Assalamualaikum,


Salah satu kek yang sangat mudah di buat dan tidak banyak bahan yang di gunakan adalah kek pandan kukus. Sesetengah di antara kita yang baru belajar membuat kek lebih suka mengukus daripada membakar kerana belum mahir lagi mengendalikan ketuhar dan ini adalah resepi yang paling sesuai untuk anda.

Resepinya mudah sahaja dan bahan-bahan yang di gunakan pun tak banyak. Saya paling suka dengan resepi ringkas begini kerana waktu yang sangat terbatas untuk masuk kedapur kebelakangan ini. Dah lama juga tak 'update' blog, namun saya ingin berterima kasih kerana masih ada lagi pembaca yang sudi jenguk dan mencari resepi di sini. 

Bagi yang ingin mencuba, resepinya ada di bawah ini.
KEK PANDAN KUKUS - MUDAH
4 biji telur
175 gm tepung gandum
125 gm gula halus
100 gm mentega dicairkan
1/2 sudu teh ovellette
1/2 sudu teh baking powder
 pes pandan secukupnya


Cara membuatnya:

1. Pukul telur,gula dan ovelette hingga kembang, masukkan pes pandan dan pukul lagi.



2. Masukkan pula tepung gandum yang di ayak dengan baking powder dan pukul lagi, lalu masukkan mentega yang di cairkan tadi.

3. Pukul sebentar dan tuang kedalam loyang.

4. Kukus selama 45minit atau sehingga masak.
Assalamualaikum,

Kuih buah melaka atau di sesetengah negeri di panggil onde-onde adalah sejenis kuih lama yang mudah sangat nak buat. Kalau di gandingkan dengan minum petang memang sesuai sangatlah. 

Selalunya kalau buat di rumah tu main agak-agak sahaja jumlah tepung tanpa di sukat-sukat, maklumlah terikut-ikut dengan cara mak dulu memandangkan dari kecil lagi saya suka membantu ibu mengentel kuih yang satu ini sebelum memasukkannya kedalam air mendidih.

Untuk hari ini dan memudahkan lagi pembaca mencuba, saya sertakan resepi yang menggunakan sukatan iaitu di ambil dari blog Yatie Memories. Resepi asalnya buah melaka pancawarna dari E-na Lovely Kitcen tapi saya hanya gunakan satu warna sahaja iaitu hijau.
BUAH MELAKA 
Resepi asal : Buah melaka pancawarna (E-na lovely kitchen)

Bahan-bahan:
3 cawan tepung pulut
3 sudu besar tepung gandum
1 - 2 keping gula melaka
1 cawan kelapa muda parut
sedikit garam

Kisar dan tapis 
1 1/2 cawan air atau secukupnya
4 helai daun pandan

Cara memasak :

1. Gula Melaka di potong kiub kecil.

2. Kelapa muda parut di gaul dengan sedikit garam. Ketepikan.Masukkan 1 cawan tepung pulut, 1 sudu besar tepung gandum, sedikit pewarna kuning ke dalam mangkuk.

3. Bancuh dengan air daun pandan sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel dan tidak melekat di tangan, anggaran 1/2 cawan air. Ketepikan.
4. Didihkan air bersama sehelai daun pandan di dalam periuk. Ambil doh sebesar ibu jari dan leperkan.Masukkan gula melaka di tengahnya dan tutup semula. Gentel bulat.

5. Masukkan ke dalam air yang sedang mendidih.Apabila kuih timbul bolehlah di angkat dan toskan di dalam tapis.Bila kuih telah sejat airnya, golek-golekkan di atas kelapa parut tadi.

TIPS

Doh di campur dengan sedikit tepung gandum supaya kurang liat semasa memakannya. Selamat untuk kanak-kanak, tidak mudah lekat. Kalau nak guna tepung pulut sahaja pun boleh.

Assalamualaikum,

Jika ada yang tengah diet tu, menu bihun sup tumis sangat sesuai di jadikan pilihan hidangan. Cuma kalau boleh minyak yang di gunakan untuk menumis di gantikan dengan minyak jagung atau minyak zaitun. Tapi yang tak diet macam saya ni pun sesuai juga...maklumlah kalau makan nasi tiap hari pun jemu. Sesekali hirup sup yang ada sayuran, udang dan sotong memang sedap. Bagi yang alah atau tak suka dengan makanan laut, boleh sahaja gantikan dengan ayam atau daging.

