Memaparkan catatan dengan label SARAPAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SARAPAN. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Hari ini saya ingin berkongsi rahsia kelazatan mee goreng mamak yang sedap. Resipi asal saya cuba dari perkongsian mamak haji dan rahsia kesedapan mee goreng mamak ini terletak kepada kombinasi pes pedas dan pes manis. Pastikan anda sediakan kedua-dua jenis pes ini terlebih dahulu sebelum mula menggoreng mee.
MEE GORENG MAMAK (Goreng untuk sepinggan)
1 cekak mee kuning
Sedikit taugeh.
1 batang sayur sawi - ketuk batang sawi dan dipotong sepanjang 1 inci
1 biji telur
¼ bahagian bawang sederhana besar - dihiris memanjang.
2 ulas bawang putih - diketuk dan dihiris.
1 sudu kecil kicap cair - untuk tambah kemasinan mee

Hiasan :
Hirisan cili merah / limau nipis / bawang goreng 

Cara menggoreng 

1. Bila kuali panas masukkan 2 sudu besar minyak masak, hirisan bawang putih dan dikuti dengan hirisan bawang besar. Kacau hingga harum.
2. Masukkan pula pes/rencah yang anda telah sediakan (di sini anda kena adjust campuran pes secukup rasa - Tidak terlalu masin, tidak terlalu pedas sangat dan tidak terlalu manis).

3. Masukkan cucur udang, tauhu goreng, ubi kentang rebus dan sayur sawi. Bila sawi layu masukkan mee dengan segera. Titiskan kicap cair. 
4. Goncang kuali dengan api sedikit keras. Kalau anda mahu basah tambahkan sedikit air atau pes/perencah. Kalau kering biarkan dia. Pada masa ini anda perlu tentukan api dapur jika nak mee basah kecilkan api dapur, kalau suka mee agak kering kuatkan api dapur. 

5. Bila mee sudah mulai masak. Kecilkan api dan tepikan mee anda dan kosong ruang tengah kuali. Titiskan sedikit minyak dan pecah masukkan sebiji telur. Tutup telur dengan mee dan biarkan dalam 30 saat. 
6. Kuatkan kembali api dapur dan kacau mee dan telur dengan cepat. Gorengan cuma 30 saat saja. Keseluruhan gorengan ini cuma 3-4 minit.
7. Hidangkanlah mee goreng mamak dengan daun bawang+sup/ cili dan akhir sekali taburkan sedikit kacang tanah goreng.

RESIPI PES
PES PEDAS
½ kg kacang tanah.
150 gm cili kering - goreng jangan sampai hangus - agak garing.
100 gm udang kering geragau direndam 5-10 minit, bersihkan dan ditos.
1 genggam kacang dhal (paruppu).
4 ulas bawang putih.
100 gm sotong kering direndam dan dikisar halus. (tidak goreng).

Cara Penyediaan
1. Goreng bahan-bahan di atas dengan aturan bawang putih, kacang tanah, paruppu, cili kering, akhir sekali udang kering geragau/udang kepal. dengan minyak masak. Sejukkan dan kisar halus bersama sotong kering dan air kesemua bahan-bahan tadi.
2. Tumiskan kisaran di atas dengan sedikit minyak sehingga pecah minyak (minyak akan timbul di atas permukaan) dengan masukkan sekali bahan-bahan ini:
- 3 sudu besar gula.
- 2 Sudu besar sos cili.
- 2 Sudu besar sos tomato.
- sedikit air asam jawa, dan garam.

Rasa kepedasan pes anda, sekiranya pes anda rasa pedas sangat boleh tambahkan gula lagi. Cuba dapatkan rasa pes yang anda sukai. Garam perlu teliti kerana bila kita gunakan kita tak mahu mee goreng masin. Kadang-kala mee memang bubuh garam. Garam sebenarnya untuk ketahanan pes itu dari rosak sama seperti air asam jawa. Pes atas boleh digunakan untuk 1 kg mee kuning. Pes ini perlu testing untuk sepingan mee untuk dapatkan nisbah yg tepat.


