Assalamualaikum, 

Kek yang paling senang nak buat dan rasanya pun sedap. Oleh kerana gunakan gula perang didalam adunan kek ini, warna kek agak gelap sedikit tetapi rasanya memang kena dengan citarasa.

Kebetulan ada kacang gajus, saya taburkan diatas adunan sebelum bakar didalam oven. Kalau ada hirisan badam pun boleh juga, tapi kalau tak letak apa-apa pun masih lagi sedap.

Kalau ada pisang ranum kat rumah tu, jomlah try buat. Resipinya saya ambil dari IG makcik manggis dan ada saya sertakan dibawah ni. 
KEK PISANG SEDAP
Bahan-bahan 
1 cawan tepung gandum 
1 sudu teh baking powder 
1 sudu teh soda bikarbonat 
secubit garam 
2 biji telur 
1/2 cawan gula perang 
1/2 cawan minyak masak 
1 cawan pisang - dilecek
1/2  sudu besar jus lemon
Badam hiris / biji gajus - jika suka 

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 180'c, sapukan loyang dengan sedikit minyak.

2. Ayak tepung gandum bersama baking powder dan soda bikarbonat, ketepikan. Didalam bekas lain lenyek pula pisang dan masukkan jus lemon/limau nipis ketepikan seketika.
 3. Pukul telur dengan gula perang sehingga kembang, masukkan minyak masak dan pukul lagi sehingga sekata.
4. Masukkan pisang lenyek dan pukul perlahan sehingga sebati. Masukkan pula tepung yang telah diayak tadi dan kacau hingga sebati.
5. Tuang kedalam loyang dan tabur dengan kacang badam, gajus atau walnut (ikut selera). Bakar dalam 45minit atau sehingga masak.

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, balik kerja tadi sempat juga menguli tepung untuk buat pizza mudah. Mudah kerana saya letakkan apa sahaja yang ada dalam petiais sebagai toppingnya. Untuk sosnya pun saya hanya gunakan baki sos lebihan spaghetti. 

Kali ini saya buatkan roti pizza agak tebal sebab selalunya anak-anak cakap tak puas makan. Hehehe...dah buat tebal macam ni memang mengenyangkan walaupun makan sepotong. Nampaknya malam ini memang anak-anak tak makan nasi dah.

Nak cuba buat sendiri dirumah? jom lihat resipi :) 

PIZZA SIMPLE
2½ cawan tepung gandum 
½ sudu teh gula
½ sudu teh garam 
1½  sudu besar yis
3 sudu besar minyak 
1 cawan air suam
2 sudu besar tepung gandum untuk menguli 

Untuk Topping 
Sos Spaghetti secukupnya - Saya guna perasa Tradisional 
1 cawan cheese mozzarella - parut
5 batang crab stick - dipotong 
5 batang sosej - dipotong 
1 cawan cawan potongan lada benggala
1 cawan cendawan
Daun parsley kering secukupnya

Cara membuatnya :

1. Masukkan yis kedalam air suam dan kacau. Biarkan selama kira-kira 5minit sehingga yis berbuih (kembang).

2. Didalam mangkuk adunan, campurkan tepung, gula, garam dan minyak sambil dikacau hingga bercampur.

3. Masukkan air bercampur yis tadi sedikit demi sedikit kedalam adunan sambil diramas. Uli sehingga doh menjadi licin serta elastik. Jika adunan terlalu lembik tekap tangan dengan tepung gandum dan teruskan menguli. 
4. Gris mangkuk besar dengan minyak, masukkan doh kedalamnya. Tutup dengan plastik dan biarkan doh naik (kira-kira 45minit ke 1jam).

5. Kempiskan adunan dan uli diatas permukaan yang telah ditabur tepung. Bahagikan kepada dua adunan. Rehatkan adunan selama 5minit sebelum dinipiskan kedalam loyang.
6. Sapu sos spaghetti keatas doh pizza dan tabur dengan bahan topping. Bakar didalam oven selama 15 hingga 20minit atau sehingga masak.


Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca blog yang sudi masuk kesini. Sarapan apa agaknya hari ini? Kalau saya cukup sepinggan kue tiaw goreng daging sebagai pembuka hari. Walapupun hari minggu, jadual hari ini padat dengan urusan-urusan luar dan memerlukan saya keluar awal dari rumah. Hmm...tak bolehlah nak bersantai-santai walaupun bercuti.

Bagi yang ingin mencuba resipi kue tiau goreng daging, resipinya ada dibawah ini. Resipi simple sahaja tetapi saya suka dengan rasa dagingnya yang telah diperap terlebih dahulu. Gandingkan pula dengan cili jeruk...hmm, memang sedap. Jom cuba :) 

KUE TIAW GORENG DAGING 
Bahan-bahan
500gm kue tiaw
300gm taugeh
4 ulas bawang putih - dicincang 
3 sudu besar kicap cair
2 sudu besar kicap pekat
1 sudu besar cili kisar
4 tangkai daun kucai

DIPERAP
200gm daging - dihiris nipis
1 sudu teh halia - dicincang 
1 ½ besar tepung jagung 
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu besar kicap cair
½ sudu teh serbuk lada hitam

Cara membuatnya :

1. Perap daging dengan halia yang dicincang, tepung jagung, kicap cair, minyak bijan dan serbuk lada hitam selama lebih kurang 20minit.


2. Panaskan kuali, masukkan minyak sedikit sahaja. Masukkan kue tiaw dan kacau dengan cepat. Masukkan juga ½ sudu teh kicap pekat dan ½ sudu teh kicap cair. Kacau hingga sebati dan angkat kue tiaw, masukkan kedalam pinggan. Ketepikan seketika.
3. Panaskan kuali kembali, masukkan kira-kira 1 ½ sudu besar minyak. Masukkan daging yang telah diperap dan cili kisar, kacau hingga wangi. Masukkan pula 1½  sudu besar kicap pekat,  2½  sudu besar kicap cair dan kacau lagi sehingga daging masak.

4. Masukkan daun kucai, kue tiaw dan taugeh. Kacau dengan cepat hingga semua bercampur. Suaikan rasa, dan bolehlah dihidangkan.
Assalamualaikum, 

Salam jumaat untuk semua pembaca yang sudi masuk ke blog. Hari ini agak sibuk dengan kerja dan tak banyak yang nak diceritakan, cuma ingin berkongsi resipi 'dessert' yang sangat sedap ini.  

Dah lama tak buat brownies. Rasa teringin nak makan, semalam saya buatkan chocolate fudge brownies untuk anak-anak. Nikmatnya alahai...tak boleh berhenti mengunyah. Pada yang ingin mencuba saya sertakan resipinya dibawah ini. 

CHOCOLATE FUDGE BROWNIES
Bahan-bahan
145gm mentega
230gm gula kastor
110gm serbuk coklat 
secubit garam 
1 sudu teh esen vanilla
2 biji telur gred A
70gm tepung gandum
50gm walnut 
½ cawan chocolate chip
¼ cawan almond nibs 

Cara membuatnya :

1.Panaskan oven pada suhu 170'c. Sediakan loyang bersaiz 8in x 8in yang telah dialas kertas, sapukan minyak.

2. Masukkan mentega, gula, serbuk coklat dan garam ke dalam mangkuk. Gunakan kaedah 'bain marie' untuk mencairkan adunan iaitu didihkan air didalam periuk, dan letakkan bekas berisi coklat tadi diatas periuk tersebut. Biarkan coklat cair dan gula larut, tutup api dapur dan kacau agar adunan bercampur. Boleh juga cairkan dengan mikrowave

3. Masukkan esen vanilla dan kacau menggunakan spatula atau senduk kayu.
3. Masukkan telur satu persatu, kacau dengan kuat. Setelah adunan mula pekat masukkan pula tepung gandum. Kacau lagi anggaran 40kali agar bercampur rata.
4. Masukkan walnut serta coklat chips dan tuang adunan kedalam loyang. Akhir sekali tabur almond nib.
 
