Assalamualaikum,

Salad kentang dengan ayam ranggup memang sedap dan tidak akan di tolak oleh anak-anak jika di hidangkan. Boleh di cuba untuk sarapan pagi dan resipinya ada saya sertakan di bawah ini. Bagi saya isi ayam yang di goreng ranggup menyedapkan lagi salad ini. Tak rugi anda mencuba resipi salad yang sangat mudah ini.

SALAD KENTANG DENGAN AYAM RANGGUP
Bahan-bahan
4 biji kentang saiz sederhana - di rebus hingga empuk
1 cawan mayonis
100gm isi ayam - di potong memanjang dan perap bersama serbuk lada sulah, tepung jagung dan sedikit garam
1 biji tomato - di potong 
sedikit lobak merah - di sagat 
sedikit kobis - di hiris nipis
1 sudu besar susu pekat 
1/2 sudu teh jus limau nipis

Cara membuatnya:

1. Kupas kulit kentang yang telah di rebus dan potong empat.

2. Goreng isi ayam hingga garing dan ketepikan seketika.
3. Seterusnya masukkan mayonis dan susu pekat ke dalam mangkuk besar. Perahkan jus limau nipis dan kacau hingga sebati.
4. Masukkan kentang yang telah di potong dan sayuran dan kacau.
5. Masukkan pula isi ayam dan kacau hingga semuanya bercampur. Boleh masukkan ke dalam peti sejuk dan keluarkan ketika ingin menghidangnya.



Assalamualaikum,

Nasi ayam adalah salah satu menu yang di gemari oleh masyarakat di Malaysia. Antara yang popular di pasaran adalah nasi ayam madu dan nasi ayam hainan tetapi boleh juga di pelbagaikan bahan-bahan perapan nasi ayam untuk kelainan.

Kali ini saya ingin berkongsi resipi nasi ayam tomyam dan rasanya memang sedap dan tak kalah dengan nasi ayam dari jenis lain. 

Bagi yang ingin mencuba kesedapan nasi ayam ini, bolehlah mencuba resipi di bawah ini.


NASI AYAM TOMYAM

BAHAN A
Ayam sebelah - di potong dua atau tiga
1 kiub ayam
1 inci halia 
1 bungkus sup bunjut 
1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
1 kuntum bunga lawang, 2 kuntum buah pelaga dan 2 kuntum bunga cengkih 

UNTUK NASI - BAHAN B 
3 cawan beras 
4 cawan air rebusan ayam
2 helai daun pandan - di simpul
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dan 1/2 inci halia - di mayang halus 
sedikit pewarna kuning 
minyak untuk menumis

UNTUK PERAPAN AYAM - BAHAN C 
1 sudu besar pes tomyam 
1 1/2 sudu besar kicap sotong/ikan Thai 
2 ulas bawang merah, 1 ulas bawang putih, 1cm lengkuas & 1cm halia dan 1 tangkai daun ketumbar beserta akar - di tumbuk lumat 

Cara membuatnya:

1. Rebus ayam bersama-sama bahan A hingga masak dan keluarkan ayam. Masukkan garam secukup rasa di dalam air rebusan untuk di jadikan sup. Asingkan 4 cawan air rebusan ayam untuk memasak nasi.
2. Lumur ayam yang di rebus tadi dengan bahan-bahan C dan perapkan seketika agar bahan-bahan meresap ke dalam isi ayam. Seterusnya goreng atau bakar di dalam ketuhar hingga garing dan masak. Saya gunakan kaedah membakar.


3. Sementara itu tumis bahan-bahan untuk nasi ke dalam periuk dan masukkan beras. Masukkan juga air rebusan ayam dan masak seperti nasi biasa. Seimbangkan juga rasa nasi dengan memasukkan sedikit garam atau kiub ayam jika air rebusan ayam yang di gunakan kurang masin.

