Assalamualaikum,


Nasi Lemak antara sarapan pagi yang popular bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Namun pada masa kini nasi lemak juga merupakan pilihan makan malam ataupun hidangan diwaktu petang terutama sekali bagi yang sentiasa sibuk dan mahukan hidangan yang ringkas dengan harga yang berpatutan. 

Nasi lemak mudah didapati dan bukan setakat hidangan di pinggir jalan.Ia juga diangkat menjadi menu utama didalam penerbangan pesawat MAS. Menu yang satu ini turut disajikan di restoran ternama dan hotel-hotel bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara Asia. 

Ada berbagai variasi resipi nasi lemak tetapi pagi ini saya cuma buat yang ringkas dan digandingkan dengan sambal tumis udang, ikan bilis goreng, kacang goreng, hirisan timun dan telur mata yang di goreng garing. Sebenarnya anak saya yang bongsu tidak berapa suka telur mata yang lembik kerana hanyir katanya :) 

Kepada sesiapa yang ingin mencuba bolehlah ikut resipi dibawah ini.

NASI LEMAK 
Bahan-bahannya
3 cawan beras dibasuh toskan
3 1/2 cawan air 
1 cawan santan 
1 helai daun pandan - dicarik dan simpulkan
1 inci halia - dihiris nipis
3 ulas bawang merah 
2 sudu teh garam

Masukkan kesemua bahan kedalam periuk nasi dan masak seperti biasa. Bila dah masak gaul dengan senduk agar santan sekata dan biarkan sentiasa panas didalam periuk nasi.

SAMBAL UDANG
500gm udang 
Garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar dihiris bulat

Bahan Kisar
10 tangkai cili kering - rebus dan toskan
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 
1/2 labu bawang besar 
1/2 inci belacan - dibakar terlebih dahulu
3 sudu besar air asam jawa

Cara-cara:

1. Masukkan sedikit minyak kedalam kuali dan tumis bahan kisar sehingga wangi (lebih kurang 5 minit)

2. Masukkan sedikit air jika terlalu pekat dan renih sambal hingga pecah minyak dan kacau selalu.

3. Masukkan pula udang dan kacau hingga sebati dengan sambal.

4. Seterusnya masukkan air asam jawa, bawang hiris dan perasakan dengan garam dan gula. Masak hingga sambal pekat.
Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu kepada yang sudi menjengah ke blog ini. Panas betul cuaca sekarang ini kan. Memang tak sanggup rasanya nak bawa anak-anak untuk aktiviti luar atau ke pantai dalam cuaca begini, apalagi Langkawi yang dikelilingi pulau, memang bahang panasnya begitu terasa sekali.  Menurut informasi dari Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Semenanjung Malaysia dijangka akan mengalami keadaan cuaca panas dan kering mulai penghujung Januari ini dan berterusan sehingga Mac 2016.

Katanya keadaan ini disebabkan oleh kejadian fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga suku pertama tahun 2016. Sepanjang tempoh itu sama-sama kita menjaga kesihatan terutama anak-anak yang telah kembali ke sekolah. Sebaiknya bekalkan air secukupnya dan sentiasa berpesan agar mereka kurangkan minuman berais. 

Dalam cuaca panas begini juga enak jika sajikan agar-agar atau puding untuk anak-anak. Apa kata cuba resipi puding vanilla yang saya kongsikan hari ini. Pasti anak-anak suka dengan rasanya. Lebih enak lagi masukkan dahulu dalam petisejuk sebelum dihidangkan.

PUDING VANILLA
3 biji kuning telur
70gm gula kastor
30gm tepung jagung 
500ml susu segar 

Cara membuatnya:

1. Didalam mangkuk adunan, pukul kuning  telur dan gula dengan 'hand mixer' dalam 3 minit sehingga kembang dan berkrim. 

2. Masukkan pula tepung sedikit demi sedikit sambil di pukul lagi.



3. Seterusnya masukkan esen vanilla dan kacau lagi sehingga adunan kembang. 



4. Masukkan adunan kedalam periuk dan gunakan api sederhana. Tuang susu sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga adunan pekat.

5. Akhir sekali tuang adunan kedalam acuan atau bekas yang sesuai dan sejukkan. 
Assalamualaikum, 

Selalunya jika ada roti yang menghampiri tarikh luput kita buatkan puding karamel atau puding roti dan memang larislah selepas itu. Hari ini saya ingin berkongsi satu lagi resipi yang boleh dihasilkan daripada roti putih. Sesuai dibuat kudapan dan anak-anak pasti suka dengan rasa dan keranggupannya.

Nak membuatnya memang semudah ABC tetapi pastikan jangan terlebih susu ketika menyalut roti kerana roti akan menjadi lembik dan kembang sedikit ketika dibakar didalam oven. Cara yang terbaik adalah menyapu susu pekat dengan berus dipermukaan roti sebelum menyalut dengan bijan. Satu lagi jika anda dapati roti sudah elok masaknya dan kelihatan garing tetapi masih lembik, jangan risau kerana sebaik sahaja keluar dari oven roti ini akan menjadi ranggup. 

