Assalamualaikum, 

Dah lama tak update blog dan baru hari ini ada kesempatan. Seperti biasa saya suka buat kek yang simple untuk minum petang dan perkongsian hari ini adalah almond cake yang sangat mudah untuk dihasilkan dan sedap digandingkan dengan secawan kopi. Apalagi dalam suasana selepas hujan lebat di Langkawi seperti petang ini. 

Saya paling suka dengan rasa almond bercampur haruman parutan lemon didalam kek ini. Ditambah pula dengan kerangupan hirisan almond diatas kek...hmm memang lazat sekali. 

Bagi yang ingin mencuba...jom kita lihat resipi dibawah ni :) 

KEK ALMOND
Bahan-bahan
226 gram mentega
200 gram gula kastor
200 gram tepung gandum 
4 telur - Gred A
100 gram serbuk almond (badam)
2 sudu teh baking powder
4 sudu besar susu cair/susu segar
1 sudu teh parutan kulit lemon
2 sudu teh esen vanilla
potongan almond untuk taburan atas kek 

Bahan-bahan :

1. Ayak tepung gandum, serbuk almond dan baking powder. Gris loyang saiz 8” x 8” dan panaskan oven pada suhu 180'c.


2. Putar gula dan mentega hingga berkrim. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul lagi. 
  

3. Seterusnya masukkan parutan kulit lemon dan esen vanilla ,pukul hingga sebati.


4. Turunkan kecepatan mixer dan masukkan tepung sedikit demi sedikit di akhiri oleh susu. Kacau hingga sebati.


4. Tuang adunan kedalam loyang dan tabur dengan potongan almond. Bakar lebih kurang 45 - 50minit atau sehingga kek masak. Setelah kek sejuk sepenuhnya bolehlah dipotong dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Resipi kek buah sempoi Liza, tanpa telur dan gula ini saya ambil dari MyResipi dan resipi asal dikongsi oleh junjs 11. Keknya simple sangat dan pasti menjadi. Rasa manis kek ini kita perolehi dari susu pekat yang lemak-lemak manis dan buah-buahan campuran. Rasanya yang manis-manis buah ini sangat sesuai jika anda kurang mengambil makanan yang manis.

Jom lihat resipi dibawah ini dan terima kasih juga kepada pemilik resipi asal.    

KEK BUAH SEMPOI
Bahan A
250gm mentega
1 tin kecil susu pekat manis
200gm buah-buahan campuran (dalam kotak)
1 cawan air masak

Bahan B
3 cawan tepung gandum
1 biji oren diambil jus dalam 1/2 cawan (kalau tak ada, guna jus dalam kotak atau bancuh kordial jadi 1/2 cawan)
1 sudu teh soda bikarbonat

Cara membuatnya :

1. Campur mentega, susu pekat, buah campuran dan air masak kedalam periuk. Masak atas api perlahan hingga sebati dan mentega cair. 

2. Angkat dan biar sebentar, masukkan dalam peti sejuk semalaman. (Kalau nak buat esok pagi, masak malam ni dan simpan dalam peti sejuk (bukan dibahagian beku).

3. Keluarkan dan biarkan dalam 1 jam sebelum masukkan bahan B. Kacau dengan senduk hingga sebati.

4. Masukkan dalam loyang yang dialas dengan kertas dan digris. Bakar hingga masak ikut oven (saya masak dalam 1 1/2 jam).

*Simpan semalaman supaya jus dari buah tu meresap sekali. Warna kek pun perang sebab kismis dan adunan ni agak pekat. Buah-buah pun sekata, tak mendap.
Assalamualaikum, 

Jom try buat Kek Gula Melaka. Selain dari kurang manis, paduan aroma serbuk kayu manis dan gula melaka memang membuka selera. 

Kalau suka boleh juga diletakkan topping kegemaran seperti karamel, krim mentega ataupun nutella. Saya hanya hidangkan kek tanpa topping, itupun alhamdulillah mendapat sambutan hangat dan pujian daripada teman sekerja. Memang sedap gandingkan dengan secawan kopi panas.

