SAMBAL KERANG CILI PADI DENGAN PETAI

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca blog yang sudi singgah di sini. Hari ini bercuti dapatlah saya memasak untuk keluarga di rumah dan hidangan yang sederhana, ringkas seperti sambal kerang bercampur dengan petai antara menu yang menjadi pilihan. bagi saya, sedap jika masak sambal kerang ini agak kering sedikit.

Resepinya biasa sahaja sama seperti sambal udang atau sotong, cuma cili yang saya gunakan hari ini adalah cili padi dan pastinya sambal ini extra pedas. Lebihan sambal belacan yang kita hasilkan untuk di cicah dengan ulam-ulaman juga boleh di asingkan sedikit dan gunakan untuk membuat sambal ini. Cuma di tambah dengan bawang putih, bawang besar, garam dan gula ketika menumisnya.

Baiklah, resepinya ringkas sahaja dan saya kongsikan di sini bagi yang ingin mencuba.
SAMBAL KERANG CILI PADI DENGAN PETAI 
Bahan A
2 ulas bawang putih  
20 tangkai cili padi (kalau tak tahan pedas boleh di campurkan dengan cili merah)
sedikit air asam jawa
1/2 inci belacan 

Bahan B
1kg kerang segar
satu ikat petai - di buang kulit - ambil isinya
1 labu bawang besar - di potong bulat
Cara membuat:

1. Bersihkan kerang, rebus dan keluarkan isinya. Ketepikan seketika.
2. Kisar semua bahan A dan Tumis hingga wangi. Masukkan bawang besar dan petai sambil di kacau.
3. Masukkan pula gula serta garam dan masaklah hingga agak kering.
4. Akhir sekali masukkan pula isi kerang sambil di kacau hingga masak. 

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)