Jom cuba buat...hanya tiga bahan yang diperlukan :)

JEJARI ROTI RANGGUP BERBIJAN
8 Keping roti putih atau lebih
1/2 cawan susu pekat manis 
1/2 cawan bijan

Cara membuatnya:

1. Buang kulit disekeliling roti dan gunting sekeping roti kepada 6 bahagian.


2. Celupkan roti yang dipotong tadi kedalam susu pekat manis tetapi jangan terlebih susu kerana roti akan menjadi lembik ketika dibakar. Jika kurang mahir mengagak ketebalan susu yang harus disalut, sila gunakan berus untuk menyapu susu dipermukaan roti.



3. Golekkan roti yang dicelup susu tadi kedalam bekas bijan dan pastikan semua bahagian bersalut bijan.



4. Bakar di dalam oven pada suhu 180'c selama 10minit atau sehingga roti garing. Saya gunakan api atas dan bawah.

5. Bila roti sudah sejuk bolehlah dimasukkan kedalam bekas kedap udara.
Assalamualaikum,

Hari kedua anak-anak kesekolah berbekalkan lempeng kelapa dengan sambal sardin. mengimbau pula kenangan lama waktu kecil ibu selalu buatkan lempeng waktu pagi. Tapi masa tu saya lebih suka makan dengan gula atau susu. Lempeng yang ibu buat lebih sedap kerana dia gunakan kelapa yang agak muda tapi isinya dah kenyal sedikit dan dikukur sendiri. Sedap sangat makan lempeng kelapa yang panas-panas dan lemak kelapa begitu terasa sekali. 

Sekarang ni susah nak cari kelapa begitu kecuali jika rumah di kampung. Saya hanya gunakan kelapa parut yang dibeli dari pasar untuk buat lempeng pagi ini.

Resipi lempeng kelapa ni simple sahaja, malah ada yang buat tak perlu sukat pun. Hanya campurkan segala bahan dan bakar. Yang penting pandai 'adjust' sukatan air dengan tepung. 

LEMPENG KELAPA
1 ½ cawan kelapa parut
1 cawan tepung gandum
½ sudu teh baking powder
1 cawan air - lebih sedap guna air kelapa
Garam secukup rasa              

Cara-cara

1. Masukkan semua bahan kedalam mangkuk besar dan gaul. 

2. Panaskan kuali leper dan sapu dengan sedikit minyak atau margerin. 

3. Tuangkan adunan secukupnya untuk membentuk membentuk lempeng.Masak dengan api sederhana dan balik-balikkan agar garing.

4. Setelah masak hidangkan dengan kari atau sambal sardin.

SAMBAL SARDIN
1 tin sardin - saiz besar 
10 tangkai biji cili kering  - dikisar
3 ulas bawang merah - dikisar
2 ulas bawang putih  - dikisar
1 labu bawang besar - dipotong bulat
2 sudu besar air asam jawa
garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara memasak :

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi dan naik minyak. Masukkan pula air asam jawa.

2. Tuang sardin tin kedalam kuali sambil di kacau perlahan.

3. Perasakan dengan garam secukup rasa dan masukkan bawang besar.

4. Setelah bawang layu dan sardin secukup rasa bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama lempeng kelapa.
Assalamualaikum, 

Hari ke tiga tahun 2016 dan hari ini tiga orang anak-anak telah kembali kesekolah. Seperti biasa hari pertama begitu bersemangat sekali dengan persalinan baru dan seronok nak jumpa kembali kawan-kawan serta cikgu. Harapnya semangat untuk belajar ini kekal sehingga hujung tahun ini dan memberi keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

Berbalik kepada resipi puding kek cincau, entry hari ini pula...sebenarnya saya buat puding ini semalam dan sempatlah anak kedua merasa sebelum pulang kembali keasrama. Ada lebihan kek marble yang tidak dihabiskan oleh anak-anak jadi saya buatkan puding kek cincau. Simple sahaja resipinya tetapi memang sedap dihidangkan ketika cuaca panas seperti sekarang. Jom kita lihat resipinya :)

PUDING KEK CINCAU
Bahan-bahan
10gm agar-agar - serbuk
1 tin susu cair
1/2 cawan air
1 sudu teh esen vanilla
2 putih telur -  dipukul hingga kembang dan putih
1 kuning telur - di pukul dengan garfu
1/2 cawan gula - kurangkan jika kek dah manis
cincau secukupnya - disagat
secubit garam
kek secukupnya 

Cara membuatnya :

1. Masukkan susu cair, agar-agar, gula pasir, kuning telur dan garam kedalam periuk.
2. Masak dengan api sederhana dan kacau rata sehingga masak.