5. Masak selama 25 hingga 30minit minit atau sehingga masak.
 
6. Sejukkan brownies, keluarkan dari loyang. Untuk mendapatkan hirisan yang kemas, masukkan brownies ke dalam freezer selama 10 menit. Potong dan hidangkan.

Assalamualaikum, 


Nasi goreng memang hidangan penyelamat disaat tiada idea atau masa yang suntuk untuk memasak berbagai jenis lauk pauk. Hidangan nasi goreng biasa pun boleh jadi sedap dan rasa seperti makan di hotel berbintang-bintang jika kita kreatif sedikit mengolahnya. 

Hari ini saya ingin kongsikan resipi Nasi Goreng Udang Tempura yang sangat simple, iaitu digoreng ala nasi goreng cina dan hidangkan dengan udang tempura. Boleh salut tepung ikut ketebalan yang kita suka dan jika saya lebih suka tepung yang tidak terlalu tebal untuk digandingkan dengan nasi goreng ini dan saya hanya buang urat hitam dibelakang udang sahaja dan biarkan kepala dan ekornya tidak disiang. Sedap makan ranggup-ranggup. Hmm...dalam dok menulis ni pun ah terliur ni, hehehe. Jom kita lihat resipinya :)


NASI GORENG UDANG TEMPURA
2 Cawan nasi sejuk - peroikan
2 biji telur
4 ekor udang
1/4 labu bawang holland - dicincang
2 ulas bawang putih - dicincang
1/2 batang lobak merah saiz kecil  - dipotong dadu
2 tangkai daun bawang - dihiris
2 sudu besar kicap cair
2 sudu teh gula
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
3 sudu besar minyak masak

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak, tumis bawang holland dan bawang putih hingga wangi.

2. Masukkan telur, kacau dalam 1 minit dan masukkan nasi sejuk. Kacau hingga sebati.
 3. Perasakan dengan kicap cair, gula dan serbuk lada sulah.
4. Akhir sekali masukkan lobak merah dan daun bawang.
5. Kacau hingga masak dan hidangkan bersama udang tempura, daun bawang, cili potong dan limau nipis.

Udang Tempura 
Bahan-bahan:
100gm udang hidup (saiz besar) – dibuang urat hitam
1/2 cawan tepung naik sendiri
1/4 cawan tepung jagung
garam dan lada sulah secukup rasa
Air sejuk dari petiais secukupnya
Minyak untuk menggoreng 

Cara-cara membuat:

1.  Masukkan tepung naik sendiri, tepung jagung, garam dan lada putih ke dalam mangkuk adunan

2.  Masukkan air sejuk sedikit demi sedikit dan kacau untuk mendapatkan adunan yang pekat.


3.  Panaskan minyak, celup udang ke  dalam adunan bater dan goreng sehingga keperangan. 


Boleh juga gunakan tepung tempura segera yang banyak dipasaran. 
Assalamualaikum, 


Dah seminggu tidak jenguk ke blog terasa lama sangat dah. Masih ada lagi beberapa menu yang tersimpan dalam draft, tapi masa yang agak terbatas dan ada perkara yang lebih penting harus diselesaikan, maka blog pun terbiar tanpa sebarang update. 

Sekarang ada masa senggang sedikit bolehlah update resipi sarapan Pulut Ayam Berempah yang saya masak pagi ini, tapi oleh kerana mengejar masa tak adalah langkah demi langkah cara memasak seperti biasa tu. Lagipun saya dah pernah sertakan cara memasak pada entry sebelum ini iaitu menu pulut ayam Thai. Bolehlah klik disini...penyediaannya sama sahaja cuma bahan-bahan perapan yang saya gunakan kali ini berbeza sedikit dan lebih kepada citarasa Malaysia kerana menggunakan serbuk kari.

