Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua. Sarapan apa hari ini? Kalau saya disini cuma sempat sarapan baki bingka kacang hijau yang dibuat malam tadi sebagai alas perut kerana hari ini ada temujanji dengan klinik pergigian. Terpaksa lah keluar awal dari rumah kerana masa dah ditetapkan dalam kad rawatan.

Tak ada apa nak cerita panjang hari ni cuma nak beritahu, bingka kacang hijau yang resipinya saya cuba buat dari blog yatie ni memang sedap. Malam tadi sempat bawa untuk kerumah ibu dan dia pun puji sedap dan secukup rasa bingka ini.

Saya kongsikan sekali lagi resipinya dibawah ini bagi yang ingin mencubanya...

BINGKA KACANG HIJAU
sumber : yatiememories

Bahan-Bahan- (loyang 9x9 inci atau acuan pecah 8)

1 cawan gula pasir
2 cawan tepung gandum
1 cawan santan pekat
2 cawan air
2 sudu besar mentega/minyak sapi
3 biji telur
secubit garam
sedikit pewarna hijau dan perisa pandan
2 cawan kacang hijau yg telah di rebus- (bahagi dua)
bijan secukupnya

Cara-Cara:-

1. Satukan kesemua bahan bersama 1 cawan kacang hijau dan kisar hingga sebati.
2. Masukkan dalam periuk dan masak hingga sedikit pekat dan sentiasalah kacau guna spatula. Guna api yang sederhana sahaja.
3. Masukkan 1 cawan kacang hijau yang tidak di kisar tadi dan gaul rata.
4, Masukkan 1 sudu besar minyak dalam loyang dan oleskan rata. Boleh juga guna mentega.

5. Panaskan loyang dalam oven sebentar. Bila minyak/mentega telah panas, masukkan adunan tadi.
6. Taburkan bijan dan bakar pada suhu 180 C selama 1 jam 15 minit atau sehingga garing. Guna api atas dan bawah. Kalau nak garing lagi tambahkan masa dalam 5 minit guna api atas sahaja untuk permukaan kuih yang garing.

Assalamualaikum, 


Salam pagi jumaat, penghulu segala hari dan hari ini merupakan jumaat pertama ditahun 1437H. 

Jika di Kedah hari ini adalah cuti mingguan dan anak-anak tidak kesekolah. Kalau sempat memang saya buatkan sarapan pagi untuk mereka. Maklumlah walaupun disini cuti, saya tetap masuk ke pejabat kerana cuti mingguan saya yang berurusan di sektor pelancongan adalah pada hari Sabtu dan Ahad.

Hari ini saya masak nasi lemak tumis yang cukup 'simple'. Nasib baiklah pes sambal masih ada didalam peti sejuk dan ini memudahkan lagi kerja memasak. Saya cuma tumis kembali pes sambal tersebut dan masukkan sotong yang telah dibersihkan. Seterusnya perasakan dengan garam dan gula dan sedikit air asam jawa. Siaplah sambal sotong untuk dihidangkan dengan nasi lemak tumis.

NASI LEMAK TUMIS 
Sumber : Junjs11 - MyR
Bahan-bahan ( Untuk 5-6 orang ) 
3 cawan beras  
2 cawan santan 
2 cawan air 
½ sudu besar halba
1 helai daun pandan - disimpul 
1 cm halia - dihiris halus 
1 batang serai- diketuk 
2 ulas bawang merah- dihiris 
garam secukup rasa 
1 sudu besar minyak  masak + 1 sudu besar margerin

Cara membuat :

1. Cairkan mentega dan minyak masak didalam periuk menggunakan api sederhana.
2. Tumis bawang merah dan halia hingga garing.
3. Masukkan air dan santan dan kacau hingga pecah minyak.
4. Bila mendidih masukkan beras, daun pandan, halba, serai dan garam. Masaklah seperti nasi biasa.
5. Bila nasi masak, hidangkan dengan sambal tumis, timun, telur dan ikan bilis goreng.

Untuk sambal sotong saya gunakan sambal yang selalu saya buat dalam kuantiti yang banyak dan simpan didalam peti sejuk. Boleh lihat cara-caranya disini. Saya tumiskan semula sambal ini, masukkan sotong dan perasakan dengan garam,gula dan seimbangkan lagi rasa dengan sedikit jus asam jawa. Sungguh mudah dan cepat.

SAMBAL TUMIS SOTONG
(Masak dalam jumlah yang banyak & simpan didalam peti sejuk) 
40biji cili kering - di rebus dan tapis (agar bijinya keluar)
1/2 inci belacan 
2 labu bawang besar 
1 sudu besar minyak masak
1 keping asam gelugur

CARA MEMBUATNYA :

1. Kisar semua bahan-bahan kecuali asam gelugur. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar dan masak hingga pecah minyak. Masukkan juga asam gelugur ke dalam cili yang di masak agar pes tersebut tahan lama.

