Assalamualaikum,

Ringkas sahaja menu hari ini. Tapi menu yang ringkas beginilah yang di cari oleh anak-anak sekembalinya dari sekolah. Kalau anak-anak saya tiap kali nak makan nasi pasti cari kicap manis sebagai penyedap rasa. Saya percaya kebanyakan kanak-kanak memang gemar makan nasi dengan kicap.

Lauk begini juga popular di kalangan ibu bekerja yang terkejar nak masak untuk keluarga selepas waktu kerja dan orang bujang yang masak sendiri di rumah. Antara sebabnya adalah masakan ini paling ringkas dan di sukai perbagai peringkat umur. Kalau di kunjungi tetamu di rumah tanpa di rancang juga selalunya masakan begini yang menjadi penyelamat kerana bahan-bahannya memang ada di dapur rumah kita. Sekejap sahaja dah selesai kerja memasak.

Resepinya sangat mudah tapi saya kongsikan juga di sini bagi yang ingin mencuba.

AYAM MASAK KICAP LADA HITAM 
Sumber : RESIPI CIKGU ANI 

Bahan-bahannya:
1/2 ekor ayam - gaulkan dengan garam kunyit dan goreng seketika.
4 sudu makan kicap pekat masin
1 keping asam gelugur - saya gantikan dengan 1/2 cawan air asam jawa
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1 biji cili merah/hijau - potong dua kemudian hiris memanjang
gula
serbuk perasa secukup rasa (saya gantikan dengan kiub ayam)
1 bungkus kecil suhun - di rendam seketika  (Ini saya tambah) 

Bahan B
1cm halia
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
1 sudu makan lada hitam biji - (boleh diganti dengan serbuk lada hitam)

Cara memasak:

1. Tumbuk semua bahan B, dan tumis hingga wangi.
2. Masukkan kicap, asam gelugur dan sedikit air. Biarkan mendidih. Jumlah air mengikut citarasa masing-masing.

3. Masukkan sedikit serbuk perasa (saya gantikan dengan kiub ayam). Kacau rata.
4. Masukkan pula ayam goreng, bawang besar, gula, cili merah dan suhun. Gaul rata hingga bawang dan cili layu. Sedia untuk dihidangkan.

Assalamualaikum,

Menu kari memang tidak dapat di pisahkan dengan orang utara dan di Kedah ni kami menyebutnya sebagai gulai. Definisi gulai di antara orang utara semenanjung dengan bahagian selatan agak berbeza. Tapi di sini memang gulai itu adalah kari :)

Di Langkawi banyak tempat makan yang menyajikan gulai panas, terutama sekali untuk hidangan makan malam, di mana pelanggan akan memilih sendiri ikan segar yang di sediakan oleh restoran atau gerai tersebut dan di masak serta hidangkan panas-panas kepada pelanggan dengan lauk-pauk lain dan ulam-ulaman segar. 

Bagi saya, konsep perniagaan dan menu begini amat bagus di perkenalkan kepada pelancong asing dan bersaing dengan kebanjiran tempat makan Thai yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan di Bandaraya pelancongan ini, hinggakan hilang identiti Malaysia yang di cari oleh pelancong itu sendiri. Maklumlah kedudukan geografi Langkawi begitu hampir sekali dengan selatan Thailand.

Baiklah, untuk hari ini saya ingin berkongsi hidangan kari ikan bawal. Pasti semua orang tau memasak kari kan...tetapi saya ingin juga berkongsi di sini untuk yang tidak tahu dan masih belajar memasak terutama sekali bagi adik-adik dan anak-anak kita.
KARI IKAN BAWAL 
Bahan-bahan 
1 ekor ikan bawal - di bersihkan dan potong (boleh gantikan dengan ikan lain)
1 bungkus kecil rempah kari ikan (saya gunakan jenama Baba's)
3 Ulas Bawang Merah 
2 Ulas Bawang Putih 
1 sudu besar halba campur 
1 cawan air asam jawa
1 cawan santan pekat
2 tangkai daun kari 
1 biji tomato 
garam secukup rasa
Beberapa tangkai kacang bendi - kalau yang panjang di potong dua
minyak untuk menumis
Cara Memasak:

