Assalamualaikum,

Hari ini tidak ada perkongsian resepi, tetapi saya ingin berkongsi dengan blogger-blogger baru terutamanya dalam bidang masakan, bagaimana menarik pengunjung untuk singgah di blog anda. Jika anda membuat carian di google, semestinya telah berjumpa banyak perkongsian untuk meningkatkan SEO blog dan tips-tips yang berguna untuk tujuan tersebut dari blogger yang lebih arif. 

Jujurnya kemahiran ini bukan bidang saya, dan ketika saya mula-mula menulis dan berkongsi resepi di blog ini iaitu kira-kira 1 tahun 5 bulan yang lalu, trafik saya biasa-biasa sahaja, dan setelah saya mula mendaftar dengan kongsi resepi.com dan berkongsi resepi dan tips masakan, trafik saya telah meningkat naik dari hari ke sehari.


Dengan beberapa langkah mudah blogger masakan boleh menjadi sebahagian daripada KongsiResepi.com dan menaikkan trafik blog/web anda, membina backlinks dan berhubung dengan blogger-blogger masakan yang lain.

     TRAFIK PENGUNJUNG DARI KONGSI RESEPI KE BLOG SAYA 

Konsep kongsiResepi yang bagi saya sangat bagus sekali iaitu anda menyertainya secara percuma tanpa sebarang kewajipan. Dengan hanya beberapa langkah mudah anda boleh mendapatkan widget dan membuat link ke dalam blog/web anda sendiri, dan dalam tempoh tersebut jika anda tidak berpuashati atau ragu-ragu, anda bebas menamatkan penyertaan tanpa sebarang syarat.

Ternyata KongsiResepi adalah web yang menawarkan revolusi pengiklanan yang percuma, bebas dan mudah di aplikasi untuk blogger masakan terutama sekali yang masih baru di bidang ini.

Bagi blogger masakan yang ingin mencuba, jangan malu dan jangan segan. Bolehlah mendaftar di SINI.
Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca blog yang sudi singgah di sini. Hari ini saya ingin berkongsi resepi kuih talam cendol yang saya buat malam tadi dan seperti biasa resepi kuih talam ini selalunya saya merujuk dari blog yatie, sebab memang menjadi dan secukup rasa. 

Baiklah bagi yang ingin melihat resepi dan kongsikan di sini sekali lagi... :)
KUIH TALAM CENDOL

Lapisan bawah
Bahan A
200 gm tepung beras*
250 ml santan pekat*
450 ml air*
1 s/b tepung jagung*
150 gm gula caster
1 s/k garam

Bahan B
200 gm cendol @ 1 paket kecil-tapiskan,ambil cendolnya sahaja.
Cara-Caranya:-

1. Satukan bahan bertanda (*) dan tapis kedalam periuk. Masukkan bahan lain dibahagian A.

2. Masak bahan A sehingga naik wap (jangan sampai pekat sangat, sekejap sahaja atas api, guna senduk kayu untuk mengacau. kacau sentiasa dan bila terdapat ketulan tepung disenduk kayu, tutup api dan guna hand whisk untuk ratakan adunan tersebut)
Angkat dan masukkan cendol. Gaul rata
3. Masukkan kedalam loyang 10 x 10 x 2 yang telah disapu dengan sedikit minyak dan dialas dengan plastik.Kukus selama 25 minit.Selepas masak, cakar-cakar dengan garpu

Lapisan Atas
Bahan A
300 gm gula merah
50 gm gula castor
500 ml air
2 helai daun pandan-saya tambah

Bahan B
150 gm tepung gandum
1 s/b tpng jagung-saya tambah
3 biji telur
250 ml santan pekat
1/2 s/k garam

Cara-caranya:-

1. Masak bahan A sehingga gula hancur dan sejukkan sebentar
Satukan semua bahan B dan kacau sehingga sebati.
2. Masukkan bahan A kedalam B dan tapis dan masukkan kedalam periuk
Masak sehingga naik wap (jangan pekat sangat, masak sekejap sahaja)

3. Tuang keatas lapisan bawah dan kukus selama 30 minit.
Assalamualaikum,

Pernah minum jus avocado? Kalau di Indonesia memang jus ini banyak di jual dan mudah di dapati, tetapi di Malaysia boleh di katakan sukar juga. Jika di Langkawi sebiji buah avocado yang kecil itu sahaja saya beli dengan harga RM 5.00. 

