Assalamualaikum dan selamat pagi.

Selalunya kalau terasa nak makan apam balik, tempat yang kita cari adalah di pasar malam. Di Malaysia ni hampir semua pasar malam ada menjual apam balik. Di Indonesia juga apam balik menjadi kegemaran ramai tapi di sana di sebut terang bulan atau martabak manis. Malah di sana mereka lebih kreatif lagi mempelbagaikan resepi apam balik ini dengan menambah keju cheddar yang di parut, 'chocolate rice' dan pelbagai lagi inti yang lazat.

Tak susah membuat apam balik dan tak perlu menunggu peniaga yang berjualan di pasar malam menyediakannya kerana kita boleh buat sendiri di rumah. Menjimatkan masa dan ternyata agak mudah. Saya ada mencuba resepi apam balik baru-baru ini...menjadi dan lembut sekali...anak-anak saya sangat menggemarinya malah minta di lebihkan inti :)

APAM BALIK
Sumber : Buku 1 Hari 1 Resipi - Chef Hanieliza

BAHAN A
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula
4 sudu teh serbuk penaik (baking powder) 
1/2 sudu teh garam

BAHAN B
2 cawan susu segar 
1/2 cawan minyak 
2 biji telur

BAHAN C (untuk inti)
1 cawan jagung krim
Sedikit kacang goreng di kisar kasar


Cara membuat

1. Gaulkan semua bahan A dalam mangkuk besar.


2. Masukkan semua bahan B dan kacau rata.


3. Panaskan kuali non stick dan sendukkan adunan.tutup kuali non stick dan biarkan adunan tiga suku masak


4. Letakkan jagung krim dan taburkan kacang tanah kisar, lipat serta bolehlah di hidangkan. Apam balik yang di jual di pasar malam selalunya di tabur sedikit gula di atas intinya tetapi bagi saya adunan ini sudah cukup manis dan sedap.


Assalamualaikum,


Pagi ini saya buatkan bingka labu lemak tanpa telur untuk sarapan pagi. Kebetulan masih ada berbaki labu di dalam peti sejuk, lebihan dari projek muffin labu yang saya buat baru-baru ini. Memang sedaplah bingka labu ini, apa lagi kalau di bakar agak garing dan berkerak..memang mengasyikkan bila di kunyah sambil menghirup teh panas di pagi yang  dingin. Ah...nikmatnya... :)

Kelainan bingka ini adalah ia tidak menggunakan telur dalam bancuhan adunan namun begitu ianya tetap sedap dan secukup rasa. Terima kasih kepada kak fida yang menyumbangkan resepi sedap ini di my resepi dan saya kongsi sekali lagi di sini, bagi yang ingin mencubanya.
BINGKA LABU LEMAK TANPA TELUR
Sumber : Kak Fida - My resepi
Bahan-bahan (loyang 9 x 6inci atau 2 biji acuan pecah 8)

250gm labu - di kupas dan rebus hingga empuk
1/2 cawan gula halus
1/2 cawan santan pekat
3/4 cawan susu cair/sejat
1 sudu besar susu pekat manis
1/2 sudu kecil garam
1 cawan tepung gandum
1 sudu mentega/majerin
sedikit pewarna kuning (Saya tak bubuh)

Cara-cara

1. Satukan kesemua bahan dalam blender dan kisar hingga halus. Tuangkan adunan kedalam mangkuk dan kacau rata.


2. Tuangkan adunan ke dalam acuan atau loyang yang telah di sapu mentega terlebih dahulu.


3. Bakar pada suhu 160'c selama 45minit atau sehingga masak. Saya ubah kepada api atas sahaja pada ketuhar, kira-kira 10minit terakhir untuk kuih yang lebih garing di atas permukaan.

4. Sejukkan bingka, potong kecil dan bolehlah di hidangkan. Bagi saya yang menggunakan acuan kecil, tidak perlu di potong dan lebih mudah untuk menghidangkan nya.

5. Dengan resepi yang sama, labu boleh di gantikan dengan kentang, keledek berwarna unggu, oren dan kuning dengan kuantiti yang sama.


Assalamualaikum.

