Assalamualaikum,

Setiap pagi sebelum anak ke sekolah saya terfikirkan sarapan apa yang sesuai untuk mereka. Untuk menjimatkan masa, tiap pagi mereka di hidangkan dengan bijirin dan susu atau roti dan jem. Jika saya ada masa seperti hari ini, saya buatkan juga muffin dan tentu sedap di nikmati panas-panas dengan secawan milo sebelum berangkat ke sekolah.

Banyak resepi muffin dalam simpanan telah saya cuba dan salah satunya di ambil dari http://recipesasha.blogspot.com/, iaitu vanilla choc chip muffin. Masih banyak resepi muffin yang enak dari teman-teman maya boleh saya cuba selepas ini untuk mempelbagaikan lagi sarapan pagi untuk anak-anak saya sebelum ke sekolah dan yang pastinya mereka suka menikmati muffin yang masih panas dan baru keluar dari ketuhar. Baunya juga semerbak ketika di bakar di waktu pagi membangkitkan mood anak-anak untuk bangun dari tidur dan memulakan aktiviti pagi.

baiklah jom kita lihat resepi muffin vanilla choc chip yang bagi saya sungguh sedap rasanya :).
VANILLA CHOC CHIP MUFFIN
Sumber : http://recipesasha.blogspot.com/

BAHAN A
1 biji telur
1/2 cawan minyak sayuran  / minyak masak
3/4 cawan susu segar atau buttermilk
1 sudu kecil esen vanilla 


BAHAN B
2 cawan tepung naik sendiri 
3/4 cawan gula kastor (boleh di kurangkan)


BAHAN C

1 cawan  Chocolate Chips 


CARA MEMBUAT
1. Satukan semua bahan A

2. Satukan bahan B dalam mangkuk adunan, buatkan lubang di tengah campuran tepung.

3. Tuangkan bahan A kedalam lubang yang di buat pada bahan B

4. Masukkan bahan C, baru mula di kacau. Kacau jangan lebih dari 20 kali untuk mendapatkan tekstur muffin yang lembut.


5. Pindahkan ke dalam acuan muffin dan bakar dalam 20 hingga 25minit (suhu 170'C) atau bergantung pada oven masing-masing.



Assalamualaikum,

Sudah malam baru berkesempatan update blog hari ni. Sejak semalam hingga hari ini, kesihatan saya tidak mengizinkan dan panas sejuk silih berganti seperti akan demam. Mungkin kerana cuaca yang tidak menentu dan panas melampau di sini. Agaknya sudah jemu dengan makanan di luar, malam ini anak gadis saya yang berusia 15 tahun itu sukarela untuk memasak makan malam untuk keluarga. Selalunya jika kecemasan, dia akan memasak yang mudah saja seperti mee segera untuk adik-adiknya, tapi saya tidak berapa menggalakkan anak-anak makan mee segera kerana kandungan monosadium glutamate yang agak tinggi dan tidak sesuai di ambil selalu.

Malam ini anak saya masak apa yang ada di dalam peti sejuk sahaja, sekadar mengalas perut, Masakan yang ringkas tapi di gemari oleh adik-adiknya. Tapi...walaupun ringkas seperti biasa juga, berulang kali dia merujuk kepada saya resepinya :). Maklum saja, jarang-jarang memasak. Jadi saya ingin berkongsi resepi ringkas ini di sini, agar dia dapat merujuk terus cara memasaknya selepas ini tanpa banyak bertanya lagi :D

KOBIS MASAK LEMAK
Kobis bulat - di belah dua dan di racik halus
2 sudu besar udang kering 
1 tangkai cili merah 
1 cawan santan pekat 
1 cawan air
1 biji telur
3 ulas bawang merah di mayang halus.


Cara membuat:

1. Masukkan semua bahan-bahan kecuali santan. Kacau sebentar dan pecahkan sebiji telur ke dalam kuah sayur tadi. Masak hingga mendidih dan tuang santan kedalam masakan. 

2. Renihkan hingga mendidih dan sentiasa di kacau agar santan tidak pecah. Perasakan dengan garam.


SAMBAL SARDIN
Bahan-bahan
1 tin sardin (tin saiz besar) - saya selalu menggunakan jenama Ayam brand
2 ulas bawang putih - di mayang halus 
1/2 inci halia  - di mayang halus 
1 tangkai cili merah 
1/2 cawan air asam jawa 
1 sudu besar pes cili 
1 labu bawang besar di potong gelang.
garam dan gula 
2 sudu besar kicap manis - cap kipas udang

Cara membuat:

1. Buka tin ikan sardin. Panaskan minyak, tumis bawang putih , halia dan pes cili sambil di kacau hingga berbau wangi.

2. Tuang sardin ke dalam kuali dan masukkan air asam jawa dan kicap manis.

3. Bila sudah mendidih masukkan cili merah dan bawang besar. Perasakan dengan garam dan gula.

TELUR DADAR
Bahan-bahan
 3 biji telur 
sedikit karot - di sagat 
2 ulas bawang merah - di mayang 
sedikit cili merah 
1 sudu besar tepung jagung - jika suka (untuk membuat telur yang di goreng lebih tebal dan cantik)

Cara membuat:

1. Pukul semuanya dan goreng di dalam kuali. Terbalik kan telur bila sudah wangi dan masak  di sebelah bahagian lagi. Hidangkan panas.