Jom kita lihat resipinya :)   

PULUT AYAM BEREMPAH 
500gm beras pulut - direndam
2 helai daun pandan
1/2 ekor ayam - dipotong kecil
2 sudu besar rempah kari daging
1/4 cawan tepung beras
2 sudu teh serbuk kunyit
garam secukup rasa

Dikisar atau ditumbuk lumat
5 ulas bawang putih
1 batang serai
2cm halia
1/2 sudu teh lada hitam

Bahan sampingan
Bawang merah goreng - untuk ditabur atas pulut
Sos cili Thai secukupnya

Cara membuatnya :

1. Basuh beras pulut, simpulkan daun pandan dan kukus hingga masak. Ketepikan seketika. Selalunya beras pulut direndam terlebih dahulu selama 3 hingga 4jam sebelum dikukus. Tips : untuk mempercepatkan proses tersebut, rendam beras pulut dengan air mendidih selama 15 ke 20minit toskan dan boleh terus dikukus.

2. Gaul ayam dengan bahan tumbuk, rempah kari, serbuk kunyit, garam dan tepung beras. Perapkan dalam 10minit, panaskan minyak  dan goreng ayam sehingga garing. Angkat dan toskan.

3. Goreng bawang merah sehingga kekuningan dan angkat. Pulut ayam lebih enak dimakan bersama-sama bawang goreng yang dihasilkan sendiri.

4. Hidangkan pulut kukus bersama ayam goreng, taburan bawang goreng serta sos cili Thai.

Assalamualaikum, 

Perkongsian untuk petang ini adalah kek susu kukus. Teksturnya lembut dan gebu walaupun tidak menggunakan mentega atau minyak, dengan syarat harus ikut betul-betul step no. 1 iaitu pukul gula, ovellete dan  telur hingga betul-betul kental dan putih dengan mixer speed tinggi,  barulah masukkan bahan-bahan lain.

Rasa kek ini tidak muak dan anak-anak pasti menggemari perpaduan rasa susu cair dan susu tepung didalam adunan kek ini. 

Oh ya, bagi pembaca yang was-was dengan status halal ovellete...selalunya jika ke pasaraya saya hanya beli yang ada pengesahan halal daripada JAKIM iaitu jika ditempat saya ni jenama yang ada adalah Nona atau Kijang.

Bagi yang ingin mencuba, jom kita lihat resipi dibawah ini :) 
  
KEK SUSU KUKUS
Bahan-bahan
200 gm gula kastor
3 biji telur - Gred A
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh ovellete
225 gm Tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
25 gm susu tepung
200 ml susu cair/segar
Coklat rice secukupnya

Cara membuatnya :

1. Pukul gula, telur, esen vanilla dan ovellete hingga kembang dan putih dengan menggunakan mixer (set pada speed tinggi selama lebih kurang 10 hingga 15minit)

2.  Turunkan mixer kepada speed rendah.Masukkan tepung gandum yang telah diayak dengan baking powder dan susu tepung berselang seli dengan susu cair/segar. Pukul lagi hingga adunan bercampur.

3. Masukkan coklat rice,  kacau dengan spatula dan tuang kedalam loyang yang sudah disapu minyak. Tabur baki coklat rice keatas kek.
4. Sediakan kukusan dan setelah air mendidih, kukus kek selama 45minit atau sehingga masak.  Sebelum itu lapik loyang dengan aluminium foil supaya wap tidak menitik dalam kek.
Assalamualaikum,

Ada dari pembaca blog ini yang email pada saya meminta dikongsikan resipi kek-kek yang dikukus kerana belum mahir menggunakan oven. Katanya kalau bakar kek menggunakan oven, selalu gagal. Ada yang mendap ditengah, ada yang terlebih masak diatas kek tetapi didalam masih mentah, ada yang dah ikut resipi betul-betul didalam blog tetapi bila buat sendiri tidak menjadi dan berbagai-bagai lagi kejadian yang menyebabkan dia gagal menghasilkan kek yang diidamkan. 

Apa yang boleh saya komen adalah, untuk membuat kek kita harus ada ilmu ataupun membuat rujukan dan tips-tips yang betul. Bermula dari penyediaan adunan sehinggalah 'setting' oven kerana kapasiti oven tidak sama diantara satu sama lain. Ianya tidaklah sesukar yang dibayangkan. InshaAllah saya akan kongsikan tips-tips tersebut diblog ini pada entry akan datang jika ada kesempatan.