4. Setelah nasi masak, bolehlah di hidangkan dengan sos cili Thai dan kicap, jika suka.


Assalamulaikum,


Pada hari Ahad 26hb April yang lalu pukul 10.15pagi berlangsunglah pelancaran siri buku jom masak di Pentas mini, Dewan Tun Dr Ismail PWTC yang melibatkan saya sebagai penulis buku Jom masak lauk pauk bersama-sama 5 orang lagi Chef, iaitu Chef zailina - Jom...kuih muih, Chef Suwarsi - Jom ...nasi, Chef Marina - Jom...ikan, Chef Othman - Jom...Mihun & Kue Teow dan Chef Azmi...Jom menu bujang. Alhamdulillah sambutan dari pengunjung amat menggalakkan bertepatan dengan pesta buku Antarabangsa yang sedang berlangsung dari 24hb April sehingga 3hb Mei 2015.



Bagi saya yang baru menghasilkan buku pertama dengan Karangkraf, ini merupakan pengalaman yang amat berharga dan agak kekok juga sebenarnya untuk bersama-sama dengan Chef terkenal yang menjadi Idola saya selama ini untuk turut melancarkan siri buku Jom, ini. Tetapi ternyata mereka peramah dan mesra sekali membuatkan saya sangat teruja dan berbangga menjadi sebahagian daripada individu yang di raikan pada hari itu. 


Buku yang berharga RM 15 sebuah ini di tawarkan dengan harga istimewa iaitu RM 12.00 tiap satu sepanjang pesta buku berlangsung. Jadi jangan ketinggalan untuk turut hadir dan mendapatkannya untuk menambah koleksi buku resipi anda. 


Jangan lupa dapatkan buku Jom...lauk pauk dan cuba 38 resipi mudah yang saya kongsikan beserta langkah demi langkah. Anda pasti mendapat kepuasan memasak dan tambatlah kasih sayang keluarga dengan air tangan sendiri. 


Assalamualaikum,

Pagi ini saya ingin berkongsi resipi sarapan atau boleh juga di gandingkan dengan minum petang iaitu roti gulung sardin bersayur. Selalu tu kita buat inti sardin, tetapi tak salah kita modifikasikan dengan menambah sayuran ke dalam intinya. Selain daripada berkhasiat ianya juga bagus untuk anak-anak yang tak suka makan sayuran. Pasti mereka tidak akan menolak roti gulung sardin bersayur yang ranggup dan sedap ini.

Baiklah kita langsung sahaja lihat resipinya...jom.
ROTI GULUNG SARDIN BERSAYUR
Bahan-bahan
6 keping roti sandwich
1 tin sardin saiz kecil - di lenyek isinya dengan garfu
1 labu bawang besar - di cincang dadu 
1 ulas bawang putih - di cincang 
sedikit kobis - di potong halus memanjang 
sedikit lobak merah - di potong seperti mancis 
1/2 sudu teh jus limau nipis 
5 tangkai cili padi - di hiris nipis 
Minyak untuk menumis
1 biji telur - di pukul

Cara membuatnya : 

1. Masukkan minyak kedalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga separuh garing dan naik bau.
2. Seterusnya masukkan sardin yang di lenyek tadi dan masak hingga agak garing. 
3. Perahkan limau nipis kedalam inti sardin dan masukkan juga sayuran dan cili padi. Masak hingga sayuran lembut dan perasakan dengan garam.

4. Ambil roti sandwich dan buang kerak di tepinya. Lenyek roti tersebut menjadi nipis dan letakkan inti di tengahnya lalu di gulung. 
5. Sapu telur di hujung gulungan roti tersebut untuk melekatkannya. Buatlah sehingga habis.

6. Seterusnya celup roti yang telah siap di gulung ke dalam telur dan golekkan kedalam serbuk roti. Goreng sebentar kedalam minyak yang panas sehingga garing dan toskan. 

Assalamualaikum,

Sarapan apa pagi ini? Lempeng pisang pun sedap juga. Tambahkan sedikit mentega kacang kedalam adunan, memang anak-anak akan suka. Penyediaanya cepat dan bahan-bahan yang di gunakan pun mudah di dapati. Apalagi...jom kita lihat resipinya. 

