Assalamualaikum,

Laksa sambal sotong atau ada juga yang sebut laksa mambo memang sedap dan tak mungkin ditolak oleh penggemar laksa. Bayangkan kuah laksa yang sedap itu dinikmati pula dengan sambal tumis sotong. Pergh...memang nikmat sangat. 

Menurut cerita laksa sotong ni popular sesetengah tempat sebelah utara semenanjung Malaysia seperti di Tasek Gelugor, Seberang Perai dan Kulim. Laksanya sama sahaja dengan laksa Kedah atau laksa Penang, cuma bahan tambahan iaitu sambal sotong memang melazatkan lagi hidangan laksa ini. 

Jom kita intai resipi laksa sambal sotong ala fiza's cooking :)

LAKSA MAMBO SAMBAL SOTONG
Bahan A 
1 kg ikan kembung/sardin - Rebus dan asingkan tulang dan isinya
1 paket laksa - di rendam sebentar dan rebus hingga lembut serta toskan
1 kuntum bunga kantan - dibelah dua 
5 tangkai daun kesom 
Garam dan gula secukup rasa
4 keping asam gelugur
1/4 cawan air asam jawa

Bahan B - Kisar 
1 tin kecil sardin
1/2 inci belacan 
20 tangkai cili kering - Rebus hingga lembut dan toskan
10 ulas bawang merah 
2 labu bawang besar 

Bahan sampingan 
1 biji timun - di hiris seperti mancis
Pucuk gajus atau daun selom  - di racik halus 
telur rebus 
limau kasturi/limau nipis
cili padi - di hiris 
bawang besar - di mayang 

Cara memasak :

1. Rebus ikan sehingga masak dan toskan airnya. Asingkan isi dengan tulang dan kisar isi ikan tersebut. Gunakan air rebusan ikan semasa mengisar.
2. Tapis  bahan isi ikan yang telah dikisar tadi kedalam periuk dan masukkan bahan B kedalamnya.
3. Masukkan asam keping, air asam jawa, daun kesom, bunga kantan dan masak lagi hingga kuah pekat.  Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
4. Setelah kuah masak dan secukup rasa bolehlah dihidangkan dengan memasukkan laksa kedalam mangkuk beserta bahan sampingan dan curahkan kuah keatasnya. Akhir sekali letak sambal sotong untuk rasa yang lebih lazat.

RESEPI SAMBAL SOTONG KERING 
Bahan-bahan
50gm sotong kering (cumi-cumi) - di rebus hingga lembut dan sejatkan 

Bahan kisar
20biji cili kering 
5 ulas bawang merah 
1 ulas bawang putih 
1/2 inci belacan 

Air asam jawa, garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga naik bau, masukkan air asam jawa dan kacau rata.

2. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masukkan sotong kering yang telah di rebus tadi, kacau sebentar . Tambah sedikit air jika terlalu kering. 

Assalamualaikum,


Sup memang kegemaran anak-anak saya. Kalau makan nasi tiap hari pun jemu juga, jadi saya turutkan kemahuan anak-anak yang inginkan bihun sup sebagai hidangan makan malam hari ni. Nak aroma kuah bihun sup yang wangi dan menyelerakan bolehlah cuba tambahkan daun pandan dan serai ketika merebus daging. Jangan lupa letakkan juga gula batu untuk membangkitkan rasa manis tetapi jangan pula berlebihan bahan-bahan tersebut kerana ini akan menghilangkan rasa asli kuah sup itu sendiri. Sebagai panduan, bolehlah cuba sukatan bahan-bahan yang saya sertakan dibawah ini.


Selalunya bihun sup utara di hidangkan dengan sambal cili yang merah tu tetapi kali ini saya buatkan sambal kicap. Pedasnya sampai berair hidung...tapi sedapnya bukan main. Nak pula dalam cuaca mendung dan hujan disini. Memang sesuai menghirup kuah sup. 

