Assalamualaikum, 

Salam pagi isnin untuk semua. Hari ini saya ingin berkongsi resepi nasi goreng siang malam. Agak unik nama menu ini, tapi yang istimewanya, anda boleh menikmati dua rasa nasi goreng dalam satu pinggan. 

Membuatnya pun sangat mudah dan hasilnya menarik juga. Sesekali boleh buat kejutan untuk suami atau anak-anak tersayang dengan hidangan ini, walaupun sekadar nasi goreng.

Jom lihat resepi :)

NASI GORENG SIANG MALAM 
Bahan-bahan (Untuk hidangan 1 - 2 orang)

1 mangkuk nasi
2 ulas bawang merah - di hiris
1 ulas bawang putih - di hiris
4 ekor udang segar - boleh gantikan dengan isi ayam 
1 biji telur 
1/4 sudu teh serbuk lada sulah 
garam secukup rasa
1 sudu besar kicap manis 
1/2 sudu teh sos tiram 
1/2 sudu teh sos sotong 
minyak untuk menumis

 Cara membuat :

1. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga wangi dan kekuningan.

2. Masukkan telur dan di kacau hingga menjadi seperti telur hancur.


3. Masukkan pula nasi sejuk dan kacau lagi. Pastikan tidak ada nasi yang berketul.


4. Seterusnya masukkan lada sulah sambil di kacau dan asingkan separuh dari nasi ini untuk satu proses lagi. Masukkan garam secukup rasa kedalam nasi yang masih ada di dalam kuali (Nasi goreng putih - siang). Ketepikan.


5. Untuk menghasilkan nasi goreng (malam), masukkan baki nasi yang di asingkan tadi ke dalam kuali, campurkan dengan kicap manis, sos tiram dan sos sotong. Kacau hingga sebati dan matikan api dapur.

6. Hidangkan keduanya dalam satu pinggan.

Assalamualaikum,


Sambal tumis petai memang membuka selera, tetapi penggemar pedas seperti saya lebih suka menggunakan cili padi dan cili besar yang di kisar kasar sedikit untuk menghasilkan sambal ini. Selalunya saya buat dalam kuantiti yang banyak dan ini akan menjadi penyelamat di saat tak sempat untuk memasak. Hanya tambahkan udang, sotong atau boleh juga goreng ikan dan tuangkan sambal ini di atasnya seperti yang saya buat hari ini.

Resepinya ringkas, seperti sambal tumis yang biasa kita buat tu, tapi bagi yang suka, boleh membuatkan nasi bertambah-tambah. Jom kita lihat cara membuatnya... :)

SAMBAL IKAN PETAI - SUPER PEDAS

Bahan A
4 Keping isi ikan - saya gunakan ikan gerut (gaul dengan garam, kunyit dan goreng)
1/2 cawan petai - yang telah di kopek
1 labu bawang besar - di hiris
1 sudu besar kerisik
2 sudu besar minyak - untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Bahan B - Kisar
5 tangkai cili besar 
20 tangkai cili padi - kurangkan kalau tak tahan pedas
1 cawan air asam jawa
1/2 inci belacan
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 

Cara membuat :

1. Tuang minyak di dalam kuali dan tumis bahan-bahan kisar dan kacau hingga wangi.
2. Masukkan pula air asam jawa untuk seimbangkan rasa pedas dari cili padi.
3. Seterusnya masukkan petai sambil di kacau. Tambahkan gula dan garam secukup rasa.
4. Masukkan kerisik dan bawang besar sambil di kacau hingga sebati. 
5. Suaikan kepekatan sambal ini, jika ingin cair sedikit, boleh tambahkan air. Setelah sambal masak sepenuhnya bolehlah di masukkan isi ikan yang di goreng atau udang dan sotong mengikut pilihan anda.

Assalamualaikum, 

Sudah menjadi trend sekarang banyak cara kreatif di gunakan untuk menghidangkan makanan. Yang jadi kegilaan baru adalah aiskrim pasu. Kalau tengok 'presentation' aiskrim yang di hidangkan dalam pasu yang di gunakan untuk tanam pokok tu, walaupun bersih...jujurnya rasa macam tak sanggup nak telan. Di tambah pula dengan serbuk oreo yang kelihatan seakan-akan tanah sebenar. 

Oleh kerana anak gadis saya teruja sangat nak buat aiskrim dalam pasu, saya gunakan mangkuk tembikar yang seakan-akan cawan. Biasalah anak-anak ni bila benda baru menjadi 'trend' memang mereka tak nak ketinggalan. Cuma daun pudina tak ada jadi saya gantikan dengan bunga plastik. Itupun letak di hujung 'straw' minuman sahaja sebagai hiasan. 