Untuk pembaca yang email itu juga, inshaAllah saya akan kongsikan resipi-resipi kek kukus didalam blog ini dan saya mulai dengan entry hari ini iaitu kek oren coklat kukus. Jom kita lihat resipinya dan selamat mencuba :) 

KEK OREN COKLAT KUKUS
1 cawan gula kastor
1 cawan mentega 
4 biji telur gred A
1 3/4 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
secubit garam halus
2 sudu besar serbuk coklat 
1 biji buah oren (diparut kulit dan perah jusnya)
2 titis pewarna oren

Cara membuatnya :

1. Dalam mangkuk adunan, masukkan mentega dan gula. Putar sehingga gula larut. Setelah itu masukkan telur satu demi satu dan pukul sehingga campuran bertukar putih dan gebu.

2. Masukkan pula tepung yang telah diayak dengan baking powder dan garam halus. Gaul rata tepung ke arah yang sama tetapi dalam gerakan bulatan.

3. Asingkan adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian masukkan serbuk coklat dan dan gaul rata.
4. Dalam mangkuk lain, masukkan parutan oren dan jus. Masukkan juga beberapa titis pewarna oren untuk warna yang lebih menonjol. Gaul rata.
5. Tuang kedalam loyang bersaiz 8inci berselang seli antara adunan coklat dan oren hingga selesai.
6. Panaskan pengukus, masukkan loyang kek tadi dan kukus dalam api sederhana selama kira-kira 1 jam atau sehingga kek masak. Jangan lupa tutup loyang dengan aluminium foil untuk mengelakkan air dari menitik diatas adunan.
7. Tunggu sehingga kek telah sejuk sebelum dipotong dan hidangkan.

Assalamualaikum,

Dah lama tak buat kek gula hangus kukus dan oleh kerana teringin, lepas subuh tadi saya kukuskan seloyang, cukuplah untuk sarapan pagi ini. Walaupun lepas bancuh adunan saya terus kukus tanpa diperap terlebih dahulu, Alhamdulillah keknya bersarang juga. Kalau perap lebih lama, mesti keknya bersarang lebih cantik lagi kan. Sedapnya alahai...dan resipinya pun mudah sahaja. 

Nak cuba buat? Jom...  :) 

KEK GULA HANGUS KUKUS
Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
2 sudu teh soda bikarbonat 
4 biji telur - Gred A
1 cawan susu pekat manis (Agak manis - boleh kurangkan kepada 1/2 cawan)

Gula Karamel
1 cawan gula pasir
1 cawan air panas
2 sudu teh mentega

Cara membuatnya :

1. Mula-mula sediakan gula karamel terlebih dahulu dan sejukkan. Masukkan gula pasir kedalam kuali dan masak dengan api sederhana sehingga cair dan keperangan. Berhati-hati, masukkan air panas dan mentega. Ketepikan seketika sehingga sejuk.

2. Didalam mangkuk besar, ayak tepung gandum dengan soda bikarbonat dan ketepikan seketika.

3. Didalam mangkuk pengadun pula, putar telur dengan susu pekat hingga kembang dan masukkan tepung sedikit demi sedikit.
4. Akhir sekali masukkan gula karamel yang telah sejuk dan kacau rata. 
5. Tuang kedalam loyang dan tutup dengan aluminium foil supaya air tidak menitik keatas kek.

5. Kukus dengan api sederhana selama sejam atau sehingga kek masak.
Assalamualaikum, 

Petang-petang hari begini sedap kalau dapat menikmati secawan teh dengan Bun Pizza Gulung yang panas-panas baru keluar dari oven, hasil dari air tangan sendiri, kan? Harum je baunya ketika dipanggang.

