Assalamualaikum,

Resepi yang saya ingin kongsikan hari ini adalah bihun goreng sedap. Ini adalah resepi teman sepejabat yang sering menerima tempahan tiap kali ada acara atau majlis-majlis kecil yang lain. 

Sekali lihat bihun goreng semuanya sama sahaja kan. Bila di risik-risik rupanya bihun goreng yang saya klasifikasikan sebagai sedap ini terletak kepada sambalnya yang di masak terlebih dahulu sehingga pecah minyak dan di adun bersama bihun dan bahan-bahan yang lain ketika proses menggoreng.

Sambal ini selalunya di buat dalam kuantiti yang banyak dan di masukkan ke dalam bekas kedap udara, seterusnya di simpan ke dalam peti sejuk. Jika pulang dari pejabat mudah sahaja kerja memasak di mana cili tersebut boleh juga di gunakan untuk menggoreng nasi, mee, masak sambal tumis, asam pedas dan banyak lagi ikut citarasa dan kreativiti kita.

Jom kita lihat, bahan-bahan apa lagi yang di perlukan untuk bihun goreng ni.
SAMBAL / PES CILI 
(Masak dalam jumlah yang banyak & simpan untuk masak menu lain juga) 
40biji cili kering - di rebus dan tapis (agar bijinya keluar)
1/2 inci belacan 
2 labu bawang besar 
1 sudu besar minyak masak
1 keping asam gelugur
CARA MEMBUATNYA :

1. Kisar semua bahan-bahan kecuali asam gelugur. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar dan masak hingga pecah minyak. Masukkan juga asam gelugur ke dalam cili yang di masak agar pes tersebut tahan lama.
2. Pes cili ini boleh di simpan di dalam peti sejuk dan menjimatkan kerja memasak.

BAHAN UNTUK BIHUN GORENG SEDAP
400gm bihun (sepaket) - di rendam di dalam air biasa hingga lembut dan toskan
100gm udang basah (boleh juga gantikan dengan isi ayam jika suka)
100gm sotong 
50gm  sayur sawi - di potong 
50gm kobis - di racik
secekak taugeh 
1/2 cawan sos cili 
1 sudu besar sos tiram 
1 sudu besar kicap pekat 
garam & gula secukup rasa 
Ajinomoto (jika suka) - Boleh gantikan dengan kiub ikan bilis 
1/2 cawan air 
BAHAN SAMPINGAN (UNTUK DI TABURKAN ATAS BIHUN)
Telur - di buat dadar
Tahu - di goreng dan hiris nipis

DI TUMBUK 
3 ulas bawang putih 
2 ulas bawang merah 

CARA MEMASAK

1. Tumis bahan yang di tumbuk hingga wangi dan masukkan dua senduk kecil (dalam 1/2 cawan) pes cili yang di masak tadi sambil di kacau.

2. Masukkan pula kicap pekat, sos tiram, sos cili, udang dan sotong. Kacau hingga sebati dan masukkan pula sedikit garam, gula  dan kiub ikan bilis dan air. Masak hingga mendidih.
3. Seterusnya masukkan bihun di ikuti dengan sayur-sayuran dan kacau hingga bihun lembut serta sebati dengan bahan-bahan yang di tumis tadi.
4. Akhir sekali masukkan taugeh dan kacau sebentar. Jika bihun telah secukup rasa bolehlah matikan api dan hidangkan.

Assalamualaikum,

Sesetengah orang lebih suka mengukus kek daripada membakar dengan ketuhar dan selalunya kek yang di kukus itu teksturnya lebih lembab. 

Resepi kek Marble kukus ni di ambil dari blog yatie kerana tertarik dengan kombinasi warna hasil kreativiti tuan punya blog dan saya juga jadi ingin mencuba. Cuma warna kek ini sahaja yang berlainan sedikit kerana saya hanya gunakan stok warna yang ada di dapur rumah saya sahaja.

Bagi yang ingin mencuba, jomlah kita lihat resepinya... :)  

KEK KUKUS MARBLE 
Sumber : Yatie Memories 
Resepi asal : Chef Norzailina (kek kukus pelangi)
Bahan-Bahan (Loyang 7x7x3)

1 cawan mentega
¾ cawan gula kastor
3 biji telur
¼ cawan susu pekat
¼ cawan serikaya
1½ cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil vanila
Sedikit pewarna kegemaran (2 jenis)

