Assalamualaikum,


Kudapan yang satu ini memang sedap dan menjadi kegemaran anak-anak saya. Tiap kali pulang dari sekolah mesti terselit plastik berisi kacang pedas di tangan. Sama macam saya waktu kecil dulu dan nampaknya kudapan yang satu ini memang sudah lama wujud ya...bayangkan sejak saya kecil.

Saya ingat lagi dulu masa zaman persekolahan ada teman bawa dan jual senyap-senyap di dalam kelas. kiranya 'black market' lah masa tu. Maklumlah, kalau tahu dek cikgu memang dikenakan tindakan. Jual pun tidaklah mahal mana, sebungkus 50sen sahaja dah puas makan. Sekarang ni anak-anak saya beli sebungkus RM 2.00 pun sikit je isinya. 

Kalau ada masa tu, saya buatkan juga untuk anak-anak. Tapi proses nak rebus kacang kuda ni memang lama. Sebaiknya di rendam dahulu semalaman dan esoknya bila rebus cepat empuk..kecualilah kalau ada pressure cooker. Nak cuba buat sendiri di rumah? Jomlah kita tengok resepinya... :).
KACANG KUDA PEDAS DENGAN IKAN BILIS 
Sumber : Marjina- MyR

Bahan-bahan
300gm kacang kuda - direndam semalaman dan direbus hingga empuk dan tos airnya
segenggam Ikan bilis - digoreng  (saya guna yang paling kecil - x perlu di kopek)
1 biji bawang besar - dihiris
1 cawan air asam jawa
Serbuk cili - letak mengikut selera pedas masing-masing (nak sedap lagi letak cili kisar)
2 pelepah daun kari
Garam + gula secukupnya
Cara-cara:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga wangi.

2. Masukkan serbuk cili dan air asam jawa. Biarkan serbuk cili masak dan menjadi pekat.
3. Masukkan gula dan sedikit garam.

4. Masukkan kacang kuda yang siap direbus empuk dan ditos tadi. Biarkan hingga kering.
5. Masukkan daun kari dan akhir sekali masukkan ikan bilis yang telah digoreng. Tutup api dan sedia untuk dihidang.

Assalamualaikum,

Saya ada ramai teman berbangsa cina dan perbualan kami juga tentunya sering berkisar tentang makanan dan hobi memasak. Salah satu menu yang saya teringin nak cuba adalah kue teow sup Ipoh. Dengar kata kue teow sup ini sedap.

Bila buat carian di google saya terjumpa resepi yang nampaknya menggoda selera. Setelah memasaknya ternyata memang tak rugi saya mencuba dan menepati citarasa. Terimakasih kepada tuan punya resepi dan saya kongsikan sekali lagi di sini. Tetapi ada sedikit ubah suai resepi ini mengikut selera saya dan keluarga.
IPOH KWAY TEOW SOUP 

BAHAN-BAHAN UNTUK KUAH
400gm tulang ayam
 kulit/kepala/ekor udang yang di kopek - dari 250gm udang 
50gm ikan bilis
1/2 cawan minyak 
2 liter air (resepi asal 3 liter)
1sudu teh garam
1/2 sudu teh serbuk perasa
1/2 sudu teh minyak bijan - (ini saya tambah)
2 ulas bawang putih - di ketuk (ini saya tambah)

Cara memasak:

1. Masukkan air ke dalam periuk dan masukkan tulang ayam masak hingga mendidih dan renihkan. 

2. Sementara itu masukkan minyak ke dalam kuali dan goreng kulit udang yang di kopek tadi. Setelah di goreng hingga kuning keemasan, tuang minyak goreng tersebut ke dalam bekas dan simpan untuk di hidangkan bersama kue teow nanti. Ia di sebut sebagai minyak udang dan baunya memang harum sekali.

3. Di dalam periuk yang di rebus tulang ayam tadi, masukkan juga kulit udang yang di goreng,bawang putih,ikan bilis dan rebus serta renih dengan api sederhana untuk mendapatkan kuah yang lazat. Perasakan juga dengan garam dan serbuk perasa. 

BAHAN-BAHAN KWAY TEOW (Semua ini di masak di dalam bekas lain)
Sebungkus Kue Teow
Seikat daun kucai  - di celur sebentar di dalam air mendidih dan potong 
Isi ayam bahagian dada - di rebus dan siat-siatkan
Udang segar - di rebus sebentar 
Kicap cair dan serbuk lada putih (lada sulah)
Cara menghidangnya:

1.  Celur kue teow di dalam air mendidih dalam beberapa saat, tos dan masukkan kedalam mangkuk. Masukkan daun kucai, udang dan isi ayam. 

