Assalamualaikum, 

Sarapan yang ringkas pagi ini iaitu Cheesy Garlic Bread digandingkan dengan sup cendawan. Anak-anak memang suka dengan keju, jadi sekejap sahaja laris. Membuatnya pun sangat mudah kerana saya gunakan roti baguette segera yang dibeli di bakery ketika menunggu anak habis kelas tuisyen malam tadi. Nak buat sup cendawan pun tidak sempat diawal pagi, jadi saya hanya gunakan sup cendawan segera. 

Pagi ini jadilah sarapan ringkas buat mengisi perut sebelum anak-anak kesekolah. Bagi yang nak cuba, jom lihat resipi dibawah ni.

CHEESY GARLIC BREAD 
Bahan-bahan
1 roti baguette - di belah dua
5 ulas bawang putih
¼ cawan minyak zaitun ataupun minyak jagung
2 sudu besar daun parsley - dicincang (saya guna daun parsley kering)
1 cawan keju mozzarella

Cara membuatnya :

1) Panaskan oven 180'c dan lapik aluminum foil didalam loyang. Ketepikan seketika.

2) Kisar bawang putih, minyak dan daun parsley hingga lumat. Boleh juga tumbuk bawang putih dengan daun parsley hingga lumat dan campurkan dengan minyak.

3) Sapu bahan kisar dipermukaan roti dan bakar seketika dalam 2 minit, hingga berbau wangi.

4) Keluarkan roti dari oven, tabur keju dipermukaan roti. 

5) Bakar kembali selama 10 ke 15 minit sehingga permukaan agak garing.


6) Hidangkan segera dan cheesy garlic bread ini sedap dimakan dengan sup cendawan.

Assalamualaikum, 

Ada yang suka makan tak biji cempedak rebus atau lepas makan cempedak goreng yang masih panas-panas, turut makan bijinya juga. Siapa tu? Sayalah orangnya..hihihi. 

Kalau yang pernah makan mesti tahu bahawa biji cempedak sangat lemak dan sedap. Tapi ada juga yang tak makan biji cempedak ni kerana takut perut berangin. Bagi saya apapun kalau dimakan berlebih-lebih pasti mendatangkan mudarat. Setakat seketul dua tak jadi masalah...sambil makan sambil mengimbau kenangan masa kecil. Dulu saya selalu tertunggu-tunggu ibu rebus biji cempedak. Sedap...biji cempedak direbus dengan sedikit garam sampai lembut dan merekah buat kudapan dipetang hari. Memang seronok membesar sebagai budak kampung walaupun makanan tak semewah seperti anak-anak zaman sekarang.

Hari ni saya ingin berkongsi resipi kari udang biji cempedak yang saya masak minggu lepas kerana teringin. Sebelum digulaikan, rebus sebentar biji cempedak dan kupas nipis kulit luarnya. Resipi kari ni biasa sahaja macam kita masak selalu tu.

KARI UDANG BIJI CEMPEDAK
Bahan-bahan 
300gm udang hidup - di bersihkan
3 ulas bawang merah 
1 ulas bawang putih 
1 sudu teh halba campur
2 tangkai daun kari
1 kiub ikan bilis 
1 cawan santan 
2 cawan air 
1 bungkus serbuk kari ikan - bancuh dengan sedikit air, jadikan pes
2 tangkai cili besar
1 biji tomato 
minyak untuk menumis
20biji - biji cempedak, direbus hingga agak lembut dan kupas kulit luarnya

Cara memasak:

1. Panaskan minyak, tumis halba campur bersama bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga berbau wangi.


2. Masukkan pula serbuk kari dan kacau hingga pecah minyak. Setelah itu masukkan pula air sambil dikacau.

3. Seterusnya masukkan biji cempedak dan renih sehingga lembut.

4. Masukkan santan bersama tomato, cili besar dan perasakan dengan kiub ikan bilis. Jika kurang masin masukkan sedikit garam.

5. Akhir sekali masukkan udang dan renih hingga masak.
 

Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca yang sudi masuk kepautan blog Fiza's Cooking. Satu lagi perkongsian kek tanpa telur iaitu Eggless Moist Chocolate Cake. Resipi ini sangat mudah...terima kasih kepada pemilik asal resipi, dayangjack dan kongsikan pula diblog ini bagi yang ingin mencubanya.