Assalamualaikum,

Salam hari sabtu. Sesekali makan pulut mangga pun sedap, kan? apalagi jika mangga tersebut manis dan bersari. Hidangan ini merupakan sejenis pencuci mulut dari negara jiran, Thailand tetapi sesuai juga dengan selera orang Asia dan barat.

Memasak pulutnya juga sangat mudah dan cepat. Jika di Thailand kebiasaannya pulut mangga ini di hidangkan juga untuk sarapan pagi. Baiklah, mari kita lihat resepi yang mudah dan sedap ini.

PULUT MANGGA
Bahan-bahan
1 cawan beras pulut
2 cawan santan pekat 
1/2 cawan gula pasir 
1 sudu teh garam
2 biji buah mangga masak 


Cara membuat:

1. Basuh beras pulut dan rendam dalam 3 jam atau semalaman. Tos kan air rendaman dan kukus hingga masak (anggaran 15minit)


2. Larutkan gula dan garam kedalam santan kelapa dan panaskan di atas dapur dengan api yang sederhana dan sentiasa di kacau agar santan tidak berketul dan pecah minyak. Bila santan telah masak, asingkan kira-kira 1/2 cawan santan untuk di gunakan ketika menghidang nanti. Masukkan juga secubit garam lagi kedalam santan tersebut.

3. Bila pulut telah masak, tuang baki santan (1 1/2 cawan tadi) sedikit demi sedikit sambil di kacau pulut tadi dan tutup bekas pulut seketika.

3. Hidangkan pulut tersebut dengan mangga yang telah masak dan sedikit santan yang di asingkan tadi.

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi minuman jus tembikai laici. Dalam cuaca panas begini memang sesuai mengambil minuman jus buah-buahan dan sebaiknya di sediakan sendiri kerana kita boleh mengawal kandungan gula. Kandungan vitamin C dan beta-karotena dalam tembikai mampu mencegah penyakit jantung. Tembikai juga mempunyai sumber lycopene yang membantu dalam mengurangkan risiko kanser prostat, payudara, endometrium, paru-paru dan kanser kolon.

Saya bukannya pakar pemakanan tetapi suka berkongsi kebaikan dari makanan yang di ambil terutamanya untuk  manafaat kesihatan bersama :).

Baiklah, jus tembikai laici ini sangat mudah di sediakan dan benar-benar puas di nikmati dan menghilangkan dahaga. Saya ambil resepi ini dari buku masakan karangkraf, tetapi saya tidak memasukkan gula kerana bagi selera saya sirap laici dan rasa manis asli dari tembikai sudah cukup membuatkan minuman ini manis dan sedap.

Jom kita lihat resepinya :)

JUS TEMBIKAI LAICI 
Bahan A
1/2 biji buah tembikai - ambil isinya
4 sudu makan gula 
50ml air sejuk
isi laici

Bahan B
sirap laici dalam tin 
1/2 sudu teh sirap ros 


Cara membuat:

1. Kisar tembikai, gula, buah laici dan air hingga halus.



2. Masukkan ke dalam jag dan masukkan bahan B. Kacau sebati dan sejukkan dalam peti ais.

3. Sedia untuk di nikmati.




Assalamualaikum, 


Apa khabar hari ni? Bagi kaum ibu, sehari dua ini tentu sibuk dengan kerenah anak-anak yang  bangun pagi untuk ke sekolah. Ada yang sukar dan ada pula yang bersemangat bertemu kawan baru dan guru-guru. Maklum saja setelah dua bulan bercuti panjang pasti saja anak-anak sudah terbiasa dengan suasana santai dan bangun lewat dari kebiasaan. Bagi anak-anak saya di sini, seawal jam 6.45pagi van yang membawa mereka ke sekolah sudah sampai di hadapan rumah dan kadang-kadang suasana menjadi kelam kabut kerana ada yang belum sempat menyarungkan kasut sekolah atau yang terlambat berpakaian seragam, sedangkan pemandunya sudah berkali-kali membunyikan hon dan secara tak langsung membangunkan jiran-jiran sebelah rumah. Terkadang bila di fikirkan lucu juga dengan kerenah anak-anak, walaupun ada kalanya meletihkan. Saya pasti merindukan suasana ini ketika mereka sudah dewasa nanti :)

Baiklah, pagi ini saya sempat menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak sebelum mereka ke sekolah iaitu nasi goreng ikan masin. Nasi goreng ini sangat ringkas dan saya gunakan apa saja bahan yang ada dalam peti sejuk di rumah. Jom kita lihat resepinya...:)

NASI GORENG IKAN MASIN 
1 mangkuk nasi 
3 ulas bawang putih 
2 ulas bawang merah
sedikit daun ketumbar / daun sup
Isi ikan talang masin di cuci bersih dan di goreng garing
50gm isi ayam 
3 biji cili padi di hiris halus
2 biji telur
Garam dan lada sulah 
1 sudu besar kicap cair atau boleh juga di gunakan sos ikan

Cara membuat:

1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah dan bawang putih.