2. Masukkan juga 1 sudu teh minyak gorengan udang.
3. Seterusnya masukkan 1/2 sudu besar kicap cair dan sedikit lada putih/sulah. Tuang pula kuah sup tadi panas-panas dan hidangkan.
4. Enak juga di hidangkan dengan bawang putih goreng dan cili padi potong yang di campur kicap cair. Saya gandingkan dengan cili merah. Memang sedap. :)

Assalamualaikum,


Anak-anak selalunya suka dengan hidangan ayam tak kiralah apa jenis masakan yang di gayakan. Bagi ibu yang mengejar masa dan sibuk dengan tugas di tempat kerja, kadang-kadang bila sampai ke rumah dah letih untuk memasak tetapi dalam masa yang sama juga jemu pula untuk makan di luar.

Apa kata sesekali cuba masak hidangan seperti nasi ayam hainan ini. Ayamnya tak perlu di panggang atau goreng, cuma rebus sahaja. Selain menjimatkan masa, hidangan ini juga menyihatkan dan sedap. Anak-anak dan keluarga pasti suka. 

Resepi ini saya cuba dari blog jintan manis. Terima kasih kepada tuan punya resepi dan izinkan saya berkongsi sekali lagi resepinya di sini.
NASI AYAM HAINAN 

Bahan A
1 ekor ayam - saya potong empat 
3 biji bawang putih dicincang halus 
1/2 buku halia saiz sederhana ( dipotong nipis)
1 kiub pati ayam maggi
sedikit garam

Bahan B ( untuk sambal lada - di kisar halus)
1 biji capcicum merah (boleh guna lada merah)
2 biji bawang putih
1/2 biji bawang besar
3/4 buku halia saiz sederhana (agak-agak je)
1 sudu kecil minyak bijan
1 sudu besar gula
2 sudu besar sos cili maggi atau sos cili thai
1 sudu besar cuka makan

Bahan C
4 cawan beras biasa atau beras jasmine (saya guna beras biasa)
5 cawan air rebusan ayam 
2 sudu besar minyak
2 biji bawang putih 
2 inci halia (dihiris nipis)
1 sudu besar minyak bijan
(kalau nak letak daun pandan pun boleh - bertambah wangi)

Bahan D ( sup Ayam)
1/2 bahagian air rebusan ayam tadi
1/2 bahagian bahan tumis nasi ayam
daun sup

Hidangan sampingan
salad
timun 
tomato

Caranya ( untuk ayam)

1. Mula-mula letak ayam dalam periuk dan masukkan air, biar ayam tenggelam, masukkan juga bawang putih dan halia, kemudian masukkan garam dan kiub pati ayam, rebus ayam hingga masak lebih kurang 1/2 jam, angkat ayam dan ketepikan.Air rebusan ayam tu bahagi dua, akan digunakan untuk sup dan nasi ayam nanti.
Bila di hidangkan nanti baru potong dan letakkan sedikit kicap cair, renjis minyak bijan dan hias dengan hirisan daun sup. 

2. Buat sambal lada- Kisar semua bahan B dan masak hingga agak pekat.

3.  Untuk sup dan nasi pula, panaskan minyak dan tumis bahan kisar di bahan C iaitu bawang putih, dah halia, setelah agak garing separuh bahan tumis tu di curah dalam periuk nasi ayam, separuh lagi akan digunakan untuk sup ayam nanti,  masukkan separuh air rebusan ayam tadi, masak nasi seperti biasa dan masukkan juga sedikit minyak bijan. 
4. Di dalam periuk lain masak sup ayam hingga mendidih dan masukkan separuh bahagian bahan tumis nasi ayam tadi, akhir sekali masukkan pula daun sup dan matikan api dapur.
Bila dah siap, hidang bersama daun salad, hirisan timun dan hirisan tomato sebagai pelengkap menu nasi ayam hainan ni.

Assalamualaikum,


Selamat berhari minggu untuk semua pembaga blog yang sudi singgah di sini. Rencana kemana agaknya hari minggu begini? Kalau saya di sini, hari ni dah janji dengan anak yang tinggal di asrama untuk buatkan sebiji kek. Rindu katanya masakan mama...sedih bila dengar suara anak kedua saya yang di tingkatan satu dan tinggal di asrama di talian telefon malam tadi. Ada dokumen yang dia perlukan saya hantar segera untuk urusan sekolah hari ini, dan saya ambil kesempatan untuk hantar juga bersama sebiji kek ringkas iaitu kek minyak untuk di nikmati dengan kawan-kawannya.