Sebenarnya rasa buah avocado ini setelah di buat jus sangat enak dan segar sekali. Apalagi jika di hidangkan dengan coklat coklat cair seperti coklat hershey..Hmm sedap, tapi yang paling penting khasiatnya sangat banyak untuk kesihatan. 

Kadang-kadang bila kita jumpa buah ini di supermarket, tak tahu bagaimana cara untuk memilihnya kerana ia agak asing bagi surirumah di Malaysia ni. Saya kongsikan di sini tips untuk memilih buah avocado yang baik dan semoga  bermanafaat :)

1. Jika teringin membeli avokado, pastikan anda memilih buah yang kulitnya berwarna gelap kerana ia sudah boleh dimakan. 

2. Pilih avokado yang disusun di bahagian paling hadapan. 

3. Jangan cucuk atau picit avokado menggunakan hujung jari, sebaliknya jika anda ingin mengetahui isinya sudah lembut, anda boleh mengepal avokado dengan tapak tangan. 

4. Avocado enak dijadikan jus, salad atau dimakan dengan manisan. 

5. Isi avokado juga boleh dijadikan sos atau bahan pemekat dalam kuah. 


JUS AVOCADO 
Bahan-bahan 
1 biji buah avocado yang masak 
1 cawan susu segar
4 sudu besar susu pekat
Sedikit coklat cair (Hershey's)
Ais Kiub secukupnya

Cara-cara

1. Keluarkan isi buah avocado yang telah masak ranum dengan sudu dan masukkan ke dalam blender.

2. Masukkan susu segar,susu pekat dan ais kiub. Kisarlah hingga halus. (Semakin lama, jus akan menjadi bertambah pekat). Tambah air jika jus terlalu pekat

3. Tuangkan jus dan hiaskan dengan coklat cair di atas (tambah rasa). Sedia untuk dihidangkan.

Assalamualaikum,

Sarapan apa agaknya pagi ini ye? Dah lama rasanya saya tidak berkesempatan memasak sarapan untuk keluarga. Dah lama juga rasanya tidak bersosial dengan teman-teman maya di FB kerana kekangan masa dan sibuk sejak kebelakangan ini. Sibuk dengan tugas di pejabat, di rumah dan di tambah pula dengan tanggungjawab baru iaitu sebagai pelajar setelah menyambung pelajaran jarak jauh di Open University (OUM) bermula awal bulan ini. Menuntut ilmu itu tak kira usia dan saya lakukan kerana minat :) 

Ribuan terima kasih kepada pembaca blog yang masih tetap sudi masuk ke sini, walaupun resepi-resepi yang di kongsikan ringkas sahaja sejak kebelakangan ini. Itu sahaja yang saya mampu kongsikan di dalam kesibukan dan harap pembaca menyukainya.

Baiklah, untuk hari ini saya sempat menyiapkan bingka atau kuih bakar keledek untuk sarapan pagi. Dah lama tak makan bingka yang sedap dan lemak ini dan hari ni puas makan. Resepinya saya ambil dari dapur teman blogger yang pakar dalam segala macam kuih talam iaitu yatiememories

Terima kasih yatie, izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini resepinya ya :). Oh ya, saya juga tertarik dengan idea linapg yang asingkan sedikit keledek yang di potong kiub dan nampak coraknya menarik jadi saya cuba idea dia di sini. 
KUIH BAKAR @ BINGKA KELEDEK
Bahan-bahan
4 biji telur
3 cawan santan
2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanilla
2 sudu besar butter
2 cawan keledek (rebus dan lecek) - saya asingkan 1/2 cawan keledek yang di potong kiub.
CARA-CARA

1. Panaskan oven pada suhu 200C, lenser loyang dengan mentega, (kalau nak kuih kelihatan tinggi, boleh guna loyang (7 x7 x 3) inci. Ketepikan.

