Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca yang sudi masuk ke blog fiza's cooking. Dah masak untuk makan tengahari ke ataupun masih berfikir-fikir menu yang sesuai? Apa kata cuba masak sambal udang aroma wangi untuk hari ni? 

Sebenarnya saya masak menu ini semalam dan hari ni update blog dari tempat kerja. Terpaksa kerja hari ini kerana ramai pelancong tempatan membanjiri Langkawi. Nak bercerita panjang pun masa agak terhad, jomlah tengok resipi dibawah ni. Terlebih dahulu terima kasih untuk kak Liza@chef Hanieliza untuk resipi yang lazat ni. Saya masukkan resipi sekali lagi disini ye :) 

SAMBAL AROMA WANGI UDANG
Sumber :  Chef hanieliza 

Bahan-bahan 
1/2kg udang 
3 tangkai daun kari 
1 labu bawang besar (potong bulat) 
5 biji limau kasturi (ambil jusnya) 
1 sudu makan udang kering (saya kisar halus)
Garam & gula secukup rasa 
Sedikit air panas 

Bahan kisar 
15 tangkai cili kering 
5 biji bawang merah 
3 ulas bawang putih 

Cara membuatnya : 

1. Panaskan minyak tumis daun kari, udang  kering dan masukkan bahan kisar.
 
2. Masak hingga naik bau dan pecah minyak masukkan udang segar, air dan bawang besar.
3. Perasakan dengan garam dan gula, sesuaikan rasa dan kacau rata.


4. Apbila bawang sudah layu,  tutup api dan masukkan jus limau kasturi. Kacau rata sekali lagi dan matikan api dapur.
Assalamualaikum,

Salam jumaat penghulu segala hari. Hari ini perkongsian resipi  bingka ubi kayu gula merah yang bagi saya sungguh lazat dan lembut . Yang paling saya suka sekali rasanya juga kurang manis kerana menggunakan gula merah sepenuhnya yang dicairkan bersama ½ cawan air. 

Untuk ubi kayu parut pula saya tidak perah airnya dan terus sahaja timbang sebaik sahaja selesai proses  memarut.  

Kalau nak cuba buat bingka ubi kayu gula merah yang sedap ini bolehlah lihat resipi dan langkah demi langkah yang saya sediakan dibawah.

BINGKA UBI KAYU GULA MERAH
600gm ubi kayu - diparut
1 kotak santan (200ml) - Dicampur dengan sedikit air menjadi 1 cawan metrik
1 cawan gula merah  - Cairkan dengan 1/2 cawan air dan tapis
30gm mentega - cairkan
1 biji telur - dipukul ringan
secubit garam


Cara membuatnya :


1. Panaskan oven pada suhu 180'c kira-kira 10minit sebelum membakar bengkang.

2. Parut ubi kayu dan timbang sebelum masukkan kedalam mangkuk besar. Tuang air gula merah kedalam mangkuk tersebut diikuti oleh telur, garam  dan mentega cair

3. Kacau campuran ubi kayu parut dan bahan-bahan tersebut hingga bercampur rata.

4. Sapu 1/2 sudu besar mentega didasar dan bahagian tepi loyang dan panaskan sebentar. Seterusnya tuang adunan kedalam loyang  

5. Bakar kira-kira 1 jam atau sehingga masak dan setelah bengkang sejuk bolehlah dipotong dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Dah lama tak buat muffin untuk minum petang. Anak-anak selalu juga bagi hint nak muffin tapi mama ni entah apa sibuknya, selalu sahaja tidak ada masa, padahal nak membuatnya bukan susah sangatpun. Satukan bahan kering dan basah, sudukan kedalam paper cup dan bakar...itu sahajalah prosesnya.

Milo coklat muffin ini saya buat malam tadi sambil menunggu si bongsu siapkan latihan kerja rumah yang diberi oleh cikgu. Eh memang cepatpun prosesnya...tak sempat dia habiskan latihan, muffin pun dah masak. Dapatlah dia merasa muffin panas-panas dan lepaslah agaknya kempunan selama ini. 