2. Masukkan isi ayam dan kacau hingga masak. Masukkan juga cili padi, kicap cair dan serbuk lada putih.

3. Masukkan telur dan gaul sebentar, masukkan juga nasi, ikan talang yang telah di goreng terlebih dahulu dan daun sup.


4. Kacau hingga sebati dan perasakan dengan garam (masukkan sedikit sahaja jika ikan tersebut sudah masin).Hidangkan ketika masih panas.

Assalamualaikum,

Rupanya membuat pai tidaklah sukar seperti  di bayangkan. Sekali kita cuba membuatnya, pasti ingin mencuba lagi. Pai juga boleh di pelbagaikan mengikut selera kita sendiri dan jika saya,  anak-anak lebih menggemari inti pai yang manis maka timbul lah idea untuk mempelbagaikan resepi  ini.

Kali ini saya membakar kulit pai menggunakan loyang muffin manakala intinya di buat dari coklat masakan, susu cair dan mentega kacang chunky. Kelebihan mentega kacang chuncy ini adalah serpihan kacang ranggup di dalamnya melazatkan lagi inti pai ini ketika di kunyah.

Inilah resepi Chocolate peanut pie yang saya buat baru-baru ini... :)


CHOCOLATE PEANUT PIE
Bahan kulit pie (pie crust)
350gm tepung gandum 
1 sudu teh garam 
2 sudu makan gula pasir
200gm mentega - Sejukkan dalam peti ais hingga keras potong kecil-kecil
60hingga 120ml air ais

Bahan Inti 
200gm coklat masakan 
60gm mentega kacang chunky
150ml susu cair

Cara membuat:

1. Satukan mentega, tepung gandum, garam dan gula. Masukkan air ais sedikit demi sedikit hingga doh boleh di bentuk dan tidak melekat pada tangan.

2. Masukkan ke dalam peti sejuk dalam 15minit sebelum di bentuk ke dalam acuan muffin dan cucuk dengan garfu bahagian bawah adunan agar tidak menggelembung.


3. Bakar dalam oven dengan api bawah selama 15minit dengan suhu 170'c.

4. Bahan inti : Masak coklat masakan yang di cincang dengan mentega kacang dan susu cair hingga pekat. Tuang ke dalam kulit pie yang telah masak dan setelah sejuk dan beku bolehlah di hidangkan.




Assalamualaikum :)

Selamat pagi dan selamat tahun baru 2013 untuk semua. Sebut tentang tahun baru, pasti setiap orang mempunyai target dan azam baru dalam hidup. Bagaimana pula dengan azam tahun lepas? Sudah tercapai atau di bawa pula ke tahun ini. Bagi diri saya, tahun 2013 ini tumpuan untuk anak-anak akan lebih dari biasa kerana anak yang sulung akan menduduki peperiksaan PMR dan anak yang kedua pula bakal menjalani peperiksaan yang tak kurang  juga pentingnya iaitu UPSR.  Jika di Malaysia, kedua-dua peperiksaan ini di gunakan sebagai  pengukur untuk menentukan hala tuju pelajaran mereka seterusnya. 

Berbalik kepada entry pertama saya untuk tahun 2013, saya ada membuat kek prune untuk di nikmati bersama keluarga pada malam tahun baru. Selalunya anak-anak kurang gemar makan prune tapi lain pula ceritanya setelah di campurkan dalam adunan kek. Menurut kajian, buah prune amat baik untuk kesihatan kerana selain mengandungi vitamin C,  ia juga mengandungi zat besi yang lebih banyak di bandingkan dengan buah epal dan betik. Dalam segelas jus prune pula terdapat 3mg zat besi.

Baiklah...jom kita lihat resepinya :)

KEK PRUNE 
Bahan-bahan
300gm prunes
230gm tepung naik sendiri 
210gm gula kastor
250gm mentega
50gm kacang tanah atau kacang hazel (di kisar)
1 sudu kecil esen vanilla
2 uncang teh (di rendam dengan 1 cawan air mendidih)
5 biji telur


CARA MEMBUAT:

1. Pukul gula dan mentega hingga gebu, masukkan telur satu persatu berselang seli dengan tepung, esen vanilla dan kaup balik hingga sebati.

2. Tuang kacang tanah atau kacang hazel yang di kisar dan kacau lagi.

KISAR PRUNE DENGAN AIR TEH

3. Masukkan juga prune yang telah di kisar bersama air teh dan pukul lagi sehingga semua bahan sebati.


4. Tuang adunan ke dalam loyang dan bakar dalam ketuhar bersuhu 180'c selama 45minit atau hingga keemasan.