2. Satukan bahan-bahan diatas kecuali keledek lecek, dalam satu bekas, kacau dengan whisk hingga semua bersatu. Tapis adunan tadi dan masukkan keledek lecek, kacau hingga rata. Masukkan juga keledek yang di asingkan tadi (di potong kiub) - sekadar untuk corak kuih bakar yang lebih menarik.
3. Tuang dalam loyang yang telah disiapkan tadi. Bakar selama 1 jam atau hingga masak. Kalau nak permukaannya berkerak, tambah masa pembakaran.
4. Keluarkan dari oven setelah kuih masak. Biar sejuk sebelum dikeluarkan dari loyang.
Assalamualaikum, 


Antara variasi jus yang enak di nikmati di musim panas adalah Jus Buah Naga. Di samping menghilangkan dahaga, khasiatnya juga sangat banyak di dalam kesihatan tubuh dan menurut info yang saya ambil dari carian di google, antaranya adalah...
  • Dapat meningkatkan daya ketahanan tubuh
  • Mengurangkan metabolisme badan.
  • Membantu sistem penghadaman dan peredaran darah.
  • Mengurangkan tekanan emosi.
  • Meneutralkan toksik dalam darah.
  • Mencegah kanser usus. 
  • Mencegah kandungan kolesterol tinggi.
  • Menurunkan kadar lemak.
Setelah berkongsi kebaikan yang terdapat di dalam buah ini, apa kata kita melihat resepi yang mudah menggunakan buah ini.

Sebelum itu sama-samalah kita berdoa agar misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dapat di rungkai dengan segera dan keluarga penumpang lebih tabah menghadapi ujian ini. Semua rakyat Malaysia ikut bersedih dengan insiden yang tidak di sangka ini.
JUS BUAH NAGA 
1 biji buah naga (yang isinya merah) 
1 tin air Aiskrim Soda   
Susu Pekat - 5-6 sudu 
Ais kiub secukupnya
Air sejuk (dari peti ais secukupnya) - Jika jus terlalu pekat
Cara membuatnya:

1. Kupas buah naga dan potong kiub.

2. Masukkan kedalam blender dan kisar bersama ais aiskrim soda, susu pekat dan ais kiub hingga hancur.
3. Tuang ke dalam gelas dan suaikan rasa. Jika jus tersebut terlalu pekat bolehlah di tambah sedikit air. Masukkan juga ais kiub ketika menghidangkannya untuk rasa yang lebih hebat.

Assalamualaikum,

Cuaca panas nampaknya masih berlarutan di Malaysia dan ini membuatkan tubuh kekurangan air dan memerlukan minuman yang menyegarkan setelah sibuk dengan aktiviti harian.

Salah satu minuman kegemaran saya jika berkunjung ke restoran mamak adalah mango lassi. Rasa Segar sangat dapat menyedut minuman yang satu ini. Selalunya saya singgah ke situ untuk menghilangkan dahaga setelah selesai dari jogging selepas waktu kerja. Itupun kalau boleh di panggil jogginglah...lebih tepat lagi cuma berjalan kaki selama satu jam. Selain dari minum mango lassi ni, kadang-kadang terbabas juga dengan roti canai atau nasi lemak di restoran mamak tu...habis tu macamana nak kurus? Sia-sia je berjalan kaki tadi. Takpe...takpe...esok masih ada. Selalunya macam tulah saya nak 'cover' dari rasa bersalah, setelah dua keping roti canai selamat masuk ke perut.

