PUDING ROTI DURIAN

Assalamualaikum,

Selamat berhujung minggu untuk semua yang sudi masuk ke blog ini. Puding Roti Durian ini sesuai dihidangkan untuk minum petang dan bagi saya rasanya amat lazat sekali kerana selain daripada ditabur dengan isi durian pada setiap lapisan roti, saya juga hidangkan puding ini dengan sos kastad durian.

Memang tak boleh berhenti makan..hihihi, sedap sangat tau, tiap gigitan puding ni. Bagi pencinta durian saya rekomen, cubalah resipi yang simple ini, lagipun kita masih dimusim durian sekarang. Dalam resipi ini hanya 6 ulas durian sahaja saya gunakan. Jom lihat resipi dibawah ni :) 

PUDING ROTI DURIAN
Bahan-bahan
4 - 5 ulas isi durian - dicarik kasar
8-10 keping roti putih 
2 cawan susu segar
½ cawan gula kastor
4 biji telur Gred A (ambil 2 kuning telur campur dengan dua biji telur lagi) 
1 sudu teh esen vanilla
Ceri merah + hijau secukupnya

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c.

2. Masukkan susu cair, gula kastor dan esen vanilla kedalam periuk. Panaskan dengan api sedang hingga mendidih dan matikan api dapur. Biarkan suam seketika.

3. Asingkan dua biji kuning dan putih telur. Kita hanya gunakan 2 kuning telur dan dua biji telur. Pukul hingga berbuih menggunakan whisk.


4. Sapu loyang dengan mentega. Atur roti yang dipotong tadi dan tabur ceri dan isi durian yang dicarik kasar.

5. Tuang telur yang telah dipukul kedalam susu suam dan kacau dengan cepat agar sebati dan telur tidak berketul. Seterusnya tuang keatas roti yang telah diatur didalam loyang.

6. Atur lagi roti dan lapis dengan ceri serta isi durian. Bakar didalam oven selama 45minit atau sehingga puding masak. Setelah sejuk bolehlah dipotong dan hidangkan dengan sos kastad durian.
SOS KASTAD DURIAN
1 tin susu cair
1 ulas isi durian - dihaluskan 
2 sudu besar tepung kastad
2 sudu besar gula pasir

Cara membuat sos :

Tuang susu cair kedalam periuk, panaskan dengan api yang sederhana sambil dikacau. Masukkan pula isi durian, gula pasir dan tepung kastad. Kacau tanpa berhenti sehingga sos menjadi pekat dan matikan api dapur.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)