Bagi yang nak cuba buat dirumah, jom tengok resipi dibawah ni beserta langkah demi langkah mudah :) 

KEK GULA MELAKA 
loyang : 8 inci 
5 biji telur - Gred A
200gm gula melaka - disisir terlebih dahulu bari ditimbang
1/2 sudu besar ovelette
50gm gula kastor
250gm tepung gandum 
1/2 sudu teh serbuk kayu manis 
150gm margerin - dicairkan 

Cara membuatnya : 

1. Panaskan oven pada 180'c 

2. Pukul gula merah, telur dan gula pasir sehingga separuh menggembang, masukkan ovelette dan pukul lagi sehingga gebu dan berkrim.

3. Turunkan speed mixer kepada kecepatan yang paling rendah dan masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit beserta serbuk kulit kayu manis.

4. Pukul rata sehingga semua bercampur tetapi jangan terlebih putar. 


5. Matikan mixer, masukkan margerin cair dan kaup balik sehingga adunan bercampur rata.

6. Tuang kedalam loyang dan bakar selama 45minit ataupun sehingga masak.

Assalamualaikum, 


Pernah makan tak kerabu tembikai? Rasanya kerabu ni lebih dikenali di utara semenanjung Malaysia atau tepatnya di Kedah dan Perlis. Tetapi mungkin juga ada tempat di negeri-negeri lain sinonim dengan kerabu ini yang tidak saya ketahui. Kerabu ni sebagai pembuka seleralah dan penyediaannya sangat simple. Selalunya ia digandingkan dengan nasi panas bersama lauk pauk yang lain. 

Bagi saya keenakan kerabu ini adalah kombinasi rasa manis, masam dan pedas. Resipi asal tidak letak lemon tetapi saya suka kerabu ini ada rasa masam sedikit dan harmoni dengan kepedasan cili padi.

Tembikai untuk buat kerabu ini sebenarnya adalah pemberian seorang penjual tembikai yang mempunyai kebun yang diusahakan sendiri. Kebetulan saya berhenti membeli dua biji tembikai dipinggir jalan ketika perjalanan ke airport Langkawi semalam dan penjualnya bermurah hati memberi sebiji lagi tembikai yang agak kecil secara percuma dan cadangkan saya memasak sayur tembikai atau buat kerabu. Yang paling mudah dan cepat pada fikiran saya ketika itu adalah kerabu dan inilah hasilnya. 

Jom kita lihat bagaimana nak hasilkan kerabu tembikai berlemon ni.

KERABU TEMBIKAI BERLEMON
Bahan-bahan
Sebiji tembikai saiz kecil dipotong empat - guna 1/4 daripadanya
7 tangkai cili padi 
1/2 inci belacan - dibakar 
secubit garam 
5 ulas bawang merah - dimayang 
1 sudu teh perahan lemon 

Cara membuatnya :

1. Kikis isi tembikai dengan sudu dan masukkan kedalam mangkuk. Sejat air tembikai dan ambil isinya sahaja untuk mengelakkan daripada kerabu terlebih berair.

2.  Ramas belacan bersama air lemon dan masukkan garam. 

3. Tuang bahan tersebut kedalam bekas berisi hirisan bawang merah dan cili padi sambil digaul.

4.  Seterusnya masukkan isi tembikai tadi kedalam bahan tersebut dan gaul lagi hingga rata. Pastikan secukup rasa dan bolehlah dihidangkan dengan nasi panas beserta lauk-lauk yang lain.


Assalamualaikum. 

Selamat berhujung minggu untuk semua pembaca yang sudi singgah diblog ini mecari resipi. Dah sarapan atau belum? Sesekali bersarapan dengan kuih muih hasil airtangan sendiri memang sedap, kan. Hari ini saya hidangkan kuih kasui labu untuk keluarga. Resipinya memang mudah diikuti dan saya sukat menggunakan cawan metrik, jadi memang cepat prosesnya tak perlu keluarkan penimbang semua tu.

Jom try buat untuk keluarga. Resipi ada dibawah ini. :) 

KASUI LABU
Sumber : Kak Besar / Dapur mamasya 

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum 
1 cawan tepung ubi 
1 cawan labu manis dilecek 
2/3 cawan gula pasir 
2 cawan santan 
1/2 sudu teh garam 
1/2 sudu teh air kapur 
1 cawan kelapa parut secubit garam untuk salutan 

Cara: 

1.Panaskan pengukus hingga mendidih. 

2.Gaul rata semua bahan dan cara yang paling mudah adalah blender hingga bahan halus dan tidak berketul-ketul.

3.Sapu minyak pada loyang 10", curahkan adunan ke dalamnya.Kukus selama 25-30 minit, atau hingga masak.- Saya guna loyang bulat 8inci.



