Assalamualaikum,

Pernah minum jus avocado? Kalau di Indonesia memang jus ini banyak di jual dan mudah di dapati, tetapi di Malaysia boleh di katakan sukar juga. Jika di Langkawi sebiji buah avocado yang kecil itu sahaja saya beli dengan harga RM 5.00. 

Sebenarnya rasa buah avocado ini setelah di buat jus sangat enak dan segar sekali. Apalagi jika di hidangkan dengan coklat coklat cair seperti coklat hershey..Hmm sedap, tapi yang paling penting khasiatnya sangat banyak untuk kesihatan. 

Kadang-kadang bila kita jumpa buah ini di supermarket, tak tahu bagaimana cara untuk memilihnya kerana ia agak asing bagi surirumah di Malaysia ni. Saya kongsikan di sini tips untuk memilih buah avocado yang baik dan semoga  bermanafaat :)

1. Jika teringin membeli avokado, pastikan anda memilih buah yang kulitnya berwarna gelap kerana ia sudah boleh dimakan. 

2. Pilih avokado yang disusun di bahagian paling hadapan. 

3. Jangan cucuk atau picit avokado menggunakan hujung jari, sebaliknya jika anda ingin mengetahui isinya sudah lembut, anda boleh mengepal avokado dengan tapak tangan. 

4. Avocado enak dijadikan jus, salad atau dimakan dengan manisan. 

5. Isi avokado juga boleh dijadikan sos atau bahan pemekat dalam kuah. 


JUS AVOCADO 
Bahan-bahan 
1 biji buah avocado yang masak 
1 cawan susu segar
4 sudu besar susu pekat
Sedikit coklat cair (Hershey's)
Ais Kiub secukupnya

Cara-cara

1. Keluarkan isi buah avocado yang telah masak ranum dengan sudu dan masukkan ke dalam blender.

2. Masukkan susu segar,susu pekat dan ais kiub. Kisarlah hingga halus. (Semakin lama, jus akan menjadi bertambah pekat). Tambah air jika jus terlalu pekat

3. Tuangkan jus dan hiaskan dengan coklat cair di atas (tambah rasa). Sedia untuk dihidangkan.

Assalamualaikum,

Sarapan apa agaknya pagi ini ye? Dah lama rasanya saya tidak berkesempatan memasak sarapan untuk keluarga. Dah lama juga rasanya tidak bersosial dengan teman-teman maya di FB kerana kekangan masa dan sibuk sejak kebelakangan ini. Sibuk dengan tugas di pejabat, di rumah dan di tambah pula dengan tanggungjawab baru iaitu sebagai pelajar setelah menyambung pelajaran jarak jauh di Open University (OUM) bermula awal bulan ini. Menuntut ilmu itu tak kira usia dan saya lakukan kerana minat :) 

Ribuan terima kasih kepada pembaca blog yang masih tetap sudi masuk ke sini, walaupun resepi-resepi yang di kongsikan ringkas sahaja sejak kebelakangan ini. Itu sahaja yang saya mampu kongsikan di dalam kesibukan dan harap pembaca menyukainya.

Baiklah, untuk hari ini saya sempat menyiapkan bingka atau kuih bakar keledek untuk sarapan pagi. Dah lama tak makan bingka yang sedap dan lemak ini dan hari ni puas makan. Resepinya saya ambil dari dapur teman blogger yang pakar dalam segala macam kuih talam iaitu yatiememories

Terima kasih yatie, izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini resepinya ya :). Oh ya, saya juga tertarik dengan idea linapg yang asingkan sedikit keledek yang di potong kiub dan nampak coraknya menarik jadi saya cuba idea dia di sini. 
KUIH BAKAR @ BINGKA KELEDEK
Bahan-bahan
4 biji telur
3 cawan santan
2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanilla
2 sudu besar butter
2 cawan keledek (rebus dan lecek) - saya asingkan 1/2 cawan keledek yang di potong kiub.
CARA-CARA

1. Panaskan oven pada suhu 200C, lenser loyang dengan mentega, (kalau nak kuih kelihatan tinggi, boleh guna loyang (7 x7 x 3) inci. Ketepikan.

2. Satukan bahan-bahan diatas kecuali keledek lecek, dalam satu bekas, kacau dengan whisk hingga semua bersatu. Tapis adunan tadi dan masukkan keledek lecek, kacau hingga rata. Masukkan juga keledek yang di asingkan tadi (di potong kiub) - sekadar untuk corak kuih bakar yang lebih menarik.
3. Tuang dalam loyang yang telah disiapkan tadi. Bakar selama 1 jam atau hingga masak. Kalau nak permukaannya berkerak, tambah masa pembakaran.
4. Keluarkan dari oven setelah kuih masak. Biar sejuk sebelum dikeluarkan dari loyang.
Assalamualaikum, 


