Assalamualaikum, 


Salam jumaat, penghulu segala hari. Semoga Jumaat Ini menjadikan kita Seorang Hamba Allah yang Lebih Bertaqwa, lebih Menyantuni, berjaya serta cemerlang, dunia dan akhirat.

Nak cerita pasal 'dinner' semalam. Saya ada mencuba resepi ayam bakar black pepper dan ternyata sedap sangat.Sayangnya saya cuma buat sebelah sahaja ayam kerana hanya itu yang ada dalam peti sejuk. InsyaAllah hari minggu nanti nak buat lagi, sebab tak puas makan. Terima kasih kepada mamasya untuk resepi yang lazat itu dan izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini :)

Ayam Bakar Blackpepper
Sumber: Dapurmamasya

Bahan-bahan
1 ekor ayam - potong 4/ 4 chicken leg- ayam jangan potong kecil
5 ulas bawang putih- tumbuk
1 inci halia - tumbuk
1 sudu besar lada hitam - tumbuk
1 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos tiram
1 1/2 sudu besar madu
1 sudu besar gula
1 1/2 sudu besar garam atau secukup rasa
butter / minyak zaiton
Cara memasak:

1.Campurkan semua bahan dengan bahan yang ditumbuk dalam satu bekas, kacau rata.(Saya lumur ayam dahulu dengan bahan yang di tumbuk di ikuti oleh sos perapan. Pastikan semua bahagian ayam terkena bahan-bahan tersebut)
2.Perapkan ayam lebih kurang 2 jam.

3.Bakar ayam selama 1-1 jam 20 min atau hingga masak dlm oven 200'C api atas bawah (bergantung kepada oven masing-masing). 

4. Bila ayam separuh masak, sapu dengan butter/minyak zaitun.
5.Bakar lagi hingga masak dan balikkan ayam semasa proses tersebut.

Tips masak ayam bakar dari Dapurmamasya 
1. Jangan potong ayam kecil-kecil sebab ayam nanti agak kering dan tak lembut, seeloknya seekor ayam potong empat atau guna chicken leg.Nak hidang barulah dipotong

2. Untuk bagi ayam cantik berkilat, sapukan butter atau minyak zaiton semasa membakar.

3. Perap ayam sekurang-kurangnya 1-2 jam atau nak lagi sedap semalaman.

4.Sekiranya rempah perapan ayam ada lebih, sapukan kepada ayam semasa membakar.

5.Kalau bahagian isi ayam dah tertanggal dari kulit, itu maknanya ayam dah sangat masak. Seelok-eloknya jangan sampai isi ayam tertanggal dari tulang.

6. Bila ayam dah masak, keluarkan segera dari oven untuk mengelakkan ayam kering

Assalamualaikum,

Pernah makan atau dengar buah timun betik? Saya berani cakap, mesti ramai yang tidak mengetahui kewujudan buah yang satu ini terutama sekali generasi baru. Jangan kata orang lain...anak-anak saya sendiri pun tidak mengenalinya. Buah ini jarang-jarang jumpa di jual dan saya juga dah lupa bila kali terakhir saya menjamahnya.

Untungnya hari minggu lalu saya lihat ada peniaga di pasar basah menjual dua bakul besar buah ini. Terus saya membelinya untuk tunjuk kepada anak-anak dan memperkenalkan rasa buah yang dijadikan 'dessert' oleh nenek mereka dahulu. Kegemaran saya ketika kecil dulu ni.