Jom lihat resipinya... :) 

BIHUN SUP DAN SAMBAL KICAP 
1 kg daging 
1/2 kg tulang 
2 kuntum bunga lawang 
3 biji buah pelaga 
1 inci kulit kayu manis 
1 helai daun pandan - disimpul
1 batang serai - di ketuk 
1 batang celeri - di potong sepanjang 1/2 inci
2 inci halia - di ketuk 
5 ulas bawang putih - diketuk
1 sudu besar lada hitam - ditumbuk kasar
1 ketul gula batu - sebesar syiling 50sen
garam secukup rasa
1 kiub ayam
serbuk perasa - jika suka 
3 liter air

BAHAN UNTUK SAMBAL
10 tangkai cili padi
3 ulas bawang putih
jus dari 1 biji limau nipis
kicap manis secukupnya 
sedikit gula untuk mematikan rasa pedas cili padi

BAHAN LAIN
1 paket bihun 
1 sudu teh serbuk kunyit
Bawang goreng secukupnya 
lobak masin - di cincang 
daun bawang dan daun sup secukupnya

Cara memasak:

1. Bersihkan daging dan masukkan kedalam periuk bersama air.

2. Masukkan pula rempah-rempah, serai, daun pandan, batang celeri, halia, bawang putih dan lada hitam.

3. Rebus hingga lembut dan jangan lupa buang buih lemak yang timbul dipermukaannya.

4. Renih sehingga daging lembut dan perasakan dengan garam, kiub ayam, gula batu dan serbuk perasa (jika suka).

5. Untuk menyediakan bihun : Rendam bihun dengan air biasa dan masukkan serbuk kunyit. Setelah bihun lembut, celur dengan air panas dan toskan. Hidangkan dengan lobak masin, daun bawang/daun sup dan bawang goreng secukupnya.

6. Untuk menyediakan sambal kicap : Goreng sebentar bawang putih dan cilipadi tanpa minyak. Tumbuk hingga lumat dan masukkan kicap, sedikit gula dan jus limau kasturi.

Assalamualaikum,

Lamanya tak update blog. Last update sehari sebelum Aidiladha hari tu. Tuan punya blog ini acah-acah sibuk atau hilang minat untuk berblogging agaknya ye? Hee..he..he..sebenarnya bukan blog ini sahaja tidak dijengah, malahan facebook, twitter dan Instagram juga turut terbiar dan jarang 'on'. Sesekali memang mood untuk bersosial di aplikasi media yang ada ini agak kurang bila sibuk dengan urusan keluarga, kerja dan anak-anak yang menuntut perhatian yang lebih. Tapi minat berblogging tetap dihati dan sebolehnya saya akan cuba update blog bila ada kelapangan macam hari ini :)

Hmmm...perkongsian hari ini adalah bubur nasi special. Mesti ada yang terfikir apa istimewanya bubur ni, nampak biasa je. Saya klasifikasikan sebagai special kerana bahan sampingannya ada kangkung goreng belacan, ikan talang masam, ikan bilis, telur masin, kacang tanah dan chilli flakes. Saya masak bubur ini semalam untuk anak yang tidak sihat. Kerap pula anak-anak demam sejak jerebu yang agak serius melanda Langkawi dengan catatan IPU tidak sihat sejak 2 hari lalu.

Semoga masalah jerebu cepat berakhir. Kasihan pelancong yang dah merancang dan beli pakej ke Langkawi, bila dah datang tak dapat nak melihat kecantikan pulau ini dan terpaksa pula batalkan aktiviti yang dah diatur oleh agensi pelancongan. Banyak masalah yang timbul disebabkan oleh jerebu ni, begitu juga anak-anak kita yang ada penyakit athma, memang kasihan dan harus dipantau.   

Baiklah jom kita jengok resipi bubur nasi special pula. Senang sangat nak buat ni, tapi saya kongsikan untuk sesiapa yang ingin mencuba.

