya 
1 biji telur 
3 ulas bawang merah - dimayang
1 ulas bawang putih - dimayang
1 sudu besar sambal belacan (leftover) - kalau tak ada boleh gantikan dengan cili kisar
1 tangkai kacang panjang - dihiris nipis
sedikit carrot - dipotong dadu kecil 
1 sudu besar sos tiram 
1 1/2 sudu besar kicap sotong 
sedikit lada sulah

Cara membuatnya :

1. Masukkan minyak didalam kuali, tumis bawang putih dan bawang merah hingga wangi dan masukkan telur. Kacau telur hingga hancur.
 2. Masukkan pula isi ayam goreng yang telah dicarik-carikkan. Kacau hingga sebati.

3. Seterusnya masukkan kacang panjang dan carrot, kacau sebentar dan tambahkan sambal belacan@cili kisar.


4. Akhir sekali masukkan nasi dan kuatkan api dapur. Tambahkan sos tiram dan kicap sotong dan kacau dengan cepat agar semuanya sebati. Perasakan sedikit dengan lada sulah , kacau sebentar dan matikan api dapur. Bolehlah dihidangkan.

Assalamualaikum, 

Salam pagi jumaat penuh barokah untuk semua pembaca blog yang sudi masuk kesini. Hari ini saya ingin berkongsi resipi nasi minyak yang dah lama juga saya masak ni dan berbelah bahagi nak update dalam blog ke tidak sebab yang pertama gambar yang diambil tu bagi saya tak cukup piawaian untuk tepek di blog ni sebab kurang lawa dan yang kedua pula nasi minyak ni tak cukup bahan hiasan pun, ibarat muka tanpa make-up. Yang cantiknya kalau dihias dengan biji gajus ke, kacang pis ke ataupun sekurang-kurangnya cucuk daun pudina ataupun daun ketumbar ke kat atas nasi tu kan. Ini bawang goreng pun tak ada.

Sebenarnya nasi minyak ni pun saya masak tanpa dirancang dan snap gambar gitu-gitu sahaja untuk whatsapp kat group sekolah sebab ada kawan-kawan yang minta resipi, jadinya gambar nasi yang dah siap dimasak dan tabur dengan kismis terlupa pulak saya nak snap. Kira oklah ye...yang penting nasi minyak ni sedap. Saya buat hari tu gandingkan dengan KARI AYAM NYONYA dan SAMBAL UDANG AROMA WANGI yang saya update resipinya dalam blog sebelum ini.

Resipi asal nasi minyak ni saya tengok dalam blog Kak Wan resipicitarasawan tapi saya ubah sedikit jumlah bahan-bahannya ikut apa yang ada didapur masa tu. Jom lihat resipinya.

NASI MINYAK
Bahan-bahannya
4 cawan beras 
2 sudu besar mentega + 2 sudu besar minyak masak
2 helai daun pandan - disimpul
5 cawan air
1/2 cawan susu cair
1 ketul kiub ayam 
Garam secukup rasa

Bahan tumisan
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 biji  buah pelaga

Bahan dikisar
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 inci halia 

Cara-Cara:-

1. Panaskan mentega dan minyak masak, masukkan bahan penumis dan bahan kisar. Kacau hingga terbit bau.

2. Masukkan beras, kacau dalam 2 hingga 3 minit hingga bercampur dengan bahan tumisan.

3. Tuang air kedalam periuk, masukkan daun pandan, garam, kiub ayam dan susu cair. Kacau sesekali hingga air menggelegak.

4. Bila air kering, perlahankan api dapur kepada nyalaan yang paling kecil dan tutup periuk. Biarkan nasi masak barulah digembur (Masak seperti nasi biasa)
5. Hiaskan dengan bawang goreng ataupun kismis.

Assalamualaikum, 


Rendang pedas dan nasi lemak merupakan gandingan mantap untuk sarapan pagi dan menjadi kegemaran kebanyakan daripada rakyat Malaysia. Tetapi sudah menjadi trending sekarang, nasi lemak bukan sahaja dinikmati diwaktu pagi tetapi juga banyak dijual diwaktu malam. Bagi yang diet tu boleh sahaja sesekali menikmati sajian yang lazat ini, inshaAllah esok boleh start diet semula kan :D   

Resipi rendang ayam pedas ini saya ambil dari blog kak Liza dan gandingkan dengan nasi lemak simple sahaja. Jom kita lihat resipinya.
RENDANG PEDAS AYAM
Bahan-Bahan: 
1 ekor ayam 
2 cawan santan pekat - 1 biji kelapa
1/2 cawan kerisik
2 helai daun kunyit - dimayang halus atau koyakkan
garam secukup rasa

Bahan Kisar
3 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
5 batang serai
3 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
15 cili kering - rendam dengan air panas dan toskan
25 biji cili api

Cara memasak 

1. Ayam dibuangkan kulit dan potong kecil. Basuh dan toskan.

2. Masukkan semua bahan-bahan ke dalam kuali besar dan kacau hingga sebati.

3. Masak dengan api sederhana sehingga ayam lembut dan kuahnya pekat dan naik minyak.
4. Rasakan garam dan bila telah pekat boleh hidangkan.

NASI LEMAK
Bahan-bahan
2 cawan Beras - basuh dan toskan
3 cawan santan 
Halia - hiris nipis
3 ulas bawang merah - dimayang 
2 helai daun pandan yang disimpulkan
Sedikit garam

Cara memasak:

Masukkan semua bahan kedalam periuk elektrik dan tanak seperti nasi biasa.