PES MANIS
½ kg ubi keledek oren - dibuang kulit dan rebus dan lenyek.
3 ulas bawang putih - goreng hingga layu
5 ulas bawang merah - goreng hingga layu
½ cawan air - larutkan dengan 2 sudu besar asam jawa
4 cawan air
sedikit bijan sebagai di sangai - saya tambah
5 sudu besar gula
garam secukup rasa

Cara Penyediaan
1. Kisar bawang putih dan bawang bersama dengan dengan ubi lenyek tadi dan tuang kedalam periuk.
2. Masukkan 4 cawan air dan masak hingga mendidih. Kecilkan api dapur, masukkan air asam jawa kedalam kuah yang sedang mendidih.
3. Masukkan gula dan garam secukup rasa. Tabur bijan dan matikan api dapur.

Assalamualaikum, 

Selamat hari pekerja untuk semua pembaca blog dan rakan-rakan yang sudi masuk ke blog fizalgk. Dah lama benar blog ni tidak di update dengan cerita-cerita terkini. Apa nak buat, sebenarnya dari awal bulan April lagi saya telah melakukan ubahsuai rumah termasuklah keseluruhan bahagian dapur, dan buat sementara waktu saya menumpang dirumah ibu. Jadi sebarang aktiviti memasak agak terhad dan kalau ada pun memang tak sempatlah nak ambil gambar seperti selalu. Kerja ubahsuai masih berlangsung hingga kini dan masih ada sedikit lagi kerja-kerja akhir termasuk pemasangan paip dibahagian sinki dapur serta sambungan ke tandas di dalam bilik tidur utama.

Hari ini sempena cuti hari pekerja alhamdulillah sempat lah buka laptop dan ada beberapa resipi yang masih belum sempat di masukkan ke blog. Untuk petang ini saya kongsikan dahulu resipi sandwich sardin cilipadi. 

Jom kita lihat resipi dibawah ini dan selamat mencuba ye ❤❤❤
SANDWICH SARDIN CILIPADI
Bahan-bahan
1 tin sardin saiz sederhana - Jenama Ayam Brand
4 tangkai cili padi - dibuang biji dan hiris halus-halus
½ biji bawang holland- dipotong dadu 
secubit garam
Majerin atau mentega 
2 cawan mayonis + perahan 1 biji limau nipis + 1 sudu besar gula (Kita hanya gunakan kira-kira 4 - 5 sudu besar campuran mayonis ini kedalam sandwich dan baki boleh disimpan kedalam bekas bertutup didalam peti sejuk)

Hiasan
Iceberg Lettuce@daunsalad, tomato dan timun

Cara membuatnya :

1. Buka tin sardin dan sejatkan sosnya. Kita hanya akan guna isi sardin. Masukkan kedalam mangkuk.

2. Masukkan cilipadi, bawang holland cincang dan secubit garam kedalam mangkuk berisi sardin tadi dan kacau rata. 

3. Masukkan juga campuran mayonis dalam 4 - 5 sudu besar dan kacau lagi.

4. Seterusnya sapu majerin atau mentega pada roti, sudukan sardin yang telah disediakan tadi keatas roti dan atur hirisan tomato & iceberg lettuce@ daun salad. Potong dan bolehlah dihidangkan.
Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca blog fizalgk dan rakan-rakan sekelian. Suka tak makan gorengan cucur...tak kiralah cucur sayur, cucur udang ataupun cucur yang manis seperti cekodok pisang. Pasti ramai yang suka..betul tak? Kecualilah yang tengah diet tu...ada yang elak dari makan benda bergoreng. Tapi tak salah nak makan sesekali dan kalau buat cucur dirumah kita boleh control penggunaan minyak dengan menggunakan minyak jagung untuk menggoreng. 

Ada tips sederhana sebenarnya untuk mengelakkan cucur daripada berminyak iaitu jangan goreng cucur dengan api yang kecil kerana cucur akan menyerap minyak dan jika api dapur terlalu kuat, cucur cepat hangit diluar dan tidak masak didalam. Yang bagusnya goreng cucur menggunakan api sederhana panas dan ketika diangkat masukkan kedalam penapis yang di lapik tisu dapur supaya lebihan minyak diserap.