BUBUR NASI SPECIAL 
Bahan untuk bubur
1 cawan beras 
Air secukupnya - Saya guna anggaran 7 cawan 
1/2 inci halia - di kupas dan hiris nipis
2 ulas bawang putih - diketuk 
1/2 labu bawang besar - dihiris
1/2 kiub ayam 

Cara memasak :

Caranya cukup mudah iaitu bersihkan beras, campur semua bahan-bahan dan rebus sehingga beras lembut menjadi bubur nasi. Boleh tambahkan air mengikut kepekatan bubur yang dikehendaki. kalau suka boleh juga di masukkan isi ayam ketika merebus bubur nasi ini.


KANGKUNG GORENG BELACAN
Bahan-bahan
1 ikat kangkung - di potong dan rendamkan sebentar dengan air garam untuk membersihkannya
Garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis

Bahan B ( Di tumbuk lumat)
2 ulas bawang putih
2 tangkai cili merah 
1/2 inci belacan 

Cara memasak :

1. Panaskan minyak didalam kuali dan tumis bahan tumbuk hingga wangi.


2. Masukkan kangkung dan kacau hingga sebati dengan bahan tumis dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.


3. Hidangkan bubur dengan kangkung goreng belacan, telur masin, ikan masam goreng, kacang goreng, ikan bilis, chili flakes dan bahan-bahan lain mengikut selera.

Assalamualaikum,

InshaAllah esok kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha iaitu perayaan terbesar di dalam kalendar Islam selain Aidilfitri .

Ibadah korban dilakukan pada hari tersebut dimana ternakan yang akan dikorbankan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid selepas solat sunat Hari Raya Adiladha sebelum dagingnya  dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya golongan fakir miskin.

Kita di Malaysia merayakan Hari Raya Aidiladha dengan meraikan keluarga dan sahabat handai yang berkunjung dan hari raya ini kurang popular dengan biskut raya seperti hari raya Aidilfitri. Juadah yang dihidangkan juga lebih ringkas namun di tempat saya, ketupat dengan kari atau rendang memang tidak pernah dilupakan. 

Hari ini saya ingin berkongsi resipi ketupat palas berkacang yang dihidangkan dengan kari daging. Jom kita lihat resipinya :)
KETUPAT PALAS BERKACANG DAN KARI DAGING
Bahan-bahan
Daun palas secukupnya
1 kg beras pulut
1 sudu teh garam 
1 sudu teh gula
Santan dari sebiji kelapa -kira-kira 1 kg santan siap diperah
200gm kacang ketupat - kacang mata hitam (ada di jual di pasaraya atau pasar basah juga di sesetengah tempat) 

Cara membuatnya:

1. Buka daun palas dan bentukkan menjadi kelongsong ketupat. Ketepikan dahulu. Ada yang membuka daun palas ini sehari sebelum membuat ketupat. Tujuan nya adalah untuk melembutkan daun dan memudahkan pulut di balut.

2. Tanak pulut dengan kacang mata hitam, santan, garam dan gula hingga suku masak. Sukatan yang betul untuk santan ialah santan sama paras atau lebih sedikit sahaja dari beras pulut. 


3. Sentiasa kacau untuk mengelakkan daripada pulut hangit. Setelah santan kering, perlahankan api dapur(seperti menanak nasi) sambil sesekali di kacau dan apabila pulut dah sebati dengan santan serta separuh masak, matikan api dapur. 

3. Sejukkan pulut tadi sebentar, dan bolehlah di bungkus. Hehehe..maaflah gambar membungkus ketupat ini anak yang 11tahun tolong ambil sebab itu kurang jelas.
4. Setelah siap di bungkus, bolehlah di rebus atas kukus hingga masak. (selalunya dalam 1 jam) 
KARI DAGING
Bahan-bahan:
600 gm daging batang pinang - cuci dan hiris
1 peket kecil rempah kari daging - larutkan menjadi pes dalam 1/4 cawan air
1 sudu besar kerisik
2 keping asam gelugur
6 cawan santan (3 cawan santan cair dan 3 cawan santan pekat)
3 biji kentang - kupas kulit dan di potong empat
Garam, gula secukup rasa
¼ cawan minyak masak