Bagi yang ingin ingin mencuba, jom kita lihat resepi yang sangat mudah ni. 
BIHUN SUP TUMIS
Bahan-bahan
200gm bihun - di rendam dengan air biasa hingga lembut dan toskan
2 ekor sotong - di bersihkan dan hiris
6 ekor udang - di kopek kulit - tinggalkan bahagian ekor
2 - 3 ulas bawang putih - di ketuk dan cincang 
1 tangkai sayur 'baby' bok choi (boleh gantikan dengan sawi)
1/2 batang lobak merah - di kupas dan hiris
3 cawan air
1 kiub ikan bilis
1 sudu besar kicap sotong thai 
2 sudu besar minyak masak 
lada sulah dan daun bawang untuk hidangan
Cara Memasak : 

1. Panaskan minyak masak kedalam kuali. Tumis bawang putih hingga kekuningan
2. Masukkan udang dan sotong kedalam tumisan dan kacau sehingga berbau wangi.
3. Seterusnya masukkan air, di ikuti oleh kiub ikan bilis, kicap sotong dan sayuran. Renih hingga masak dan rasa kuah tersebut. Jika sudah secukup rasa, masukkan pula bihun yang di toskan tadi dan masak sebentar lalu matikan api.
4. Hidangkan dengan cili potong yang di campur dengan kicap cair, hirisan limau nipis, taburan lada sulah dan serbuk cili Thai. 

#Bihun juga boleh di celur dengan air panas dan toskan sebelum di hidang dengan kuah bihun sup tumis tadi.

Assalamualaikum, 

Salam pagi isnin dan selamat memulakan tugas. Resepi hari ni sangatlah mudah dan ringkas. Rasanya semua orang tau buat sandwich sardin tetapi saya kongsikan juga resepi ini kerana ada permintaan dari pembaca yang masih di bangku sekolah. Terharu bila mereka rajin mencuba resepi-resepi ringkas di blog saya dan menghantar pesanan di facebook untuk meminta resepi mudah untuk di cuba.

Baiklah hari ini saya ingin berkongsi resepi sandwich sardin mudah, dan di harap cara memasak langkah demi langkah yang di sediakan ini membantu.

SANDWICH SARDIN - MUDAH
Bahan-Bahan:
1 tin sardin saiz besar
1 biji limau nipis 
2 labu bawang besar 
5 tangkai cili padi di hiris - Jika suka pedas 
1 biji timun - di kupas dan hiris nipis
1 ikat daun salad 
Mentega
4 sudu besar mayonis - boleh lebihkan jika mengikut selera 
1 buku roti 
1/4 sudu teh - lada sulah 
1 sudu besar minyak masak
garam secukupnya
Cara memasak :

1. Buka tin sardin, sejatkan kuah dan pisahkan tulang sardin dengan isi. Kita hanya menggunakan isi sardin tanpa kuah dan hancurkan dengan garfu. Ketepikan seketika.
2. Kupas bawang besar dan cincang dadu. Panaskan minyak, tumis bawang tersebut hingga wangi dan masukkan isi sardin yang di hancurkan tadi.
3. Perahkan juga limau nipis ke dalam bahan tumisan sambil di kacau rata hingga agak garing.Perasakan dengan secubit garam, lada sulah dan cili padi (jika suka).

4. Setelah sardin masak, matikan api dan gaul dengan mayonis.
5. Seterusnya, sapu mentega pada roti dan letakkan sardin, timun dan daun salad. Lebih enak juga jika roti tersebut di bakar terlebih dahulu.

Assalamualaikum,

Selalunya untuk menu makan malam keluarga saya memilih sesuatu yang ringkas seperti nasi goreng. Sesekali boleh cuba kelainan dan menambah kepelbagaian dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di dalam peti sejuk di rumah kita. 

Ketam bukan sahaja sedap di masukkan ke dalam mee atau maggi, tetapi ketam rebus juga sedap jika isinya di campur kedalam nasi goreng. Nasi goreng ketam juga enak di hidangkan dengan taburan cili Thai dan memang membuka selera. 

Seperti biasa resepinya mudah sahaja tetapi rasanya pasti tidak mengecewakan :)

Nasi Goreng Ketam
2 sudu besar minyak masak 
4 ulas bawang putih di cincang 
1 biji telur 
2 cawan nasi sejuk - di peroi 
1/2 cawan isi ketam yang di rebus
2 sudu teh kicap cair 
1 sudu teh kicap sotong 
½ sudu teh gula
1/2 sudu teh lada sulah 
1 tangkai daun bawang di hiris nipis
sedikit serbuk cili thai 
Cara Memasaknya:

1. Panaskan minyak di dalam kuali besar dengan api yang sederhana. Masukkan minyak masak dan tumis bawang putih hingga berubah warna, pecahkan pula telur sambil di kacau.
2. Masukkan nasi dan isi ketam dan kacau sebentar.
3. Masukkan kicap sotong, kicap cair, gula, lada sulah dan kacau lagi sehingga  semua bahan bercampur dan sebati.
4. Masukkan daun bawang dan kacau sekadar bercampur dan matikan api. Hidangkan dengan serbuk cili Thai, potongan limau dan cili padi.

Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat yang penuh berkat. Sudah sarapan atau belum ni? Jika belum apa kata sekali sekala kita mencuba resepi yang lain sedikit dari negara jiran iaitu Pulut Ayam Thai. Siapa yang pernah merasanya pasti setuju bahawa hidangan ini memang sangat sedap, Tambahan pula di nikmati ketika ayam gorengnya masih panas dan di ganding pula dengan bawang goreng buatan sendiri yang ranggup serta sos cili thai. Mmmmm...cerita pun dah teliur ni. Hee..heee... :). 

Jika di utara semenanjung atau negeri-negeri yang hampir dengan selatan Thai, memang hidangan ini tidak asing lagi dan banyak di jual. Cuma yang kurang berkenan bagi saya adalah ada sesetengah peniaga memasukkan pewarna makanan yang banyak dalam ayam goreng. Resepi yang saya sediakan ini tidak memasukkan sebarang pewarna makanan tetapi gula yang di masukkan kedalam bahan perapan akan menjadikan warna ayam goreng ini cantik dan menyelerakan. 

Jomlah kita tengok resepi yang saya sediakan langkah demi langkah di bawah ni. 
PULUT AYAM THAI 

Bahan-bahan
Ayam sebelah - Di potong

Bahan A - Di tumbuk halus
5 ulas bawang putih
2 tangkai akar ketumbar - di potong kasar
1 sudu teh lada hitam 
1 sudu teh lada putih (lada sulah)
Bahan B
1 1/2 sudu besar gula
3 sudu besar kicap cair
1/4 sudu teh garam
1/4 cawan air 

Bahan C
1⁄2 cawan bawang merah di mayang nipis
1⁄2 cawan tepung beras

Cara memasak:

1. Untuk bahan perapan : Tumbuk semua bahan A dan gaul dengan isi ayam yang di potong tadi. Masukkan gula, garam, kicap cair dan air sambil di gaul rata. Perap sekurang-kurangnya 2 jam atau lebih sedap lagi jika di perap semalaman. Sesekali balik-balikkan ayam yang di perap untuk meratakan bahan perapan dengan isi ayam.

2. Untuk hasilkan bawang goreng yang melengkapkan dan melazatkan lagi hidangan pulut ayam ini, pastikan bawang merah yang di mayang tadi di kering menggunakan tisu dapur. Gaul dengan secubit garam dan goreng dengan api sederhana hingga kekuningan dan garing.

3. Sementara itu, keluarkan ayam yang di perap. Masukkan tepung beras kira-kira 1/4 cawan dahulu dan gaul dengan ayam tersebut hingga bersalut. Jika cair, masukkan sedikit lagi tepung. 


4. Goreng hingga garing di dalam minyak yang panas dalam 5 minit atau sehingga masak. Hidangkan dengan pulut yang di tabur dengan bawang goreng dan sos cili Thai. 

Untuk pulut, hanya kukus atau tanak seperti biasa. Boleh juga rujuk resepinya di SINI untuk versi kukus atau di SINI untuk cara memasak dengan periuk nasi elektrik.

Assalamualaikum,


Pagi ini kita berkongsi resepi sarapan ringkas dan cepat di sediakan iaitu yorkshire puddings. Yorkshire Puddings berasal dari England dan di hasilkan daripada adunan yang terdiri daripada telur, tepung dan susu. Hidangan ini biasanya di gandingkan dengan daging panggang berserta salad dan ada juga yang menikmatinya dengan jem pilihan. 

Bahan-bahan yang di gunakan memang ringkas dan kesemuanya ada di dapur rumah saya. Jadi pagi ini menjadi juga yokshire puddings untuk sarapan. Walaupun sekadar menikmatinya dengan 'strawberry filing' anak-anak begitu mengemarinya dan tak habis-habis memuji :). 

Jom kita tengok bahan-bahan yang di gunakan.
YORKSHIRE PUDDINGS 
Bahan-bahan
140gm tepung gandum
3 biji telur - Gred A
200ml susu segar atau susu cair
sedikit mentega
secubit garam halus

Cara membuatnya:

1. Sapukan sedikit mentega kedalam acuan muffin dan masukkan kedalam ketuhar yang di panaskan -210'c.
2. Pukul telur sehingga kembang dan berbuih, Masukkan susu cair/segar dan pukul lagi. 
3. Masukkan tepung sedikit demi sedikit kedalam adunan telur dan pukul sehingga sebati dan tidak ada ketulan tepung tertinggal. Masukkan juga garam halus dan pukul lagi.
4. Bila adunan sempurna, pindahkan kedalam jar dan tuang pula kedalam acuan muffin yang telah di panaskan tadi.
5. Bakar di dalam ketuhar hingga pudding bertukar warna perang dan mengembang iaitu kira-kira 15-20minit. Hidangkan segera. Sedap di nikmati panas-panas, ranggup di luar dan lembut di dalam.