Assalamualaikum, 


Bila anak bujang yang tingkatan dua balik bercuti dari asrama ada sahajalah projek memasak makanan ringan seperti menggoreng kentang@wedges sejuk beku hinggalah membuat burger sendiri untuk adik-adik. Selalunya dia masak waktu malam selepas saya pulang dari pejabat dan semestinya dengan pengawasan. Saya hanya benarkan dia menggunakan portable stove untuk membakar daging dan roti burger. Seronoknya alahai dapat masak dengan adik-adik di luar rumah. Riuh rendah jadinya nak boleh siap dan makan sebiji burger pun. Tapi puas hatilah kan dapat greenlight untuk masak sendiri.

Hari ini buat pertama kalinya saya tidak akan berkongsi resipi kerana dua sebab iaitu yang pertama gambar burger di blog kali ini bukan hasil air tangan saya tetapi di sediakan bahan-bahannya dan di masak oleh Haikal, anak bujang saya yang berusia 14 tahun, mama hanya siapkan props dan shoot sahaja dan yang kedua saya ingin kongsikan cara yang betul memasak burger yang saya fikir bagus sekali untuk adik-adik yang nak belajar masak sendiri atau untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Sumbernya saya ambil di SINI. Terimakasih kepada admin page Jom kerja di rumah, saya tak tahu siapa penulis asalnya dan tips ini dah lama berlegar di internet tetapi ia begitu bermanafaat hingga saya tergerak untuk berkongsi di blog ini. 

CARA MEMBUAT BURGER YANG SEDAP
Kategori Burger yang sedap mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:
  • Sedikit pedas
  • Sedikit manis
  • Sedikit berkrim
  • Sedikit berempah
  • Kaya dengan sos
  • Aroma yang sedap dan menyelerakan
  • Penampilan yang menggiurkan
  • Harganya mestilah murah dan berpatutan
KUALI
Sebaiknya dari jenis besi yang tebal. Memang harganya mahal sedikit, sebab ia lebih bagus kerana haba dari api akan lebih stabil dan menyeluruh. Sebelum masak cuci kuali dahulu dengan air dan sabun pencuci pinggan. Sesetengah peniaga burger (tak semua, ada yang bagus) tidak menjaga kebersihan atau basuh kuali dengan betul dan hanya simbah-simbah sahaja dengan air kemudian gosok dengan scraper.

API
Gunakan api kecil atau sederhana sahaja dan jangan sesekali masak burger pakai api besar. Nanti daging burger cepat hangus, jadi garing macam keropok dan rasanya tak best. 

MARJERIN
Sapukan marjerin nipis sahaja ke serata kuali, fungsinya agar kuali tak melekat ketika masak.
DAGING
Sebaiknya daging sudah di-defrost-kan (nyahbeku) terlebih dulu agar cepat masak. Tapi jika daging tu masih beku tak mengapa, letak sahaja di kuali, cuma jangan sesekali gatal tangan besarkan api kerana inilah penyebab daging burger keras, garing dan hangus. Biar sahaja daging tu jadi lembut dan masak perlahan-lahan. Tak payah sibuk-sibuk letak marjerin, nanti daging tu akan keluar minyak sendiri.                                                                                     
TEKNIK MENGGORENG
Balik-balikkan daging burger ketika memasak. Tak perlu sibuk-sibuk tekan daging tu, nanti semua jus daging akan hilang dan keras.

TEKNIK KETUK LUBANG
Teknik ini sangat bagus, sebabnya ialah selain dari membantu agar daging semuanya masak, ia juga jadi tempat untuk perencah meresap dan terperangkap. Selain itu juga, agar daging tetap tebal dan lembut serta lebih terasa apabila digigit dan dikunyah.

TEKNIK MEREMPAH
Setelah diketuk-ketuk sampai berlubang, sila pastikan daging telah masak kemudian tekan sikit daging tu untuk membuang minyak yang berlebihan. Tekan 2-3 kali saja – jangan terlebih pulak. Lepas tu bubuhlah perencah ikut step, iaitu:

Worchestershire Sauce – Lea & Perrins. Jangan letak banyak, ala kadar sahaja.
Kicap Perasa – Saya lebih suka brand Maggi.
Serbuk lada hitam - saya guna 
Serbuk Lada Sulah - belum pernah cuba
Serbuk Kari Daging- belum pernah cuba
Air Bawang Putih   - belum pernah cuba

Saya tak pernah gunakan serbuk lada sulah, serbuk kari daging dan air bawang putih seperti yang di nyatakan ketika membuat burger. Bolehlah cuba jika ingin kelainan. 

