Assalamualaikum, 

Terimakasih kepada Penolong Pengarang Majalah Saji, Puan Rosmalinda kerana masih memberi kesempatan buat kesekian kalinya fizalgk muncul di dalam Majalah resipi bulanan berinfomasi ini bagi keluaran November 2017 bertemakan kenduri kahwin.

Ada 5 resipi puding berserta langkah demi langkah yang saya kongsikan iaitu Puding Telur Masin, Puding Biskut Marie, Puding Keladi Selasih, Puding Labu Kuning dan Puding Laici Bandung. Walaupun simple, puding-puding tersebut boleh dipelbagaikan dan dihias cantik dimeja makan beradap untuk raja sehari. mengikut kreativiti pembaca. Jangan lupa tau, dapatkan Majalah Saji keluaran November 2017. Ada 80++ santapan raja sehari untuk dicuba.


Jangan lupa tau, dapatkan Majalah Saji keluaran November 2017. Ada 80++ santapan raja sehari untuk dicuba.


Assalamualaikum,

Minggu ini memang saya akan review secara ringkas resipi-resipi dari buku Menu Hari-Hari dan petang ini resipi yang terpilih adalah Mee Ketam. Hmm sedapnya mee ketam untuk hidangan dipetang atau malam hari. Apalagi kalau gunakan ketam yang segar, pasti kuahnya lebih manis dan sedap. 

Silalah cuba resipi dibawah ini dan jangan lupa dapatkan buku Menu Hari-Hari yang mengandungi 100 jenis resipi di kedai-kedai buku terpilih seperti Popular Bookstore, MPH, Kinokuniya (sekadar menyebut beberapa nama). Untuk pembelian secara online boleh klik link dibawah ini. 

MEE KETAM 
500gm mee kuning - dicelur dan tuskan 
2 ekor ketam - rebus dengan 4 cawan air
4 sudu besar cili kisar 
3 sudu besar sos tomato 
3 sudu besar sos cili 
1 pokok sayur sawi - dipotong dan celur sebentar 
1 cawan tauge -dicelur sebentar 
1 biji telur rebus - dibelah 2
2 sudu besar minyak masak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan dikisar
3 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih
2 sudu besar udang kering 
½ inci halia
3 keping biskut marie - untuk pekatkan kuah 

Cara membuat :

1. Kuah : Rebus ketam hingga masak dan angkat dari air rebusan.

2. Tumis cili kisar hingga garingdan masukkan bahan kisar. Kacau hingga naik bau dan pecah minyak.

3. Masukkan air rebusan ketam dan biarkan kuah mendidih. Jika inginkan kuah lebih boleh tambahkan air lagi.

4. Masukkan pula garam dan gula secukup rasa dan renihkan kuah hingga benar-benar sebati dan masak sepenuhnya.

5. Untuk menghidangkannya : Bubuh mee, tauge sawi dan telur rebus kedalam mangkuk. Tuang kuah keatasnya dan hidangkan bersama ketam. 

Bagi pembaca blog yang ingin memiliki buku resipi menu hari-hari bolehlah dapatkan di kedai buku terpilih ataupun pembelian secara online di link ini: Karangkraf / bookjannah.com /malaysia.kinokuniya.com / mphonline.com . Sungguh mudah, semua urusan dihujung jari anda.

Dapatkan sekarang dipasaran!
Assalamualaikum,

Salam petang jumaat yang penuh barokah. Hari ini saya nak review secara ringkas buku resipi Menu Hari-Hari, iaitu buku resipi saya yang kedua. Buku ini mengandungi 100 jenis resipi ringkas dengan gambar menu yang mengujakan. Buku ini dibahagikan kepada menu sarapan, tengahari dan malam.

Untuk petang ini saya ingin kongsikan salah satu resipi yang ada dalam buku ini iaitu resipi capati bagi kategori sarapan pagi.

Untuk pembaca blog yang ingin memiliki buku resipi menu hari-hari bolehlah dapatkan di kedai buku terpilih ataupun pembelian secara online di link ini: Karangkraf / bookjannah.com /malaysia.kinokuniya.com / mphonline.com . Sungguh mudah, semua urusan dihujung jari anda.

CAPATI 
Bahan-bahan 

1 cawan tepung atta ataupun tepung gandum 
½ sudu besar minyak sapi – untuk proses menguli 
¼ cawan tepung gandum – ditabur ketika meleperkan doh 
½ cawan air
secubit garam

Cara membuat :

1. Didalam mangkuk besar, campurkan tepung dan garam. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil gaulkan tepung dengan jari.

2. Seterusnya uli tepung selama 10minit. Pada peringkat ini doh mungkin kelihatan tidak rata dan melekit.

3. Tutup doh dengan kain lembab dan rehatkan selama 15minit.

4. Keluarkan doh, lembabkan tangan dengan minyak sapi dan uli doh selama 5 minit lagi hingga licin.

5. Potong doh kepada 5 bebola kecil dan taburkan tepung gandum ke atasnya sebelum menggelek hingga nipis.

6. Bakar di atas kuali leper sambil ditekan perlahan hingga masak di kedua-dua bahagian. Hidangkan dengan kuah kari atau kuah dal.

