Assalamualaikum,

Makan apa tengahari ni ya? Kalau hari-hari makan nasi berlauk pun menjemukan juga kan. Apa kata mencuba kelainan hidangan ala'carte seperti nasi goreng USA ini. Anak-anak saya suka betul dengan nasi goreng ini dan selalu juga minta di buatkan untuk makan malam sekembalinya saya dari pejabat. Resepi ini saya ambil di SINI. Memang sedap resepi nasi goreng kak Raidah ni dan puas hati mencuba, terutama sekali daging masak merahnya menepati citarasa saya. 

Jom kita lihat resepinya...
NASI GORENG USA
BAHAN NASI:
2 mangkuk nasi
2 ulas bawang putih - di cincang
1 biji bawang besar - dihiris nipis
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
1/2 batang lobak merah - dipotong dadu (boleh juga gantikan dengan sayur campur)
Garam secukup rasa 
Sedikit minyak.

Cara penyediaan nasi:

1. Tumis bawang putih sehingga naik bau, masukkan bawang besar dan cili kisar dan goreng sehingga garing.
2. Masukkan sos tiram dan lobak merah(sayur campur), gaul rata.

3. Masukkan nasi dan gaul sehingga rata. Rasakan masin dan bolehlah diangkat.

DAGING MASAK MERAH:
300gm daging - dihiris
2 ulas bawang putih - dicincang
1 biji bawang besar - dicincang
1/2 biji capsicum - dihiris
1 biji tomato - dipotong 6
1 sudu besar cili kisar
2 sudu besar cili sos
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak.
Cara penyediaan daging:

1. Tumis bawang putih hingga naik bau,masukkan cili kisar dan biarkan seketika sehingga cili masak.

2. Masukkan daging dan biarkan sehingga air daging kering.
3. Masukkan cili sos, capsicum dan bawang besar, gaul rata.

4. Akhir sekali masukkan tomato dan perasakan masim, manis dan masamnya.
5. Hidangkan bersama nasi, telur mata kerbau, tomato dan timun.


Assalamualaikum,


Selamat berhari minggu. Sarapan apa pagi ini ya? Bagi saya, pagi ini menikmati nasi lemak daun lemuni yang banyak khasiatnya. Pernah dengar tak daun lemuni? Daun lemuni ni mudah di dapati di kampung dan digunakan secara tradisional untuk mengubati penyakit rheumatism, cirit birit, mencegah kanser payudara serta bermanafaat kepada ibu yang baru melahirkan. Air rendaman daun ini jika dijadikan air mandian dipercayai dapat memulihkan anggota-anggota badan yang lemah, terutama setelah sembuh dari sakit yang berlarutan. Info ini saya dapat di google, tapi memang dari dulu lagi ibu pun ada ceritakan khasiat daun yang satu ini dan elok di ambil ketika di dalam pantang bersalin kerana memanaskan badan.

Resepi nasi lemak daun lemuni ini sama sahaja dengan menanak nasi lemak biasa cuma yang bezanya, daun ini di kisar untuk mendapatkan pati dan di campur bersama santan untuk mendapatkan nasi yang lazat dan berkhasiat. Menu ini memang terkenal di utara semenanjung Malaysia. Baiklah, jom kita lihat resepinya...
NASI LEMAK DAUN LEMUNI
Bahan-bahan 
2 cekak pucuk lemuni - di kisar dengan 1 cawan air
4 cawan beras - saya gunakan beras biasa sahaja
3 cawan air + 1 cawan santan
4 ulas bawang merah - di kisar
2 ulas bawang putih - di kisar 
1 inci halia - di hiris nipis
1 batang serai - di ketuk
2 helai daun pandan - di koyak dan simpul
1 sudu teh halba

Cara membuatnya:

1. Kisar daun lemuni dengan secawan air dan tapiskan. Ambil airnya sahaja.
2. Basuh beras bersih dan toskan airnya.

3. Masukkan bawang merah, bawang putih halba dan halia di dalam periuk bersama beras.
4. Masukkan juga pati daun lemuni, santan + air, daun pandan dan garam secukupnya.
5. Biarkan nasi sehingga masak.

Nasi ini selalunya di hidangkan seperti nasi lemak biasa iaitu di gandingkan dengan sambal tumis dan telur rebus. Sebagai pembuka selera, enak juga jika di makan dengan telur asin rebus atau ikan masin yang di goreng.

