MEE KUNG FU

Assalamualaikum,

Salam jumaat yang penuh dengan keberkatan. Hari ini kita berkongsi resepi Mee Kung Fu yang bagi sesetengah orang nampak macam susah...tapi sebenarnya mudah sangat nak menyediakannya. Entah kenapa di namakan Mee kung Fu agaknya ye, sedangkan nak masak ni tak memerlukan anda mahir dalam jurus-jurus kung Fu pun...hanya bahan-bahan yang ringkas sahaja  :D.

Kalau nak tahu apa bahan-bahannya jom kita di lihat di bawah ni, dan jangan lupa mencuba tau. Sedap...
MEE KUNG FU 
Bahan-bahan (untuk seorang makan - sila gandakan bahan jika ingin masak lebih)

50gm mee kuning 
1 biji telur ayam 
3 ekor udang di kopek - boleh gantikan dengan isi ayam
Sayuran : Bunga kobis, lobak merah, sawi dan putik jagung secukupnya
1  cawan air
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dengan sedikit air 
1 sudu besar sos tiram 
1 sudu besar kicap cair 
3 tangkai cili padi - dibelah dua
1/4 sudu teh serbuk lada hitam dan serbuk lada sulah
1 ulas bawang putih - di cincang 
1cm halia di hiris nipis

Cara Memasak :

1. Basuh mee dan toskan. Ini untuk menghilangkan bau kapur pada mee kuning. Pecahkan sebiji telur di dalam mangkuk, pukul dengan sedikit lada sulah dan secubit garam. Jangan terlebih garam kerana mee kuning selalunya sudah masin. 

2. Masukkan mee, gaul rata dan goreng di dalam kuali (seperti menggoreng telur dadar). Jangan Kacau mee tersebut cuma alih-alihkan ia sehingga masak dan agak garing. Angkat dan masukkan kedalam pinggan.
3. Di dalam kuali, tumis bawang putih dan halia hingga wangi dan masukkan udang. Boleh juga gantikan udang dengan isi ayam atau lauk kegemaran anda.
4. Seterusnya masukkan air, sos tiram, kicap cair, serbuk lada hitam dan lada sulah. Biarkan agak mendidih.

5. Rasa kuah mee tersebut dan suaikan rasa dengan menambah sedikit garam jika kurang masin. Masukkan juga sayur-sayuran, cili padi dan air bancuhan tepung jagung tadi. Masak hingga kuah agak pekat dan sayur sekadar layu sedikit.
6. Matikan api dapur dan tuang kuah tersebut di atas mee tadi. Sedap di nikmati ketika panas-panas.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)