3. Matikan api dapur dan tuang agar-agar yang mendidih tadi kedalam putih telur dan putar dengan mixer hingga adunan bercampur dan rata.
4. Rehatkan sebentar adunan puding sehingga wapnya berkurang dan menjadi suam. Sementara itu atur kek kedalam loyang dan tabur dengan cincau yang telah disagat.
5. Tuang adunan puding perlahan-lahan keatas kek dan pastikan adunan puding terkena disemua bahagian loyang dengan menyengetkan sedikit loyang ketika proses tersebut.
6. Setelah proses siap bolehlah disejukkan sebelum dihidangkan.
Assalamualaikum,

Alhamdulillah, kita telah diberi peluang untuk melangkah ke tahun 2016 dan meninggalkan 2015 dengan berbagai cerita suka dan duka. Semoga tahun ini memberikan lebih kejayaan dan kita dikurniakan kesihatan yang baik dan berada didalam lingkungan keluarga yang bahagia. Semoga juga tahun 2016 ini memberi anjakan yang lebih positif kepada ekonomi dan suasana politik semasa di Malaysia seperti yang diharapkan oleh setiap warganegara yang mahukan perubahan.

Sebagai pembuka tirai 2016 juga saya amat gembira sekali kerana 'buah hati' kedua iaitu buku resipi MENU HARI-HARI dijadualkan berada dipasaran pada bulan ini.  Buku MENU HARI-HARI ini menyajikan 100resipi mudah citarasa masyarakat Malaysia hasil kombinasi kepelbagaian masakan Melayu, Cina, India, Barat dan digarap kemas dengan foto begitu menarik sekali oleh team Grup buku Karangkraf.

Memang menjadi trend dan mudah mencari resipi di google dan media sosial sekarang ini tetapi lebih praktikal memilikinya dalam bentuk buku sebagai koleksi atau hadiah untuk yang tersayang. 


Selain dari dijual di kedai-kedai buku, amatlah mudah sekali untuk membuat pembelian secara online dengan melayari http://mall.karangkraf.com/ atau WhatsApp ke nombor 011-29061240.

Buku kedua ini amat bermakna kepada saya kerana memang mencabar memasak bersendirian tanpa pembantu didapur kecuali seorang adik angkat yang datang ketika sesi penggambaran bermula dan membantu mencuci kelengkapan yang digunakan untuk memasak sebelumnya.


Penggambaran juga dijalankan di rumah singgah saya di Subang dan oleh kerana rumah tersebut jarang saya kunjungi maka alatan memasak agak terbatas disitu. Ada juga bahan masakan yang susah untuk dicari disana saya terbangkan khas dari Langkawi bersama pinggan mangkuk yang sesuai untuk sesi penggambaran. Mencabar tapi amat menyeronokkan sekali bekerja dengan team grup buku Karangkraf iaitu editor dan Jurugambar yang sangat 'sporting'. Rasa seperti berada di lingkungan keluarga sendiri.


Saya amat syorkan anda miliki buku ini dan bahagiakan keluarga anda dengan masakan dari air tangan sendiri dan bantu jimatkan perbelanjaan keluarga dengan menyajikan masakan di rumah. 

InshaAllah resipi yang ditampilkan juga setaraf, malah lebih enak dan menyihatkan daripada yang disajikan di gerai atau restoran kerana anda juga bebas menggunakan minyak terbaik dan kurangkan gula atau garam dalam masakan. 

Dapatkan Naskah anda hari ini!  

Assalamualaikum, 

Uii...rajinnya merebus kacang kuda untuk buat salad pagi ni. Hehehe...jangan salah faham , sebenarnya kacang kuda ni beli yang dah siap rebus dipasar malam. Bila sampai rumah malam tadi anak-anak pun dah kekenyangan dan tak layan dah kacang kuda ni. Saya masukkan kedalam petisejuk dan pagi ni buatkan salad dengan merampai bersama jagung rebus, ayam goreng dan telur rebus. Bakar roti juga untuk dipadankan dengan salad sebagai sarapan pagi ini.

Chickpeas salad atau salad kacang kuda memang sedap dinikmati begitu sahaja atau bersama roti bakar. Membuatnya pun mudah sahaja. Jom kita lihat resipi.

CHICKPEAS SALAD
Bahan-bahan 
1 cawan kacang kuda - siap direbus 
½ cawan isi jagung rebus
1 biji tomato - dicincang 
Daun salad secukupnya 
1 labu bawang besar/holland 
2 biji telur di rebus - kupas dan potong kecil 
1 ketul ayam goreng - di potong kecil

SOS SALAD - Campurkan semuanya
1 cawan mayonis
½ cawan yogurt
1 sudu besar cuka/jus lemon
1 sudu teh gula pasir
Garam dan serbuk lada hitam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Potong isi jagung dan asingkannya kedalam mangkuk besar.
2. Campurkan juga kacang kuda yang telah siap direbus.
3. Masukkan kesemua bahan-bahan lain seperti tomato, daun salad, bawang besar/holland dan isi ayam kedalam mangkuk tersebut. 
4. Campurkan sos salad dan kacau hingga semua bahan-bahan bercampur. Akhir sekali masukkan telur rebus dan kacau lagi. 
5. Chickpeas salad telah siap disediakan dan lebih sedap dimakan selepas masukkannya kedalam petisejuk. Saya letakkan juga sedikit sos thousand island ketika menghidangkannya sebab anak suka.