Assalamualaikum :)

Petang-petang begini selalunya sambil minum teh pasti ada kuih atau sekurang-kurangnya biskut sebagai pelengkap hidangan. Apalagi jika kuih itu di hasilkan sendiri dan di nikmati panas-panas bersama dengan keluarga, pasti bertambah enak dan ada kepuasan. Bila lihat di dalam peti sejuk, masih ada berbaki keju cheddar dan timbul lah idea untuk menghasilkan muffin. Tak jemu-jemu saya ni dengan muffin dan kek, kan? :D. Bagi saya muffin dan kek mudah di sediakan, boleh di simpan dan anak-anak saya menggemarinya.

Baiklah, kita terus saja melihat resepinya...

MUFIN KEJU CHEDDAR
Bahan-bahan
250gm tepung gandum di ayak dengan 13gm serbuk penaik
150gm minyak masak @ minyak jagung
150gm susu segar 
40gm keju cheddar di parut halus
30gm keju cheddar di parut kasar 
sedikit coklat chips & cherry
100gm gula perang 
1/2 sudu teh garam 
2 biji telur gred B


Cara membuatnya

1. Satukan minyak masak, susu , gula , garam dan telur. Pukul telur hingga gula larut, ketepikan.


2. Di dalam bekas lain, masukkan tepung gandum dan serbuk penaik. Masukkan keju cheddar. Gaul rata dan buat lubang di tengah tepung.

3. Tuangkan adunan cecair (no.1) ke dalam tepung. Gaul dengan senduk hingga tepung sebati. Biarkan adunan masih nampak berketul dan jangan terlebih gaul kerana akan menyebabkan mufin menjadi keras.

4. Sudukan adunan ke dalam cup cakes hingga 3/4 penuh. Taburkan keju cheddar, ceri dan coklat chips di atasnya.



5. Bakar selama 20-25minit pada suhu 180'c hingga masak.


Assalamualaikum,


Sedang merancang untuk masak lauk makan malam? Apa kata mencuba resepi ikan goreng yang di hidangkan dengan sos cendawan shitake. Bagi saya ke enakkan resepi ini adalah datangnya dari cendawan shitake yang di masak sos pekat dan di tuang ke atas ikan yang di goreng garing. Sungguh enak di nikmati bersama nasi panas setelah seharian penat bekerja. 

Memasaknya juga tidak mengambil masa yang lama dan berbaloi mencubanya.

Jom kita lihat resepinya...

IKAN DENGAN CENDAWAN SHITAKE 
Ikan sederhana besar - kira-kira beratnya 500gm
2 sudu Tepung jagung 
sedikit garam 
Minyak Untuk Menggoreng
6-10 Cendawan Shitake (rendam untuk melembutkan nya jika guna cendawan kering)
2 ulas bawang putih
1 sudu besar halia di mayang halus
3 sudu besar kicap cair
1 sudu besar cuka
1 sudu besar Tepung Jagung
1 tangkai cili besar dan 3 biji cili padi
1/2 cawan air 
1 sudu teh gula

Cara membuatnya 

1. Bersihkan ikan, kelar ikan dan lumur dengan sedikit garam. Lumur juga ikan dengan tepung jagung dan goreng hingga garing, ketepikan.

2. Potong cendawan shitake yang telah lembut.
 3. Tumis bawang putih dan halia hingga berbau wangi, masukkan kicap , cuka dan air serta masak hingga mendidih. Masukkan juga cili padi dan cili besar.
4. Campurkan tepung jagung, dengan beberapa sudu air, campurkan ke dalam kuali dengan dan kacau hingga pekat. Masukkan gula dan sedikit serbuk perasa.

5. Setelah kuah masak dan pekat, tuang ke atas ikan yang di goreng tadi dan sedia untuk di hidangkan.


Assalamualaikum dan selamat memulakan hari yang ceria.

Wah...hari ini saya sekeluarga bersarapan dengan kek tapai ubi kayu. Bagi saya kek ini sangat sedap. Pertama kali saya makan kek ini di Sidoarjo, Jawa Timur ketika bercuti di Surabaya bulan Mei yang lalu. Di sana mereka menyebutnya 'cake tape singkong'. Salah satu dari bahan dalam kek ini adalah tapai ubi kayu yang di haluskan, dan selalunya mereka di sana menggunakan tapai yang manis dan berkualiti untuk rasa kek yang sedap. Di tambah pula dengan keju parut dan coklat chip's...emmm rasanya sungguh sedap.