Lepas selesai letak perencah, anda balikkan daging sekali, lepas tu tekan sekali jer dan angkat. Letak kat roti yang telah disediakan. Sekali lagi ditekankan, pastikan memasak daging jangan over cook, nanti rasa dia hilang dan keras.

AIR BAWANG PUTIH
Ia bertujuan untuk mengelakkan daging jadi over dry. Air bawang putih akan menggantikan jus daging yang sebahagiannya telah hilang waktu proses memasak tadi. Cara buatnya senang sahaja. Kupas bawang putih lepas tu ketuk hingga hancur. Masukkan dalam botol, bubuh air dan goncang. Tak perlu bubuh garam.

ROTI BURGER
Lepas belah dua, sapu marjerin nipis saja tapi menyeluruh. Bakar roti di kuali di bahagian isi tengah saja. Bahagian kulit atas dan bawah jangan bakar, nanti berminyak dan lembik pulak. Jangan gatal-gatal tangan tekan roti tu waktu membakarnya. Lepas bahagian yang dibakar tu dah jadi perang sikit, angkatlah. Sebaiknya letak atas alas berjaring bukan di tempat yang rata seperti pinggan. Letak kat alas berjaring akan membuatkan hot air circulation pada roti lancar. Roti jadi gebu, garing dan mantap. Jika korang letak kat tempat flat, roti nanti jadi lembik.

SAYUR
Lepas roti dah dibakar, bolehlah letak sayur. Ada beberapa pilihan sayur. Salad, lettuce, kobis, tomato, bawang holland dan timun.

Salad, lettuce dan kobis – Sebaiknya hiris ler. Kobis tu paling bagus kalau dihiris halus-halus, baru lah mantap. Tomato juga perlu dihiris. Bawang pula boleh pilih sama ada nak hiris atau potong dadu. Timun lebih baik kalau timun jepun – lebih rangup dan tiada risiko liat dan pahit seperti timun biasa.


SOS CILI
Sebaiknya gunakan sos cili yang ada jenama di pasaran dan elakkan pakai sos cili murah, nanti rasa burger tak sedap.


SOS TOMATO
Kalau nak gunakan sos tomato, carilah yang rasanya kurang masam. Gunakan sedikit sahaja. 

SOS LADA HITAM 
Kalau letak ni pun bertambahlah sedapnya burger kita. Syaratnya pastikan sos lada hitam tu pedas-pedas manis sikit. Bolehlah adjust sendiri dengan kicap manis cap Kipas Udang + sedikit gula atau madu. Insya’Allah sedap.

MAYONIS
Mayonis yang paling sesuai ialah brand Ladys Choice. Tapi harganya mahal. Brand murah rasanya agak masam sedikit – masam tak bagus untuk burger citarasa Malaysia ini. Kalau nak jimat, beli jer mayonis peket jenama murah sikit. Lepas tu adjust dengan menambah gula castor atau gula icing sesudu dua dan gaul rata.

KEJU
Kalau nak letak keju pun boleh, cuma mahal le sikit.

TELUR
Telur ni untuk benjo sahaja mulanya. Tapi sekarang dah jadi trend burger tambah telur jadi burger special. Ada macam-macam fesyen dan teknik. Ada yang masak pakai acuan (old style), ada yang buat dadar lepas tu lipat dan ada yang buat dadar lepas tu bungkus daging burger.
Bagi saya, jika nak rasa telur tu benar-benar terasa ialah dengan mengunakan teknik acuan. Telur akan utuh dalam bentuk alaminya dan ketebalannya itulah yang menyebabkan rasa telur itu muncul. 

MADU
Boleh cuba letak madu pada daging burger dan guna madu murah sahaja seperi brand Tesco. Ingat, burger yang sedap harus berasa sedikit manis, sedikit pedas dan agak soggy/basah. Rasa masam akan merosakkan rasa burger.
Assalamualaikum,

Menggodek-godek koleksi gambar dalam laptop rupanya masih ada beberapa resipi dan gambar yang saya rasa shootnya kurang menarik masih tersimpan dan belum di publish dalam blog. Resipinya pun simple sangat tapi...daripada terbiar macam tu saja saya release juga untuk publish hari ini. 