Tapi, ramai yang fikir dua kali kalau nak buat roti, kerana nampak macam susah. Tambah-tambah 'part' nak uli tu. Maklumlah tak semua yang ada bread maker dirumah. Jangan risau kerana selain daripada bread maker, boleh juga gunakan whisk atau pemutar adunan yang biasa kita gunakan untuk membuat kek tu. Kan ada dua jenis hook...gunakan hook yang berbentuk spiral. Lepaslah kalau sekadar uli adunan dalam kuantiti yang kecil untuk keluarga dirumah. Nak buat pizza pun mudah. Kalau whisk anda panas semasa menguli, matikan sebentar dan sambung menguli lagi. Mungkin ramai yang dah tahu, tapi ada pengikut blog ini yang email kepada saya bertanya tentang fungsi spiral hook ini. Jadi saya kongsikan disini hari ini.

Baiklah bagi yang nak try buat bun pizza gulung pula, jom kita lihat resipi dibawah ini :) 

BUN PIZZA GULUNG
122gm tepung protein tinggi
8gm susu tepung
3gm yis
90gm (sebiji telur dicampur susu cair) - timbang
secubit garam
20gm mentega

Untuk topping
Sos spaghetti segera secukupnya - saya guna perasa tradisional 
5 batang sosej
5 batang filamen ketam
1/2 biji bawang holand - dipotong
1/2 biji lada benggala - di potong 
cendawan secukupnya 
keju parut secukupnya
secubit serbuk oregano

Cara membuatnya :

1. Campur telur dan susu cair sambil dipukul rata. Masukkan tepung,yis dan susu tepung sambil di uli.

2. Uli sehingga adunan sebati baru masukkan mentega serta garam. Uli lagi hingga adunan benar-benar kenyal.
3. Masukkan adunan kedalam mangkuk besar dan tutup dengan plastik/tuala dapur selama lebih kurang 10minit. 

4. Keluarkan adunan dan leperkan dengan ketebalan 1/2cm. Sapukan sos spaghetti, tabur semua bahan-bahan untuk topping dan gulung perlahan-lahan.
5. Potong adunan anggaran 3cm dan susun didalam loyang saiz 8inci dan biarkan sebentar hingga adunan naik dua kali ganda.

6. Tabur baki keju, oregano dan bakar didalam oven pada suhu 180'c selama 20 minit atau sehingga masak.


Oh ya, bagi adik-adik yang baru belajar, dibawah ini contoh hook berbentuk spiral yang saya ceritakan tadi. 
CREDIT TO GOOGLE

Assalamualaikum,

Salam ceria pagi Rabu, 6hb April 2016. Kek Belang Pandan Cappucino ini saya hasilkan menggunakan resipi asas kek marble sahaja dan saya pasti ramai yang dah tahu serta pernah mencuba resipi ini. Ia sangat mudah dan sesuai untuk yang baru mula belajar buat kek. Saya gemar buat kek yang ringkas macam ni kerana anak-anak suka makan dan rasanya pun tidak muak. 

Kek ini juga sesuai dihidangkan pada sebarang majlis atau pada hari raya yang akan datang. Boleh juga pelbagaikan rasa dengan mencampur pes mengikut selera anda dan cantik juga jika dibentukkan menjadi corak marble.

Bagi yang ingin mencuba resipi kek yang ringkas ini, jom kita lihat langkah demi langkah dibawah ini. :)
  
KEK BELANG PANDAN CAPPUCINO
Bahan-bahan
250 gm mentega
220 gm gula kastor
4 biji telur - Gred A
220 gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
50ml susu segar
1sudu teh pes cappucino
1 sudu teh pes pandan

Cara membuatnya :

1. Pukul mentega dengan gula hingga kembang. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi. 
2. Kemudian masukkan tepung gandum yang telah diayak dengan baking powder berselang seli dengan susu segar. Pukul hingga sekata. 
3. Bahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan pes cappucino, satu bahagian dengan pes pandan dan satu bahagian lagi dibiarkan warna asal. Saya masukkan didalam plastik segitiga untuk memudahkan proses melapis adunan.
4. Sapu loyang dengan mentega dan alas dengan kertas minyak. Lapis adunan ke dalam loyang berselang seli. Lorek sedikit dengan lidi untuk corak yang lebih menarik.
5. Bakar pada suhu 170c selama 45minit - 50minit (Bergantung pada oven masing-masing).