Saya lihat dah ramai teman-teman blogger dah buat kek ni hanya saya sahaja yang ketinggalan keretapi nampaknya ni :D. Saya pinjam sekejap kek ini untuk sesi fotografi sebelum di hantar dan sempat merasai sepotong...hmmm memang sedap. Kurang manis tetapi lebih kepada terasa lemak susu pekat.

Baiklah...saya kongsikan resepi kek minyak di sini bagi yang ingin mencuba.
KEK MINYAK 
Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
5 biji telur - gred A
3/4 cawan gula halus
1 sudu besar ovellete
1 cawan minyak masak
1 cawan susu pekat
1 sudu teh esen vanilla

Cara-cara:

1. Ayak tepung gandum dengan baking powder dan ketepikan seketika.

2. Di dalam mangkuk lain, pukul telur dan gula hingga kembang - dalam 15 minit.
3. Bila telur dah kembang, masukkan ovelette, esen vanilla dan susu pekat. Pukul lagi hingga rata.

4. Masukan minyak masak sambil dipukul lagi tapi sekadar untuk adunan bergaul rata.

5. Akhir sekali masukkan tepung yang di ayak tadi dan gaul lagi hingga rata. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan campurkan dengan warna kegemaran. 
6. Sapu loyang dengan sedikit mentega dan lapislah kek berselang seli mengikut warna.
8. Bakar pada suhu 170 celcius selama 45 minit atau sehingga kek masak (bergantung kepada oven masing-masing).


Assalamualaikum,

Bingka pisang ini di buat kerana ada banyak lebihan pisang pemberian ibu dua hari lepas. Mulanya di buat goreng sahaja, tetapi masih ada  lebihan lagi dan tak ada siapa yang berkenan menyentuhnya. Jadi saya kisar je menjadi bingka untuk sarapan pagi ni. Resepi asalnya menggunakan pisang emas, tetapi pisang yang saya gunakan adalah pisang raja. Rasanya tetap sahaja sedap dan lemak-lemak gitu. Mungkin juga kerana kandungan adunan bingka ini memasukkan susu pekat.

Cuma bingka yang saya buat ini kurang berseri sedikit. Agaknya apa yang kurang ye? Alamak...dah siap bakar baru perasan lupa letak sedikit pewarna kuning...haish.. :D

Jomlah langsung kita lihat resepinya. Hari ini tak boleh cerita panjang...ada kerja penting menanti walaupun hari ini cuti dari tugas pejabat.
Bingka Pisang
Sumber : DayangJack

Bahan-Bahan
1 cawan tepung gandum
200 ml santan pekat
125 air
3 biji telur C
2-3 biji pisang emas ranum (dilenyek)
80g gula pasir (+/-)
2 sudu besar susu pekat
2 sudu besar minyak sapi atau minyak masak sayuran
sedikit esen pisang jika suka
secubit garam
sedikit pewarna kuning (Ini saya terlupa letak)
bijan untuk taburan
Cara-cara

1. Kisar semua bahan di atas (kecuali tepung dan bijan) hingga sebati.
Kemudian masukkan tepung dan kisar/blend sekali lagi. Blender saya kecil jadi saya cuma tuangkan bahan yang di kisar kedalam tepung dan kacau dengan 'hand whisk'.
2. Sediakan loyang. Sapukan dengan minyak masak. Tuangkan adunan tadi ke dalamnya dan taburkan bijan secukupnya. Bakarlah ke dalam oven selama 1 jam atau hingga keperangan dengan suhu 160C-170C.
3. Setelah masak, biarkan sebentar di dalam oven selama 10 minit. Selepas itu bolehlah dikeluarkan. Sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong. (tapi memang sedap dimakan masa ia masih panas sebab terasa sangat kegaringan kerak bahagian atasnya)

Assalamualaikum, 


Salam jumaat, penghulu segala hari. Semoga Jumaat Ini menjadikan kita Seorang Hamba Allah yang Lebih Bertaqwa, lebih Menyantuni, berjaya serta cemerlang, dunia dan akhirat.

Nak cerita pasal 'dinner' semalam. Saya ada mencuba resepi ayam bakar black pepper dan ternyata sedap sangat.Sayangnya saya cuma buat sebelah sahaja ayam kerana hanya itu yang ada dalam peti sejuk. InsyaAllah hari minggu nanti nak buat lagi, sebab tak puas makan. Terima kasih kepada mamasya untuk resepi yang lazat itu dan izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini :)

Ayam Bakar Blackpepper
Sumber: Dapurmamasya

Bahan-bahan
1 ekor ayam - potong 4/ 4 chicken leg- ayam jangan potong kecil
5 ulas bawang putih- tumbuk
1 inci halia - tumbuk
1 sudu besar lada hitam - tumbuk
1 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos tiram
1 1/2 sudu besar madu
1 sudu besar gula
1 1/2 sudu besar garam atau secukup rasa
butter / minyak zaiton
Cara memasak:

1.Campurkan semua bahan dengan bahan yang ditumbuk dalam satu bekas, kacau rata.(Saya lumur ayam dahulu dengan bahan yang di tumbuk di ikuti oleh sos perapan. Pastikan semua bahagian ayam terkena bahan-bahan tersebut)
2.Perapkan ayam lebih kurang 2 jam.