Haih...saya ni kadang-kadang ambik gambar ni main shoot suka-suka saja dan tak niat nak masukkan dalam blog pun, sekadar habiskan masa dengan anak gadis saya di dapur dan puding soya cocktail ini saya buat dah lama...pada bulan september yang lepas masa harijadi Haziq, anak ketiga saya yang ke 11 tahun.

Bagi yang nak cuba buat puding soya cocktail yang simple ni jom kita lihat resipinya :)

PUDING SOYA COCKTAIL
Bahan-bahan
10gm serbuk agar-agar
3 1/2 cawan susu soya kotak
1 tin susu cair
1/2 cawan gula
1 tin buah cocktail - Toskan dan ambil buah campuran sahaja

Cara-caranya:-

1. Masukkan gula dan serbuk agar-agar kedalam periuk.
2. Tuangkan susu soya ke dalam periuk tersebut dan masak hingga mendidih.

3. Masukkan pula susu cair dan kacau hingga sebati.
4. Matikan api dapur dan masukkan buah-buahan cocktail kedalam agar-agar sambil dikacau.
5. Seterusnya tuang adunan kedalam loyang dan setelah agak sejuk, masukkan kedalam peti ais untuk rasa yang lebih segar ketika di hidangkan.
Assalamualaikum, 

Bila cuti begini rasa malas je nak masuk dapur, kan. Tapi mengenangkan petang semalam ada terbeli sotong yang masih fresh di pasar dan ada stok petai juga, pagi ni saya rajinkan diri memasak sambal sotong petai.

Sekarang ini agaknya musim sotong di Langkawi. Tiap hari ada saja stok sotong segar di pasar dan di pasar-pasar malam, dan menu harian memang ada terselit makanan laut yang satu ini. Selalunya yang anak-anak paling suka adalah sotong di goreng sama telur masin yang resipinya saya pernah kongsikan DI SINI.

Tapi hari ini saya sambalkan sotong ni sama petai dan resipinya saya skodeng dan cuba dari dapur Cik Mat - Tiffin biru. Alahai...sedap betul di gandingkan dengan nasi panas. Jom masak :)

SAMBAL TUMIS SOTONG PETAI
500 gram sotong saiz kecil
2 papan petai
1 labu bawang besar - hiris kasar
1/2 sudu besar pes asam jawa
2 senduk nasi penuh cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan air

Bahan Kisar Halus
7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
3 keping hirisan nipis halia
1/2 inci belacan

Cara membuatnya: 

1. Sotong dibersihkan, buang bahagian dalam sotong, cuci dan toskan, tak perlu kerat (kalau anda guna sotong besar, perlu dikerat pada saiz sederhana). Petai diambik isinya dan belah dua setiap satu. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum.
3. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah pes asam jawa, kacau dan masukkan petai. Tuang air dan masak hingga petai empuk.
4. Masukkan sotong, kacau dan tambah hirisan bawang besar. Perasakan dengan garam secukup rasa dan gula secukup rasa. Kacau dan masak hingga pekat dan bawang lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi lemak, nasi putih atau sebagai bahan pencicah.

Assalamualaikum,

Selamat berhujung minggu dan beristirehat dengan keluarga tercinta untuk semua pembaca blog ini. Hari ini semua anak-anak ada di rumah jadi saya bersemangat untuk memasak. Dalam ramai-ramai tu ada yang requested kue teow goreng...dah lama mama tak masak kue teow katanya. Yang betulnya kalau mama masak di rumah ni selalu taruh banyak lauk sebab itu puas makan. Kalau kat kedai lauk ciput je dan tak boleh ulang-ulang tambah kue teow macam kat rumah. Itu kaedahnya :D

Alhamdulillah saya dah selesai masak dua bungkus kue teow goreng sedap sebagai makan malam hari ini. Iye ke sedap kue teow goreng resipi ni? Bagi saya dan keluarga memang menepati citarasa tak tahulah pulak pembaca di luar sana. Cuma malam ni macam kurang lengkap sikit sebab tak ada cili jeruk. Kalau nak cuba masak bolehlah 'usha-usha' resipi di bawah ni ;)