Resipi KARI SARDIN ALA MAMAK ada dibawah ini atau untuk tutorial bergambar boleh klik di SINI 

KARI SARDIN ALA MAMAK
Bahan A ( di tumbuk)
1 Labu bawang besar 
1/2 inci halia

Bahan B (Tumis)
3 sudu besar minyak masak
1 sudu besar serbuk cili 
1/2 sudu teh serbuk kunyit 
1 sudu teh halba
1 sudu teh biji sawi 
2 pelepah daun kari 
3 tangkai cili kering - di potong 3

Bahan C 
2 biji kentang - di kupas dan potong berbaji
1/2 sudu besar asam jawa adabi
Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak:

1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak.
2. Seterusnya tumis biji sawi, halba, cili kering dan daun kari. Kacau hingga berbau wangi dan kekuningan.
3. Masukkan pula bahan yang di tumbuk tadi (Bahan B) dan kacau lagi.
4. Seterusnya masukkan serbuk kunyit, serbuk cili dan kacau hingga terbit minyak.
5. Tambahkan 1 1/2 cawan air, kentang dan garam secukup rasa. Apabila kuahnya telah pekat, masukkan pula sardin bersama 4 sudu besar sosnya dan renihkan hingga masak sepenuhnya.

Ada banyak lagi resipi ringkas dan lazat dalam buku ini. Dapatkan sekarang dipasaran!

Assalamualaikum, 

Pernah dengar tak siput kabung? Siput kabung adalah sejenis siput laut yang mirip kepada siput kupang tetapi isinya kecil sedikit, lebih lembut dan agak manis. Jika ditempat lain saya tak pasti ada atau tidak siput ini atau mungkin ada nama lain yang diberikan. Jika di pantai perairan Langkawi siput ini memang mudah didapati dan sekarang adalah musimnya.

Selalunya siput kabung dipelbagaikan dalam masakan seperti digulaikan dengan betik mengkal, goreng kicap, dijadikan jemput-jemput dan kerabu juga. Hari ini saya nak kongsikan resipi kerabu siput kabung dan bagi yang susah nak dapatkan siput ini boleh je gantikan dengan siput lain. Gantikan dengan udang kertas atau sotong yang direbus juga sedap tau. 

Jom kita tengok resipi dibawah ni. 
KERABU SIPUT KABUNG 
Bahan-bahan
500gm isi siput kabung - Rebus sebentar dan toskan
1 labu bawang besar 
3 tangkai pucuk gajus & 5 tangkai kacang botol@ kelisa 
1 sudu besar kerisik 

Bahan tumbuk 
5 tangkai cili merah 
7 tangkai cili padi 
1 inci belacan 
Garam & gula secukup rasa
2 biji limau kasturi - diambil jusnya dan gaul dengan bahan tumbuk

Cara membuatnya:

1. Rebus sebentar isi siput kabung dan toskan. Ketepikan seketika.

2. Bawang besar, kacang botol@kelisa dan pucuk gajus dimayang halus.

3. Didalam mangkuk besar campurkan kacang kelisa, bawang besar, pucuk gajus, kerisik dan sambal yang telah ditumbuk tadi sambil digaul rata.

4. Tuang bahan yang digaul tersebut kedalam bekas isi siput kabung dan gaul hingga sebati. Rasa sekali lagi masam, masin, pedas dan manis campuran kerabu tersebut dan adjust ikut selera anda. 
Sekian perkongsian kerabu siput kabung yang sungguh simple dan selamat mencuba.

Assalamualaikum,

Telur adalah menu murah pilihan penduduk dunia yang kaya dengan protein dan boleh dipelbagaikan dalam hidangan. Di Malaysia khususnya hidangan berasaskan telur begitu sinonim dengan masyarakat tempatan, malah telur rebus juga dihias cantik untuk dijadikan sebagai buah tangan kepada tetamu yang hadir di majlis kenduri- kendara.  Bagi masyarakat di negeri Johor pula, kemahiran menghasilkan telur pindang dengan meracik berbagai jenis daun-daun herba telah menjadi  tradisi zaman berzaman.

Walaupun menu berasaskan telur kelihatan mudah disediakan, tetapi kadang-kadang serba tak kena apabila ia tidak menjadi seperti yang diharapkan. Berikut adalah 4 tips hasilkan menu telur terbaik yang boleh dijadikan panduan.

1. TELUR REBUS
Jika ingin menghasilkan telur agar masak sempurna ataupun telur separuh masak, pastikan anda tahu tempoh yang sesuai untuk merebus.