1. Panaskan minyak di dalam kuali/periuk. Tumis bawang merah, bawang putih ,daun kari dan halba campur hingga wangi.
2. Masukkan pula rempah kari yang telah di bancuh dengan sedikit air sambil di kacau. Masak dengan api sederhana dan pastikan rempah benar-benar masak dan pecah minyak.

3. Seterusnya masukkan air asam jawa di ikuti oleh santan pekat. Renihkan sebentar sambil di kacau dan masukkan isi ikan.

4. Kecilkan api dan biarkan kuah kari tersebut masak dan mendidih.
5. Akhir sekali masukkan tomato, bendi dan garam dan renihkan sebentar hingga bendi lembut. Suaikan rasa dan bolehlah matikan api dapur.

Assalamualaikum,

Salam Maulidur Rasul untuk semua. Pada yang bercuti hari ni bolehlah bersantai dengan keluarga di rumah.

Bagi yang merancang untuk masak hari ni, apa kata masak kerang sos padang yang bagi saya sangat enak. Oleh kerana Langkawi ini di kelilingi lautan, 'seafood' memang menjadi menu utama dan makanan kegemaran saya. Sudah terbiasa sejak kecil, namun begitu sejak berumur ni terpaksa kurangkan sedikit kerana perlu juga mengawal kadar kolestrol.

Kerang sos padang ini sangat sedap dan jika ada yang tak makan kerang, boleh sahaja tukarkan dengan ketam, sotong, ikan atau ayam. Resepi asalnya menggunakan siput sudu/kupang yang segar atau dalam bahasa lain kerang hijau. Siput yang saya gunakan ini juga dari keluarga kerang tetapi saiznya besar sedikit dari kerang biasa. Saya beli dari pasar basah sekembalinya dari pejabat petang semalam.

Baiklah bagi yang ingin mencuba resepi yang lazat ini, bolehlah ikut resepi di bawah ni...
KERANG SOS PADANG 
sumber : Just try & taste

Bahan-bahan
1kg kerang atau kepah - Cuci cengkerangnya
1/2 buah tomato merah - potong dadu kecil
200 ml air

Bahan sos padang - di kisar / di tumbuk (A)
6 tangkai cili merah
4 tangkai cili padi 
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
minyak untuk menumis
Bahan lain (B)
1 inci halia - di potong nipis
5 sudu makan sos tomato
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan gula pasir
1/2 sudu teh garam (tambahkan hanya jika kurang masin kerana sos tiram telah cukup masin)
1 kiub ayam
Bahan untuk merebus kerang (C)
2 ulas bawang putih cincang halus
1 inci halia cincang halus
2 liter air
1 sudu makan garam


Cara memasak:

1. Rebus kerang dengan bahan C hingga cengkerang terbuka. Ketepikan seketika.
2. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan yang di kisar tadi (Bahan A) dengan api kecil. Masukkan pula semua bahan lain sos padang (Bahan B) dan kacau rata. Masukkan juga tomato yang di cincang halus dan air. Masak hingga pekat dan suaikan rasa.
3. Masukkan kerang, kacau hingga bahan tumis bercampur rata dengan kerang. Matikan api dapur dan angkat kerang. Tuangkan di pinggan dan sajikan bersama nasi panas.

Assalamualaikum,

Menu yang menjadi kegemaran keluarga saya dan tidak ada di antara mereka yang akan menolaknya adalah sotong goreng telur masin. Ratah begitu saja pun sedap juga. Resepinya pun ringkas sahaja. 

