Assalamualaikum,

Dah makan tengahari hari ni? Menu apa agaknya ye. Kalau saya lebih suka menu 'style' kampung, macam mak selalu masak dulu-dulu waktu kecil, Siapa yang membesar di kampung mesti kenal ulam-ulaman kampung macam terung pipit ini. Selain di buat sambal campur dengan udang atau ikan bilis, terung ini juga sedap di rebus dan cicah dengan sambal picit.

Anak-anak sekarang agak kurang mengenali ulam-ulaman kampung. Contohnya anak saya sendiri...dia cakap terung pipit ini kacang peas.  

Bagi yang tak pernah masak terung pipit ni dan ingin mencubanya, sila masak hingga terung ini agak lembut kerana jika masih keras di luar itu tandanya belum masak. Ada sesetengah orang yang merebusnya terlebih dahulu sebelum masukkannya ke dalam sambal. 

Baiklah, resipi sambal tumis ini sama seperti sambal yang kita buat selalu tu, cuma kali ini saya gantikan air asam jawa dengan tomato. Jom kita lihat resipinya :)

SAMBAL TUMIS UDANG TERUNG PIPIT
Bahan-bahannya
300gm udang segar 
Beberapa tangkai terung pipit - Anggaran 1/2 cawan
2 sudu besar minyak masak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar 
5 tangkai cili merah 
2 tangkai cili padi 
1/2 inci belacan 
5 ulas bawang merah 
1 biji tomato 
1 sudu besar sos tomato
1 cawan air 

Cara membuatnya:

1. Asingkan terung pipit dari tangkainya dan cuci bersih. Tuang minyak ke dalam kuali dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak dan naik bau.
2. Masukkan udang dan kacau hingga separuh masak.
3. Masukkan pula garam dan gula secukup rasa.

4. Setelah itu masukkan  terung pipit dan masaklah hingga terung lembut. Boleh juga rebuskan dahulu terung tersebut dan masukkan kedalam sambal, untuk mempercepatkan proses memasak.


 5. Setelah masak sepenuhnya hidangkan dengan dengan nasi panas dan lauk-lauk yang lain.

Assalamualaikum,

Semalam cuti hari minggu sempat juga buatkan laksam, permintaan dari anak sulung yang teringin sangat nak makan. Buat sedikit sahaja sekadar memenuhi permintaan.

Sebenarnya tidaklah terlalu rumit nak menghasilkan laksam asalkan tahu caranya dan rajin mencuba. Hari ini saya ingin berkongsi resipi yang rasanya sama dengan teman-teman blogger yang lain pernah kongsikan.

Jom kita lihat resipinya.
LAKSAM - BAHAN UNTUK KUAH
250gm isi ikan yang telah di rebus - di kisar 
Air rebusan ikan 
100ml santan 
3 keping asam keping
1/2  sudu teh serbuk lada hitam 

Bahan Kisar (B)
5 ulas bawang merah 
5cm halia 
1 batang serai 

1. Rebus ikan dan asingkan isinya dari tulang.


2. Kisar halus semua bahan B bersama isi ikan hingga halus.


3. Rebus semua bahan kisar dan masukkan air rebusan ikan serta santan. Masukkan juga asam keping beserta serbuk lada hitam. Renih hingga mendidih dan perasakan dengan garam secukup rasa.


3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh garam
5 cawan air suam
sedikit minyak untuk di sapu di atas tudung periuk (boleh juga gunakan loyang leper)

Cara membuatnya:

1. Panaskan kukusan bersama tudung periuk yang disapu minyak secukupnya. Tujuannya adalah untuk memudahkan laksam di gulung dan tak melekat di tudung periuk/loyang nanti. Pastikan setiap kali mengukus, loyang di sapu dengan sedikit minyak. 

2. Di dalam mangkuk yang besar, campurkan tepung gandum, tepung beras, garam dan air suam, Kacau hingga sebati dan tidak berketul.

 3. Masukkan adunan ke dalam jag sambil di kacau supaya adunan tepung tidak mendap. Tuang ke atas tudung periuk dan kukuslah sehingga gelembung baru angkat. laksam akan patah ketika menggulungnya. Api ketika mengukus perlu kuat supaya tepung cepat masak.

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin kongsikan resipi siakap masam manis. Boleh di gantikan dengan ikan lain juga mengikut selera anda. 

Teknik memotong ikan ini membuatkan anak-anak lebih mudah menikmati ketulan isi ikan yang di masak. Saya mula dengan menyiang seperti biasa tetapi menghiris isi ikan di kedua-kedua belah sisi dan seterusnya di potong dadu. Tulang ikan yang tinggal bersama-sama kepala dan ekornya juga di goreng ranggup dan taburkan isi ikan ke atasnya sebelum di tuang kuah.