Baiklah, sesuai dengan cuaca panas yang menyengat sekarang ni, saya ingin berkongsi resepi minuman mango lassi yang sangat mudah...bagi yang ingin mencubanya. Sangat segar di nikmati dan sihat juga kerana di campurkan dengan yogurt. Jom kita lihat resepinya... :)
MANGO LASSI
1 biji buah mangga masak - di kupas dan potong kiub
1 cawan yogurt (saya guna perisa mangga)
1/2 cawan susu cair 
4 sudu besar gula 
ais kiub secukupnya - dalam 1 cawan

Cara membuatnya:

1. Kupas buah mangga dan potong kiub.

2. Masukkan isi buah mangga tadi, yogurt, susu, gula dan ais kiub ke dalam blender. 
3. Kisar hingga halus iaitu dalam 2 minit.

4. Tuang ke dalam gelas, dan bolehlah di hidangkan. Boleh juga di tambah sedikit ais kiub jika lassi tersebut agak pekat.

Memang sedap dan segar...cubalah. 

Assalamualaikum, 

Agar-agar santan sirap rose paling ringkas tetapi kalau tak kena teknik membuatnya ia tidak akan menjadi dua lapisan. Ini yang sering berlaku terutama sekali bagi yang masih dalam proses belajar memasak seperti anak gadis saya tu. 

Ada teknik sebenarnya nak menghasilkan dua lapis agar-agar ini, dan tips yang di kongsikan oleh Naz dari ovenkecil.blogspot sangat berguna. Terima kasih Naz, dan izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini untuk rujukan kepada yang belum tahu dan ingin mencuba.

AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROSE
Sumber : Naz @ovenkecil.blogspot.com

Bahan-bahan :
1 paket serbuk agar-agar 10 gm atau 11 gm
1 liter air (4 cawan)
200 gm gula pasir (lebih kurang 1 cawan)
200-250 ml santan pekat (1 cawan) - (Naz guna santan kotak jer & boleh kurang kuantiti kalau nak dapatkan lapisan santan/atas yang nipis sedikit)
1 biji telur ayam - masukkan dalam santan dan kocak sikit dengan garfu
Secubit garam
2 helai daun pandan - dibasuh dan disimpulkan
1-2 sudu besar sirap rose ATAU beberapa titis pewarna pink dan perisa rose

Cara-cara:

1. Masak 1 liter air bersama gula dan serbuk agar-agar hingga gula larut.
2. Kecilkan api dan masukkan campuran santan bersama telur, garam dan sirap rose. 
3.Masukkan juga simpulan daun pandan.
Kacau dan tunggu hingga menggelegak atas api sederhana. 
PENTING!! Bila menggelegak, biar seketika lebih kurang 1-2 minit atau boleh kuatkan api dapur dan biar adunan mengelegak kuat sambil dikacau-kacau. Kacau ni untuk mengelakkan adunan membuak dan melimpah dari periuk.  Apabila telah kelihatan adunan santan jadi berbintil-bintil, bolehlah di matikan api dapur.
Basahkan loyang atau apa-apa acuan kegemaran dengan air. Kemudian tuang adunan agar-agar santan dan biarkan mengeras. Boleh simpan di dalam peti ais untuk mendapatkan agar-agar yang sejuk.

TIPS DAN NOTA DARI NAZ 
Untuk mendapatkan dua lapisan agar-agar, tipsnya ialah selepas memasukkan santan ke dalam periuk, biar adunan menggelegak lama sikit dalam 1 minit atau lebih. Ataupun, selepas masukkan santan, bila adunan mula mengelegak, kuatkan api dapur hingga adunan mengelegak kuat. Tapi kena hati-hati jangan sampai adunan membuak dan melimpah keluar dari periuk. Kacau-kacau adunan dalam 1 minit. Insyallah..'confirm' anda akan mendapat hasil agar-agar yang mempunyai 2 lapisan selepas keras nanti.