Assalamualaikum, 

Gebu tak Greentea Japanese Rollcake dalam gambar dibawah ni? Bukan sekadar gebu...rollcake ini juga mudah lentur dan senang nak gulung lepas letak buttercream. 

Cuma satu nak pesan kepada yang baru belajar nak buat rollcake atau swiss roll iaitu jangan letak terlampau banyak buttercream sebelum menggulung kek jenis ini. Kalau terlebih buttercream, semua inti akan keluar dari gulungan maka hasilnya tidak kemas atau langsung tak menjadi nanti. Memang dalam entry ini saya sertakan sekali resipi buttercream mudah tetapi jangan guna kesemuanya pula. Cukup disapu nipis sahaja dipermukaan rollcake dan baki buttercream bolehlah disimpan untuk dimakan dengan roti atau untuk hias kek lain pula.

Untuk Greentea Japanese Rollcake ini, sila terbalikkan kek dan guna permukaan atasnya(ketika dibakar) untuk sapu buttercream dan ketika menggulung bahagian bawah yang tidak berkulit dan gebu menjadi 'body' rollcake. 

Jika kurang suka dengan perasa greentea boleh juga gantikan dengan pes-pes lain seperti mocha, pandan, strawberry atau apa sahaja mengikut selera. Selamat mencuba... ;) 

GREENTEA JAPANESE ROLLCAKE
Saiz loyang : 9 inci 
Bahan-bahan
4 biji telur - Gred A (asingkan putih & kuning)
60gm tepung gandum 
20gm tepung jagung 
70gm gula kastor
4 sudu makan susu cair
1 1/2  sudu makan serbuk greentea (matcha)

1) Pukul kuning telur hingga kembang dan pucat, masukkan green tea yang telah dibancuh dengan susu cair dan pukul rata.


2) Masukkan pula tepung gandum dan tepung jagung. Pukul lagi hingga sebati dan ketepikan seketika.

3. Didalam bekas lain, pukul putih telur sambil berselang seli dengan gula (masukkan 3 tahap) sehingga soft peak.



4) Setelah itu masukkan putih telur tersebut kedalam adunan tepung tadi (masukkan 3 tahap) dan kaup balik dengan spatula hingga adunan bercampur rata.


5)Tuang adunan kedalam loyang yang telah dialas kertas minyak dan bakar pada suhu 180'c selama 20minit atau sehingga masak (tiap oven berbeza).


6)Setelah masak, angkat dan birkan sejuk dahulu baru isi buttercream atau jem pilihan. 

RESIPI BUTTERCREAM
125gm mentega
125gm gula icing 
1/2 sudu teh esen vanilla

Caranya : Pukul mentega dan gula icing didalam mangkuk dengan kelajuan yang tinggi hingga ringan. Masukkan esen vanilla dan putar lagi dengan kelajuan sederhana hingga sebati. Bolehlah digunakan untuk menghias kek.

Assalamualaikum,

Honey Castella cake @ Kasutera adalah sejenis kek span klasik dari negara matahari terbit atau lebih tepatnya di Nagasaki. Bahan-bahan yang digunakan sangat ringkas, malah tidak menggunakan serbuk penaik pun tetapi hasilnya tetap naik gebu. Kek ini boleh dipelbagaikan perasa seperti green tea, coklat dan lemon. 

Rasa Honey Castella cake ini bagi saya sangatlah enak dan sepotong memang tidak cukup. Resipi asal saya ambil diblog mykitchensnippets.com dan saya kongsikan sekali lagi dibawah ini bagi yang ingin mencubanya :) 

HONEY CASTELLA CAKE @ KASUTERA
5 biji telur Gred A
180gm gula kastor
200gm tepung gandum 
80ml susu cair 
20ml jus lemon + 1/2 sudu teh kulit lemon parut
4 sudu makan madu 
6 sudu makan minyak masak (saya gunakan minyak jagung) 

Cara membuatnya :

1) Pukul telur dan gula kastor sehingga kembang dan putih.