Baiklah...jom kita lihat resipi cucur siput yang saya sediakan dibawah ini. Boleh je tukarkan dengan makanan laut lain untuk resipi ni. 
CUCUR SIPUT RANGUP
200gm isi siput - (saya guna isi siput kabung)
½ kilogram tepung gandum
2 cawan air
1 biji telur
1 paket (11gm) yis mauripan - dilarutkan dalam ½ cawan air suam 
1 sudu kecil garam
sedikit serbuk kunyit
200gm taugeh
1 pokok daun bawang
2 biji cili merah - dihiris nipis
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Larutkan yis kedalam air suam, biarkan seketika hingga agak berbuih.

2. Potong daun bawang, cili merah dan cili padi. Masukkan kedalam mangkuk bersama taugeh yang telah dibersihkan dan isi siput.


3. Masukkan tepung gandum.


4. Masukkan pula serbuk kunyit, garam dan kacau rata. 

5. Pecahkan telur kedalam campuran tersebut dan masukkan larutan yis tadi bersama dua cawan air.

6. Gaul hingga sebati dan masukkan sayur-sayuran. Perapkan sebentar hingga adunan nampak berbuih.

7. Panaskan minyak masak dan gunakan api sederhana untuk menggoreng cucur didalam minyak yang banyak. 

8. Goreng hingga kuning keemasan dan angkat untuk toskan minyak.
Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca setia blog fizalgk dan rakan-rakan sekalian. Wah ini entri pertama bulan Februari 2018. Dah tidak berminat untuk berblogging ke fizalgk ni? Hihihi..ada tau follower yang bertanya begitu kat saya. Eh siapa kata saya tidak berminat? Masih lagi  bersemangat membara walaupun pentas berblogging ini kurang bahangnya seperti Instagram, facebook dan media sosial yang lain, menulis di blog tetap mendatangkan kepuasan tersendiri. Cuma...itulah kadang-kadang kekangan masa agak terbatas. 

Untuk hari ini saya ingin kongsikan resipi ayam goreng Hat-Yai ataupun kalau di terjemahkan kedalam bahasa Thailand di panggil Gai Tod Hat-Yai. Ayam goreng ini di gandingkan dengan pulut dan bawang goreng dan rasanya yang berempah serta rangup benar-benar menggoda selera. Jom kita try resipi yang saya sediakan dibawah ini dan jangan lupa untuk mencuba tau.
AYAM GORENG HAT-YAI @ GAI TOD HAT-YAI
Bahan Tumbuk - A
1 kilogram ayam 
8 ulas bawang putih 
4 tangkai akar beserta batang pokok ketumbar  
1 sudu teh lada hitam 
2 sudu teh serbuk ketumbar 
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk cili Baba's 

Bahan B
2 sudu teh gula 
1 sudu teh garam
1 sudu teh baking soda 
3 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap cair 

Cara membuatnya : 

1. Tumbuk lada hitam, akar ketumbar serta bawang putih hingga hancur dan masukkan rempah-rempah lain seperti serbuk ketumbar, serbuk jintan putih dan serbuk cili baba's. Tumbuk lagi hingga benar-benar halus.

2. Pindahkan bahan yang ditumbuk tadi kedalam mangkuk besar dan masukkan kesemua bahan-bahan B iaitu gula, garam, baking soda, sos tiram dan kicap cair. Kacau hingga sebati dan masukkan ayam kedalam bahan tersebut sambil digaul rata.

3. Tutup mangkuk tersebut dengan plastik cling dan perap iaitu simpan semalaman didalam peti sejuk untuk digoreng keesokkan harinya.

BAHAN UNTUK MENGGORENG 
2 cawan minyak masak 
½ cawan bawang merah yang telah siap dimayang 
½ cawan tepung serbaguna@gandum
½ cawan air (larutkan dengan secubit kapur makan)
beberapa titis pewarna makanan merah - jika suka 

1. Gaul bawang merah yang dimayang dengan sedikit garam dan biarkan selama satu jam diatas tisu dapur. Tujuannya agar tiada sisa-sisa air pada bawang tersebut.