2. Pes cili ini boleh di simpan di dalam peti sejuk dan menjimatkan kerja memasak.

Assalamualaikum, 

Kek Kismis yogurt ini saya buat semalam. Sambil-sambil mengemas stok barang dapur tu baru perasan, masih ada pek tepung gandum dalam simpanan. Maklumlah agak lama juga tak buat kek atau kuih muih. Jadi bila godek-godek dengan bahan-bahan yang seadanya didapur terhasil lah kek Kismis Yogurt. Yogurt nya pula saya guna perisa mixed berries keluaran Nestle. 

Alhamdulillah gebu dan 'moist' tekstur kek ni. Teringin nak cuba buat? Jom kita lihat resipi :)

KEK KISMIS YOGURT
Saiz loyang : 8 inci
Bahan-bahan
1 ½ cawan tepung gandum
1 ¼ sudu teh baking powder
½ sudu teh baking soda
60gm kismis - Gaul dengan 1/2 sudu besar tepung gandum
Secubit garam
1 cawan yogurt – saya guna yogurt nestle
¾ cawan gula kastor
2 biji telur – Gred A
1 sudu teh esen vanilla
½ cawan minyak jagung/masak 

Cara membuatnya :

1. Masukkan yogurt dan gula kastor kedalam mangkuk adunan. Pukul hingga gebu dan gula hancur. Masukkan juga telur satu persatu bersama esen vanilla sambil dipukul lagi.

2. Masukkan pula tepung gandum, baking soda dan baking powder yang telah di ayak sedikit demi sedikit dan secubit garam kedalam adunan sambil diputar. Tuang minyak sedikit demi sedikit dan putar lagi. 


3.  Masukkan kismis kedalam adunan dan kaup balik menggunakan spatula. Sisakan sedikit kismis untuk ditabur keatas kek. Sebelum itu pastikan kismis digaul dengan 1/2 sudu besar tepung gandum untuk mengelakkannya daripada tenggelam ketika membakar kek nanti.


4. Seterusnya tuang adunan kedalam loyang dan tabur baki kismis dan bolehlah dibakar. Setkan suhu oven pada 170'c dan bakarlah sehingga kek masak iaitu selama 45 minit hingga 1 jam (bergantung kepada jenis oven).


Assalamualaikum, 

Salam Maal Hijrah 1437, tahun baru dalam kalendar Islam. Bulan Zulhijjah telah berlabuh  sebaik sahaja masuk waktu magrib semalam membawa berbagai catatan amalan baik dan buruk kita sepanjang tahun dan digantikan dengan bulan Muharram. 

Semoga tahun baru ini kita semua diberi kesihatan yang baik, dilapangkan rezeki yang halal dan lebih memperbaiki diri kearah kebaikan, maklumlah yang dinamakan manusia itu tak lepas dari kesalahan dan dosa. Peringatan ini untuk diri sendiri juga yang sering alpa.

Memandangkan hari ini cuti umum di Malaysia, tak ada ke rancangan kemana-mana dengan anak-anak dan keluarga? Kalau saya menghabiskan masa dengan mengemas rumah dan masak ringkas-ringkas untuk keluarga. Lagipun anak yang sulung sibuk dengan 'tuisyen' sebab peperiksaan SPM pun dah tak sampai sebulan lagi nak bermula.

Ceritanya bila dah bercuti ni dapatlah buatkan cucur udang utara dan kuah kacang gandingkan dengan minum petang. Dah lama tak buat cucur udang yang rangup dan sedap ni. Selalunya kalau jumpa udang saiz kecil-kecil kat pasar yang sekilo RM 16.00 tu memang saya beli utuk buat cucur. Boleh taruh banyak-banyak dan memang sedaplah kan.

Nak cuba resipi cucur udang ni, jom kita tengok cara membuatnya :)

CUCUR UDANG UTARA DAN KUAH KACANG 
Bahan-Bahan
2 cawan tepung gandum 
2 cawan air - masukkan sedikit-sedikit  
1/2 sudu besar yis  
1/2  labu bawang besar - di hiris  
1 cawan taugeh 
1 ikat kucai dibersihkan - dipotong pendek 
1 sudu teh serbuk kunyit 
1 sudu teh garam  
1 1/2 cawan udang basah - saya guna yang saiz kecil

Cara memasak :

1. Masukkan semua bahan kering kedalam mangkuk besar dan gaul. 

 2. Masukkan pula air sedikit demi sedikit sambil di kacau adunan menggunakan senduk. Jika adunan cair , hentikan penggunaan air, tetapi saya gunakan 2 cawan air memang adunan sedang elok sahaja. Masukkan pula udang dan sisakan sedikit untuk diletakkan keatas cucur sebelum menggoreng. perapkan adunan dalam 15minit sebelum mula menggoreng.