Kek ini sedap dimakan begitu sahaja atau jika suka boleh juga letak topping coklat. Resipi topping simple ada disertakan di bawah gambar terakhir entry. Selamat mencuba :) 

SUPER MOIST EGGLESS CHOCOLATE CAKE
Sumber  : dayangjack

Saya guna loyang saiz : 4in x 8in
Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 cawan serbuk koko 
2 sudu besar susu tepung
1  1/4 cawan air sejuk (dari peti ais - saya guna susu segar coklat)
1 cawan gula perang
1 sudu kecil esen vanilla
1/2 sudu teh coffee emulco atau chocolate emulco
secubit garam
1/2 cawan minyak masak sayuran atau minyak jagung atau mentega cair
1 sudu kecil cuka atau jus lemon

Cara-cara :

1. Panaskan oven pada suhu 160C. Sediakan loyang kek. Griskan dengan mentega. 

2. Ayak tepung gandum bersama baking powder, soda bikarbonat dan serbuk koko di dalam bekas besar. 


3. Masukkan susu tepung, garam dan gula perang. Kemudian dikacau rata.
3. Masukkan susu sejuk, minyak masak, esen vanila dan coffee emulco/chocolate emulco. Kacau perlahan-lahan dengan whisk. Pastikan adunan tidak berketul.
4. Akhir sekali masukkan cuka atau jus lemon. Terus dikacau serta merta sehingga sebati.

5. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 30-40 minit atau hingga masak.
 
6. Sejukkan kek setelah masak. Boleh juga dihiaskan dengan topping kegemaran.

TOPPING
2 sudu besar margerin
6 sudu besar susu pekat manis
6 sudu besar serbuk koko
Air panas secukupnya untuk melikatkan adunan

Kacau semua bahan-bahan diatas dan tuang topping ke atas kek 

Assalamualaikum, 

Eggless Banana Cake yang rangup diluar dan lembut didalam adalah hidangan sarapan pagi untuk anak-anak saya pagi ini. Membuatnya pun amat mudah... lenyek pisang, campur semua dengan tepung dan bakar sahaja. Tidak perlu keluarkan mixer. Ada sahabat FB saya yang minta resipi kek ringkas tanpa telur sebelum ini. Mudah untuk dibawa sebagai buah tangan ketika mengunjungi pesakit, katanya. Bagi saya ini adalah resipi kek yang sesuai. 

InshaAllah esok saya akan kongsikan satu lagi resipi kek tanpa telur sebagai pilihan. Semoga selepas ini ia boleh dijadikan panduan untuk menghasilkan kek terutama sekali untuk mereka yang alah kepada telur ataupun harus berpantang kerana kesihatan tidak mengizinkan. Satu adunan resipi ini cukuplah sebagai buah tangan untuk pesakit.

Jom kita lihat resipi yang mudah ini :)  
EGGLESS BANANA CAKE
Saiz loyang : 4in x 8in 
300gm pisang masak ranum 
180gm tepung gandum 
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh baking soda
100gm gula kastor
160ml minyak sayur
1 sudu teh esen vanilla
Hirisan badam atau coklat chips secukupnya

Cara membuatnya:

1. Lenyek pisang, masukkan gula dan minyak. Kacau rata sehingga gula larut.


2. Ayak tepung gandum bersama baking powder dan baking soda.

3. Masukkan tepung yang diayak sedikit demi sedikit kedalam bahan basah dan kacau dengan spatula hingga sebati.  

4. Tuang kedalam loyang dan bakar pada suhu 180'c selama 40 hingga 50minit, atau sehingga masak. (sesuaikan dengan suhu oven masing-masing, tiap oven berbeza).



5. Setelah masak, sejukkan dan bolehlah dipotong untuk dihidangkan.



Assalamualaikum, 

Apa khabar semua pembaca yang sudi jenguk ke blog pagi ni dan bagaimana cuaca di tempat anda? Di Langkawi hujan renyai-renyai dari awal pagi lagi dan dalam suasana mendung begini memang buatkan perut berdendang minta di isi. Sebelum ke pejabat pagi ni saya ada buatkan sarapan yang amat ringkas sekali iaitu creamy corn soup. Ala ala mat salleh pulak pagi ni kan...selalunya nasi lemak atau roti canai je yang mengisi perut. 