Antara variasi jus yang enak di nikmati di musim panas adalah Jus Buah Naga. Di samping menghilangkan dahaga, khasiatnya juga sangat banyak di dalam kesihatan tubuh dan menurut info yang saya ambil dari carian di google, antaranya adalah...
  • Dapat meningkatkan daya ketahanan tubuh
  • Mengurangkan metabolisme badan.
  • Membantu sistem penghadaman dan peredaran darah.
  • Mengurangkan tekanan emosi.
  • Meneutralkan toksik dalam darah.
  • Mencegah kanser usus. 
  • Mencegah kandungan kolesterol tinggi.
  • Menurunkan kadar lemak.
Setelah berkongsi kebaikan yang terdapat di dalam buah ini, apa kata kita melihat resepi yang mudah menggunakan buah ini.

Sebelum itu sama-samalah kita berdoa agar misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dapat di rungkai dengan segera dan keluarga penumpang lebih tabah menghadapi ujian ini. Semua rakyat Malaysia ikut bersedih dengan insiden yang tidak di sangka ini.
JUS BUAH NAGA 
1 biji buah naga (yang isinya merah) 
1 tin air Aiskrim Soda   
Susu Pekat - 5-6 sudu 
Ais kiub secukupnya
Air sejuk (dari peti ais secukupnya) - Jika jus terlalu pekat
Cara membuatnya:

1. Kupas buah naga dan potong kiub.

2. Masukkan kedalam blender dan kisar bersama ais aiskrim soda, susu pekat dan ais kiub hingga hancur.
3. Tuang ke dalam gelas dan suaikan rasa. Jika jus tersebut terlalu pekat bolehlah di tambah sedikit air. Masukkan juga ais kiub ketika menghidangkannya untuk rasa yang lebih hebat.

Assalamualaikum,

Cuaca panas nampaknya masih berlarutan di Malaysia dan ini membuatkan tubuh kekurangan air dan memerlukan minuman yang menyegarkan setelah sibuk dengan aktiviti harian.

Salah satu minuman kegemaran saya jika berkunjung ke restoran mamak adalah mango lassi. Rasa Segar sangat dapat menyedut minuman yang satu ini. Selalunya saya singgah ke situ untuk menghilangkan dahaga setelah selesai dari jogging selepas waktu kerja. Itupun kalau boleh di panggil jogginglah...lebih tepat lagi cuma berjalan kaki selama satu jam. Selain dari minum mango lassi ni, kadang-kadang terbabas juga dengan roti canai atau nasi lemak di restoran mamak tu...habis tu macamana nak kurus? Sia-sia je berjalan kaki tadi. Takpe...takpe...esok masih ada. Selalunya macam tulah saya nak 'cover' dari rasa bersalah, setelah dua keping roti canai selamat masuk ke perut.

Baiklah, sesuai dengan cuaca panas yang menyengat sekarang ni, saya ingin berkongsi resepi minuman mango lassi yang sangat mudah...bagi yang ingin mencubanya. Sangat segar di nikmati dan sihat juga kerana di campurkan dengan yogurt. Jom kita lihat resepinya... :)
MANGO LASSI
1 biji buah mangga masak - di kupas dan potong kiub
1 cawan yogurt (saya guna perisa mangga)
1/2 cawan susu cair 
4 sudu besar gula 
ais kiub secukupnya - dalam 1 cawan

Cara membuatnya:

1. Kupas buah mangga dan potong kiub.

2. Masukkan isi buah mangga tadi, yogurt, susu, gula dan ais kiub ke dalam blender. 
3. Kisar hingga halus iaitu dalam 2 minit.

4. Tuang ke dalam gelas, dan bolehlah di hidangkan. Boleh juga di tambah sedikit ais kiub jika lassi tersebut agak pekat.

Memang sedap dan segar...cubalah. 

Assalamualaikum, 

Agar-agar santan sirap rose paling ringkas tetapi kalau tak kena teknik membuatnya ia tidak akan menjadi dua lapisan. Ini yang sering berlaku terutama sekali bagi yang masih dalam proses belajar memasak seperti anak gadis saya tu. 

Ada teknik sebenarnya nak menghasilkan dua lapis agar-agar ini, dan tips yang di kongsikan oleh Naz dari ovenkecil.blogspot sangat berguna. Terima kasih Naz, dan izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini untuk rujukan kepada yang belum tahu dan ingin mencuba.

AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROSE
Sumber : Naz @ovenkecil.blogspot.com

Bahan-bahan :
1 paket serbuk agar-agar 10 gm atau 11 gm
1 liter air (4 cawan)
200 gm gula pasir (lebih kurang 1 cawan)
200-250 ml santan pekat (1 cawan) - (Naz guna santan kotak jer & boleh kurang kuantiti kalau nak dapatkan lapisan santan/atas yang nipis sedikit)
1 biji telur ayam - masukkan dalam santan dan kocak sikit dengan garfu
Secubit garam
2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan
1-2 sudu besar sirap rose ATAU beberapa titis pewarna pink dan perisa rose

Cara-cara:

1. Masak 1 liter air bersama gula dan serbuk agar-agar hingga gula larut.
2. Kecilkan api dan masukkan campuran santan bersama telur, garam dan sirap rose. 
3.Masukkan juga simpulan daun pandan.
Kacau dan tunggu hingga menggelegak atas api sederhana. 
PENTING!! Bila menggelegak, biar seketika lebih kurang 1-2 minit atau boleh kuatkan api dapur dan biar adunan mengelegak kuat sambil dikacau-kacau. Kacau ni untuk mengelakkan adunan membuak dan melimpah dari periuk.  Apabila telah kelihatan adunan santan jadi berbintil-bintil, bolehlah di matikan api dapur.
Basahkan loyang atau apa-apa acuan kegemaran dengan air. Kemudian tuang adunan agar-agar santan dan biarkan mengeras. Boleh simpan di dalam peti ais untuk mendapatkan agar-agar yang sejuk.

TIPS DAN NOTA DARI NAZ 
Untuk mendapatkan dua lapisan agar-agar, tipsnya ialah selepas memasukkan santan ke dalam periuk, biar adunan menggelegak lama sikit dalam 1 minit atau lebih. Ataupun, selepas masukkan santan, bila adunan mula mengelegak, kuatkan api dapur hingga adunan mengelegak kuat. Tapi kena hati-hati jangan sampai adunan membuak dan melimpah keluar dari periuk. Kacau-kacau adunan dalam 1 minit. Insyallah..'confirm' anda akan mendapat hasil agar-agar yang mempunyai 2 lapisan selepas keras nanti.


Assalamualaikum,

Dalam cuaca panas sekarang ni memang sedap dan segar tekak kalau dapat menikmati agar-agar atau puding. Saya paling suka resepi ni kerana ringkas, sedap dan menarik pula. 

Resepinya saya ambil dari dapur CikWan. Kepada pemilik resepi terima kasih banyak untuk resepi yang lazat ini. Izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini bagi yang ingin mencubanya :) 

AGAR-AGAR LAPIS BISKUT MARIE
Sumber : dapurcikwan.blogspot

Bahan-bahan:
10gm agar-agar serbuk 
1000 ml air
200 ml santan (saya guna santan kotak)
250 gm gula 
1 biji telur
100 gm biskut marie
1 sudu kecil pewarna kuning
1 sudu kecil esen vanilla (saya tambah)

Cara-cara:

1) Masak serbuk agar-agar bersama air, gula dan pewarna kuning.
2) Susun lapisan biskut marie di dasar loyang.
 
3) Bila agar-agar dan gula dah menggelegak/masak, kecilkan api dan ambik lebih kurang 1/4 cawan dan curahkan perlahan-lahan ke atas lapisan biskut marie.
4) Ambil lagi 1/4 cawan adunan agar-agar tadi dan ketepikan.

5) Masukkan santan yang telah dicampurkan dengan telur ke dalam periuk adunan agar-agar tadi dan kacau sehingga masak. Masukkan juga esen vanilla.
6) Tuangkan adunan agar-agar bersantan ke dalam loyang.

7) Susun biskut marie dilapisan atas.
8) Akhir sekali, ambil 1/4 cawan agar-agar tadi, dan tuangkan dengan perlahan sebagai lapisan teratas.


Assalamualaikum,

Rasanya dah lama tak buat sebarang kek dan hari ini saya ingin berkongsi resepi kek horlick coklat chips. Sedap kek kalau masukkan coklat chips ni, di jamin anak-anak pasti suka.

Resepinya ringkas sahaja dan saya ingin berkongsi di sini bagi yang ingin mencuba :)
KEK HORLICKS COKLAT CHIPS
25 grams - serbuk horlicks
60 ml - air mendidih
180 grams - tepung kek 
1 sudu teh baking powder
1/4 sudu teh garam
226 gram - mentega 
180 grams - gula kastor
3biji telur - Gred A
1 1/2 sudu teh esen vanilla
150gm coklat chips 

Cara membuatnya
1. Di dalam sebuah mangkuk, bancuh horlicks dengan air mendidih, ketepikan seketika dan biarkan sejuk.
2. Sementara itu di dalam bekas lain, putar gula dan mentega hingga gebu.
3. Masukkan telur satu persatu dan putar lagi
4. Masukkan pula horlick yang di bancuh tadi (pastikan telah sejuk) serta esen vanilla. Putar lagi.
5. Seterusnya, masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil di putar (menggunakan sped rendah sahaja). 
6. Masukkan pula coklat chips dan dengan menggunakan spatula sahaja, kaup balik adunan dan tuang ke dalam loyang. Hentak sedikit loyang sebelum di bakar dengan api 170'c selama 50minit atau sehingga masak (bergantung kepada jenis oven).