Buah yang wangi dan lembut ini ibu hidangkan bersama santan yang di masak dengan sedikit garam dan di curahkan pula dengan air gula merah...masukkan juga sedikit ais, hmmm...memang 'layanlah' terutama sekali waktu cuaca panas atau ketika berbuka puasa.Hanya orang yang pernah merasainya tahu bagaimana rasa buah ini. Cuma, tak banyak menu yang boleh di pelbagaikan  dengan buah timun betik dan selalunya di hidangkan dengan air gula merah dan santan seperti cendol sahaja.
Gambar di bawah ni saya ambil di pasar ketika hari pertama membeli buah ini. Ketika itu buahnya masih keras dan bewarna hijau gelap. 
Bila saya bawa balik ke rumah dan simpan selama dua hari....buahnya 
bertukar menjadi merekah, gebu dan mengeluarkan bau yang harum. Itu 
tandanya ia sudah masak ranum sepenuhnya.
Hmmm...bila dah ranum begini, saya pun potong dan hidangkan dengan santan dan gula merah. Kat bawah ni ada resepi ringkas pada sesiapa yang ingin mencuba. 
TIMUN BETIK BERSANTAN 
Bahan-bahan 
Sebiji timun betik yang ranum 
200gm gula merah / boleh juga gunakan gula pasir
3 cawan air 
500ml santan 
secubit garam 
ais kiub secukupnya 

Cara menyediakannya:

1.Kupas dan buang kulit luar timun betik. Potong kiub kecil-kecil dan ketepikan seketika.

2. Sementara itu masak gula merah dengan 3 cawan air hingga hancur dan tapiskan. Jumlah gula ini boleh di ubah suai mengikut selera. Biarkan air gula sejuk sebentar sebelum di hidangkan.

3. Masak juga santan dengan secubit garam, sebentar sahaja. Ada sesetengah orang tidak masak santan ini tetapi perahkan kelapa parut dengan air panas. Bagi saya lebih suka masak sebentar.

4. Bila semua sudah siap, bolehlah hidangkan timun betik ini dengan menuang  santan, air gula merah dan ais kiub. Hmm...sedap di nikmati dalam cuaca panas. 

Assalamualaikum,


Hari ni saya ingin berkongsi resepi yang lazat walaupun sekadar nasi goreng. Nasi goreng udang ini enak dan rasanya seperti kita menikmati hidangan di restoran terkenal juga tau. Wah...macam tu sekali ya :D. Ini adalah kerana proses menggorengnya agak lain sedikit dari biasa dan udang itu di perap serta di goreng berasingan menjadikan isinya lembut dan terasa enak sekali.

Jom lihat cara membuatnya...boleh cuba sendiri di rumah hidangan yang sedap ni.
NASI GORENG UDANG - Terangkat
Bahan A
100gm udang - di buang kulit, belah dan buang kotoran di belakangnya
1/4 sudu teh garam 
sedikit serbuk lada hitam 
1/2 sudu teh tepung jagung
Bahan B
3 biji telur - dipukul dalam mangkuk kecil
Bahan C
2 batang daun bawang - dicincang
2 ulas bawang putih - di cincang
4 cawan nasi sejuk 
3/4 cawan lobak merah - di potong dadu
1 sudu besar kicap cair - boleh gantikan dengan sos sotong/ikan Thai 
1 sudu besar sos tiram
1 sudu teh minyak bijan
Cara Memasak:

1. Di dalam mangkuk masukkan semua bahan A dan perap selama lebih kurang 10minit.

2. Panaskan kuali masukkan sedikit minyak masak dan atur udang tadi, tapi jangan sampai bertindih. Biarkan sebentar (dalam 30saat) dan alihkan, biar sebelah lagi dalam 30saat, tetapi jangan di kacau. Angkat udang tersebut dan ketepikan seketika.
3. Di dalam kuali tadi juga masukkan telur dan buat telur dadar nipis. Lipat dan potong-potong dengan sudip dan angkat. Ketepikan seketika.
4. Masukkan sedikit minyak lagi ke dalam kuali dan tumis bawang putih serta daun bawang hingga wangi. Masukkan juga lobak merah yang di potong dadu.
5. Masukkan nasi sejuk dan goreng lagi dengan api yang besar dan di kacau dengan cepat. Masukkan juga sos tiram, kicap cair, minyak bijan, telur hancur dan udang tadi. Kacau sebentar dan rasa nasi tersebut. Jika kurang masin boleh tambahkan dengan sedikit kicap cair.
6. Apabila sudah masak bolehlah di hidangkan. Nasi ini lebih enak di hidangkan dengan cili potong campur kicap atau sambal belacan.

Assalamualaikum, 

Resepi ringkas memang membuka selera dan memudahkah kerja memasak. Yang penting kreativiti dan cara penyediaan menarik minat anak-anak untuk menjamahnya. 