LEMPENG PISANG DAN MENTEGA KACANG 
Bahan A
1 cawan tepung gandum
2 sudu besar gula 
2 sudu teh baking powder
secubit garam

Bahan B
1 biji telur 
3/4 cawan - susu segar
1 sudu besar minyak masak
1/4 cawan mentega kacang
2 biji pisang 

Cara menyediakannya:

1. Campurkan semua bahan A di dalam mangkuk dan ketepikan seketika.

2. Di dalam mangkuk yang lain, campurkan susu, telur, minyak dan pukul ringan sehingga adunan sekata. 
3. Seterusnya, masukkan pula mentega kacang.
4. Kacau hingga mentega kacang larut dan masukkan tepung sedikit demi sedikit.
5. Seterusnya masukkan pisang yang di lenyek dan kacau lagi . Masukkan 1/4 cawan adunan ke dalam kuali leper yang di sapu dengan mentega terlebih dahulu dan bakarlah hingga masak.
6. Hidangkan dengan hirisan pisang dan madu.

Assalamualaikum,

Pernah makan 'Kaeng Som'? Sejenis masakan Thai yang bagi saya sangat lazat tetapi pedasnya bukan main. Kalau kita masak sendiri bolehlah kurangkan jumlah cili agar anak-anak boleh ikut menikmatinya. Kaeng som atau asam pedas Thai ini selalunya menggunakan ikan dan di rampai dengan hirisan nenas atau rebung.  

Bagi yang ingin mencuba, resipinya saya sertakan di bawah ini. 

KAENG SOM (Asam Pedas Thai)
Bahan A - di tumbuk atau kisar halus
20 tangkai cili padi merah
5 tangkai cili kering – rendam air panas
6 ulas bawang putih  
1 inci kunyit hidup 
1 sudu teh garam
1 sudu besar belacan

Bahan B
1 cawan rebung madu siap di rebus – di hiris
4 ketul ikan – di potong kiub
2 sudu besar sos ikan/sotong
2 biji limau nipis – ambil jusnya (guna sekadar cukup rasa)
1 sudu besar gula Thai atau gula melaka
4 cawan air

Cara membuatnya:

1.Masukkan air ke dalam periuk bersama-sama bahan kisar dan masak hingga mendidih. 

2. Masukkan pula rebung dan renih hingga sebati.
3. Seterusnya masukkan gula melaka dan sos sotong/ikan Thai. 
4. Masukkan isi ikan, perahkan limau nipis ke dalam asam pedas dan rasa samada ia seimbang masam, pedas, masin dan manis dan bolehlah di tambah lagi bahan perasa tersebut untuk mendapatkan rasa yang benar-benar mantap.


Salam pagi jumaat yang penuh dengan keberkatan. Sarapan pagi apa agaknya hari ini? Apa kata kita cuba buat sendiri roti canai pandan yang terkenal di Yan, kedah tu. Mungkin resipi saya ini tidak sama dengan yang di jual di sana tetapi menarik juga untuk di cuba roti canai pandan ini kerana ada sedikit kelainan dari segi rasanya dengan roti yang selalu kita makan di gerai mamak.

Saya hanya tambahkan pes pandan kedalam adunan dan beberapa titis pewarna hijau kerana kurang menyerlah warnanya ketika menguli. Bagi yang ingin mencubanya...resipi ada di bawah ini.

ROTI CANAI PANDAN
Bahan-bahan
500gm tepung gandum
1 sudu besar susu pekat manis
1 sudu teh garam
1 1/2 sudu besar minyak masak
280ml air
1 sudu besar pes pandan
beberapa titis pewarna hijau
Margerin secukupnya untuk menyalut doh 

Cara membuatnya:

1. Campurkan garam, air , susu pekat, minyak, pes pandan dan pewarna hijau lalu di kacau rata.

2. Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar dan tuang semua bahan basah yang di campur tadi ke atasnya.