Bahan untuk menumis
2 biji buah pelaga
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 tangkai daun kari
10 ulas bawang merah - dimayang
6 ulas bawang putih - dimayang
1 inci halia – hiris

Cara-cara:

1. Panaskan minyak.Tumis bahan tumis hingga wangi.

2. Masukkan pula rempah kari, kerisik dan masak hingga pecah minyak.

3. Masukkan santan cair, daging dan dikacau rata.

4. Masukkan kentang dan asam gelugur dan renih sehingga daging dan kentang empuk.

5. Masukkan pula pati santan dan masak hingga mendidih. Renih seketika hingga pecah minyak dan perasakan dengan garam dan gula.
Assalamualaikum,

Ketam masak lemak dengan nanas adalah masakan yang tidak asing lagi dengan selera masyarakat Malaysia. Ada berbagai versi masak lemak ini tapi walau bagaimanapun ianya dirampai rasanya memang semuanya sedap. 

Menu ini adalah 'request' dari anak bujang yang tinggal di asrama dan sedang menghabiskan cuti penggal kedua persekolahan di rumah sekarang ini. Suka benar dia dengan ketam dan segala jenis makanan laut.  Selalunya 'request' dari anak yang tinggal berasingan ni InsyaAllah akan dituruti. Iyalah kalau di asrama menunya lain, waktu cuti yang sekejap ini lah nak makan puas-puas masakan rumah.    

Jom kita layan resipi...macam yang biasa kita masak tu je. Sengaja saya 'tepek' dalam blog ini, senang anak nak rujuk bila nak masak nanti.


KETAM MASAK LEMAK DENGAN NANAS
5 ekor ketam - di bersihkan 
1/2 biji nenas - di kupas bersih dan potong kecil
2 batang serai - di ketuk
garam dan gula secukup rasa
1 cawan santan pekat + 2 cawan santan cair

Bahan B - Ditumbuk lumat atau dikisar
3 ulas bawang merah - di mayang 
1 inci kunyit kunyit hidup
15 tangkai biji cili padi

Cara memasak :

1. Tumbuk atau kisar cilipadi, kunyit hidup dan bawang merah. Masukkan kedalam periuk dengan serai yang telah di ketuk.

2. Masukkan juga ketam, nanas dan santan cair. Renihkan hingga mendidih.
3. Seterusnya masukkan santan pekat dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. 
4. Biarkan sebentar hingga mendidih. Gunakan api yang sederhana sambil di kacau selalu agar santan tidak pecah minyak.

5. Bila dah masak sepenuhnya bolehlah matikan api dapur dan sajikan.

Assalamualaikum, 

Bagi penggemar makanan laut mesti pernah makan udang lipan atau mantis prawn. Kalau di Langkawi harga sekilo udang ni RM 8.00 dan selalunya cara menikmatinya adalah dengan merebus atau di goreng garing. Isinya memang sedap dan manis seakan-akan rasa isi ketam , tetapi satu hal pula nak kopek kulitnya jika makan dengan anak-anak kerana kulitnya agak tajam jika tidak di gunting atau di bersihkan sebelum masak.
  
Selain daripada di rebus, udang lipan ini juga enak jika di kukus dengan limau dan letak banyak cili api. Memang anak-anak tak pandai nak makan dengan nasi dan yang paling best meratah begitu sahaja. 

Resipi ini simple sangat tetapi saya kongsikan juga di sini untuk siapa yang ingin mecuba.


UDANG LIPAN KUKUS LIMAU KASTURI
Bahan-bahan:
1 kg udang lipan
3 ulas bawang putih - di cincang
10 tangkai cili padi - di cincang
1 ketul kiub pati ikan bilis
4 biji limau kasturi - perah jusnya
1 sudu besar sos ikan
1/2 sudu besar kicap cair
1/2 sudu besar sos tiram
gula secukup rasa
Daun ketumbar dan daun daun bawang - di potong

Cara:

1. Bersihkan udang dan masukkan kedalam bekas yang sesuai untuk di kukus. Panaskan dulu kukusan. 

2. Masukkan secawan air dan bahan-bahan lain (kecuali udang) kedalam periuk. 

   
3. Renihkan hingga mendidih dan suaikan rasa mengikut selera.  Kuah mestilah secukup rasa iaitu pedas, masam, manis dan masin.