Muffin ini rasanya manis-manis buah dan sesuailah untuk orang dewasa yang kurang makan manis. Jom kita lihat resipi dibawah ini :) 
MILO COKLAT MUFFIN 
Bahan A
1 3/4 cawan tepung gandum 
1/4 cawan serbuk coklat
1 sudu kecil baking powder 
1 sudu becil soda bikarbonat 
1/4 cawan serbuk milo
3/4 cawan gula perang 
1/2 sudu kecik garam halus 

Bahan B
1 cawan susu segar 
1 biji telur gred A - di pukul sedikit 
1/3 cawan minyak masak 
1 sudu kecil esen vanila
coklat chips secukupnya 

 Cara membuatnya :

1. Ayak tepung gandum bersama dengan serbuk coklat, baking powder dan soda bikarbonat. Satukan dengan serbuk milo, gula perang dan garam halus didalam mangkuk besar. Kacau hingga bercampur dan ketepikan seketika.

2. Didalam bekas lain, satukan susu cair, telur esen vanila dan minyak masak sambil dikacau hingga sebati.

3. Tuang bahan basah tadi kedalam bahan A dan kacau rata menggunakan spatula. Jangan terlebih kacau kerana tekstur muffin akan menjadi keras. Cukup sekadar semua bahan bercampur.
 

4. Sudukan adunan kedalam cawan muffin dan tabur dengan coklat chips dan hirisan almond.

5. Bakar didalam oven selama 20minit atau sehingga masak (saya guna api atas bawah), suaikan dengan oven masing-masing. Setelah muffin masak sejukkan diatas redai dan bolehlah dihidangkan. 

Selamat berhujung minggu untuk semua pengunjung yang sudi masuk ke blog ini. Bagi yang bercuti dah rancang ke nak masak apa untuk keluarga? Kalau saya, alhamdulillah dah siap masak yang ringkas-ringkas je dan salah satu dari lauknya adalah Kari Ketam Tanpa Santan. Walaupun tak letak santan kari ini tetap sedap dan sudah tentu menyihatkan juga.  Kari ini juga saya tak letak serbuk kari tetapi hanya guna serbuk kunyit dan serbuk cili. 

Bagi yang nak cuba masak dirumah bolehlah ikut resipi dibawah ini :) 

KARI KETAM TANPA SANTAN 
Bahan-bahan 
4 ekor ketam - dibersihkan 
4 tangkai cili hijau - di belah dan potong dua
2 pelepah daun kari 
3 tangkai daun bawang 
2 ulas bawang putih - ditumbuk kasar  
1/2 inci halia - ditumbuk kasar
1 labu bawang besar - dimayang halus 
3 sudu besar minyak masak untuk menumis
1/2 cawan air asam jawa
3 cawan air
1 sudu besar serbuk kunyit 
2 sudu besar serbuk cili (kalau suka pedas boleh letak lebih)
Garam secukup rasa

Cara membuatnya :

1. Tumis bawang putih, halia dan bawang besar dan kacau dengan sudip hingga berbau wangi.

2. Masukkan daun kari dan daun bawang sambil dikacau sebentar seterusnya masukkan ketam sambil dikacau dan balik-balikkan. Seterusnya masukkan air asam jawa dan serbuk kunyit serta serbuk cili.
3. Tuang air kedalam kuali dan renih kari hingga mendidih.

4. Perasakan kari dengan garam dan renih lagi hingga kuah agak pekat dan sebati dengan isi ketam.

5. Setelah kari masak bolehlah dihidangkan dengan nasi panas dan lauk pauk yang lain.

Assalamualaikum, 

Bila anak-anak semua berkumpul, sebagai ibu bersemangat sangat rasanya nak sediakan makan minum kerana apa yang dihidangkan pasti mendapat sambutan. Kuih@Bingka Bakar Jagung ini saya sediakan sebagai sarapan pagi tadi. Sedapnya alahai...dah lama tak buat kuih ini dan seingat saya kali terakhir saya buat dulu pada bulan ramadhan tahun lepas. Punyalah lama sampai nak jumpa bulan ramadhan sekali lagi..kan.

Bagi yang belum pernah buat kuih@bingka bakar jagung ni janganlah takut pula untuk mencuba bila melihat adunan kuih ini agak cair. InshaAllah pasti menjadi ...cuma pastikan anda kenal dengan suhu oven masing-masing.