Kalau nak ikutkan sekarang ni memang musim jagung di Langkawi. Ramai yang menjual jagung dipinggir jalan atau dipasar-pasar malam. Tetapi pagi ni lebih praktikal lagi, saya hanya gunakan jagung tin iaitu kombinasi jenis cream dan whole kernel untuk membuat creamy corn soup sebagai sarapan pagi yang ringkas dan sedap.

Jom kita lihat resipi...mungkin ada yang teringin untuk mencuba.
CREAMY CORN SOUP
Bahan-bahan 
1 tin jagung - jenis Cream 
1 tin jagung - jenis whole kernel
2 sudu besar bawang holland cincang 
1/4 cawan air 
1 tangkai daun sup 
1 cawan susu segar 
garam secukup rasa
mentega untuk menumis
1 sudu besar minyak 
4 batang sosej
lada sulah secukupnya

Cara membuatnya :

1. Potong nipis-nipis sosej dan panggang didalam kuali sambil dibalik-balik hinga masak. Sebelum itu masukkan sedikit mentega kedalam kuali. Setelah sosej masak ketepikan seketika.


 2. Masukkan sedikit mentega dan minyak kedalam periuk. Tumis bawang holland dan daun sup hingga layu. Masukkan air dan kacau.

3. Tuang jagung cream dan whole kernel kedalam bahan tumis dan kacau agar bercampur sebati.


4. Seterusnya masukkan susu cair dan renihkan.

5. Perasakan dengan serbuka lada sulah dan garam secukup rasa. Hidangkan dengan menabur sosej tadi dan sedap dimakan dengan roti ataupun begitu sahaja.
Assalamualaikum,

Perkongsian resipi untuk petang ini iaitu Kek Lemon Sedap dan gebu. Serius sedap kek ni. Saya amat rekomen untuk pembaca cuba membuatnya...dan kalau boleh jangan skip tuang lemon glaze kerana ia menambahkan lagi kelazatan kek ini. Dan satu lagi, sila gunakan mentega sepenuhnya untuk rasa kek lemon yang lazat. Jangan tukar dengan marjerin.

Saya paling suka rasa masam semulajadi dari jus lemon yang digunakan dalam adunan. Walau makan berapa hiris pun tidak ada rasa muak. Teringin nak cuba buat sendiri dirumah? Jom kita intai resipinya :)  

 KEK LEMON SEDAP DAN GEBU
230gm mentega 
200gm gula kastor
4 biji telur - Gred A
1 sudu teh esen vanilla
260gmTepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu besar kulit lemon - diparut (campur dengan tepung)
60ml air perahan lemon

Lemon Glazing (Kacau rata hingga gula larut)
120gm Gula Halus 
4 sudu besar jus lemon 
Cara membuatnya:

1) Pukul mentega dan gula hingga kembang dan pucat.

2) Masukkan esen vanila, lalu masukkan telur satu persatu sambil dipukul lagi hingga bercampur.

3) Rendahkan speed mixer, masukkan campuran tepung (Tepung gandum dan baking powder)  berselang-seli dengan air lemon hingga rata. Mulakan dan akhiri dengan tepung.

4) Tuang dalam loyang loaf yang sudah dialas kertas. Bakar dengan suhu 180'c kira-kira 45minit. Sesuaikan suhu oven masing-masing. 

5) Tunggu kek sejuk, bolehlah disiram dengan lemon glaze. 


Assalamualaikum, 

Nikmat, kan...petang-petang begini santai sambil nikmati Brownies Kopi dengan aiskrim. Sebenarnya dulu saya memang pencinta kopi tegar. Tetapi sekarang agak kurang minum kopi setelah diserang acid reflux yang agak serius. Cuma sesekali saya minum juga untuk melepaskan gian. Resipi brownies hari ini memang agak istimewa bagi saya kerana adunannya mengandungi larutan serbuk kopi atau lebih tepat lagi nescafe klasik tetapi boleh saja tukarkan dengan kopi kegemaran anda yang lain contohnya seperti white coffee.