3. Uli hingga tepung elastik dan bulat-bulatkan adunan. Salut sedikit majerin pada tiap adunan untuk mengelakkan dari ianya melekat di antara satu sama lain. Rehatkan adunan.
4. Sapu tempat untuk menebar (meja) dengan sedikit minyak untuk mengelak dari ianya melekat. Ambil satu adunan dan tekan untuk meleperkannya sebelum menebar.
5. Seterusnya tebar roti canai dan percikkan sedikit minyak. putarkan adunan dan bentukkan menjadi bulat serta bakar di atas kuali leper.
6. Balik-balikkan adunan dan percikkan sedikit minyak hingga roti masak dan garing. Tepuk roti canai untuk melembutkannya dan Hidangkan dengan kari ataupun kuah kegemaran anda.

Assalamualaikum,

Wah...dah lama benar rasanya tidak update blog. Ingin sekali berkongsi resipi dengan pembaca semua tapi apakan daya, 'line Internet' yang tersangkut-sangkut membataskan segalanya hinggakan tidak dapat juga masuk ke 'facebook'. 

Kebetulan juga seminggu ini saya agak sibuk kerana ada kerjasama baru dengan Karangkraf dan baru di fasa pertama. InshaAllah akan saya kongsikan dengan semua apabila segalanya telah siap mengikut rencana.

Alhamdulillah hari ini sudah boleh 'update' blog seperti biasa dan saya ingin berkongsi menu masakan kampung iaitu masak lemak talang dengan pucuk kaduk. Jom kita lihat resipinya :)

MASAK LEMAK TALANG DENGAN PUCUK KADUK
Bahan A (Kisar)
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih 
2cm kunyit hidup 
5 tangkai cili padi 

Bahan B
3 ketul isi ikan talang yang siap di potong 
1 cawan santan pekat 
2 cawan santan cair
secekak pucuk kaduk 
2 batang serai - di ketuk
1 keping asam gelugur 
Garam dan gula secukup rasa
1 biji tomato - di belah empat
2 sudu makan minyak untuk menumis 

Cara membuat :

1. Masukkan minyak ke dalam kuali dan tumis serai hingga berbau wangi.
2. Tuang bahan yang telah di kisar ke dalam tumisan serai tadi dan masaklah hingga agak pecah minyak.
3. Masukkan santan cair, tomato dan renihkan seketika. Seterusnya masukkan isi ikan satu persatu.
4. Masukkan pula santan pekat sambil di kacau dan pucuk kaduk.
5. Perasakan dengan garam, gula dan setelah masak dan sebati bolehlah matikan api dapur.
Assalamualaikum,



Alhamdulillah, buku masakan saya yang pertama, Jom Masak - Enaknya langkah demi langkah (lauk pauk) terbitan Karangkraf telah berada di pasaran dan kedai-kedai buku.

Buku ini mengandungi 38 resipi lauk pauk harian yang enak dan di garap dengan begitu teliti dan menarik sekali oleh editor dan jurugambar Karangkraf. Setiap resipi mengandungi 6 langkah demi langkah dan menjadikan kerja memasak kelihatan begitu mudah walaupun anda baru berjinak-jinak dengan dunia masakan.


Tambahkan koleksi buku resipi dan ilmu memasak anda sekarang dengan buku yang berharga RM 15 ini dan boleh juga di hadiahkan kepada orang tersayang.

Kini memasak bukan lagi masalah kerana selain dari langkah demi langkah, resipi yang di tampilkan juga adalah ringkas, sedap dan menarik.

Terima kasih kepada pengunjung setia blog fizalgk.blogspot.com mencuba resipi yang saya kongsikan selama ini dan memberi komen-komen positif. Ianya memberi semangat kepada saya untuk terus berkarya dan menghasilkan resipi dalam bentuk buku serta memudahkan pembaca jadikan koleksi.

Dapatkan segera di kedai-kedai buku berhampiran anda.