Semalam saya mendapat kiriman kelapa tua yang di tanam sendiri dan siap di kupas sabutnya oleh kakak. Ada 20biji semuanya dan kepala saya ligat berfikir, apakah yang akan di lakukan dengan kelapa-kelapa itu, maklum saja kesibukan tugas di pejabat sejak kebelakangan ini membataskan masa santai saya di rumah. Tidak sampai hati menolak pemberian tersebut, dan harap-harap  minggu ini saya lebih rajin dari biasa, ada kelapangan untuk 'menguruskan' kelapa-kelapa tersebut dengan sebaiknya dan semoga saja kadar kolesterol dalam tubuh ini juga lebih 'terurus'...maklum saja masakan bersantan memangnya enak, tapi tidak boleh di ambil berlebihan.

Tapi ada juga manafaat dan kebaikan dari santan, rupanya...info ini di ambil dari artikel Majalah ANIS, keluaran Januari 2011. http://memoirrienn.blogspot.com/2011/02/rahsia-santan-kelapa-pada-kesihatan.html

Baiklah resepi pertama saya menggunakan santan adalah serimuka delima. Resepi ini saya belajar dalam kelas kuih talam di Ipoh, tahun lepas. Guru masakan saya juga belajar dari kelas Chef Asma dan turunkan resepi dan tips pembuatan kuih talam yang amat berguna kepada semua yang hadir ke kelas tersebut. Jika ada kelapangan saya memang suka menghadiri kelas masakan, untuk menambah ilmu memasak sekadar untuk masak lebih sedap buat keluarga. Tapi...kalau ada tempahan aneka kuih talam saya terima juga jika masa mengizinkan.

SERIMUKA DELIMA
Sumber resepi asal : Chef Asma

LAPISAN BAWAH
500gm beras pulut - rendam selama 4jam atau lebih
300ml santan pekat 
300ml air
2sudu teh garam
20gm sagu - rendam dengan air dan pewarna merah (saya guna warna merah jambu)

CARA-CARA
1. Sejatkan beras pulut yang di rendam tadi, campurkan dengan santan,air & garam. Kukus selama 30minit.


2. Setelah pulut masak, gaul dengan sagu dan tekan ke dalam loyang yang di lapik dengan plastik terlebih dahulu.


LAPISAN ATAS
250gm gula
100gm tepung kastad
400ml santan pekat
400ml air
4 biji telur
1/2 sudu teh garam
beberapa titik esen vanilla
sedikit pewarna kuning


CARA MEMBUAT

1. Campurkan kesemua bahan sehingga sebati - ikut turutan di atas, masak dengan api yang kecil sambil di kacau dengan whisk sehingga naik wap.

2. Tuangkan ke atas pulut tadi dan kukus selama 30minit. Biarkan sehingga betul-betul sejuk sebelum di potong.

Sedapnya kuih serimuka delima ni..cukup rasa lemak manis dan masin nya. Cubalah buat kalau ada kelapangan. Owh ya..Inilah longokkan kelapa yang masih berbaki...harap-harap tak cepat rosak dan boleh cuba buat resepi yang lain lagi selepas ini. ;)


Assalamualaikum,

Salam pagi sabtu. Sarapan apa agaknya pagi ni ya? Saya cuma sediakan nasi goreng dengan bahan yang ala kadar dari peti sejuk. Kebetulan nasi putih lebihan dinner malam tadi masih berbaki, jadi terhasil lah nasi goreng seafood. 

Bila menggoreng nasi pagi-pagi begini, jadi teringatkan ibu ketika saya masih kecil dulu..sering sangat buat nasi goreng dari lebihan nasi putih dan ikan goreng dinner malam sebelumnya. Di tambah pula dengan cili api dari pokok yang di tanam sendiri di belakang rumah, malah telur juga di gunakan telur ayam kampung yang di peliharanya. Enak betul menikmati nasi goreng ibu bersama kopi hangat sebelum berangkat ke sekolah. Seronok membesar di kampung, kerana segalanya 'fresh'. Itu belum lagi cerita tentang aktiviti mandi sungai yang terletaknya cuma 50meter dari rumah ibu, ketika itu. Sekarang semuanya telah lenyap kerana pembangunan. Sayang sekali anak-anak tidak dapat melihat persekitaran indah tempat saya membesar dulu. 

Panjangnya flashback pagi-pagi begini ya :). Jika di teruskan, banyak lagi ni pengalaman hidup di kampung yang keluar. Jom, langsung sajalah kita lihat resepi nasi goreng saya pagi ni... :)

NASI GORENG SEAFOOD
Bahan-bahan 
2 pinggan nasi putih
2 ulas bawang putih - di cincang 
2 biji telur
4 ulas bawang merah - di mayang halus 
5 ekor sotong - di hiris
10 ekor udang - di buang kulitnya (cuma tinggal ekor)
sos tiram 
kicap sotong (thai)
pes cili (campuran cili padi, cili merah dan belacan yang di kisar)


CARA MEMBUAT

1. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi, masukkan telur kacau rata hingga masak. 