Assalamualaikum,

Boleh ke isi limau bali di buat kerabu? Pasti ada yang tertanya-tanya. Jawapannya memang bolehlah. Sedap pula tu. Sesetengah resepi mencampurkan isi ikan yang di goreng terlebih dahulu seperti yang kita lihat di DI SINI. Saya gunakan resepi yang sama tapi di ubahsuaikan sedikit kerabu ini dan mencampurkannya dengan isi udang yang di rebus terlebih dahulu. Buat pula pedas-pedas sedikit..hmm memang layanlah dengan nasi panas. Sedap sangat...:). Boleh je gunakan limau bali yang manis, kerana kita boleh suaikan rasanya nanti dengan memasukkan jus limau kasturi atau limau nipis yang di perah ke dalamnya sebelum di hidangkan.

Jom kita lihat resepi.
KERABU LIMAU BALI DAN UDANG
Beberapa ekor udang - lagi banyak lagi sedap 
200 gm isi Limau Bali dicerai-ceraikan sedikit
1 urat kacang panjang- dipotong kecil
3 ulas bawang merah dihiris nipis
 5 tangkai cili api - ditumbuk halus (ikut citarasa pedas)
1 batang serai dihiris kecil dan ditumbuk halus juga
1 biji tomato- Di buang bahagian bijinya untuk mengelakkan dari berair dan hiris halus
1 biji limau nipis- perah jusnya
sedikit kicap sotong dan gula
Cara membuatnya:

1. Kupas kulit udang, bersihkan dan rebus sebentar dengan sedikit garam. Tos dan ketepikan.

2. Tumbuk cili padi dan serai yang di hiris nipis. Masukkan bahan-bahan lain seperti kacang panjang, bawang merah, cili padi, tomato, serai dan limau bali. Perahkan limau nipis dan gaul sebati. Perasakan dengan kicap sotong dan gula. Gaul lagi dengan udang rebus dan sejukkan sebentar di dalam peti ais. (Jika limau sememangnya telah disejukkan, bolehlah dihidang terus bersama nasi dan lauk-pauk lain)

Untuk lauk sepadan, lauk-pauk ala Thai sungguh sesuai dihidang bersama sebab kerabu ni ikut selera Thai yang ada pedas, masam, manis dan rangup.


Assalamualaikum,

Sarapan yang ringkas saya sediakan untuk anak-anak sebelum ke sekolah adalah apam pisang coklat urai. Mudah di sediakan asalkan ada bahan-bahan di dapur. Kebetulan di dapur ada pisang pemberian ibu yang sudah mula masak meranum dan sayang jika rosak begitu sahaja. Kulit pisang tersebut sudah mula bertukar dan berbintik menandakan pisang tersebut memang benar sudah masak tapi isinya masih tetap elok dan manis sekali. Kalau buat jemput-jemput pisang pun sedap juga kan, tapi saya lebih suka menukarkannya kepada apam pisang yang di campur dengan coklat rice dan di makan pula dengan kelapa parut. Hmm...sedaplah. Jom kita lihat resepinya... 
APAM PISANG COKLAT URAI 
Bahan-bahannya 
5 biji pisang emas - kalau pisang besar dalam 3 biji
1 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/4 sudu teh esen pisang 
secubit garam
70 ml minyak masak
1/2 cawan gula perang
2 biji telur - gred A
1 sudu besar susu pekat manis
1 sudu teh ovellate
3 sudu besar coklat urai
Sedikit kelapa putih - digaul garam dan kukus sekejap 

Caranya :-

1. Panaskan kukusan.Sediakan acuan kecil atau loyang, oleskan dengan sedikit minyak masak.
Ini lah rupanya pisang yang terbiar dan ranum di dapur.

2. Lenyek pisang hinga halus kemudian tambahkan esen pisang dan soda bikarbonat .Ketepikan seketika.Dalam bekas lain satukan tepung gandum, garam dan baking powder. Kemudian ayak. ketepikan seketika.
3. Dalam bekas lain, pukul telur, ovelate, gula perang dan minyak sehingga pekat dan berkerim. Kemudian masukkan adunan pisang yang di lenyek tadi dan susu pekat. Kacau sebati.
4. Kemudian masukkan adunan tepung dan gaul rata. Akhir sekali masukkan coklat urai, dan gaul sempurna.
5. Tuangkan adunan ke dalam acuan atau loyang. Kukus adunan selama 20 ~ 25 minit jika menggunakan acuan kecil dan 45 minit jika menggunakan loyang.
Keluarkan apam dari acuan setelah masak. Bolehlah di makan bersama kelapa parut yang di gaulkan dengan sedikit garam. Enak juga di makan begitu sahaja.