Kebetulan sehari dua ini lambakan sotong segar hasil tangkapan nelayan tempatan banyak di pasar basah dan pasar malam di sini. Harganya pun agak murah dari biasa. Jadi saya ambil kesempatan membelinya kerana anak-anak memang suka. Tambahan jika sotong di bakar, di buat sambal atau goreng tepung ranggup cicah dengan sos cili Thai.

Tapi hari ini saya ingin berkongsi resepi sotong goreng telur masin. Kita langsung saja lihat resepi ye.
SOTONG GORENG TELUR MASIN 
Bahan A
500gm Sotong 
1 cawan tepung jagung 
1 sudu teh serbuk lada hitam

Bahan B
3 sudu makan mentega
2 pelepah daun kari 
7 tangkai cili padi - dicincang 
secubit gula
1 kiub ayam 
2 biji telur masin yang telah di rebus- ambil yang kuning sahaja & hancurkan
Cara memasak:

1. Bersihkan sotong dan potong bulat.
2. Campur lada hitam dengan tepung jagung dan golek sotong ke dalam tepung tersebut.

3. Goreng sotong tersebut dengan minyak panas, sebentar sahaja. Jika terlalu masak tekstur sotong tersebut akan keras.
4. Cairkan mentega dengan api kecil, lalu masukkan kuning telur masin yang telah di hancurkan sambil terus di kacau.
5. Jika telur masin mula berbuih, masukkan daun kari, kiub ayam, gula dan cili padi.

6. Kecilkan api dan campur sotong goreng ke dalam adunan kuning telur. Apabila telah sebati, bolehlah matikan api dan hidangkan.

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca blog ini dan yang sudi singgah di sini. Sarapan apa ye hari ni? kalau saya bersarapan sejenis kuih lama iaitu lepat labu kuning. Ada separuh lagi labu kuning di dalam peti sejuk baki dari membuat brownies dua hari lepas saya rebus dan proses menjadi lepat. Selalunya ibu kita dulu mahir buat kuih-kuih lama begini kan.

Sedap dan mudah resepi lepat labu dari blog darleenpersona ni. Dan menurutnya resepi ini adalah 'secret recipes' dari ibu Aleen sendiri. Terimakasih Aleen, dan izinkan saya berkongsi sekali lagi disini.
LEPAT LABU KUNING 
Bahan A
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung 
1/4 cawan gula (dan di tambah 3 sudu besar lagi gula)
1/2 sudu teh garam halus 

Bahan B
1/2 biji labu kuning  - berat anggaran 1 kg 

Bahan C
1/2 biji kelapa parut - gaulkan dengan sedikit garam 
Daun pisang secukupnya - di layur

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan A kedalam sebuah mangkuk, gaul hingga semua bahan bercampur dan ketepikan seketika.
2. Kupas labu kuning dan potong kiub. Rebus hingga empuk dan toskan dalam 2 minit serta lenyek sehingga hancur.
3. Tuang labu lecek kedalam bahan A dan gaul rata sehingga bercampur. Jangan tambah air. Adunan sedang elok sahaja jika gunakan sukatan resepi di atas.
4. Sudukan adunan ke atas daun pisang yang di layur tadi dan ratakan sedikit.

5.Letakkan kelapa parut dan sudukan sedikit lagi adunan ke atasnya (nipis sahaja, sekadar menutup inti). Bungkus dengan rapi dan masukkan ke dalam pengukus.
6.Kukus selama 15 - 20 minit, dan setelah sejuk bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, hari ini bercuti tetapi tetap bangun awal pagi buatkan sarapan untuk anak-anak. Menu yang agak istimewa iaitu nasi lemak pandan dan sambal sotong. Wangi nasi lemak ini, dan warnanya asli hasil daripada daun pandan yang di kisar dengan santan dan di campur ketika memasak nasi.
Sambal sotong pula saya buat ringkas sahaja dan menggunakan pes cili yang saya simpan lebihan menggoreng bihun dua hari lepas. Resepi pes sambal boleh lihat DISINI.