AISKRIM PASU
Bahan-bahan

Beberapa biji pasu kecil - saya guna mangkuk tembikar 
Aiskrim secukupnya - perisa ikut citarasa sendiri
kek cawan atau kek span biasa yang di potong mengikut saiz dasar pasu
1 bungkus kecil biskut oreo - di buang inti dan hancurkan
straw minuman secukupnya
Daun pudina - boleh gantikan dengan bunga plastik (steril terlebih dahulu)

Cara membuat:

1. Masukkan kek cawan kedalam pasu dan tekan ke dasarnya.
 2. Cucuk straw di tengah-tengah kek sebagai tempat untuk meletak bunga nanti.
 3. Sudukan aiskrim perisa kegemaran keatas kek.
 4. Taburkan pula serbuk oreo ke atas aiskrim dan ratakan.
 5. Seterusnya letakkan daun pudina atau bunga (saya gunakan bunga plastik) ke dalam lubang straw dan hidangkan.

Assalamualaikum,

Salam pagi jumaat yang penuh dengan keberkatan. Pagi ini saya ingin berkongsi resepi mee goreng tomyam dan bagi yang ingin mempelbagaikan resepi mee bolehlah cuba resepi di bawah ini.

Bagi yang tak tahan pedas pula jangan letak cili padi di dalam bahan kisar kerana di dalam pes tomyam sudah seimbang rasa pedasnya. Tetapi bagi saya lagi pedas lagi 'terangkat' sebab saya memang penggemar makanan yang pedas-pedas.

Bagi yang nak cuba resepi ni jom kita tengok bahan-bahannya.
MEE GORENG TOMYAM SEDAP
Bahan-bahan
400gm mee kuning 
1/2 batang lobak merah - di potong seperti mancis
Sawi
100gm udang - di kopek kulitnya
10 biji 'fish ball'
2 keping 'fish cake'
1 sudu besar pes tomyam
1 sudu besar kicap sotong/ikan 
2 sudu besar minyak untuk menumis
1/2 cawan air
1/2 sudu teh kicap pekat

Bahan Kisar
1 labu bawang besar 
2cm lengkuas
1 biji tomato masak 
1 batang serai
2 tangkai cili padi

Cara memasak :

1. Tumis bahan kisar hingga wangi dan garing.

2. Masukkan udang, fish cake dan fish ball sambil di kacau.

3. Masukkan pula pes tomyam dan air sambil di kacau hingga sebati.

4. Seterusnya masukkan kicap sotong/kicap ikan.

5. Masukkan pula mee kuning sambil di kacau hingga sebati dan mee bersalut dengan bahan tumis. Masukkan juga kicap pekat.

6. Akhir sekali masukkan sawi dan lobak merah dan kacau lagi hingga sayur layu dan mee masak.
Assalamualaikum,

Salam pagi isnin untuk semua. Ini entry blog saya yang pertama untuk tahun 2015. Sebenarnya masaknya dah lama juga tapi saya tangguhkan segala entri blog untuk menghormati saudara-saudara kita di pantai timur yang di timpa ujian banjir besar baru-baru ini. Kesan banjir masih dapat di lihat dan begitu dasyat sekali. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. 

Baiklah, berbalik pada resepi ringkas hari ini. Bihun sardin ni saya masak sebagai sarapan pagi ketika kehabisan stok udang dan isi ayam di dalam peti sejuk. Komen anak-anak adalah, sangat sedap dan minta di buatkan lagi. Kadang-kadang menu yang ringkas beginilah yang anak-anak suka. 

Bagi yang ingin mencuba jom kita lihat resepinya. 

BIHUN GORENG SARDIN - Menu sarapan ringkas
300gm bihun - di rendam hingga lembut - toskan
1 tin sardin - saiz sederhana (di ambil isinya sahaja)
3 ulas bawang putih - di hiris 
3 tangkai cilipadi - di hiris
5 ketul cendawan shitake - di rendam dan hiris
1/2 batang lobak merah - di mayang 
Kobis & sawi secukupnya - di potong 
Bahan B (Di pukul dan jadikan telur dadar nipis)
1 biji telur 
1/2 sudu teh kicap cair 


Bahan C
Sos sardin yang di asingkan
1/2 cawan air 
2 sudu besar kicap cair 
1 sudu teh serbuk lada sulah 
1 kiub ayam

Cara memasaknya :

1. Panaskan minyak, tumis bawang putih dan cili padi sehingga wangi.

2. Masukkan isi sardin yang telah di lenyek kasar dan kacau lagi. Masak hingga agak garing.
3. Seterusnya masukkan air, kacau agar sardin dan bihun bercampur.