Assalamualaikum, 

Bila saya kemas dan cuci peti sejuk malam tadi, terjumpa dua bungkus buah epal yang di beli dari tempat berlainan minggu lalu. Satu bungkus dari supermarket dan satu lagi dari pasar malam. Rupanya tersorok di situ buah-buahan yang saya beli dan tidak tersentuh oleh anak-anak. Nampaknya saya yang suka membeli tapi anak-anak kurang gemar memakannya. apalagi kedua jenis epal tersebut agak masam sedikit. Untuk menarik minat anak-anak menikmatinya saya tukarkan buah epal tersebut menjadi kek. Di tabur pula dengan serbuk kayu manis...sungguh sedap sekali.

Tekstur kek ini juga lembut dan lembab sedikit...sungguh mengasyikkan di nikmati dengan secawan teh hangat di petang hari. Kek ini juga sedap di nikmati dengan satu skop aiskrim vanilla. Hmmm...untuk kek ini cuma sebiji epal yang di gunakan. Saya harus cari jalan..untuk menghabiskan baki epal yang lain hari ini juga. Nantilah saya kongsikan di entri akan datang jika jadi. Sekarang ni jom kita lihat dulu resepi kek yang sedap ini.
APPLE CINNAMON WHITE CAKE
Sumber : allrecipes.com

1/3 cawan gula perang 
1 sudu teh serbuk kayu manis
2/3 cawan gula kastor
1/2 cawan mentega - di lembutkan
2 biji telur
1 1/2 sudu teh esen vanilla
1 1/2 cawan tepung gandum
1 3/4 sudu teh baking powder
1/2 cawan susu segar
1 biji epal - di kupas dan cincang (bentuk kiub)
Cara membuatnya

1. Panaskan oven 175'c. Sapu mentega kedalam loyang dan taburkan dengan sedikit tepung. Ketepikan.

2. Campurkan gula perang dan serbuk kayu manis di dalam mangkuk. Ketepikan seketika.
3. Pukul gula kastor dan mentega di dalam mangkuk lain dengan menggunakan mixer hingga berkrim. masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul lagi. Masukkan juga esen vanilla.

4. Masukkan pula tepung yang di ayak dengan baking powder sedikit demi sedikit kedalam adunan mentega tadi berselang seli dengan susu segar dan pukul lagi. 
5. Tuang adunan yang di pukul tadi ke dalam loyang (separuh sahaja) lalu tabur epal yang di cincang, di ikuti oleh gula dan serbuk kayu manis. Kemudian tuang baki adunan lagi ke dalam loyang, dan ulangi proses tadi (tabur epal dan kulit kayu manis serta gula perang).
6. Buatkan lorekan berbentuk bulat dengan menggunakan jari atau garfu di atas adunan kek tersebut agar epal bercampur dengan adunan sebelum di bakar hingga masak.


Assalamualaikum,

Sesekali makan nasi minyak pun sedap juga kan. Jika di fikirkan, sejak bila ya nasi minyak ni di gunakan sebagai bahasa kiasan orang melayu untuk bertanya kepada seseorang yang merancang untuk berkahwin. Selalunya kita tidak akan bertanya secara terus, cuma dengan berkias...seperti ini, 'bila agaknya nak makan nasi minyak?'. Agaknya dulu menu utama rumah yang mengadakan kenduri kahwin adalah nasi minyak. Kalau sekarang ni, berbagai menu tambahan memeriahkan majlis kenduri dan semuanya enak-enak belaka.

Tak susah sebenarnya proses memasak nasi minyak ni dan bila-bila masa kita suka bolehlah di masak dan hidangkan untuk keluarga, tak perlu menunggu jemputan kahwin :).