Saya cuma tambahkan bawang besar yang di mayang kasar, gula, garam secukup rasa  dan tumiskan dengan minyak masak dan masukkan sotong yang telah di bersihkan.
Saya masukkan juga sedikit air ikut kepekatan yang di rasakan bersesuaian. Baguskan jika buat pes cili ini dan simpan stok dalam peti sejuk. Mudah kerja memasak.

Baiklah, untuk resepi nasi lemak sri pandan..jom kita lihat resepinya.

NASI LEMAK SRI PANDAN
Sumber : Chef Hanieliza

3 cawan beras (saya gunakan beras biasa sahaja)
4 cawan santan
1/2 cawan air kisar dengan 7 helai daun pandan
2 inci halia - di hiris
3 ulas bawang merah - di mayang halus 
Garam secukup rasa 
Sedikit gula jika suka

CARA MEMASAK 
1. Daun pandan di kisar dan tapis.
2. Masukkan semua bahan kedalam periuk dan masak sehingga beras sebati dengan santan.
3. Apabila nasi sudah kering, kacau rata dan tutup semula tudung periuk. Biarkan ia sentiasa panas didalam periuk nasi.
4. Apabila sudah masak bolehlah di hidangkan dengan sambal sotong tadi dan telur rebus.

Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat, minggu kedua bagi tahun masehi 2014. Hari ini di Kedah anak-anak cuti mingguan sekolah dua hari, jadi santai sedikit pagi ini dan esok. Tidak kelam kabut seperti hari biasa maklumlah seawal 6.45pagi van sekolah dah sampai di hadapan rumah.

Baiklah, berbalik kepada menu pagi ni...ada resepi pumpkin brownies bagi yang ingin mencubanya. Brownies yang sedap hasil paduan antara labu kuning dan coklat. 
PUMPKIN BROWNIES
Saiz : 8" x 8"
BAHAN-BAHAN
Sumber : allrecipes.com

Bahan A
3/4 cawan tepung gandum 
1/2 sudu teh baking powder 
1/2 sudu teh garam halus 

Bahan B
3/4 cawan mentega - di cairkan 
1 1/2 cawan gula kastor (Agak manis - saya hanya letak 1 cawan)
2 sudu teh esen vanilla
3 biji telur

Bahan C
1/4 cawan serbuk koko 
1/2 cawan coklat chips 
1/2 cawan walnut yang di cincang
3/4 sudu teh serbuk kayu manis
1/2 sudu teh sebuk pala (saya tak letak)
1/2 sudu teh serbuk bunga cengkih (saya tak letak)
1/2 cawan puri labu kuning (rebus dan lecek)
CARA MEMBUATNYA

1. Panaskan oven kepada 175'c dan lenser loyang dengan minyak/mentega. Ayak Bahan A kedalam sebuah mangkuk dan ketepikan seketika.

2. Di dalam mangkuk yang lain masukkan mentega cair, gula dan esen vanilla dan kacau dengan hand whisk. Masukkan pula telur sebiji demi sebiji sambil di kacau lagi. Apabila sudah sebati, masukkan bahan A yang di ayak tadi dan kacau aduan hingga bercampur.

3. Bahagikan adunan kepada dua bahagian, iaitu satu bahagian di campurkan dengan serbuk koko dan coklat chips.
4. Manakala satu bahagian lagi di campurkan dengan puri labu kuning, walnut dan serbuk kayu manis.
5. Masukkan separuh dari adunan coklat tadi kedalam loyang.
.
6. Di ikuti dengan separuh adunan labu di atasnya. Ulangi melapis dan akhir sekali lorek dengan menggunakan lidi atau spatula untuk mendapatkan corak marble.
7. Bakar brownies dalam 40 - 45minit atau hingga brownies masak (bergantung pada oven masing-masing)