KUIH BUAH MELAKA

Assalamualaikum,

Kuih buah melaka atau di sesetengah negeri di panggil onde-onde adalah sejenis kuih lama yang mudah sangat nak buat. Kalau di gandingkan dengan minum petang memang sesuai sangatlah. 

Selalunya kalau buat di rumah tu main agak-agak sahaja jumlah tepung tanpa di sukat-sukat, maklumlah terikut-ikut dengan cara mak dulu memandangkan dari kecil lagi saya suka membantu ibu mengentel kuih yang satu ini sebelum memasukkannya kedalam air mendidih.

Untuk hari ini dan memudahkan lagi pembaca mencuba, saya sertakan resepi yang menggunakan sukatan iaitu di ambil dari blog Yatie Memories. Resepi asalnya buah melaka pancawarna dari E-na Lovely Kitcen tapi saya hanya gunakan satu warna sahaja iaitu hijau.
BUAH MELAKA 
Resepi asal : Buah melaka pancawarna (E-na lovely kitchen)

Bahan-bahan:
3 cawan tepung pulut
3 sudu besar tepung gandum
1 - 2 keping gula melaka
1 cawan kelapa muda parut
sedikit garam

Kisar dan tapis 
1 1/2 cawan air atau secukupnya
4 helai daun pandan

Cara memasak :

1. Gula Melaka di potong kiub kecil.

2. Kelapa muda parut di gaul dengan sedikit garam. Ketepikan.Masukkan 1 cawan tepung pulut, 1 sudu besar tepung gandum, sedikit pewarna kuning ke dalam mangkuk.

3. Bancuh dengan air daun pandan sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel dan tidak melekat di tangan, anggaran 1/2 cawan air. Ketepikan.
4. Didihkan air bersama sehelai daun pandan di dalam periuk. Ambil doh sebesar ibu jari dan leperkan.Masukkan gula melaka di tengahnya dan tutup semula. Gentel bulat.

5. Masukkan ke dalam air yang sedang mendidih.Apabila kuih timbul bolehlah di angkat dan toskan di dalam tapis.Bila kuih telah sejat airnya, golek-golekkan di atas kelapa parut tadi.

TIPS

Doh di campur dengan sedikit tepung gandum supaya kurang liat semasa memakannya. Selamat untuk kanak-kanak, tidak mudah lekat. Kalau nak guna tepung pulut sahaja pun boleh.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)