2.   Keluarkan ayam yang diperap dari peti sejuk dan masukkan ½ cawan tepung serbaguna@gandum dan ½ cawan air (yang telah larutkan dengan secubit kapur makan). Gaul hingga semua bercampur dan biarkan selama 30minit.

3. Panaskan minyak (api sederhana) dan goreng bawang merah yang telah dimayang tadi. Setelah kekuningan angkat dan toskan.

4. Besarkan sedikit api dapur dan goreng pula ayam yang telah diperap hingga masak dan kuning keemasan. Angkat ayam goreng tadi dan toskan didalam penapis yang telah dilapik tisu dapur. Hidangkan dengan pulut dan sos cili Thai. 

Assalamualaikum,

Salam petang jumaat yang penuh barokah. Hari ini saya nak review secara ringkas buku resipi Menu Hari-Hari, iaitu buku resipi saya yang kedua. Buku ini mengandungi 100 jenis resipi ringkas dengan gambar menu yang mengujakan. Buku ini dibahagikan kepada menu sarapan, tengahari dan malam.

Untuk petang ini saya ingin kongsikan salah satu resipi yang ada dalam buku ini iaitu resipi capati bagi kategori sarapan pagi.

Untuk pembaca blog yang ingin memiliki buku resipi menu hari-hari bolehlah dapatkan di kedai buku terpilih ataupun pembelian secara online di link ini: Karangkraf / bookjannah.com /malaysia.kinokuniya.com / mphonline.com . Sungguh mudah, semua urusan dihujung jari anda.

CAPATI 
Bahan-bahan 

1 cawan tepung atta ataupun tepung gandum 
½ sudu besar minyak sapi – untuk proses menguli 
¼ cawan tepung gandum – ditabur ketika meleperkan doh 
½ cawan air
secubit garam

Cara membuat :

1. Didalam mangkuk besar, campurkan tepung dan garam. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil gaulkan tepung dengan jari.

2. Seterusnya uli tepung selama 10minit. Pada peringkat ini doh mungkin kelihatan tidak rata dan melekit.

3. Tutup doh dengan kain lembab dan rehatkan selama 15minit.

4. Keluarkan doh, lembabkan tangan dengan minyak sapi dan uli doh selama 5 minit lagi hingga licin.

5. Potong doh kepada 5 bebola kecil dan taburkan tepung gandum ke atasnya sebelum menggelek hingga nipis.

6. Bakar di atas kuali leper sambil ditekan perlahan hingga masak di kedua-dua bahagian. Hidangkan dengan kuah kari atau kuah dal.

Resipi KARI SARDIN ALA MAMAK ada dibawah ini atau untuk tutorial bergambar boleh klik di SINI 

KARI SARDIN ALA MAMAK
Bahan A ( di tumbuk)
1 Labu bawang besar 
1/2 inci halia

Bahan B (Tumis)
3 sudu besar minyak masak
1 sudu besar serbuk cili 
1/2 sudu teh serbuk kunyit 
1 sudu teh halba
1 sudu teh biji sawi 
2 pelepah daun kari 
3 tangkai cili kering - di potong 3

Bahan C 
2 biji kentang - di kupas dan potong berbaji
1/2 sudu besar asam jawa adabi
Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak:

1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak.
2. Seterusnya tumis biji sawi, halba, cili kering dan daun kari. Kacau hingga berbau wangi dan kekuningan.
3. Masukkan pula bahan yang di tumbuk tadi (Bahan B) dan kacau lagi.
4. Seterusnya masukkan serbuk kunyit, serbuk cili dan kacau hingga terbit minyak.
5. Tambahkan 1 1/2 cawan air, kentang dan garam secukup rasa. Apabila kuahnya telah pekat, masukkan pula sardin bersama 4 sudu besar sosnya dan renihkan hingga masak sepenuhnya.

Ada banyak lagi resipi ringkas dan lazat dalam buku ini. Dapatkan sekarang dipasaran!