2) Turunkan kecepatan mixer, masukkan tepung gandum, susu cair + parutan lemon dan pukul sehingga sebati.
3) Matikan mixer. Masukkan campuran minyak + madu dan kacau rata dengan spatula hingga bercampur dengan adunan. Jangan terlebih kacau.
5) Tuang adunan kedalam loyang yang telah dilapisi kertas dan bakar pada suhu 170-180'c dalam 40minit (bergandung kepada oven masing-masing) 

6. Setelah masak bolehlah dipotong dan hidangkan.

Assalamualaikum, 


Selamat berhari minggu untuk semua pembaca yang sudi singgah ke blog ini. Perkongsian resipi hari ini special untuk penggemar durian. Kek durian yang gebu dan kaya dengan rasa durian dilapisi dengan krim cheese. Memang terbaik dan mudah untuk dicuba. Dalam gambar dibawah ini saya gunakan loyang kecil tetapi kalau pembaca teringin nak cuba buat di rumah, saya cadangkan guna loyang saiz 7inci x 7inci. 

Jom tengok resipi dan langkah demi langkah dibawah ni :) 


KEK DURIAN CHEESE
Bahan:
50 gram tepung jagung
50 gram tepung gandum
120 ml susu cair 
300 gram isi durian - lenyek hingga hancur
60 gram mentega
6 kuning telur
6 putih telur
100 gram gula pasir halus

Cara membuat:

1. Panaskan oven, masukan loyang berisi air untuk alas (kita akan bakar menggunakan kaedah steam bake)

2. Sediakan loyang saiz 7in x 7in, sapu margerin dan lapik kertas minyak.
3. Masukkan isi durian, mentega dan susu cair kedalam periuk dan panaskan sambil dikacau diatas api sehingga sebati. Setelah itu tutup api dapur dan ketepikan seketika.

4. Tuang isi durian yang dimasak tadi kedalam mangkuk pengadun dan masukkan tepung jagung serta tepung gandum sedikit demi sedikit sambil dikacau. Masukkan kuning telur dan kacau lagi hingga sebati.
6. Didalam mangkuk pengadun yang lain, pukul putih telur dengan gula halus hingga tahap 'soft peak' (kalau diterbalikkan mangkuk pengadun putih telur tetap gebu dan tak jatuh).

7. Sendukkan telur putih kedalam adunan kek sedikit demi sedikit sambil dikaup balik hingga adunan sebati. (jangan terlebih kacau). Seterusnya tuang kedalam loyang dan bakar dengan teknik steam bake (masukkan loyang adunan kedalam loyang lebih besar berisi air). 
8. Bakar pada suhu 170'c selama 75minit dan setelah kek masak dan dingin, bolehlah dihiasi dengan krim cheese.

RESIPI KRIM CHEESE
60gm krim cheese
30gm mentega
1/2 sudu teh esen vanilla
3/4 cawan gula icing

Cara membuatnya:

Masukkan krim cheese, mentega dan esen vanilla kedalam mangkuk. Pukul dengan mixer sehingga pucat dan masukkan gula icing sedikit demi sedikit sehingga sebati. Selepas itu bolehlah digunakan untuk menghias kek.

Assalamualaikum, 


Membuat swiss roll sebenarnya tidaklah sesukar yang digambarkan. Selain daripada dibakar, ianya juga sesuai dikukus. 

Resipi swiss roll kukus yang saya kongsikan dibawah ini memang gebu teksturnya walaupun tidak menggunakan sebarang agen pengembang. Adunannya hanyalah telur, tepung gandum, gula, air dan minyak masak. Kalau nak letak esen vanila pun boleh juga. Simple sangat kan, resipinya. Bahan-bahan pun mudah didapati didalam dapur dirumah kita.

Teringin nak cuba buat dirumah? Jom intai resipi dibawah ni.

SWISS ROLL KUKUS
Saiz loyang : 9in x 9in

Bahan-bahan
2 biji telur - Gred A
3 kuning telur
60gm gula kastor 
50gm tepung gandum - diayak
1 sudu besar air
1 sudu besar minyak masak
Jem secukupnya (saya guna jem strawberry)

Krim Lapisan luar
1/2 cawan gula icing 
1/2 cawan mentega
1/2 sudu teh esen vanila

Cara Membuat:

1. Masukkan telur, kuning telur dan gula pasir kedalam mangkuk pengadun dan pukul hingga benar-benar mengembang (dalam 10 hingga 15minit)
2. Masukkan pula tepung gandum dan pukul rata.