Cara membuatnya pun tidaklah sesukar mana dan boleh ikut langkah demi langkah yang disediakan dibawah ini. Jom try buat :) 

BROWNIES KOPI 
200gm coklat masakan
175gm mentega
100gm tepung gandum 
2 sudu besar serbuk nescafe - larutkan dengan 3 sudu besar air panas
1sudu teh esen vanilla
1/2 sudu teh baking powder
150gm gula kastor
3 biji telur - Gred A

Cara membuatnya:

1. Cairkan dark cooking coklat dan mentega dengan cara double boiler. Ketepikan dan sejukkan seketika.

2. Panaskan oven pada suhu 170'c dan sediakan loyang bersaiz 7inci x 7inci. Sapu mentega dan lapik dengan kertas.

3. Ayak tepung dengan baking powder, ketepikan seketika. Didalam mangkuk pengadun, pukul gula dan telur sampai rata dengan whisk (tidak perlu terlampau kembang).


4. Masukkan coklat beserta mentega yang telah dicairkan dan nescafe. Kacau rata.

5. Seterusnya masukkan tepung dan baking powder sambil dikacau. Tuang adunan kedalam loyang dan tabur hirisan badam diatas adunan.


6. Bakar lebih kurang 45minit (bergantung kepada oven masing-masing) atau sehingga masak. 

Assalamualaikum,

Kek Marble sedap dan gebu antara koleksi resipi kek marble terbaik ada didalam blog ini. Resipinya saya ambil dari perkongsian di IG iaitu dari resipi asal lawthomas. Resipi ini menggunakan telur agak banyak iaitu 8biji (diambil 8kuningnya dan 7putih telur) tetapi tidak menggunakan sebarang serbuk penaik dan ianya tetap gebu dan lembut.

Saya buat kek ini semalam atas permintaan anak sulung untuk dibawa pulang ke asrama petang ini. Jom kita lihat cara membuatnya :) 

KEK MARBLE SEDAP DAN GEBU
Bahan-bahan
8 biji telur - Gred A (pisahkan dan ambil 8kuning telur dan 7putih telur)
200gm tepung gandum
25gm susu tepung 
250gm gula halus (kisar gula pasir)
330gm margerin + mentega (200gm mentega + 130gm marjerin)
2 sudu makan serbuk koko dan sedikit coklat emulco
1 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya: 

1. Panaskan oven pada suhu 175'c dan sediakan loyang. Sapu marjerin dan tabur tepung.

2. Pukul margerin, mentega dengan gula menggunakan mixer. Setkan pada 'high speed' dan pukul hingga putih (dalam 15 ke 20minit)

3. Masukkan pula esen vanilla serta kuning telur satu persatu dan rendahkan kelajuan mixer.
4. Masukkan pula tepung gandum dan susu tepung kedalam adunan, pukul lagi selama 1 minit (mixer kelajuan rendah). Ketepikan seketika.



5. Didalam mangkuk lain, pukul putih telur sehingga mengembang (bila dibalikkan mangkuk, putih telur tidak jatuh). Masukkan putih telur tersebut kepada 3tahap dan kaup balik dengan spatula.

6. Ketepikan 1/3 adunan, masukkan serbuk koko serta coklat emulco dan kacau rata. 
7. Tuang adunan putih dan coklat berselang seli kedalam loyang  dan bakar sehingga 55minit sampai masak (bergantung pada oven masing-masing).

Assalamualaikum, 


Amboi...entry kek lagi ye hari ni. Hehehe..ada beberapa orang teman baik saya diFB tinggalkan komen, rajin benar saya buat kek tiap-tiap hari. Sebenarnya sebahagian daripada entry blog untuk minggu ini dah lama tersimpan dalam draft dan baru sekarang saya publish sedikit demi sedikit. Secara kebetulan pula kesemuanya entry berkenaan dengan kek rupanya. Aaa ah lah kan, baru saya perasan.  Rupanya selama ini saya begitu obses sekali buat beraneka jenis kek...tapi yang mudah-mudah sahajalah. Kalau kek jenis berkrim tu saya kurang gemar tapi kek kosong macam Kek Chiffon Coklat dibawah ni saya sukalah. Sedap gandingkan dengan teh O dipetang hari.