Nak cuba resipi yang ringkas ini? Jom kita lihat bahan-bahannya.
SIAKAP MASAM MANIS 
Bahan-bahannya 
1 ekor ikan siakap - berat kira-kira 700gm
1 sudu besar tepung jagung dan sedikit garam
4 ulas bawang putih - di cincang 
1 labu bawang holand - di hiris kasar 
1/2 batang lobak merah - di potong seperti mancis
4 sudu besar sos tomato 
2 sudu besar sos cili 
1/2 cawan air (tambahkan sedikit jika ingin kuah lebih)
garam, gula dan lada sulah secukup rasa
1/2 tangkai cili merah 
30gm nanas - di potong dadu 
20gm lada benggala hijau
minyak untuk menumis 

Cara membuatnya:

1. Bersihkan ikan siakap. saya siat dagingnya dan potong dadu lalu di goreng hingga separuh garing. Ketepikan seketika.

2. Masukkan minyak kedalam kuali. Tumis bawang putih sehingga agak garing dan masukkan lobak merah dan bawang holland.


3. Setelah bawang dan lobak merah agak layu sedikit, masukkan semua sos dan air lalu di kacau.


4. Perasakan dengan garam, gula dan serbuk lada sulah secukup rasa.


5. Seterusnya masukkan cili merah, nanas dan lada benggala. Kacau sebentar dan matikan api dapur. Tuang kuah ke atas ikan goreng tadi dan bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu dan menghabiskan cuti panjang dengan keluarga. Cuti begini kalau tak kemana-mana bolehlah mencuba resipi-resipi ringkas yang di kongsikan.  Ini adalah menu sarapan hari ini. Anak-anak saya suka makan muffin dan ianya mengenyangkan. Kali ini saya masukkan mangga kedalam adunan dan rasanya memang sedap.

Bagi yang ingin mencuba, jom kita lihat resipinya :)
MUFFIN MANGGA
Bahan-bahan
2 ½ cawan tepung naik sendiri
1/3 cawan gula kastor
1 1/3 cawan susu segar + 1 sudu besar cuka -jadikan buttermilk
1 sudu besar jus mangga sunquick
¼ cawan minyak sayuran -boleh juga guna minyak masak
1 biji telur
1 cawan isi mangga – di potong dadu

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 180’c.

2. Di dalam sebuah mangkuk besar, campurkan gula dan tepung. Ketepikan seketika.
3. Masukkan buttermilk kedalam sebuah mangkuk lain dan kacau bersama minyak sayuran, jus mangga dan telur dengan menggunakan spatula.
4. Tuang adunan buttermilk tadi kedalam tepung dan gula lalu dikacau sekadar adunan bercampur. Jangan terlebih kacau kerana muffin akan menjadi keras. Adunan sepatutnya tidak cair dan agak berketul. Masukkan pula mangga yang telah di potong.
5. Seterusnya masukkan adunan kedalam cawan muffin dan bakar ke dalam oven pada selama 25minit atau sehingga masak.


Assalamualaikum,

Selamat hari pekerja untuk semua pembaca blog dan teman-teman FB. Hari ini memang sibuknya luar biasa kerana terlalu ramai pelancong yang masuk ke Pulau Langkawi sempena cuti yang agak panjang iaitu sempena hari pekerja, cuti hujung minggu dan di sambung pula cuti hari wesak bagi negeri-negeri yang mendapat cuti pada hari tersebut.

Bila terpaksa bekerja pada hari ini dan sampai di rumah sudah keletihan. Anak-anak memilih untuk makan nasi tetapi tekak ni terasa nak makan yang berkuah dan pedas-pedas sahaja. Jadi saya buatkan maggi kari ketam untuk diri sendiri. Memang sedap sangat menghirup, di tambah pula dengan cuaca mendung di luar sana. Sedar tak sedar dah habis semangkuk maggi kari ketam masuk ke perut. 

Bagi adik-adik bujang yang nak cuba resipi yang ringkas ini, jom kita lihat cara membuatnya.   
MAGGI KARI KETAM 
Bahan Tumis - A
2 ulas bawang merah - di cincang 
1 ulas bawang putih - di cincang 
1 sudu besar cili kisar 

Bahan B
1 bungkus maggi kari 
1 ekor ketam - saiz sederhana
Sedikit lobak merah di potong seperti mancis dan hirisan kobis
2 ketul taufu pok  - di potong dua
1/2 cawan taugeh 
Air secukupnya 
garam secukup rasa - jika perlu
minyak untuk menumis 

Cara membuatnya:

1. Tumis bawang putih, bawang merah dan cili kisar sehingga garing dan naik bau.

2. Masukkan air secukupnya untuk kuah dan ketam. Renihkan hingga mendidih dan balik-balikkan ketam agar masak sekata.

3. Masukkan pula tofu pok, lobak merah, kobis dan mee maggi sambil di kacau.

4. Seterusnya masukkan serbuk maggi kari dan renihkan sehingga mee maggi lembut dan masak. Masukkan juga taugeh dan, jika kurang masin, perasakan dengan garam secukup rasa.
 