Anak sulung saya pula suka sangat makan bingka ini selepas disejukkan didalam petiais kerana katanya rasa bingka ini lebih sedap seakan-akan puding. Pendek kata memang kuih@bingka bakar jagung ini sedap walaupun dihidangkan panas ataupun sejuk.

KUIH@BINGKA BAKAR JAGUNG
Sumber : Zana08 - MyResepi

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan santan
1 cawan susu sejat
3/4 cawan gula
2 biji telur
2 sudu mentega - cairkan 
1 tin jagung manis krim
sedikit pewarna kuning
1 sudu teh esen vanila
sedikit bijan 

Cara membuatnya :

1. Blend semua bahan hingga sebati kecuali jagung dan bijan.

2. Masukkan jagung dan "blender" sebentar sahaja.

3. Tuangkan dalam loyang dan taburkan bijan jika suka.

4. Bakar pada suhu 180 C selama 1 jam atau sehingga masak. Untuk mendapatkan permukaan atas yang berkerak setkan kepada api atas sahaja pada 10minit terakhir.

Assalamualaikum,

Jarang saya update blog pada waktu malam kerana waktu begini masa saya selalunya dengan keluarga ataupun selesaikan semua kerja dapur. Maklumlah saya tidak mempunyai pembantu rumah, jadi waktu malam memang terlarut dengan kerja kemas mengemas setelah sibuk ditempat kerja pada waktu siang. 

Tetapi malam ini anak bujang yang baru pulang dari asrama untuk bercuti hujung minggu demam selsema dan sekarang sudah nyenyak tidur selepas menghirup rasam telur yang digandingkan dengan nasi panas dan makan ubat selsema juga.

Jadi alang-alang ada kesempatan dan kelapangan, ada baiknya saya update blog yang sekian lama terbiar tanpa perhatian ni :) 

Perkongsian malam ini adalah rasam telur, sejenis masakan India yang berempah dan memanaskan badan dan baik untuk orang demam khususnya demam selsema.  Resipi asal dari zaliedana dan saya skodeng resipinya di blog Teratak Mutiara Kasih. Terima kasih LinaPg, akak kongsikan resipi di blog ini pula ye. Cuma resipinya saya ubah sikit-sikit, tapi bahannya tetap sama kecuali saya tambah biji sawi.

RASAM TELUR
Bahan-bahan
2 biji Telur 
½ sudu teh biji sawi
2 pelepah daun kari 
3 tangkai cili kering - dipotong dalam 1inci
½ cawan jus asam jawa 
3 cawan air
½ kiub pati ayam
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Bahan ditumbuk
1 sudu teh Jintan putih 
½ sudu teh lada hitam
2 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah

Cara membuatnya : 

1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak, tumis bahan yang ditumbuk dan masukkan daun kari serta biji sawi.


2. Kacau hingga pecah minyak dan naik bau, masukkan jus asam jawa, air dan serbuk kunyit.
 

3. Setelah kuah mendidih, pecahkan telur sebiji demi sebiji kedalam periuk dan renih hingga telur masak.

4. Perasakan dengan garam dan kiub ayam dan bolehlah matikan api dapur. Hidangkan dengan nasi panas.
Assalamualaikum.  

Sambal bilis kering adalah lauk yang paling mudah dan digemari anak-anak dan seisi keluarga. Selalunya bila cuti mingguan anak yang tinggal diasrama akan request lauk ni sebagai bekalan untk dibawa pulang. 

Selain daripada dihidangkan dengan nasi panas, sambal bilis kering ini juga sedap diratah begitu saja. Jika suka boleh juga masukkan tahu goreng yang dipotong dadu kedalam sambal ini. 

Resipinya mudah sangat dan kalau nak mencuba bolehlah ikut resipi dan langkah demi langkah yang disediakan dibawah ini.

SAMBAL BILIS KERING
Bahan-Bahannya:
2 peket tempe
1 cawan ikan bilis 
1 cawan kacang tanah 
½ cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

Dikisar halus
10 tangkai cili kering - direndam dalam air panas dan toskan 
2 ulas bawang putih
1 labu bawang besar

Cara membuatnya:

1. Tempe di potong dadu dan goreng hingga garing, angkat dan toskan. Goreng pula kacang tanah berasingan hingga garing dan ketepikan seketika.