4. Seterusnya tuang kuah kedalam bekas berisi udang dan kukus dalam 5 hingga 10 minit. Air yang keluar ketika proses mengukus ini juga memaniskan lagi udang yang di kukus.


Assalamualaikum, 


Selamat menyambut hari Malaysia untuk semua warga hari ini. Ada yang sedang bercuti dan bagi yang bertugas dalam bidang perkhidmatan khususnya sektor perubatan, perhotelan, pelancongan dan sebagainya lagi...termasuk saya memang bekerja. Di Langkawi hujan lebat, ribut dan sesekali petir melanda di awal pagi tadi. Huhuhu...malangnya modem wifi di rumah saya tersambar petir dan hari ini cuti umum pula. Nampaknya esoklah ke TM untuk dapatkan yang baru. Sengsaranya rasa bila tak dapat ekses internet tapi dari sudut positifnya dapat juga keluar bersantai dengan keluarga dan dah ada rencana untuk makan diluar malam ini.

Perkongsian resipi hari ini memang dah sinonim dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia iaitu nasi tomato dan pasangannya ayam masak merah. Sejak kebelakangan ini ada dua tiga entry tentang nasi berperisa je kan. Bukannya apa, ceritanya saya nak habiskan bekalan beras basmathi dan entry tentang nasi agak kurang selama ini. Boleh juga dijadikan rujukan pada yang ingin mencuba.
NASI TOMATO 
Bahan-bahan  
4 cawan beras - dibersih dan ditoskan (Kalau guna beras basmathi rendam selama 20minit dan toskan) 
5 cawan air 
1/2 cawan susu cair
2 sudu besar minyak sapi 
4 sudu besar minyak masak 
5 sudu besar tomato sup - Saya guna jenama kimball 

Bahan untuk menumis
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang 
3 biji buah pelaga 
5 cm kulit kayu manis 
1 labu bawang besar - dicincang 
2 biji tomato - di cincang 
2 batang serai - diketuk 
2 ulas bawang putih - di hiris 
3 ulas bawang merah - di hiris
1 inci halia - di hiris nipis
2 helai daun pandan - di simpul
garam secukup rasa

Cara memasak :

1. Cairkan minyak sapi dan minyak masak diatas api yang sederhana dan tumiskan rempah-rempah selama 2 minit. 

2. Seterusnya masukkan bahan yang di hiris dan kacau hingga berbau wangi.
 3. Kecilkan api dan masukkan beras. Kacau rata-rata selama 1 hingga 2 minit.

4. Seterusnya masukkan air, susu cair, tomato sup, simpulan daun pandan dan garam secukup rasa.

5. Pindahkan periuk ke dalam periuk nasi elektrik dan masak seperti biasa.

AYAM MASAK MERAH
Bahan A 
1 ekor ayam - di potong 12
garam dan kunyit secukupnya - untuk menggoreng ayam 
2 batang serai - di ketuk
1 labu bawang besar - di potong bulat  
1 tin kecil kacang peas
1 sudu besar gula melaka

Bahan B - Dikisar
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3cm halia
10 tangkai cili kering - di rebus hingga lembut dan toskan
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram

Cara memasak 

1. Gaul ayam bersama garam dan kunyit. Goreng hingga keemasa dan ketepikan seketika.

2. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar hingga berbau wangi.
3. Masukkan sos tomato, sos tiram dan gula melaka dan renihkan hingga kuah benar-benar masak. 

4. Perasakan dengan garam dan masukkan ayam yang telah digoreng tadi serta gaul rata. Biarkan kuah sedikit pekat dan masukkan kacang peas serta matikan api dapur.