MEE SIZZLING

Assalamualaikum, 

Dah lama tak pekena mee sizzling buatan sendiri dan yang ini pun entry tertunggak sebenarnya. Saya masak minggu lepas, tapi tak update dalam blog. 

Ada yang bertanya, bagaimana menjaga hot plate yang sering berkarat dan terpaksa dicuci lagi sebelum digunakan untuk memasak. Dari pengalaman sendiri, walaupun dah bertahun-tahun menyimpan hot plate didalam stor, InshaAllah ia bebas karat kerana sebelum menyimpan saya akan panaskan hot plate atas api dapur hingga benar-benar kering (selepas dicuci bersih), seterusnya sapu minyak masak di permukaannya ketika masih panas. Setelah sejuk bolehlah disimpan seperti biasa. Cubalah dan lihat hasilnya.

Baiklah untuk entry petang ini, saya kongsikan resipi mee sizzling dan tak perlu tunggu ada hot plate terlebih dahulu untuk mencubanya. Guna kuali biasa di rumah pun tak ada masalah.   

MEE SIZZLING
Bahan-bahan
2 gulung yee mee
3 ulas bawang putih - dicincang halus
1/2 inci halia - dicincang halus
150 gm isi ayam - dipotong dadu
6 kuntum cendawan shitake - di rendam hingga lembut dan hiris
4 tangkai cili kering - di potong sepanjang 1 inci

Bahan kuah
4 sudu besar sos tiram
3 sudu kicap cair
3 sudu besar kicap pekat
1 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh minyak bijan
2 sudu besar tepung jagung
minyak untuk menumis
4 cawan air

Cara membuatnya:

1. Tumis bawang putih, halia dan cili kering hingga wangi. Masukkan isi ayam, dan masak hingga agak empuk.

2. Masukkan bahan sos iaitu sos tiram, kicap cair dan  kicap pekat sambil dikacau. Seterusnya masukkan 4 cawan air.

3. Renihkan kuah hingga mendidih dan masukkan serbuk lada hitam. Seterusnya masukkan cendawan shitake dan pastikan kuah tersebut secukup rasa. 

4. Setelah itu masukkan air tepung jagung untuk memekatkan kuah. Kacau hingga sebati dan akhir sekali masukkan minyak bijan dan matikan api dapur.

5. Untuk menghidangkan mee sizzling : Masukkan segulung yee mee kedalam hot plate bersama dengan sayur sawi dan pecahkan sebiji telur. Tuang kuah secukupnya dan biarkan mendidih (sizzle). Bila mee lembut serta telur separuh masak, angkat hotplate dan bolehlah dihidangkan.


0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)