Assalamualaikum, 

Sarapan yang ringkas pagi ini iaitu Cheesy Garlic Bread digandingkan dengan sup cendawan. Anak-anak memang suka dengan keju, jadi sekejap sahaja laris. Membuatnya pun sangat mudah kerana saya gunakan roti baguette segera yang dibeli di bakery ketika menunggu anak habis kelas tuisyen malam tadi. Nak buat sup cendawan pun tidak sempat diawal pagi, jadi saya hanya gunakan sup cendawan segera. 

Pagi ini jadilah sarapan ringkas buat mengisi perut sebelum anak-anak kesekolah. Bagi yang nak cuba, jom lihat resipi dibawah ni.

CHEESY GARLIC BREAD 
Bahan-bahan
1 roti baguette - di belah dua
5 ulas bawang putih
¼ cawan minyak zaitun ataupun minyak jagung
2 sudu besar daun parsley - dicincang (saya guna daun parsley kering)
1 cawan keju mozzarella

Cara membuatnya :

1) Panaskan oven 180'c dan lapik aluminum foil didalam loyang. Ketepikan seketika.

2) Kisar bawang putih, minyak dan daun parsley hingga lumat. Boleh juga tumbuk bawang putih dengan daun parsley hingga lumat dan campurkan dengan minyak.

3) Sapu bahan kisar dipermukaan roti dan bakar seketika dalam 2 minit, hingga berbau wangi.

4) Keluarkan roti dari oven, tabur keju dipermukaan roti. 

5) Bakar kembali selama 10 ke 15 minit sehingga permukaan agak garing.


6) Hidangkan segera dan cheesy garlic bread ini sedap dimakan dengan sup cendawan.

Assalamualaikum, 

Apa khabar semua pembaca yang sudi jenguk ke blog pagi ni dan bagaimana cuaca di tempat anda? Di Langkawi hujan renyai-renyai dari awal pagi lagi dan dalam suasana mendung begini memang buatkan perut berdendang minta di isi. Sebelum ke pejabat pagi ni saya ada buatkan sarapan yang amat ringkas sekali iaitu creamy corn soup. Ala ala mat salleh pulak pagi ni kan...selalunya nasi lemak atau roti canai je yang mengisi perut. 

Kalau nak ikutkan sekarang ni memang musim jagung di Langkawi. Ramai yang menjual jagung dipinggir jalan atau dipasar-pasar malam. Tetapi pagi ni lebih praktikal lagi, saya hanya gunakan jagung tin iaitu kombinasi jenis cream dan whole kernel untuk membuat creamy corn soup sebagai sarapan pagi yang ringkas dan sedap.

Jom kita lihat resipi...mungkin ada yang teringin untuk mencuba.
CREAMY CORN SOUP
Bahan-bahan 
1 tin jagung - jenis Cream 
1 tin jagung - jenis whole kernel
2 sudu besar bawang holland cincang 
1/4 cawan air 
1 tangkai daun sup 
1 cawan susu segar 
garam secukup rasa
mentega untuk menumis
1 sudu besar minyak 
4 batang sosej
lada sulah secukupnya

Cara membuatnya :

1. Potong nipis-nipis sosej dan panggang didalam kuali sambil dibalik-balik hinga masak. Sebelum itu masukkan sedikit mentega kedalam kuali. Setelah sosej masak ketepikan seketika.


 2. Masukkan sedikit mentega dan minyak kedalam periuk. Tumis bawang holland dan daun sup hingga layu. Masukkan air dan kacau.

3. Tuang jagung cream dan whole kernel kedalam bahan tumis dan kacau agar bercampur sebati.


4. Seterusnya masukkan susu cair dan renihkan.

5. Perasakan dengan serbuka lada sulah dan garam secukup rasa. Hidangkan dengan menabur sosej tadi dan sedap dimakan dengan roti ataupun begitu sahaja.
Assalamualaikum, 

Pernah makan tak labu siam? Sesetengah tempat ada juga yang panggil labu tumbuk atau labu jambu, malah ada yang tersalah sangka ingatkan labu ini buah jambu batu bila nampak dijual dipasar. Sedap tau labu siam ni kalau dimasak sayur tumis atau sayur lemak. Pagi ini saya masakkan sayur lodeh labu siam dan gandingkan dengan nasi impit serta sambal tumis telur sebagai sarapan pagi. Memang sungguh menyelerakan sekali. Resipinya sama sahaja seperti sayur lodeh biasa cuma saya tidak masukkan sayur-sayuran lain. 