3. Seterusnya masukkan air dan minyak masak kedalam adunan dan kaup balik hingga bercampur.
4. Tuang adunan kedalam loyang berukuran 9in x 9in yang telah dialas kertas minyak dan kukus selama 15 menit. Sebaiknya ikat loyang dengan beg plastik untuk mengelak air kukusan jatuh diatas kek. Sebelum masukkan loyang pastikan kukusan dipanaskan terlebih dahulu.

5. Setelah kek masak, keluarkan dari pengukus dan telangkupkan. Biarkan wap panasnya hilang. Sapu jem, gulung dan padatkan.
Untuk membuat krim, putar semua bahan hingga putih dan sekata. Bolehlah hias swiss roll ikut citarasa.


Assalamualaikum dan selamat berhari minggu untuk pembaca yang sudi menjenguk ke blog ini. Bagaimana cuaca ditempat anda? Kalau di Pulau Langkawi saat ini mendung sahaja dan petang-petang begini mulalah berfikir sesuatu hidangan yang sesuai untuk mengisi perut. Mula-mula terlintas juga nak makan keledek rebus cicah kelapa parut, tapi...alangkah enaknya jika dapat hirup kuah serawa atau pengat yang lemak manis dan hidangkan pula ketika cuaca begini, kan :). 

Jadi pilihan untuk hidangan petang ini jatuh kepada bubur cha cha lah nampaknya. Kombinasi keledek oren, keladi dan cha cha sungguh sedap sekali. maklumlah, dah lama tak makan. Puas hirup kuahnya yang lemak manis tu. Gambar kat bawah ni cuma guna untuk 'shoot' sahaja tetapi realitinya saya pindahkan kedua-dua bubur cha cha dalam ramekin ini kedalam mangkuk besar selepas selesai ambil gambar dan habiskan semuanya. Hihihi...barulah puas makan. 

Buat bubur cha cha ni sangat mudah dan sama seperti bubur-bubur manis lainnya. Tapi bagi yang belum tahu, bolehlah ikut resipi dibawah ini. 

BUBUR CHA CHA 
1 ketul keledek + 1 ketul ubi keladi 
1/2  cawan cha-cha
1 kotak santan KARA (200ml)
800ml air (anggaran)
1/2 cawan gula melaka - dihiris
1 cawan gula pasir
secubit garam
Dua helai daun pandan - disimpul

Cara membuatnya:

1. Kupas dan potong kiub keledek dan ubi keladi. Cuci bersih dan kukus hingga lembut. Boleh juga merebus. Setelah itu toskan dan ketepikan seketika. 
2. Rebus cha cha sebentar dan setelah kembang, matikan api dapur dan toskan. Ketepikan juga seketika.

3. Didalam periuk lain, jerang air dan masukkan bahan santan kara serta daun pandan. Masukkan juga gula pasir, gula melaka dan secubit garam. Kacau hingga larut. 


4. Seterusnya masukkan keledek, ubi keladi serta cha cha dan renih. 


5. Jangan masak terlalu lama kerana ubi akan hancur. Cukup sekadar sebati dengan kuah dan setelah secukup rasa bolehlah matikan api dapur dan hidangkan.


Assalamualaikum,

Kepada yang belum pernah cuba buat swiss roll mesti risau untuk mencuba. Takutnya kek patah ketika digulung dan sudah pasti tak berbaloi dengan modal yang dikeluarkan. Hari ini saya ingin kongsikan resipi pandan swiss roll yang mudah lentur dan InshaAllah menjadi jika benar-benar ikut langkah demi langkah resipi yang diberikan. Kalau tak suka perasa pandan boleh sahaja buat swiss roll mengikut citarasa sendiri iaitu dengan menukarkannya kepada perisa coklat, strawberry atau rasa lain yang disukai. Anak-anak pasti suka jika dihidangkan dengan pandan swiss roll yang teksturnya tak kalah dengan yang dijual di kedai kek.