5. Hidangkan ketika masih panas dengan menabur hirisan daun bawang dan bawang goreng.
Assalamualaikum,

Salad kentang dengan ayam ranggup memang sedap dan tidak akan di tolak oleh anak-anak jika di hidangkan. Boleh di cuba untuk sarapan pagi dan resipinya ada saya sertakan di bawah ini. Bagi saya isi ayam yang di goreng ranggup menyedapkan lagi salad ini. Tak rugi anda mencuba resipi salad yang sangat mudah ini.

SALAD KENTANG DENGAN AYAM RANGGUP
Bahan-bahan
4 biji kentang saiz sederhana - di rebus hingga empuk
1 cawan mayonis
100gm isi ayam - di potong memanjang dan perap bersama serbuk lada sulah, tepung jagung dan sedikit garam
1 biji tomato - di potong 
sedikit lobak merah - di sagat 
sedikit kobis - di hiris nipis
1 sudu besar susu pekat 
1/2 sudu teh jus limau nipis

Cara membuatnya:

1. Kupas kulit kentang yang telah di rebus dan potong empat.

2. Goreng isi ayam hingga garing dan ketepikan seketika.
3. Seterusnya masukkan mayonis dan susu pekat ke dalam mangkuk besar. Perahkan jus limau nipis dan kacau hingga sebati.
4. Masukkan kentang yang telah di potong dan sayuran dan kacau.
5. Masukkan pula isi ayam dan kacau hingga semuanya bercampur. Boleh masukkan ke dalam peti sejuk dan keluarkan ketika ingin menghidangnya.



Assalamualaikum,

Nasi ayam adalah salah satu menu yang di gemari oleh masyarakat di Malaysia. Antara yang popular di pasaran adalah nasi ayam madu dan nasi ayam hainan tetapi boleh juga di pelbagaikan bahan-bahan perapan nasi ayam untuk kelainan.

Kali ini saya ingin berkongsi resipi nasi ayam tomyam dan rasanya memang sedap dan tak kalah dengan nasi ayam dari jenis lain. 

Bagi yang ingin mencuba kesedapan nasi ayam ini, bolehlah mencuba resipi di bawah ini.


NASI AYAM TOMYAM

BAHAN A
Ayam sebelah - di potong dua atau tiga
1 kiub ayam
1 inci halia 
1 bungkus sup bunjut 
1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
1 kuntum bunga lawang, 2 kuntum buah pelaga dan 2 kuntum bunga cengkih 

UNTUK NASI - BAHAN B 
3 cawan beras 
4 cawan air rebusan ayam
2 helai daun pandan - di simpul
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dan 1/2 inci halia - di mayang halus 
sedikit pewarna kuning 
minyak untuk menumis

UNTUK PERAPAN AYAM - BAHAN C 
1 sudu besar pes tomyam 
1 1/2 sudu besar kicap sotong/ikan Thai 
2 ulas bawang merah, 1 ulas bawang putih, 1cm lengkuas & 1cm halia dan 1 tangkai daun ketumbar beserta akar - di tumbuk lumat 

Cara membuatnya:

1. Rebus ayam bersama-sama bahan A hingga masak dan keluarkan ayam. Masukkan garam secukup rasa di dalam air rebusan untuk di jadikan sup. Asingkan 4 cawan air rebusan ayam untuk memasak nasi.
2. Lumur ayam yang di rebus tadi dengan bahan-bahan C dan perapkan seketika agar bahan-bahan meresap ke dalam isi ayam. Seterusnya goreng atau bakar di dalam ketuhar hingga garing dan masak. Saya gunakan kaedah membakar.


3. Sementara itu tumis bahan-bahan untuk nasi ke dalam periuk dan masukkan beras. Masukkan juga air rebusan ayam dan masak seperti nasi biasa. Seimbangkan juga rasa nasi dengan memasukkan sedikit garam atau kiub ayam jika air rebusan ayam yang di gunakan kurang masin.

4. Setelah nasi masak, bolehlah di hidangkan dengan sos cili Thai dan kicap, jika suka.