Jom cuba masak dirumah..kalau tak makan dengan nasi impit, gandingkan dengan nasi pun sedap tau.  
LODEH LABU SIAM
Bahan-bahan:
1 biji labu siam - dikupas dan hiris nipis memanjang 
200 gm Udang (saiz sederhana)
50 gm Fucuk - direndam sehingga lembut
sebungkus suhun peket kecil (50 gm) - direndam sehingga lembut
sebungkus tempe  - dipotong 
1/2 batang lobak merah
2 batang Serai - diketuk
2 ketul tauhu - dipotong dadu dan digoreng 
1 cawan santan pekat
1 liter air
garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan yang dikisar
3 sudu besar udang kering
1 biji buah keras 
2 labu bawang besar
5 tangkai cili merah
5 tangkai cili padi
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup

Cara Memasak:

1. Kupas dan hiris memanjang labu siam. Ketepikan seketika. 
2. Kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih, kunyit hidup dan udang kering. 
2. Panaskan minyak, tumiskan bahan-bahan yang dikisar sehingga harum.

3. Masukkan udang, santan tahu dan juga tempe. Kemudian, tambahkan air. 
4. Kacau rata sehingga mendidih.

5. Seterusnya masukkan pula lobak merah, labu siam, fucuk dan juga suhun.

6. Renih sehingga masak dan perasakan dengan garam dan gula. Sedap dihidangkan ketika panas bersama dengan nasi impit dan sambal tumis.

Assalamualaikum, 

Sarapan paling senang dan bagi anak-anak yang sukakan spaghetti mesti suka sandwich sosej simple ni. Apa kaitannya dengan spaghetti pula ye?  Sebabnya saya gunakan sos spaghetti cendawan Kimball (boleh guna jenama dan perasa lain juga) untuk memasak sosej yang di panggang terlebih dahulu dengan mentega. Simple kan? Ada citarasa Itali gitu... 

Kalau anda tidak ada idea dan ingin sediakan sarapan yang ringkas untuk anak-anak bolehlah cuba resipi ni. Sekejap je dah siap :) 

SANDWICH SOSEJ SIMPLE
Bahan-bahan 
Roti Hotdog secukupnya
1 peket sosej
1 ulas bawang putih - dicincang
1 labu bawang holland - dicincang 
1 sudu besar cili kisar 
1 botol sos spagetti cendawan - Kimball
Seasoning (perasa) - Saya guna jenama maggi

UNTUK HIASAN DIATAS SANDWICH SOSEJ
Mayonis
Tomato ceri
Daun salad
Parutan keju cheddar & mozarella secukupnya

Cara membuatnya: 

1. Kelar sosej, panaskan kuali dan masukkan 1 sudu besar mentega. Bakar sosej dan balik-balikkan.

2. Tumis bawang holland dan bawang putih hingga wangi dan masukkan cili kisar dan 1/2 botol sos spaghetti.


3. Seterusnya masukkan sosej yang dibakar kedalam sos dan kacau hingga sebati. 



4. Setelah secukup rasa, bolehlah matikan api dapur. Belah roti hotdog, masukkan daun salad, sosej beserta kuah spaghetti, mayonis, hirisan tomato dan tabur dengan keju cheddar secukupnya. Bolehlah dihidangkan :) 



Assalamualaikum, 

Pisang yang dibakar dengan mentega...hmm, sedapnya. Seperti yang kita tahu, pisang merupakan buah yang boleh diperbagaikan dan diolah samada menjadi goreng pisang, kuih tradisional, dessert, dicampurkan dengan aiskrim atau dijadikan kek serta muffin. Sejak zaman dahulu lagi pisang popular bagi masyarakat asia umumnya dan hidangan ringkas seperti pisang rebus yang digolek dalam kelapa bercampur garam, dinikmati juga dengan gula perang memang hidangan kampung yang super sedap.