2. Masukkan sotong dan udang, kacau hingga separuh masak dan masukkan pes cili.


3. Masukkan nasi, kacau rata. Masukkan juga sos tiram dan kicap sotong. Kacau lagi sehingga nasi benar-benar masak.

Jemput makan...udang tu benar-benar menggoda, kan? Errr...kita lupakan dululah soal kolestrol :D



Assalamualaikum :)

Kadang-kadang mengejar waktu untuk memasak terutamanya untuk makan malam, buatkan saya ligat berfikir...bagaimana caranya untuk masak sesuatu yang sedap dan cepat di sediakan. Maklum saja tiap hari terasa begitu pantas senja berlabuh dan beransur malam. Anak-anak pula harus segera ke kelas pengajian al-quran dan ada juga yang bergegas ke kelas tambahan. Dalam tempoh yang sama semuanya merengek mau cepat makan malam sebaik sahaja melihat saya pulang dari kerja.

Kerap makan di luar juga buatkan mereka jemu dan hujung-hujungnya masakan saya juga yang di minta walaupun sekadar telur goreng, sudah lazat sangat bagi anak-anak. Saya juga begitu dulu. Ketika tinggal berjauhan dengan ibu semasa melanjutkan pelajaran, masakan ibu juga yang di rindui siang dan malam walaupun masakannya ringkas sahaja.

Sebagai ibu yang bekerja, saya ingin berkongsi cara yang saya lakukan untuk memudahkan kerja memasak. Selalunya saya akan kisar cili merah campur cili padi dan sedikit belacan dalam kuantiti yang banyak dan simpan di dalam peti sejuk. Boleh juga di masak cili tersebut bersama sedikit minyak dengan api yang perlahan sebelum di simpan kedalam peti sejuk dan ini menjadikan pes cili  tahan lebih lama.

Ada banyak kegunaan pes cili ini iaitu di jadikan rencah nasi goreng, di jadikan sambal tumis, di masukkan ke dalam kuah asam pedas dan sebagainya. Dan ini benar-benar membantu bagi ibu bekerjaya dan sentiasa mengejar masa.

Hari ini saya ingin berkongsi resepi sambal sotong yang hanya mengambil masa kurang  dari10minit untuk di sediakan. Boleh juga di pelbagai dengan menggantikan sotong tersebut dengan udang atau ikan yang di goreng terlebih dahulu.

SAMBAL TUMIS SOTONG - MUDAH 
Bahan-bahan
500gm sotong di cuci don potong bulat 


2 ulas bawang putih - di mayang
1 labu bawang besar - di potong bulat
sedikit air asam jawa
5 sudu makan pes cili (Kisar cili merah, cili padi dan belacan)

Cara membuat:

1. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga kekuningan dan berbau wangi.Masukkan pes cili dan kacau sebentar.


2. Masukkan sedikit air asam jawa dan sotong yang telah di bersihkan tadi, kacau lagi hingga sotong masak dan perasakan dengan garam dan gula. Jika suka masukkan sedikit serbuk perasa.


Dah siap...mudahkan? :). Owh ya, inilah rupa pes cili yang sentiasa ada di dalam peti sejuk rumah saya untuk memudahkan kerja memasak. 





Assalamualaikum dan selamat pagi.

Sarapan apa agaknya pagi ini ya? Jangan abaikan dan pandang ringan kepada  keperluan sarapan pagi, kerana kajian menunjukkan bahawa pengambilan sarapan pagi amat penting untuk kesihatan dan antara kebaikan sarapan pagi adalah dapat meningkatkan kemampuan dalam berfikir, perlindungan terhadap serangan jantung, memenuhi keperluan nutrisi yang di perlukan oleh tubuh dan sarapan juga boleh menurunkan berat badan. 