Di Malaysia susah untuk mendapatkan tapai ubi kayu ni, kecuali buat sendiri. Tapi saya bernasib baik kerana terjumpa dengan penjual tapai ini di pasar basah di tempat saya dan sebungkus tapai ubi kayu yang beratnya kira-kira 400gm hanya di jual dengan harga RM 2.00 sahaja. Tanpa membuang masa lagi saya terus membelinya dan cuba membuatnya kek yang lazat ini. Nak tau resepinya....jomlah kita lihat :)

KEK TAPAI UBI KAYU
Sumber : Just Try & Taste

Bahan-bahan
175gm tepung naik sendiri
150gm mentega
200gm gula kastor
 4 biji telur ayam 
200gm tapai ubi kayu - di haluskan 
100gm keju cheddar di parut
20gm coklat chip's / coklat rice
1 sudu teh esen vanilla

CARA MEMBUATNYA 

1. Haluskan tapai ubi kayu dan buang serat di tengahnya.



2. Pukul mentega dengan gula kastor dengan speed yang tinggi hingga berwarna putih dan lembut. Masukkan   esen vanilla dan telur satu persatu.

TAPAI UBI KAYU YANG TELAH DI HALUSKAN

3.  Turunkan kecepatan mixer menjadi paling rendah, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan masukkan juga coklat chips dan tapai dan ubah kecepatan mixer menjadi speed tinggi agar tapai bercampur. Segera tutup mixer dan jangan terlebih putar.


4. Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah di gris dengan mentega dan taburkan dengan keju cheddar yang di parut. Bakar selama lebih kurang 45minit dengan suhu 180'c.

Assalamualaikum.

Hari ini amat sibuk di pejabat hinggakan terlewat dan sudah petang begini baru sempat update blog. Resepi yang saya ingin kongsikan di sini mungkin sesuai sebagai hidangan tengahari tapi boleh juga di nikmati di petang hari begini, terutama sekali bagi penggemar kerabu.

Kerabu boleh di pelbagaikan bahan asasnya malah telur juga boleh di jadikan kerabu. Resepi kerabu telur selalunya di campur dengan sayur-sayuran, ulaman dan di perah limau nipis atau limau kasturi untuk rasa yang lebih enak. Boleh juga di campurkan dengan udang kering dan kacang tanah goreng, seperti resepi somtan (ala thai)

Baiklah, jom kita lihat resepi kerabu telur...

KERABU TELUR
Bahan-bahan
2 biji telur ayam 

1 kuntum bunga kantan
sedikit kobis unggu
1 labu bawang besar 
5 biji cili padi 
1 tangkai cili merah 
2 batang serai 
2 biji limau kasturi 
1/2 biji timun - di buang empulur tengahnya

2 sudu besar kicap sotong 
1/2 sudu teh gula (Boleh juga gunakan gula thai)
1 camca besar udang kering - di sangrai terlebih dahulu dan di tumbuk kasar
1 sudu besar kacang tanah - di tumbuk kasar.

Cara membuatnya

1. Pukul telur dan tuangkan kedalam kuali leper. Gulungkan telur dan potong kecil.


2. Racik halus semua ulam-ulaman dan masukkan kedalam mangkuk besar. 


3. Gaul ulam-ulaman dengan telur yang di potong dan masukkan juga udang kering, gula, kicap sotong dan akhir sekali perah limau nipis dan tabur kacang tanah. Rasa kerabu tersebut sebelum di hidangkan . Ia sepatutnya mempunyai rasa masam, masin, manis dan pedas.



Assalamualaikum,

Salam hari minggu. Sedang berkira-kira nak masak apa untuk tengahari ni ya? Atau merancang untuk makan di luar sahaja bersama keluarga. Bagi saya selalunya lauk yang mudah dan sedap menjadi pilihan untuk di gandingkan bersama nasi. Orang asia selalunya tak sah jika tidak makan nasi dalam sehari. Walaupun banyak makanan lain yang mengenyangkan seperti burger dan spagetti, nasi juga menjadi pilihan sebagai sumber protein harian.

Seperti biasa, resepi lauk hari ni mudah saja di sediakan. Apalagi jika kita mempunyai pemanggang ajaib di rumah. Sekejap sahaja kerja memanggang ikan, tak perlu menyalakan api dengan sabut kelapa dan arang seperti dulu.

Baiklah, jom kita lihat resepi hari ni... :)

IKAN SUMBAT SARDIN 
Bahan-bahan
4 ekor ikan (Ikan selar atau kembung bersaiz besar)
1 labu bawang besar 
2 biji cili merah 
2 batang serai - di hiris nipis
satu tin ikan sardin 
sebiji limau nipis
serbuk kunyit, garam dan gula secukup rasa


Cara membuatnya:-

1. Siang ikan, bersihkan dan belah di belakang untuk di sumbat inti. Gaul dengan garam dan   kunyit.

2. Tumbuk lumat cili merah, serai, dan bawang besar hingga halus.


3. Lenyek isi sardin dan campurkan dengan bahan yang di tumbuk tadi. Perah limau nipis dan perasakan dengan menambahkan garam dan gula.