4. Masukkan sos sardin sambil  di kacau lagi hingga bihun menjadi lembut.
5. Masukkan pula kicap cair dan kiub ayam dan sayuran.

6. Seterusnya masukkan lada sulah, kacau sebentar dan matikan api dapur. Hidangkan dengan telur dadar yang di gulung.
Assalamualaikum,


Pertama sekali, sama-samalah kita doakan agar banjir di negeri-negeri pantai timur reda dan mangsa yang di pindahkan mendapat bekalan makanan, pakaian dan ubatan yang secukupnya. Sedih bila tengok gambar banjir yang di kongsikan oleh teman-teman FB, apalagi mendengar berita ada mangsa yang terkorban. 

Tempias hujan lebat dan cuaca yang tidak menentu juga melanda di negeri-negeri lain. Sama-samalah kita berdoa agar keadaan segera pulih dan kembali seperti sediakala, apatah lagi menjelang tahun baru 2015 dan anak-anak akan kembali ke sekolah. 

Baiklah, sebenarnya serbasalah untuk berkongsi resepi di saat ada yang sedang berduka dengan musibah dan ujian. Tetapi, sebagai blogger masakan...ini adalah perkongsian ilmu yang saya harap bermanafaat bagi yang ingin mencuba dan bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk. 

LEMPENG CENDAWAN

Bahan-bahan
1 cawan tepung gandum
1 cawan susu segar 
1/4 sudu teh garam 
3 tangkai daun bawang - di hiris
5 tangkai cendawan tiram - di hiris nipis
1 biji telur 
1 sudu teh baking powder
Cara Membuatnya:

1. Ayak tepung gandum bersama baking powder ke dalam mangkuk besar. Masukkan garam, daun bawang dan cendawan tiram.

2. Di dalam bekas lain, pukul telur dengan garfu dan tuang ke dalam bekas tepung tadi.

3. Masukkan juga susu segar sambil di kacau.
4. Kacau hingga sebati dan biarkan seketika dalam 5 minit agar adunan bercampur.
5. Seterusnya tuang sedikit adunan menggunakan senduk kecil ke dalam kuali anti lekat. Lenggang adunan tersebut hingga rata dan bakar menggunakan api sederhana.
6. Bila lempeng sudah masak, bolehlah di hidangkan dengan kari mengikut citarasa anda. 

Assalamualaikum,


Alhamdulillah. Itu sahaja yang dapat di lafazkan setelah impian pada tahun 2014 ini tercapai seperti yang di harapkan. Sukar di percayai apabila saya di pelawa oleh editor resepi Karangkraf untuk menghasilkan buku resepi sendiri dan di ikuti oleh penolong penerbit rancangan Feminin TV 1 RTM yang sudi menjemput saya menjadi  tetamu untuk slot masakan iaitu segmen baru yang akan di perkenalkan dalam rancangan itu, mulai Januari 2015. 

Bagi saya yang baru dua tahun menjadi blogger masakan, pencapaian ini amat besar sekali dan menjadi pendorong untuk lebih produktif lagi di masa akan datang.

Penggambaran dengan Karangkraf berjalan lancar mulai 15hb hingga 19hb Disember 2014 iaitu memasak 38 jenis lauk pauk, langkah demi langkah dan InshaAllah jika tiada aral, buku masakan saya yang pertama ini akan di terbitkan pada bulan Februari 2015.



Penggambaran dengan RTM pula berlangsung pada 22hb Disember 2014, iaitu menyediakan 6 jenis menu ringkas untuk segmen memasak di dalam Rancangan Feminin. Slot itu akan keudara setiap hari Khamis mulai Januari 2015 dan ini bermakna saya akan muncul selama 6 minggu. Saya juga suka dengan Konsep slot masakan yang akan di perkenalkan dalam rancangan ini iaitu lebih mudah di fahami dan tidak berceloteh. 




Alhamdulillah, itulah rezeki penutup 2014. Saya amat bersyukur di beri peluang oleh pihak yang melihat potensi dalam diri saya. Ini satu kepuasan di atas segala usaha selama ini. 

Terimakasih yang tidak terhingga kepada cik Siti Mahfuzah dari Karangkraf dan puan Samirah Isa dari RTM di atas tawaran dan seronok bekerja dengan keduanya yang sangat 'sporting' :)



Semoga 2015 yang akan datang memberi lebih banyak kejayaan dan peluang serta segalanya berjalan lancar sesuai dengan harapan dan impian selama ini. Amiinn ya Rab :)