3. Seterusnya ceduk adunan dengan senduk dan letakkan dua ekor udang.

 4. Rendamkan senduk kedalam kuali berisi minyak panas dan gunakan sudu untuk menaggalkan tepung dari senduk. Goreng hingga keemasan menggunakan minyak yang sederhana panas agar masak sempurna.

6. Angkat cucur, toskan minyak dan bolehlah dihidangkan dengan kuah kacang.

KUAH KACANG
Bahan A
2 cawan kacang tanah 
15 tangkai cili kering 
1/2 inci belacan 
1 labu bawang besar - dimayang 

Bahan B
1/4 cawan gula 
1/4 cawan air asam jawa
Garam secukup rasa
Air secukupnya 

Cara membuatnya :

1. Goreng kacang tanah hingga ranggup dan kisar kasar.

2. Goreng juga cili kering, belacan dan bawang besar dengan sedikit minyak dan kisar halus.

3. Masukkan semua bahan kisar kedalam periuk dan masukkan juga gula, air asam jawa dan garam secukup rasa.

4. Seterusnya masukkan air secukupnya dan masak sebentar sahaja ikut kepekatan yang dikehendaki. Matikan api dapur.
Assalamualaikum,

Laksa Sarawak adalah salah satu daripada variasi aneka jenis laksa yang ada di Malaysia dan kuahnya dinikmati bersama bihun yang dicelur. Bukan dengan laksa beras atau laksa kering yang perlu direbus terlebih dahulu seperti di Utara Semenanjung Malaysia ni. 

Dah lebih dua minggu rasanya pes segera laksa Sarawak pemberian adik angkat saya, Rossella El Alisur tak terusik dan baru semalam saya cuba membuatnya, kebetulan pula bahan-bahan sampingan memang ada dalam petisejuk. 

Sebelum saya memasak Laksa Sarawak menggunakan pes segera ini, Rossella ada beritahu yang aroma pes Laksa sarawak yang dimasaknya sebelum ini sangat kuat dengan rempah ratus sedangkan dia memasak ikut aturan yang tertulis di pek. Hmmm..saya masak menggunakan pes yang sama tetapi ikut cara di blog Dayang Jack dan rasanya Alhamdulillah, sedap :). Mungkin kerana penggunaan pes, jumlah air dan santan yang lebih seimbang.

Baiklah, jom kita lihat resipinya...

LAKSA SARAWAK 
Bahan-bahan
200gm pes segera laksa Sarawak
Isi ayam secukupnya - direbus dan dicarik halus
1/2 kilo udang basah 
1 bungkus bihun - direndam dan dicelur
4 biji telur -  didadarkan dan hiris halus
2 batang serai - diketuk
250ml santan pekat
Garam dan gula secukup rasa
Taugeh - dicelur
sedikit daun ketumbar - diracik
limau kasturi secukupnya - dibelah dua

Cara memasak :

1. Sediakan 2 liter air dalam periuk. Jerangkan. Kemudian masukkan daging ayam dan udang yang sudah dibersihkan bersama serai. Rebus hingga masak dan toskan. 
2. Air rebusan tadi jangan dibuang. Sebaliknya masukkan pes laksa dan kacau menggunakan api perlahan. (Boleh tambah air jika perlu).


2. Masukkan santan dan perasakan dengan garam dan sedikit gula.

3. Masukkan bihun ke dalam mangkuk, letakkan bahan-bahan seperti taugeh, telur, daun ketumbar, isi ayam dan telur. Telur tersebut didadar, gulung serta hiris halus. 



4. Seterusnya tuangkan kuah laksa kedalam mangkuk bihun dan perahkan dengan limau kasturi. Hidangkan panas-panas. Untuk menyedapkan lagi rasanya, masukkan sedikit sambal udang kering.

Resepi Sambal Udang Kering 
Bahan-bahan
6 biji bawang merah - dikisar
2 ulas bawang putih - dikisar
sedikit belacan bakar - dikisar
segenggam udang kering - dikisar/ditumbuk halus
4-5 sudu makan cili kisar 
sedikit air asam jawa
garam dan gula

Cara memasak: 
Tumiskan bahan-bahan kisar dan cili kisar tadi hingga pecah minyak. Perasakan dengan garam dan gula dan masukkan air asam jawa. Kacau hingga pekat.
Assalamualaikum,

Dah lama benar rasanya tak buat kek coklat. Sesekali teringin juga nak rasa keenakkan kek coklat yang lembab dan penuh rasa coklat. Jadi, cuti hari minggu semalam bila seharian dirumah tak kemana-mana ada kesempatan saya buatkan Moist Choc Cake yang resipinya saya ambil dari Dapur Mamasya dan sumber asal dari Dapur Maklangazie. Terima kasih untuk keduanya dan saya kongsikan sekali lagi resipinya disini.