Bila datang mood rajin barulah godek-godek gambar dan resipi untuk kongsikan diblog. Kalau datang mood malas pulak sampai bersawanglah blog tidak dijenguk...apatah lagi nak ketuk keyboard laptop untuk update sepatah dua kata. Maklumlah selain dari berblogging, tanggungjawap pada kerjaya dan keluarga pun kena beri tumpuan juga kan. Terharu dan bersyukur, walaupun jarang-jarang update blog...masih ada pembaca yang sudi masuk kesini tiap hari. Terimakasih saya ucapkan :)  

Baiklah hari ini saya nak kongsikan resipi kek chiffon coklat. Tak susah sebenarnya nak buat kek chiffon dan yang penting kena berani mencuba. Jika betul-betul ikut resipi, yang tak tahu buat kek atau pertama kali mencuba pun akan menjadi dengan jayanya. Jom kita lihat resipi kek Chiffon Coklat.

KEK CHIFFON COKLAT 
Bahan-bahan
225gm tepung gandum
200gm gula kastor
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh garam halus
25gm serbuk koko
6 kuning telur - Gred A

Bahan B
180ml susu segar
120ml minyak
1 sudu teh esen vanilla

Bahan C
6 putih telur - Gred A
100gm gula kastor

Cara membuatnya: 

1. Masukkan Tepung gandum, gula kastor. baking powder, garam dan serbuk koko kedalam mangkuk besar. Kacau dengan hand whisk agar semua bahan bercampur.


2. Masukkan kuning telur kedalam bahan-bahan tepung tadi, diikuti oleh susu segar, minyak dan esen vanila. Kacau hingga sebati dan gula larut. Ketepikan seketika. 

3. Didalam mangkuk lain, pukul putih telur dan masukkan gula 3 tahap hingga menjadi 'soft peak' iaitu jika diterbalikkan mangkuk adunan putih telur tidak akan tumpah.(sila lihat gambar dibawah).

4. Seterusnya masukkan putih telur kedalam mangkuk berisi tepung juga 3 tahap. kaup balik hingga sebati.


5. Tuang adunan kedalam loyang kek chiffon dan hentak-hentakkan sedikit sebelum dibakar pada suhu 170'c selama 1jam atau 1jam 5minit. jangan risau, adunan kek tidak akan meleleh dibawah loyang ketika anda menghentaknya. Tapi, jangan pula hentak terlampau kuat ye :D . Sebelum masukkan adunan, JANGAN sapu sebarang minyak pada loyang seperti kita membuat kek-kek lain. Kek tidak akan melekat diloyang dan cara untuk keluarkannya hanya sisipkan pisau disekeliling loyang.
6. Setelah kek masak terbalikkan loyang agar kek tidak kempis. Biarkan hingga sejuk. Sayangnya saya tidak ambil gambar ketika loyang diterbalikkan. Mungkin pada entry akan datang saya akan tunjuk caranya.

Assalamualaikum, 

Hari ini saya ingin berkongsi resipi kek kurma pisang bermadu. Masih banyak stok kurma bulan puasa yang lalu dirumah jadi saya campurkan dengan pisang dan jadikan teman 'ngopi' yang sangat lazat dan moist

Walaupun ada bahan-bahan manis seperti madu, kurma dan gula perang...kek ini tidaklah manis pada lidah saya dan sedang-sedang sahaja. Bagi yang ingin mencubanya..sila rasa kurma yang akan digunakan kerana ada kurma yang sangat manis dan ada pula yang kurang manis. Seimbangkan dengan jumlah gula perang yang akan digunakan. 

Baiklah...jom lihat resipinya :) 
KEK KURMA PISANG BERMADU
Bahan Bahan
125gm mentega
80gm gula perang  
2 biji telur 
175gm Tepung gandum
1 sudu teh Baking Powder
150gm Kurma - Dibuang biji dan cincang 
60ml madu - Rendam dengan kurma
200gm pisang ranum - di lenyek 


Cara membuatnya : 

1) Putar mentega dan gula sehingga kembang. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul lagi.
2) Setelah semua bercampur, matikan mixer. Masukkan tepung gandum berselangseli dengan kurma yang direndam madu dan pisang lenyek. Kaup balik hingga sebati menggunakan spatula.
3) Tuang adunan kedalam loyang loaf yang telah dilapik kertas. Bakar pada suhu 180'c dalam 45minit atau sehingga masak.