2. Asingkan minyak yang menggoreng tempe dan kacang tanah tadi hingga tinggal kira-kira 2 sudu besar, tumis bahan kisar hingga pecah minyak dan agak garing.

3. Masukkan air asam jawa, garam(jangan terlalu banyak, suaikan dengan rasa masin ikan bilis) , gula dan sedikit serbuk perasa (jika suka). Biarkan kuah mendidih dan pekat. Rasa masin dan manisnya.

4. Setelah itu masukkan kacang goreng, ikan bilis dan tempe goreng. Gaul rata.
Matikan api dapur dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi dan lauk pauk yang lain.

Assalamualaikum, 

Dah lama tak update blog dan baru hari ini ada kesempatan. Seperti biasa saya suka buat kek yang simple untuk minum petang dan perkongsian hari ini adalah almond cake yang sangat mudah untuk dihasilkan dan sedap digandingkan dengan secawan kopi. Apalagi dalam suasana selepas hujan lebat di Langkawi seperti petang ini. 

Saya paling suka dengan rasa almond bercampur haruman parutan lemon didalam kek ini. Ditambah pula dengan kerangupan hirisan almond diatas kek...hmm memang lazat sekali. 

Bagi yang ingin mencuba...jom kita lihat resipi dibawah ni :) 

KEK ALMOND
Bahan-bahan
226 gram mentega
200 gram gula kastor
200 gram tepung gandum 
4 telur - Gred A
100 gram serbuk almond (badam)
2 sudu teh baking powder
4 sudu besar susu cair/susu segar
1 sudu teh parutan kulit lemon
2 sudu teh esen vanilla
potongan almond untuk taburan atas kek 

Bahan-bahan :

1. Ayak tepung gandum, serbuk almond dan baking powder. Gris loyang saiz 8” x 8” dan panaskan oven pada suhu 180'c.


2. Putar gula dan mentega hingga berkrim. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul lagi. 
  

3. Seterusnya masukkan parutan kulit lemon dan esen vanilla ,pukul hingga sebati.


4. Turunkan kecepatan mixer dan masukkan tepung sedikit demi sedikit di akhiri oleh susu. Kacau hingga sebati.


4. Tuang adunan kedalam loyang dan tabur dengan potongan almond. Bakar lebih kurang 45 - 50minit atau sehingga kek masak. Setelah kek sejuk sepenuhnya bolehlah dipotong dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Resipi kek buah sempoi Liza, tanpa telur dan gula ini saya ambil dari MyResipi dan resipi asal dikongsi oleh junjs 11. Keknya simple sangat dan pasti menjadi. Rasa manis kek ini kita perolehi dari susu pekat yang lemak-lemak manis dan buah-buahan campuran. Rasanya yang manis-manis buah ini sangat sesuai jika anda kurang mengambil makanan yang manis.

Jom lihat resipi dibawah ini dan terima kasih juga kepada pemilik resipi asal.    

KEK BUAH SEMPOI
Bahan A
250gm mentega
1 tin kecil susu pekat manis
200gm buah-buahan campuran (dalam kotak)
1 cawan air masak

Bahan B
3 cawan tepung gandum
1 biji oren diambil jus dalam 1/2 cawan (kalau tak ada, guna jus dalam kotak atau bancuh kordial jadi 1/2 cawan)
1 sudu teh soda bikarbonat

Cara membuatnya :

1. Campur mentega, susu pekat, buah campuran dan air masak kedalam periuk. Masak atas api perlahan hingga sebati dan mentega cair. 

2. Angkat dan biar sebentar, masukkan dalam peti sejuk semalaman. (Kalau nak buat esok pagi, masak malam ni dan simpan dalam peti sejuk (bukan dibahagian beku).

3. Keluarkan dan biarkan dalam 1 jam sebelum masukkan bahan B. Kacau dengan senduk hingga sebati.

4. Masukkan dalam loyang yang dialas dengan kertas dan digris. Bakar hingga masak ikut oven (saya masak dalam 1 1/2 jam).