Bila dah lama tak baking kek coklat ini, rupanya anak-anak dah tak sabar sangat nak rasa sebaik sahaja keluar dari oven. Kalau selalu buat tu, macam tak layan je. Ini tak menyempat-nyempat buatkan toping dan cara yang paling mudah adalah saya sapukan kek dengan Nutella yang sentiasa ada didapur rumah saya kerana anak yang bongsu memang penggemar coklat. Taburkan coklat chips diatas 'topping' nutella tu dan sedia untuk dinikmati. Mudahkan... :). Tapi kalau ada masa dan tidak malas seperti saya, bolehlah buatkan topping yang ringkas-ringkas pun boleh.

Jom tengok resipi kek moist choc cake yang sedap ni...
MOIST CHOC CAKE 

Bahan A - Diayak
2 cawan tepung gandum 
1 cawan serbuk koko  
1 sudu teh baking powder
1 susu soda bicarbonat

Bahan B
4 biji telur
2 cawan gula halus 
1 cawan susu pekat 
1 cawan minyak jagung - boleh juga guna minyak masak 
1½ cawan air panas mendidih 

Cara membuatnya :

1. Pukul gula dan telur hingga kembang (high speed) dan masukkan susu pekat. 
2. Masukkan minyak  jagung dan ubah kelajuan mixer kepada low speed.

3. Masukkan bahan A sedikit demi sedikit  sambil di pukul lagi.

4. Seterusnya masukkan air panas dalam adunan tadi dan kacau dengan senduk kayu.

5. Tuang adunan kedalam loyang dan bakar pada suhu 170'c menggunakan api bawah selama satu jam atau sehingga masak.

6. Bila dah masak, sejukkan dan bolehlah letak topping. 
Assalamualaikum,


Tengahari ini kita layan Som Tam pula untuk hidangan tengahari. Som Tam atau kerabu Thai ini memang sangatlah sedap walaupun meratah begitu sahaja tanpa nasi. Rasanya yang masam, manis, pedas dan masin itu ditambah dengan kerangupan kacang goreng, kacang panjang dan betik muda yang diparut...hmm sukar digambarkan. Kena rasa sendiri baru tahu. :)

Selalunya di Thailand atau restoran Thai mereka gunakan sejenis lesung yang diperbuat dari kayu untuk menumbuk bahan-bahan somtam ini. Tetapi kalau tak ada lesung tersebut boleh juga gunakan lesung batu seperti saya ni, tetapi janganlah ditumbuk kuat-kuat sangat takut nanti hancur pula betik muda tu. Tumbuk sebagai syarat agar  semua  bahan-bahan bercampur sahaja.

Baiklah, kalau nak buat sendiri dirumah bolehlah cuba resipi ni...;) 

SOM TAM - Sedap
Bahan-bahan
4 sudu besar udang kering - bersihkan
3 sudu besar kacang goreng 
2 ulas bawang putih 
secubit garam
5 tangkai cilipadi 
2 tangkai kacang panjang - potong pendek
1 biji tomato - di potong (boleh juga gunakan tomato cherry)
Jus dari 1 biji limau nipis
Betik muda di parut memanjang - saya guna hanya separuh dari betik saiz sederhana
2 sudu besar sos ikan Thai
3 sudu besar gula thai (boleh juga gunakan gula kabung/melaka)

Cara membuat :

1. Goreng kacang dan udang kering tanpa minyak hingga agak garing dan ketepikan seketika. Kupas betik muda dan parut memanjang.
2. Di dalam lesung, tumbuk bawang putih dan secubit garam dan masukkan juga udang kering, cilipadi dan 1 sudu besar kacang goreng.
3. Masukkan juga kacang panjang, tomato, jus limau, sos ikan dan gula kabung . Tumbuk kasar sahaja agar gula larut, jangan sampai hancur.Bahan tumbuk tersebut seharusnya ada rasa seimbang iaitu masam, manis, masin dan pedas. Jika rasanya kurang bolehlah ditambah bahan-bahan lagi.
4. Seterusnya masukkan betik muda yang telah diparut dan tumbuk lagi sambil di alih-alihkan dengan sudip sehingga bercampur dan sebati dengan bahan yang ditumbuk tadi.
5. Taburkan dengan baki kacang goreng dan hidangkan bersama nasi serta lauk lain.