Hari ini saya ingin berkongsi satu lagi koleksi resepi ringkas bagi sesiapa yang ingin mencuba...jom lihat :)
SOTONG GORENG KENTANG
Sumber : Dapurmamasya

Bahan-bahan:
5 ekor sotong (di potong bulat bulat)
3 biji kentang ( dipotong dadu)
Sedikit serbuk kunyit
1 biji bawang besar (dimayang halus)
1 inci halia (dimayang halus)
3 biji bawang putih (dimayang halus)
3 biji cili padi (dipotong kecil-kecil)- ganti cili besar
4 sudu besar sos tiram
1 1/2 sudu besar kicap cair
4 sudu besar air masak
Sedikit garam
Sedikit lada hitam (yang telah dikisar)

cara:
1. Gaulkan sotong dan kentang bersama kunyit dan sedikit garam di dalam bekas yang berasingan.
2.Panaskan kuali gorengkan kentang dulu sehingga kekuningan,
angkat kemudian masukkan sotong, goreng selama 2-3 minit masukkan bawang putih, cili padi dan halia.
3. Kacau sehingga sebati masukkan sos tiram, kicap cair dan air. Kacau lagi.
Akhir sekali letak bawang besar secubit garam (jika perlu) dan lada hitam
Angkat dan siap untuk di hidangkan.
Tips : Nak buat sotong bunga-bunga macam ni sotong di potong bulat macam biasa tetapi tebal sedikit. Ambil gunting, gunting di hujung sekeliling bahagian bulat tapi jangan sampai putus, cukup 3/4 bahagian sahaja. Bila di masak/goreng sotong akan kembang  dan jadi berbunga dan memikat selera keluarga.
Assalamualaikum,

Resepi nasi ayam ini ringkas dan sentiasa menjadi pilihan saya sejak dulu. Proses membuatnya tidaklah renyah dan bahan yang di gunakan juga tak banyak. Yang penting semua anak-anak suka. 

Saya lebih suka membakar ayam ini dengan ketuhar dari menggorengnya kerana bagi saya cara ini lebih menyihatkan dan kurang berminyak. Terpulang bagaimana cara kita menyediakan ayam ini, ianya tetap saja enak. 

Resepi ini tidak di sertakan dengan sos kicap, tetapi nampaknya anak-anak saya lebih suka gandingkan dengan kicap manis kipas udang kegemaran mereka. Sedap... 
NASI AYAM 
Sumber : Chef Hanieliza

Bahan-bahan
1 ekor ayam [potong 4] - saya potong dua
4 tin susu beras AAA - saya gunakan beras biasa
5 ulas bawang putih [ketuk]
2 inci halia[ketuk]
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 sudu besar kicap cair (saya lebihkan sedikit)
2 helai daun pandan [simpulkan]
garam secukupnya

Sayuran 
Daun salad
timun
tomato
daun sup & daun bawang [racik]
bawang goreng

Sos Cili 
10 biji cili merah
2 ulas bawang putih
2 sudu besar cuka atau jus limau nipis
gula & garam secukupnya

Cara membuat:

1. Rebuskan ayam, halia, bawang putih, garam, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.
2. Bila sudah mendidih angkat dan toskan ayam.

3. Lumurkan kicap cair pada ayam (saya cucuk-cucuk sedikit ayam dengan garfu)dan gorengkan dalam minyak yang banyak sehingga masak. Saya bakar dalam ketuhar.
Ayam Sebelum di Bakar 

4. Ambil 5 tin susu air rebusan ayam dan masukkan dalam rice-cooker.Masukkan beras dan daun pandan. Masakkan beras seperti masak nasi biasa.
5. Sup : Air rebusan yg lebih tadi masukkan garam & carrot dan biarkan mendidih. [Sekiranya nampak sikit bolehlah tambahkan air supaya dapat seimbangkan dengan hidangan nasi.]
6. Sediakan bahan cilli sos dan kisar. Rasakan masin & masam dan manisnya.