*Simpan semalaman supaya jus dari buah tu meresap sekali. Warna kek pun perang sebab kismis dan adunan ni agak pekat. Buah-buah pun sekata, tak mendap.
Assalamualaikum, 

Jom try buat Kek Gula Melaka. Selain dari kurang manis, paduan aroma serbuk kayu manis dan gula melaka memang membuka selera. 

Kalau suka boleh juga diletakkan topping kegemaran seperti karamel, krim mentega ataupun nutella. Saya hanya hidangkan kek tanpa topping, itupun alhamdulillah mendapat sambutan hangat dan pujian daripada teman sekerja. Memang sedap gandingkan dengan secawan kopi panas.

Bagi yang nak cuba buat dirumah, jom tengok resipi dibawah ni beserta langkah demi langkah mudah :) 

KEK GULA MELAKA 
loyang : 8 inci 
5 biji telur - Gred A
200gm gula melaka - disisir terlebih dahulu bari ditimbang
1/2 sudu besar ovelette
50gm gula kastor
250gm tepung gandum 
1/2 sudu teh serbuk kayu manis 
150gm margerin - dicairkan 

Cara membuatnya : 

1. Panaskan oven pada 180'c 

2. Pukul gula merah, telur dan gula pasir sehingga separuh menggembang, masukkan ovelette dan pukul lagi sehingga gebu dan berkrim.

3. Turunkan speed mixer kepada kecepatan yang paling rendah dan masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit beserta serbuk kulit kayu manis.

4. Pukul rata sehingga semua bercampur tetapi jangan terlebih putar. 


5. Matikan mixer, masukkan margerin cair dan kaup balik sehingga adunan bercampur rata.

6. Tuang kedalam loyang dan bakar selama 45minit ataupun sehingga masak.

Assalamualaikum, 


Pernah makan tak kerabu tembikai? Rasanya kerabu ni lebih dikenali di utara semenanjung Malaysia atau tepatnya di Kedah dan Perlis. Tetapi mungkin juga ada tempat di negeri-negeri lain sinonim dengan kerabu ini yang tidak saya ketahui. Kerabu ni sebagai pembuka seleralah dan penyediaannya sangat simple. Selalunya ia digandingkan dengan nasi panas bersama lauk pauk yang lain. 

Bagi saya keenakan kerabu ini adalah kombinasi rasa manis, masam dan pedas. Resipi asal tidak letak lemon tetapi saya suka kerabu ini ada rasa masam sedikit dan harmoni dengan kepedasan cili padi.

Tembikai untuk buat kerabu ini sebenarnya adalah pemberian seorang penjual tembikai yang mempunyai kebun yang diusahakan sendiri. Kebetulan saya berhenti membeli dua biji tembikai dipinggir jalan ketika perjalanan ke airport Langkawi semalam dan penjualnya bermurah hati memberi sebiji lagi tembikai yang agak kecil secara percuma dan cadangkan saya memasak sayur tembikai atau buat kerabu. Yang paling mudah dan cepat pada fikiran saya ketika itu adalah kerabu dan inilah hasilnya. 

Jom kita lihat bagaimana nak hasilkan kerabu tembikai berlemon ni.

KERABU TEMBIKAI BERLEMON
Bahan-bahan
Sebiji tembikai saiz kecil dipotong empat - guna 1/4 daripadanya
7 tangkai cili padi 
1/2 inci belacan - dibakar 
secubit garam 
5 ulas bawang merah - dimayang 
1 sudu teh perahan lemon 

Cara membuatnya :

1. Kikis isi tembikai dengan sudu dan masukkan kedalam mangkuk. Sejat air tembikai dan ambil isinya sahaja untuk mengelakkan daripada kerabu terlebih berair.

2.  Ramas belacan bersama air lemon dan masukkan garam. 

3. Tuang bahan tersebut kedalam bekas berisi hirisan bawang merah dan cili padi sambil digaul.

4.  Seterusnya masukkan isi tembikai tadi kedalam bahan tersebut dan gaul lagi hingga rata. Pastikan secukup rasa dan bolehlah dihidangkan dengan nasi panas beserta lauk-lauk yang lain.