KUE TEOW GORENG SEDAP
Bahan-bahan 
500gm kue teow
3 ulas bawang putih - di cincang 
1 cawan udang 
1 cawan kerang - siap di kopek
2 ketul fish cake - di potong nipis 
secekak daun kucai - potong pendek (lebih kurang 1 inci)
2 cawan taugeh
2 biji telur
2 sudu besar minyak masak - untuk menumis

SOS (satukan dalam satu mangkuk)
1 sudu besar cili kisar
½ sudu besar kicap pekat 
2 sudu besar kicap manis 
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos cili 

Cara memasak:

1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih hingga berbau wangi dan masukkan pes cili sambil di kacau.
2. Masukkan pula sos, kerang, fish cake dan udang sambil di kacau lagi.
3. Seterusnya masukkan kue teow dan kacau lagi hingga beberapa minit.

4. Masukkan pula daun kucai dan taugeh sambil di kaup balik. Selalunya saya hanya masak sebentar sahaja sayuran sebelum masukkan telur kerana lebih suka sayur separuh masak dan lebih ranggup.
4. Akhir sekali masukkan telur dan kacau dengan cepat sebelum tutup api dapur.
5. Kue teow goreng ini sedap di hidangkan dengan cili jeruk.

Assalamualaikum, 

Alhamdulillah, sarapan pulut kuning dengan kari daging saya sekeluarga hari ini. Sejak kebelakangan ini saya dah agak kurang makan pulut sebab kadang-kadang badan jadi berangin. Haha...nampak sangat diri ini dah makin tua, kan. Tapi dah ada anak-anak yang suka makan saya buatkan juga untuk sarapan pagi. Lagipun mudah sangat nak masak pulut kuning ni. Selalu tu kalau ada lebihan kari daging atau ayam memang sarapan esoknya saya masak pulut kuning lah. 

Kali ini saya kukus pulut kuning yang digandingkan dengan kari daging. Bagi yang teringin nak buat tu, jom kita 'skodeng' resipinya.  

PULUT KUNING
Sumber Linapg

Bahan - Bahan: 
5 cawan beras pulut 
1 keping asam gelugur 
2 sudu kecil serbuk kunyit 
3 cawan santan pekat 
Garam dan gula 

Cara - Cara: 

1. Beras pulut dicuci bersih dan ditoskan. Bancuh serbuk kunyit dengan air anggaran melebihi paras beras pulut. Masukkan asam keping.Gaul supaya beras pulut rata dengan warna kuning.Rendam semalaman.
2. Toskan beras, keluarkan asam keping. Sementara itu panaskan pengukus dan setelah air mendidih, masukkan beras pulut dalam loyang pengukus dan kukuslah selama 20minit.
3. Sementara itu satukan santan pekat, garam dan gula. Kacau sekejap atas api hingga naik wap tetapi jangan sampai mendidih dan pecah minyak. Tujuannya untuk steril santan supaya pulut kuning tahan lama. 

4. Selepas 20 minit, angkat pulut dan masukkan ke dalam bekas yang besar.Tuangkan santan sedikit demi sedikit ke atas pulut, kacau sebati. Buat hingga santan Habis.
5. Biarkan sekejap dalam 8 hingga 10minit supaya pulut sebati dengan santan. Masukkan semula dalam kukusan dan kukus selama 20-30min (hingga pulut kuning betul-betul masak)

KARI DAGING
Bahan-bahan:
600 gm daging batang pinang - cuci dan hiris
1 peket kecil rempah kari daging - larutkan menjadi pes dalam 1/4 cawan air
1 sudu besar kerisik
2 keping asam gelugur
6 cawan santan (3 cawan santan cair dan 3 cawan santan pekat)
3 biji kentang - kupas kulit dan di potong empat
Garam, gula secukup rasa
¼ cawan minyak masak

Bahan untuk menumis
2 biji buah pelaga
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 tangkai daun kari
10 ulas bawang merah - dimayang
6 ulas bawang putih - dimayang
1 inci halia – hiris

Cara-cara:

1. Panaskan minyak.Tumis bahan tumis hingga wangi.

2. Masukkan pula rempah kari, kerisik dan masak hingga pecah minyak.

3. Masukkan santan cair, daging dan dikacau rata.

4. Masukkan kentang dan asam gelugur dan renih sehingga daging dan kentang empuk.

5. Masukkan pula pati santan dan masak hingga mendidih. Renih seketika hingga pecah minyak dan perasakan dengan garam dan gula.
Assalamualaikum,

Bagi penggemar makanan laut, ketam adalah menu yang sukar ditolak dan sedap dinikmati walaupun apa jenis menu yang dimasak.