7. Sayur dan ayam dipotong kecil.

8. Hidangkan dalam pinggan bersama nasi dan sup yg telah dimasukkan daun sup & bawang serta bawang goreng.

Tips 
Ayam boleh juga dibakar pada suhu 180’C selama 30 minit.

Assalamualaikum,


Resepi brownies yang satu ini memang sedap dan bahan yang di gunakan pun tak banyak. Mula-mula memang ragu juga nak cuba resepi ni kerana tidak menggunakan sebarang serbuk penaik...bimbang jika tak menjadi. tapi ternyata setelah siap ia tetap menjadi dan sedap sekali. Keenakannya sukar di gambarkan. Kalau nak tahu memang kena cuba buat sendiri.

Bila anak-anak semua berkumpul di rumah waktu cuti macam ni memang seronok 'membaking' segala macam muffin, kek atau brownies kerana laris dan cepat saja habis. Sebagai seorang ibu, bila anak-anak menggemari apa yang kita hidangkan itu satu kepuasan yang sukar di gambarkan. :)

Baiklah resepi The Best Chocolate Brownies in The World ada saya sertakan di sini...memang 'best'. Cubalah ye ;)
The Best Chocolate Brownies in the world
Sumber : The Frugal Chef

Bahan A
4 biji telur 
2 cawan gula kastor
2 sudu teh esen vanilla
1 cawan mentega cair

Bahan B
1 1/4 cawan serbuk koko 
1/2 cawan tepung gandum 
1 teh garam halus 
Almond nib - saya tambah
walnut - saya tambah 
Cara membuatnya:

1. Gris loyang dengan mentega atau minyak dan taburkan dengan tepung. Ketepikan seketika.

2. Di dalam sebuah mangkuk, pukul empat biji telur hingga pucat, masukkan gula kastor dan pukul sebentar.
3. Masukkan pula esen vanilla dan mentega cair. Pukul sebentar sahaja.

4. Masukkan pula serbuk koko, tepung gandum dan garam halus. Putar sekadar semua bahan bercampur. 
5. Jika suka bolehlah di campur dengan almond nib & walnut dan kaup balik dengan adunan brownies tadi.
6. Tuang ke dalam loyang dan bakar pada suhu 180'c selama lebih kurang 45minit atau sehingga masak.
Tips : Jangan putar terlalu lama adunan ketika proses membuat brownies ini, cukup sekadar bahan bercampur.

Assalamualaikum,

Masih lagi dalam mood bercuti tahun baru cina ke 2 hari ini. Malas rasanya nak keluar kemana-mana untuk sarapan pagi cuti-cuti begini dan selepas subuh anak-anak pun tidur semula. Saya godek bahan-bahan di dapur dan semuanya lengkap untuk menghasilkan muffin kelapa. Bolehlah buat untuk sarapan sementara menunggu makan tengahari nanti.

Resepinya ringkas sahaja, bagi yang ingin mencuba jom kita lihat...
MUFFIN KELAPA

Bahan A
1 cawan kelapa kering tanpa gula 
2 cawan tepung gandum
1 sudu besar serbuk penaik 
5 sudu besar gula halus  
1 sudu teh garam halus 

Bahan B
1biji  telur - Gred A 
1 cawan susu segar 
½ cawan minyak masak/sayur 

Untuk topping 
2 sudu besar gula halus
2 sudu besar kelapa kering
2 sudu besar ceri - di cincang 
Cara membuatnya:

1. Dalam sebuah mangkuk, ayak semua bahan A, kecuali kelapa kering dan ketepikan seketika.
2. Di dalam bekas lain pula masukkan telur, pukul dengan garfu seketika dan masukkan susu segar dan minyak serta di kacau dengan hand whisk.
3. Seterusnya tuang bahan basah kedalam tepung yang di ayak tadi , kacau sekadar seketika sahaja dan masukkan pula kelapa kering sambil di kacau lagi sekadar adunan bercampur. Jangan terlebih kacau kerana muffin akan menjadi keras. 
4. Sudukan kedalam kertas muffin dan taburkan bahan toping tadi di atas adunan. Bakar di dalam ketuhar (suhu 180'c) selama 20minit atau hingga masak.