Sesetengahnya pula lebih suka membakar pisang dan dihidangkan dengan sos manis seperti gula melaka yang dicairkan, nutella, karamel atau parutan keju cheddar. 

Baiklah hari ini saya ingin berkongsi resipi yang tak kurang lazatnya iaitu pisang bakar dengan sos mentega kacang. Sebaiknya guna pisang seperti pisang raja, pisang abu@nipah, pisang awak , pisang nangka atau pisang-pisang yang sesuai untuk digoreng.

Nak tau cara mudah untuk membuat pisang bakar dengan sos mentega kacang ni? Jom kita lihat resipinya :) 

PISANG BAKAR DENGAN SOS MENTEGA KACANG 
Bahan-bahan 
10biji pisang masak - saya guna pisang nipah
1 sudu besar mentega 
1/4 cawan kepingan almond - dipanggang sebentar

Bahan Sos mentega kacang 
1 sudu besar mentega
2 sudu besar peanut butter chunky (kasar)

Cara membuatnya:

1. Panaskan kuali anti lekat, masukkan 1 besar mentega, biarkan cair.
2. Kupas pisang dan letakkan didalam kuali tadi. Tekan dan alih-alihkan pisang hingga masak sempurna.
3. Sementara itu masukkan mentega didalam kuali lain, panaskan hingga cair. Masukkan pula mentega kacang chunky dan kacau hingga sebati dan matikan api dapur.
4. Atur pisang bakar didalam pinggan dan tuang sos mentega kacang keatas pisang tadi. Tabur kepingan almond dan sedap dihidangkan panas-panas. 


Assalamualaikum,

Sesekali bersarapan dengan lodeh, nasi impit dan kuah kacang sedap juga. Nak memasak semua memang tak sempatlah diwaktu pagi kerana waktu-waktu begitu sibuk siapkan anak untuk kesekolah dan bersiap pula untuk ketempat kerja. Kuah kacang tu saya masak malam tadi dan ketupat mini pula saya rebuskan pagi ni sambil sediakan sayur lodeh. 

Resipi pula macam biasalah kita masak tiap kali tiba lebaran. Jom layan :) 

LODEH DAN NASI IMPIT
Bahan A -dikisar
3 labu bawang besar
4 ulas bawang putih 
4 tangkai cili padi
2 tangkai cili merah
2cm halia
2cm lengkuas
2cm kunyit
3 sudu besar udang kering 

Bahan B
100gm udang 
3 urat kacang panjang 
1 biji sengkuang - dikupas dan potong memanjang
1/2 batang lobak merah - hiris memanjang 
100gm kobis - dipotong kecil
2 keping tahu - di potong kiub
2 keping tempe - digoreng separuh masak 
100gm tauhu kering (fucuk) - direndam hingga lembut 
50gm suun - direndam hingga lembut
2 batang serai - diketuk
250ml santan pekat
garam dan gula secukup rasa
3cawan air
minyak untuk menumis

1. Masukkan semua bahan A kedalam blender, kisar hingga halus.

2. Panaskan minyak didalam kuali dan tumiskan bahan kisar bersama serai hingga naik bau dan pecah minyak.

3. Masukkan santan pekat bersama air dan kacau rata.

4. Selepas itu masukkan udang, kacang panjang, lobak merah, tauhu, tempe, kobis, tauhu kering dan suun sambil dikacau.

5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan renih hingga mendidih.


KUAH KACANG
Bahan A
2 cawan kacang tanah 
15 tangkai cili kering 
1/2 inci belacan 
1 labu bawang besar - dimayang 

Bahan B
1/4 cawan gula 
1/4 cawan air asam jawa
Garam secukup rasa
Air secukupnya 

Cara membuatnya :

1. Goreng kacang tanah hingga ranggup dan kisar kasar.

2. Goreng juga cili kering, belacan dan bawang besar dengan sedikit minyak dan kisar halus.

3. Masukkan semua bahan kisar kedalam periuk dan masukkan juga gula, air asam jawa dan garam secukup rasa.


4. Seterusnya masukkan air secukupnya dan masak sebentar sahaja ikut kepekatan yang dikehendaki. Matikan api dapur.