4. Sejukkan kuih kasui tersebut dan keluarkan dari loyang dan bolehlah dipotong. 


5. Setelah itu gaulkan dengan kelapa parut dan bolehlah dihidangkan. 

Assalamualaikum, 

Kek Mentega Oren ni memang kegemaran keluarga saya dan tak pernah miss membuatnya setiap kali tibanya hari lebaran atau ada majlis kenduri kendara. Rasanya yang agak 'light' dan kurang manis tu memang memikat selera. Bahan-bahan yang digunakan pun tak banyak dan dijamin menjadi jika ikut step by step yang disediakan.   

Jom tengok, apa saja bahan yang diperlukan untuk kek ini dan jangan lupa untuk mencuba ye :) 

KEK MENTEGA OREN
Bahan-bahan
227gm mentega
200gm gula kastor
4 biji telur - Gred A
1 sudu besar parutan kulit oren - Parut bahagian kuning sahaja 
270gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
5 sudu besar jus oren

Cara membuatnya :

1. Lengserkan loyang bulat bersaiz  8 inci  dan panaskan loyang 180'c. Ayak tepung dan baking powder, ketepikan seketika.

2. Putar gula dan mentega hingga berkrim. 

 3. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi hingga adunan menjadi ringan dan gebu. Masukkan pula parutan oren.

 4. Perlahankan kecepatan mixer dan masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan jus oren. Kacau hingga bercampur rata.


 5. Tuang adunan kedalam loyang dan bakar selama 50minit ataupun sehingga kek masak. Sejukkan kek sebelum dipotong.


Assalamualaikum, 

Lama benar saya tak update blog, dah hampir sebulan. Kali ini paling lama rasanya blog ini terbiar tidak dijenguk, apalagi update. Hari ini ada sedikit kesempatan saya masukkan resipi kek minyak senang dan sedap yang saya buat atas permintaan anak sulung sebelum balik ke asrama semalam. 

Saya guna resipi dari linapg yang dah diubahsuai sedikit dari resipi asal. Betullah kata lina, rupanya resipi kek minyak ni dah lama dihantar oleh kemma81 iaitu pada tahun 2008 ke MyResipi sebelum mula tersebar dan viral sekejap di Facebook pada tahun 2013 dulu. Apapun sumbernya, terima kasih semuanya kepada yang sudi berkongsi. Kek ini memang mudah sangat nak buat dan tak muak walaupun makan banyak.

Saya masukkan resipi ini kesini pula untuk rujukan anak dara saya yang seorang tu dan kepada sesiapa yang ingin mencuba. Oh ya, kalau nak kek yang tebal sedikit sila guna loyang saiz 8inci. Yang dalam gambar ni saya guna loyang saiz 9 inci. Jom...
KEK MINYAK SENANG DAN SEDAP
Sumber : linapg & MyR

Bahan-bahan
5 biji telur
1/2  cawan gula kastor
2 cawan tepung gandum diayak bersama 1 sudu teh baking powder.
3/4 cawan susu pekat
1 sudu besar ovallate
1 cawan minyak masak
1 sudu teh esen vanilla (saya guna beberapa titis esen pisang untuk warna kuning, esen keladi untuk warna ungu dan esen pandan untuk warna hijau)

Cara membuatnya :

1. Pukul telur bersama gula dan ovallate hingga kembang.

2. Masukkan susu pekat dan esen vanila, pukul lagi sekejap.

3. Masukkan minyak masak dan pukul lagi tapi hanya sekadar untuk adunan bergaul rata.

4. Akhir sekali masukkan tepung gandum, gaul rata. Selepas itu, bahagikan adunan kepada 3 warna.

5. Lenser tin kek berukuran ( 8 x 8 x x2 ) inci dgn mentega, taburkan dengan tepung gandum dan ratakan. Jangan terlalu tebal.Tuang setiap adunan secara berselang-seli dalam bentuk lingkaran hingga habis.

6. Bakar pada suhu 170 darjah selama 40-45 minit. Utk menguji kek dah masak ke belum, cucuk tengah kek dengan lidi. Jika masih melekat tapi permukaan dah kekuningan, tutup permukaan kek dengan tudung periuk. Ini bertujuan supaya permukaan kek tidak hangus.Setelah masak, sejukkan dulu, baru potong.