3.Bakar ayam selama 1-1 jam 20 min atau hingga masak dlm oven 200'C api atas bawah (bergantung kepada oven masing-masing). 

4. Bila ayam separuh masak, sapu dengan butter/minyak zaitun.
5.Bakar lagi hingga masak dan balikkan ayam semasa proses tersebut.

Tips masak ayam bakar dari Dapurmamasya 
1. Jangan potong ayam kecil-kecil sebab ayam nanti agak kering dan tak lembut, seeloknya seekor ayam potong empat atau guna chicken leg.Nak hidang barulah dipotong

2. Untuk bagi ayam cantik berkilat, sapukan butter atau minyak zaiton semasa membakar.

3. Perap ayam sekurang-kurangnya 1-2 jam atau nak lagi sedap semalaman.

4.Sekiranya rempah perapan ayam ada lebih, sapukan kepada ayam semasa membakar.

5.Kalau bahagian isi ayam dah tertanggal dari kulit, itu maknanya ayam dah sangat masak. Seelok-eloknya jangan sampai isi ayam tertanggal dari tulang.

6. Bila ayam dah masak, keluarkan segera dari oven untuk mengelakkan ayam kering

Assalamualaikum,

Pernah makan atau dengar buah timun betik? Saya berani cakap, mesti ramai yang tidak mengetahui kewujudan buah yang satu ini terutama sekali generasi baru. Jangan kata orang lain...anak-anak saya sendiri pun tidak mengenalinya. Buah ini jarang-jarang jumpa di jual dan saya juga dah lupa bila kali terakhir saya menjamahnya.

Untungnya hari minggu lalu saya lihat ada peniaga di pasar basah menjual dua bakul besar buah ini. Terus saya membelinya untuk tunjuk kepada anak-anak dan memperkenalkan rasa buah yang dijadikan 'dessert' oleh nenek mereka dahulu. Kegemaran saya ketika kecil dulu ni.

Buah yang wangi dan lembut ini ibu hidangkan bersama santan yang di masak dengan sedikit garam dan di curahkan pula dengan air gula merah...masukkan juga sedikit ais, hmmm...memang 'layanlah' terutama sekali waktu cuaca panas atau ketika berbuka puasa.Hanya orang yang pernah merasainya tahu bagaimana rasa buah ini. Cuma, tak banyak menu yang boleh di pelbagaikan  dengan buah timun betik dan selalunya di hidangkan dengan air gula merah dan santan seperti cendol sahaja.
Gambar di bawah ni saya ambil di pasar ketika hari pertama membeli buah ini. Ketika itu buahnya masih keras dan bewarna hijau gelap. 
Bila saya bawa balik ke rumah dan simpan selama dua hari....buahnya 
bertukar menjadi merekah, gebu dan mengeluarkan bau yang harum. Itu 
tandanya ia sudah masak ranum sepenuhnya.
Hmmm...bila dah ranum begini, saya pun potong dan hidangkan dengan santan dan gula merah. Kat bawah ni ada resepi ringkas pada sesiapa yang ingin mencuba. 
TIMUN BETIK BERSANTAN 
Bahan-bahan 
Sebiji timun betik yang ranum 
200gm gula merah / boleh juga gunakan gula pasir
3 cawan air 
500ml santan 
secubit garam 
ais kiub secukupnya 

Cara menyediakannya:

1.Kupas dan buang kulit luar timun betik. Potong kiub kecil-kecil dan ketepikan seketika.

2. Sementara itu masak gula merah dengan 3 cawan air hingga hancur dan tapiskan. Jumlah gula ini boleh di ubah suai mengikut selera. Biarkan air gula sejuk sebentar sebelum di hidangkan.

3. Masak juga santan dengan secubit garam, sebentar sahaja. Ada sesetengah orang tidak masak santan ini tetapi perahkan kelapa parut dengan air panas. Bagi saya lebih suka masak sebentar.

4. Bila semua sudah siap, bolehlah hidangkan timun betik ini dengan menuang  santan, air gula merah dan ais kiub. Hmm...sedap di nikmati dalam cuaca panas.