Assalamualaikum,
Ada yang suka makan tak biji cempedak rebus atau lepas makan cempedak goreng yang masih panas-panas, turut makan bijinya juga. Siapa tu? Sayalah orangnya..hihihi.
Kalau yang pernah makan mesti tahu bahawa biji cempedak sangat lemak dan sedap. Tapi ada juga yang tak makan biji cempedak ni kerana takut perut berangin. Bagi saya apapun kalau dimakan berlebih-lebih pasti mendatangkan mudarat. Setakat seketul dua tak jadi masalah...sambil makan sambil mengimbau kenangan masa kecil. Dulu saya selalu tertunggu-tunggu ibu rebus biji cempedak. Sedap...biji cempedak direbus dengan sedikit garam sampai lembut dan merekah buat kudapan dipetang hari. Memang seronok membesar sebagai budak kampung walaupun makanan tak semewah seperti anak-anak zaman sekarang.
Hari ni saya ingin berkongsi resipi kari udang biji cempedak yang saya masak minggu lepas kerana teringin. Sebelum digulaikan, rebus sebentar biji cempedak dan kupas nipis kulit luarnya. Resipi kari ni biasa sahaja macam kita masak selalu tu.
KARI UDANG BIJI CEMPEDAK
Bahan-bahan
300gm udang hidup - di bersihkan
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 sudu teh halba campur
2 tangkai daun kari
1 kiub ikan bilis
1 cawan santan
2 cawan air
1 bungkus serbuk kari ikan - bancuh dengan sedikit air, jadikan pes
2 tangkai cili besar
1 biji tomato
minyak untuk menumis
20biji - biji cempedak, direbus hingga agak lembut dan kupas kulit luarnya
Cara memasak:
1. Panaskan minyak, tumis halba campur bersama bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga berbau wangi.
2. Masukkan pula serbuk kari dan kacau hingga pecah minyak. Setelah itu masukkan pula air sambil dikacau.
3. Seterusnya masukkan biji cempedak dan renih sehingga lembut.
4. Masukkan santan bersama tomato, cili besar dan perasakan dengan kiub ikan bilis. Jika kurang masin masukkan sedikit garam.
5. Akhir sekali masukkan udang dan renih hingga masak.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)