Tahap kematangan telur dan tempoh memasak juga  bergantung kepada volume air, suhu telur sebelum direbus serta ukuran telur. Tutup api dapur sebaik sahaja air rebusan mendidih dan biarkan proses kematangan telur berlaku didalam air tersebut. Tingkat kematangan telur selepas itu adalah seperti berikut :

2 minit setelah air mendidih : Putih telur tidak masak sepenuhnya dan kuning telur masih mentah.

4 minit setelah air mendidih  : Putih telur sudah masak manakala kuning telur padat di bahagian luar namun masih berair di dalam.

6 minit setelah air mendidih: Bahagian putih dan kuning telur hampir masak sepenuhnya, tetapi agak lembik sedikit di bahagian tengah.

8 minit setelah air mendidihputih telur dan kuning telur telah masak tetapi masih lagi lembut.

10 hingga 15 minit setelah air mendidih : Bahagian putih dan kuning telur masak sepenuhnya.

Selain daripada rebus telur menggunakan air, telur juga boleh direbus dengan melapik dua helai tisu kedalam periuk nasi. Renjiskan air pada tisu, tutup periuk dan tekan butang on.Tunggu hingga naik butang Keep Warm bolehlah tutup plug dan telur telah siap dimasak.

2. TELUR DADAR
Jika di Itali terkenal dengan telur dadarnya yang dinamakan Fritata dan di Indonesia dengan telur dadar Padang, masyarakat di Malaysia sendiri ternyata lebih menggemari telur dadar ala restoran Thai yang rasanya  lazat serta rangup diluar.  

Cara membuatnya pun tidaklah begitu sukar dan kita hanya perlukan 3 jenis bahan iaitu, 3 biji telur, ½ sudu besar sos ikan dan 1 cawan minyak untuk menggoreng .Mula-mula tuang minyak kedalam kuali dan pastikan minyak benar-benar panas untuk dapatkan telur yang garing. Sementara menunggu minyak panas, pecahkan telur kedalam mangkuk dan masukkan  sos ikan, pukul hingga sebati. Tuang telur kedalam kuali dan kecilkan api dapur agar telur tidak cepat hangit. Setelah bahagian bawah telur bertukar keperangan dan agak garing, balikkan telur tersebut dan bila bahagian tersebut telah masak bolehlah diangkat. Resipi ini sangat ringkas tetapi  sedap dan rangup, sesuai digandingkan dengan nasi putih.

3. TELUR HANCUR
Telur hancur dan roti bakar adalah gandingan sarapan yang hebat dan cara terbaik menghasilkan telur hancur yang gebu adalah dengan menggunakan 6 biji telur. Pecahkan telur kedalam mangkuk, masukkan secubit garam dan pukul dengan menggunakan garfu hingga sebati. Panaskan kuali dengan api yang kecil, masukkan ½ sudu besar mentega. Tuang telur kedalam kuali dan tunggu hingga telur kelihatan agak kental, tolak dari tepi kuali menggunakan spatula ke bahagian tengah kuali. Lakukan berulang-ulangkali sehinggalah semua bahagian masak dan inilah kunci untuk dapatkan telur hancur yang gebu, lembut dan tidak nipis. Seterusnya balik-balikkan telur hancur tersebut dan tabur sedikit lada sulah serta bolehlah di hidangkan. Pastikan telur tidak terlebih atau terkurang masak.

4. POACHED EGG
Poached eggs bukan hanya terkenal di Barat, tetapi di Malaysia juga ada resipi yang dimasak menggunakan cara ini sejak zaman berzaman dahulu iaitu masak lemak telur itik. Ada dua cara memasak iaitu yang pertama setelah kuah masak lemak mendidih, kecilkan api dapur, pecahkan telur itik serta lepaskan perlahan-lahan kedalam periuk berisi kuah tersebut. Jangan dikacau dengan senduk, jika tidak telur akan pecah. Hanya renihkan sehingga masak menggunakan api yang kecil. 

Cara yang kedua pula, masukkan air kedalam periuk dan campurkan dengan sedikit cuka makan, didihkan dengan api yang kuat. Setelah menggelegak, kecilkan api dan pecahkan telur itik satu persatu. Setelah telur itik masak, angkat dan barulah dimasukkan kedalam kuah masak lemak. Jika dibarat pula, poached eggs dihidangkan ketika sarapan pagi bersama roti bakar. 

Ada 2 tip menghasilkan poached eggs iaitu yang pertama didihkan air didalam periuk, kecilkan api dapur. Buat putaran air dengan mengacau menggunakan sudu, pecahkan telur kedalam mangkuk kecil dan lepaskan telur perlahan-lahan kedalam periuk. Dengan cara ini telur akan terbentuk cantik. Setelah 3minit bolehlah diangkat. Yang kedua pula gunakan plastik (cling plastic), sapu minyak masak dipermukaan plastik tersebut dan sumbat kedalam mangkuk kecil. Pecahkan telur serta simpulkan plastik tersebut dan masukkan kedalam periuk berisi air panas. Selepas 3 minit, angkat dan buka simpulan plastik serta hidangkan.

Itulah 4 tips hasilkan menu telur terbaik dan semoga bermanafaat.