Kalau makan di luar selalunya menu yang saya dan keluarga paling suka pesan juga adalah ketam bercili. Sedapnya ketam bercili yang bersalut telur dinikmati dengan nasi panas. Kalau nak cuba masak sendiri di rumah bolehlah cuba resipi yang saya sediakan dibawah ini.

Jom kita lihat :)   

KETAM BERCILI 
4 ekor ketam - Dibersihkan

BAHAN A - Kisar
5 ulas bawang merah 
3 ulas bawang putih 
½ inci lengkuas
10 tangkai cili kering
2 tangkai cili besar 
2 tangkai cili padi  
½ inci belacan 

BAHAN B
1 sudu besar taucu
¼ cawan jus asam jawa 
3 sudu besar sos tomato 
garam dan gula secukup rasa
1 biji telur 

Cara memasak : 

1. Panaskan minyak didalam kuali dan tumis bahan kisar hingga berbau wangi.
2. Masukkan jus asam jawa, sos tomato dan taucu serta kacau lagi hingga pecah minyak.
3. Seterusnya masukkan ketam dan kacau hingga sebati dengan bahan tumisan. Masukkan sedikit air jika kuah agak pekat dan kacau hingga ketam masak. Perasakan dengan garam dan gula tetapi pastikan garam tidak berlebihan jika taucu sudah masin.
4. Akhir sekali masukkan telur kedalam kuali tadi dan kacau sebentar hingga bersalut dengan ketam dan matikan api dapur. 


Assalamualaikum, 

Selamat berhujung minggu untuk semua yang sudi berkunjung ke blog ini. Alhamdulillah, nampaknya di Langkawi cuaca cerah sekali petang ni. Bebas dari jerebu dan sesuailah kalau nak beriadah di luar rumah bersama keluarga. Bagi yang tak kemana-mana pula tu, apa kata kita sediakan hidangan petang untuk keluarga. Yang ringkas-ringkas macam bubur kacang hijau lemak manis ni pun jadilah asalkan ada juga airtangan sendiri. Dapat cicah dengan biskut pun sedap ni.

Jika ada lebihan bubur kacang hijau lemak manis yang tidak habis saya masukkan pula dalam plastik dan buat aiskrim malaysia  untuk anak-anak. Sedap sangatlah bila panas-panas pulang dari sekolah ada aiskrim kacang hijau dalam petiais, tak cukup sebatang dibuatnya. Memang bubur kacang hijau lemak manis ni boleh dinikmati dengan berbagai cara.

Untuk menghasilkan bubur kacang yang sedap dan wangi selalunya kacang hijau digoreng terlebih dahulu tanpa minyak dan selepas itu direndam. Nak tengok resipinya...jom kita lihat. Oh sebelum itu terima kasih kepada Nuanza kerana perkongsian resipi yang sedap ini. :)

BUBUR KACANG HIJAU LEMAK MANIS
Bahan-bahan
2 cawan kacang hijau
2 cawan santan pekat 
½ cawan susu pekat manis
2 sudu besar gula merah / putih (kena agak-agak sendiri, sebab susu pekat tu dah manis)
½ sudu teh garam
2 helai daun pandan - disimpul
2-3 sudu besar sagu

Cara membuatnya:

1. Goreng kacang hijau tanpa minyak didalam kuali dalam 3 hingga 4 minit, kemudian tutup api dan masukkan air.
2. Biarkan kacang hijau tersebut terendam dalam 1 jam.
3. Seterusnya bilas kacang tersebut dan rebus hingga kacang empuk. 

4. Bila semua kacang dah pecah dan empuk, masukkan semua bahan lain kecuali sagu. biarkan mendidih sekejap, kemudian masukkan sagu.
5. Tambah air jika agak pekat sebab bila dah sejuk nanti, kuah akan makin pekat. kalau masak agak lama sikit, bubur tak mudah basi