Jom kita lihat resepinya.
NASI MINYAK
4 cawan beras - basuh dan toskan (saya guna beras biasa)
4 1/2 cawan air
1/2 cawan susu cair 
3 sudu besar minyak sapi 
2 helai daun pandan 
4 sudu besar kismis

Bahan untuk menumis (Bahan B)
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah 
1 inci halia
1 batang serai - di ketuk
1 inci kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang 
5 kuntum bunga cengkih 
3 biji buah pelaga

Cara membuat 
1. Basuh beras dan toskan. Ketepikan seketika.
1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk dan tumis bahan-bahan B hingga wangi.
2. Masukkan beras dan kacau rata, masukkan pula kismis dan garam serta susu cair.
3. Tuang air ke dalam periuk elektrik, kacau sebentar agar beras sebati dengan air dan bahan lain, dan masaklah seperti nasi biasa.

DAGING MASAK HITAM
Bahan-Bahan
500gm daging - di potong nipis
1 sudu makan serbuk jintan manis - bancuh dgn air
1 sudu teh serbuk jintan putih - bancuh dgn air
2 sudu makan minyak masak
5 sudu makan kicap pekat 
1/2 cawan air asam jawa
garam dan air secukup rasa

Bahan Kisar
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
15 tangkai cili kering

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar bersama bancuhan jintan putih serta jintan manis hingga wangi

2. Masukkan daging & sedikit air, biarkan hingga lembut. Apabila sudah lembut, masukkan kicap dan air asam jawa. Masak hingga pekat dan pecah minyak, apabila sudah masak, hidangkan.

ACAR MENTAH
Bahan-bahan
1 biji timun 
1 biji lobak merah 
1 labu bawang besar 
1 biji cili besar 
Nenas 
3 sudu besar cuka makan 
2 sudu besar gula 
1 sudu besar garam 

Cara membuatnya;

1. Timun, nenas yang telah di kupas dan lobak merah di potong.

2. Campur garam, gula dan cuka serta kacau hingga hancur. Rasa dan suaikannya dengan menambah garam dan gula mengikut citarasa masing-masing.

3. Masukkan timun, nenas dan lobak merah yang di potong tadi ke dalam air cuka dan kacau hingga semuanya bercampur rata.

Tips : untuk meranggupkan timun dan lobak merah, bolehlah di rendam sebentar dengan air kapur makan, sebelum di toskan dan campur dengan air cuka tadi.

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu. Hari ni saya buatkan puri untuk sarapan pagi. Sesekali bila ada masa bolehlah buat di rumah, lagi pun prosesnya mudah dan kebersihannya terjamin. Roti puri di kedai mamak pun sedap juga tapi saya jarang order jika sarapan di sana kerana pernah terkena sekali dulu, punyalah berminyak roti puri yang di sediakan. Mungkin kerana sibuk dan banyak pelanggan maka penyediaannya pun ala kadar.

Jika ada masa seperti hari minggu macam ni, baiknya sediakan sendiri di rumah. Sedap makan panas-panas dan ranggup sekali. Roti puri ini enak di cicah dengan kuah kari, dalca atau sambal ikan bilis. Terpulanglah pada selera masing-masing. Kalau saya hari ni gandingkan dengan kuah dalca. Resepinya ada DI SINI.

Jom kita lihat resepinya... :)

ROTI PURI 
sumber : yatiezaini - my resepi

Bahan-bahan ( 12 biji )
BAHAN A
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil yis mauripan
40-50ml air
Minyak utk mengoreng

BAHAN B
1/2 sudu kecil garam 
3 sudu makan minyak masak 
2 sudu makan gula 
175ml air panas 

Cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan B di dalam periuk dan panaskan sebentar. Kacau sehingga gula hancur dan matikan api dapur.

2. Di dalam bekas lain, satukan yis dan tepung. gaul rata.
3. Seterusnya tuang bahan B yang di cairkan tadi kedalam bekas tepung & yis dan gaul dengan menggunakan garfu sehingga adunan bercampur.

4. Dengan menggunakan tangan, gaul adunan sehingga menjadi seperti serbuk roti /breadcrumb.
5. Tambahkan air sedikit-sedikit dan adun sehingga tak melekat di tangan dan menjadi doh (jangan gunakan semua air tersebut)
6. Perap selama 30 minit dan bolehlah di bahagikan kepada 12 bahagian bulat yang kecil.
7. Canai doh nipis seperti membuat karipap dan bolehlah di goreng. Sebaiknya goreng sebiji saja dalam satu masa.
TIPS untuk menggoreng : Gunakan api yang kecil/sederhana. Api yang besar boleh menyebabkan roti tidak menggelembung. Semasa menggoreng hendaklah di simbah-simbahkan minyak ke atas roti ini dan bila menggelembung barulah di terbalikkan.