Sebut tentang penurunan berat badan, Alhamdulillah saya telah berjaya menurunkan berat badan pada tahun lepas hanya dengan mengatur jadual makan yang betul dan bersenam dengan berjalan kaki selama 30minit ke 1 jam dalam sehari...tanpa bantuan sebarang ubat pelangsing atau plan diet yang ketat. Yang di perlukan hanya disiplin dan kemahuan. Diet itu tak semestinya tidak makan nasi langsung. Saya tekad untuk menurunkan berat badan pun setelah terkejut dengan hasil ujian penyaringan kolestrol yang di lakukan. Jika tidak lakukan ujian darah, entah-entah sekarang saya masih bersuka-suka dengan makanan berlemak dan malas untuk bersenam. Pesan saya, lakukan lah ujian kesihatan secara berkala untuk mengetahui tahap kesihatan kita sendiri. Mencegah itu lebih baik dari mengubati. 

Eh...panjang pula celoteh pagi ini ya.. :D. Bukan apa, lepas gian setelah lama tidak menulis di blog ini. Baiklah, kita langsung saja ya melihat resepi sarapan pagi saya pagi ini iaitu, pumpkin muffin, resepi dari Izahdaut. Sedap tau...

PUMPKIN MUFFIN 
Sumber : izahdaut - muffin lover

Bahan-bahannya
1 cawan tepung gandum
3/4 sudu kecil baking powder
1/4 sudu kecil baking soda
1/2 sudu kecil garam halus
1/2 cawan labu - di rebus dan di lecek


1/4 cawan yogurt
2 biji telur 
1/4 cawan minyak sayuran atau minyak masak
1/3 cawan gula pasir
sedikit esen vanilla
coklat chips untuk hiasan.


Cara membuat:

1. Panaskan oven pada suhu 190'c.

2. Ayak tepung bersama baking soda, baking powder dan garam di dalam sebuah mangkuk besar. Ketepikan

3. Satukan labu, telur, gula, yogurt, minyak dan esen vanilla kedalam blender dan kisar hingga teksturnya halus dan licin.

4. Tuang bahan yang di kisar kedalam adunan tepung.


5. Gaul adunan sekadar bersatu dan jangan overmix. Jika tidak muffin akan menjadi keras setelah masak nanti.



6. Ceduk adunan ke dalam muffin cup dan taburkan coklat chips ke atasnya.


7. Bakar hingga masak, lebih kurang 25minit. 

Enaknya di nikmati panas-panas setelah keluar dari oven dengan secawan teh.
Assalamualaikum :)

Wah....lamanya tak berblog. Rindu sangat-sangat tapi apa kan daya, tuntutan kerja lebih utama. Hari ini baru berkesempatan menulis dan berkongsi idea masakan. Dalam kesibukan selama lebih kurang 2 minggu ini hampir tiap hari saya sekeluarga makan di luar sahaja atau kalau masak pun yang ringkas-ringkas dan tidak sempat untuk di ambil gambar, apalagi berkongsi dan berceloteh di dalam blog kesayangan ni.

Sibuk benar ye saya dengan kerja...ahli politik pun tak sesibuk ini walaupun pilihanraya dah dekat di Malaysia ni...heee...heee....hee...tapi, lupakan lah soal kesibukan tu. Hari ni sempena cuti hari minggu saya nak bersantai-santai melihat blog yang dah lama di tinggalkan dan terima kasih tidak terhingga pada yang tetap setia masuk ke blog ini walaupun sudah lama tidak update. 

Sebagai entry pertama setelah lama menyepi...jomlah kita lihat resepi yang ringkas dan cepat di sediakan. Walaupun tidak menggunakan rempah ratus, tapi rasanya tetap enak dan keluarga saya suka.

GULAI ACEH BERSANTAN
Bahan-bahan
3 ekor ikan tongkol - saiz sederhana 
2 ulas bawang merah di mayang
1 inci halia di ketuk 
200ml santan (saya gunakan santan kotak)
1 biji limau nipis 
garam dan gula secukup rasa.
6 biji belimbing buluh
BAHAN YANG DI KISAR
5 biji cili besar 
5 biji cili padi 
1 inci kunyit hidup
4 biji asam sunti (buah belimbing buluh yang di keringkan dengan garam)
CARA MEMBUAT:

1. Siang ikan dan cuci dengan perahan limau nipis untuk menghilangkan bau hanyir.

2. Tumis bawang merah dan daun kari hingga harum, masukkan halia dan bahan yang telah di kisar, kacau hingga naik bau.

3. Kecilkan api masukkan ikan dan diamkan sebentar.

4. Tuangkan santan pekat dan kacau sentiasa agar tidak pecah minyak. Masukkan belimbing buluh.
5. Perasakan dengan garam dan gula serta serbuk perasa (jika suka). Renihkan sebentar hingga masak, angkat dan hidangkan.