4. Sumbat ikan tadi dengan inti sardin, dan panggang hingga ikan masak dan bolehlah di hidangkan bersama nasi.


Assalamualaikum :)

Apa khabar hari ni? Semoga semuanya sihat dan gembira selalu. Bagi saya hari ini merupakan pagi yang indah, kerana bercuti di rumah dengan keluarga dan anak-anak ada rencana untuk bersantai di pantai. Walau apapun rencana kita hari ni jangan lupa untuk bersarapan ya, kerana itu sangat penting untuk kesihatan.

Baiklah, sarapan pagi saya dan keluarga hari ni sangat ringkas dan cepat di sediakan. Sarapan ala barat yang  mengandungi roti, keju dan telur tapi di sediakan dalam bentuk yang comel. Untuk merasakan keranggupan roti yang di bakar, pastikan makan ketika masih panas.

Jom kita lihat resepinya... 

BAKED EGGS IN TOAST CUPS
Bahan-bahan
4 keping roti - saya guna jenis wholemeal 
4 biji telur
2 camca teh mentega 
4 keping keju 
sedikit garam dan serbuk lada sulah

CARA MEMBUATNYA

1. Panaskan oven, canai/nipiskan setiap keping roti dan potong kerak di sekelilingnya.

2. Sapu sedikit mentega di setiap keping roti dan loyang cupcakes.

3. Lipat roti dan masukkan kedalam loyang cupcakes dan pecahkan telur di tengahnya. Saya tambahkan sedikit garam dan serbuk lada sulah untuk membangkitkan rasa. 

4. Letakkan kepingan keju di atas setiap keping roti dan bakar selama 20minit dengan kepanasan oven 160'c, dan sedia untuk di hidangkan.


Mudahkan sediakan sarapan berkhasiat untuk anak-anak dan keluarga?...apa lagi, jomlah cuba :). Roti bakar ini juga enak di hidangkan dengan kentang lenyek atau salad mengikut kesukaan dan kreativiti masing-masing.

Assalamulaikum... :)


Alhamdulillah...hari ini boleh ber blog seperti biasa kembali. Risau betul semalam blog ini tidak dapat di access melalui google kerana kononnya ada virus atau di ceroboh (hack). Bila dapat e-mail dari nuffnang team petang semalam..lega rasanya apabila di maklumkan segala kesulitan sudah dapat di atasi, dan blog ini selamat di layari seperti biasa. Macam-macam hal kan? :)

Baiklah hari ini saya ingin berkongsi resepi yang sangat mudah, iaitu sambal tumis ikan bilis petai. Saya masih ingat lagi, masakan inilah yang pertama sekali saya masak, tapi tidak di masukkan petai, cuma sambal ikan bilis sahaja. Ketika itu saya berusia 11tahun, dan itu juga atas tunjuk ajar ibu. Tapi seperti biasalah, jika ibu ajar memasak dia hanya agak-agak dan main campak-campak saja bahan nya. Tapi yang anehnya rasanya tetap juga sedap :D

Resepi yang saya sertakan ini sesuai untuk yang baru belajar memasak, terutama sekali anak gadis saya yang berusia 14tahun tu...jadi bahan-bahan yang di gunakan sebaiknya yang di sukat agar masakan menjadi.

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS PETAI 
Sumber : Chef Hanieliza 

Bahan-bahan
2 cawan ikan bilis yang di bersihkan 
petai - (Ikut jumlah yang di sukai)
1 cawan air asam jawa 
2 labu bawang besar - di mayang kasar 
garam, gula dan minyak untuk menumis

Bahan-bahan di mesin halus
20biji cili kering - di rendam dengan air panas  dan di toskan
2 ulas bawang putih
2 labu bawang besar 
sedikit belacan 

 PETAI YANG TELAH SIAP DI KOPEK 

Cara membuatnya:-

1. Goreng Ikan bilis hingga garing, dan ketepikan.

2. Panaskan minyak, tumiskan bahan yang telah di blender hingga wangi.


3. Masukkan air asam, ikan bilis, garam, gula, bawang besar dan masukkan juga petai.


4. Masukkan air sedikit dan biarkan sambal mendidih dan pekat dengan api perlahan. 

5. Bila dah naik minyak baru angkat.