'Part' yang paling risau untuk mencuba dalam pembuatan swiss roll sudah pastinya ketika menyapu jem/krim dan menggulung. Ada yang gulung dahulu swiss roll sebaik sahaja keluar dari oven, dan buka seketika untuk menyapu jem serta gulungkan sekali lagi. Tetapi apa yang saya lakukan adalah sebaik sahaja swiss roll keluar dari oven, saya terus menyapu jem dan gulung. Alhamdulillah setakat ini saya berpuashati dengan hasilnya.

Baiklah bagi yang ingin mencuba buat sendiri swiss roll dirumah, bolehlah cuba resipi yang saya sertakan dibawah ini :)  

PANDAN SWISS ROLL
Bahan-bahan
6 biji telur - Gred A 
90 gram gula kastor
1 sudu makan ovellete
70gm tepung gandum 
10gm tepung jagung 
10gm susu tepung
1 sudu teh pasta pandan
125gm mentega -  cairkan dan sejukkan sebelum diguna

Cara membuat:

1. Sediakan loyang, sapu mentega dan lapik dengan kertas minyak.

2. Masukkan telur, gula kastor, pasta pandan dan ovellete kedalam mangkuk pengadun bersama tepung gandum, tepung jagung serta susu tepung yang telah diayak.
3. Pukul dengan mixer (high Speed) sehingga adunan benar-benar kembang. Proses ini mengambil masa 10 ke 15 minit.
3. Seterusnya masukkan mentega cair sedikit demi sedikit dan kaup balik dengan spatula sehingga adunan benar-benar bercampur rata. 

4. Tuang ke dalam loyang dan ratakan permukaannya. Bakar dalam oven yang sudah dipanaskan kepada 200'C sehingga masak.
5. Keluarkan dari loyang, telangkupkan dan tanggalkan kertas minyak yang dilapik dibawah kek tadi. Sapu krim, atau saya hanya gunakan delicia coklat dan gulung pandan swiss roll sambil dipadatkan. Saya gulung ketika masih panas selepas keluar dari oven.

Assalamualaikum,

Condensed milk cake atau Kek susu pekat manis memang sedap dan menjadi kegemaran anak-anak saya. Bagi saya rasa manis kek ini sudah sesuai dengan selera tetapi bagi yang kurang suka manis boleh kurangkan jumlah gula sedikit dalam resipi ini. Kek ini juga tidak menggunakan sebarang serbuk penaik tetapi tetap gebu dengan syarat telur dipukul agak lama iaitu anggaran 1 minit. 

Condensed milk cake juga cenderung cepat masak/hangit, jadi kaedah 'bain marie' ketika separuh proses membakar amat membantu dan menjadikan warna kek ini cantik setelah masak.

Kalau teringin nak cuba buat condensed milk cake ini dirumah, bolehlah cuba resipi dibawah ini :) 

CONDENSED MILK CAKE 
Bahan Bahan :
240gm mentega 
240gm tepung gandum
300gm susu pekat manis
60gm gula kastor
4 butir telur - Gred A
1 sudu teh esen vanila

Cara membuatnya :

1) Pukul mentega dan gula hingga kembang dan pucat.

2) Perlahankan kecepatan mixer,masukkan susu pekat manis dan putar lagi sehingga bercampur rata.



3) Masih dalam kecepatan rendah,masukkan tepung sedikit semi sedikit dan pukul rata. Masukkan pula telur satu persatu dan pukul lagi dengan jarak 1 minit untuk sebiji telur.



4) Seterusnya tuang kedalam loyang yang sudah dialasi kertas minyak. Saya guna loyang aluminium jadi ianya lebih mudah dan tidak perlu dialas.



5) Untuk mengelakkan daripada kek cepat hangit adalah dianjurkan menggunakan kaedah 'bain marie' iaitu letakkan loyang yang lebih besar berisi air dirak oven paling bawah dan loyang berisi adunan kek dirak tengah (sila rujuk gambar).  Setkan suhu oven pada 180'c dan bakar selama 25minit. Setelah itu keluarkan loyang berisi air dan turunkan suhu oven kepada 150'c dan teruskan membakar selama 20minit atau sehingga kek masak.