Cara membuat

1. Pukul mentega dan gula hingga kembang. Masukkan telur satu persatu dan pukul sebati.
2. Masukkan susu pekat, serikaya dan vanila. Kacau rata dan bubuh tepung gandum bercampur baking powder.
3. Bila sebati, bahagikan kepada 3 bahagian dan letak pewarna/perisa setiap adunan (saya warnakan dua bahagian dan satu lagi biar pada warna biasa).
4. Sudukan selang seli ke dalam loyang yang sudah dilengser dengan marjerin dan alas dasarnya dengan kertas kalis minyak. Tutup dengan aluminium foil dan kukus selama 1 jam atau hingga masak.
* Untuk kek lebih lembut, tambah 2-3 sudu besar susu segar/cair. Jika bahagi ke dalam loyang-loyang kecil, masa mengukus lebih pendek.
Assalamualaikum,


Selalunya kalau beli nangka madu saya akan buat bubur, serawa atau makan begitu sahaja. Selain dari itu nangka juga boleh di buat puding yang lazat. Ada orang tak makan nangka kerana badan akan masuk angin. Rasanya kalau ambil dalam kuantiti yang sedikit tidak akan menimbulkan masalah. 

Semalam saya mencuba sedikit kelainan iaitu resepi kek nangka dari dapur Che Mat Gebu. Memang sedaplah kek nangka ini, lain dari yang lain. Bau nangka juga harum semerbak ketika kek di bakar.

Terima kasih kepada Che Mat kerana resepi yang sedap ini dan izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini :)
KEK NANGKA MADU
Sumber : Tiffin Biru 

125gm mentega 
120gm gula kastor
1 biji telur - gred A
125gm tepung berserbuk penaik (self raising flour)
1/4 sudu teh esen vanilla 
125ml susu segar 
Secubit garam 
3-4 ulas nangka madu - ambil isinya dan hiris kasar (Asingkan sedikit untuk di taburkan atas kek nanti - hiasan)
Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 175'c, lenser acuan loaf (saiz 6inci x 3 inci x 2.5inci) dengan mentega. Alas dasarnya dengan kertas dan lenser kertas tadi. Ketepikan seketika.

2. Putar mentega dengan gula kastor sehingga putih dan gula larut. Masukkan telur dan putar lagi sehingga kembang. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung berselang seli  dengan susu segar hingga habis, putar rata.
3. Masukkan esen vanilla dan nangka hiris, gaul rata. Tuang ke dalam tin tadi dan tabur di atasnya hirisan nangka yang di asingkan tadi. Bakar dalam 50-55minit atau sehingga kek masak. Biarkan kek sejuk sekejap dan boleh keluarkan dari tin. Sejuk sepenuhnya atas redai dan bolehlah di hidangkan. 
Tips dari Che Mat : Kalau nak potongan yang cantik, lepas kek sejuk, bungkus kek tadi dan simpan ke dalam peti sejuk selama 2-3jam, kemudian potong dengan pisau yang tajam. insyaAllah anda akan dapat potongan kek yang elok.

Assalamualaikum,

Perkongsian resepi hari ini, adalah sejenis sayur kampung yang menjadi kegemaran sesetengah orang terutama sekali sepanjang bulan ramadhan. Jika di Kedah, kebanyakan bazar ramadhan ada menjual sayur ini. Ada yang gemar menikmatinya dengan nasi ulam kedah dan ada juga suka mengandingkannya dengan ikan kering goreng sebagai pembuka selera. Terpulanglah kepada citarasa masing-masing.

Selalunya batang keladi saya beli di pasar malam atau pasar sudah siap di kupas kulit luarnya, jadi senang kerja memasak. Ada petua untuk menghilangkan rasa gatal pada batang keladi iaitu dengan merebusnya bersama beberapa keping asam gelugur dan garam. Selepas di toskan bolehlah di masak seperti biasa.

ASAM REBUS KELADI
Sumber : Chef Hanieliza

Bahan-Bahan
500 gm batang keladi dan ubi
2 sudu makan udang kering 
3 tangkai daun kesum 
5 keping asam gelugur
5 cawan air
Garam secukup rasa
Bahan B - di kisar 
5 ulas bawang merah  
1/2 inci belacan 
5 biji cili merah
Cara memasak:

1. Buangkan kulit batang keladi dan kulit ubinya. Basuh dan toskan.
2. Masukkan batang keladi dan garam ke dalam periuk dan rebus hingga masak dan lembut. Kemudian tuskan.

3. Masukkan pula bahan-bahan kisar, keladi dan bahan-bahan lain ke dalam periuk dan masak hingga mendidih.

4. Perasakan dengan garam dan bolehlah dihidangkan dengan nasi putih. Enak juga  di gandingkan dengan ikan kering goreng.

Assalamualaikum,

Sibuk benar sehari dua ni hingga tak sempat menjengah ke dapur dan ke blog kesayangan ini. Seperti juga ibu-ibu yang lain kesibukan saya adalah berkisar dengan urusan persekolahan anak-anak yang berbagai ragam.

Baiklah, hari ini saya ingin berkongsi resepi muffin yang menjadi sarapan pagi anak-anak sebelum berangkat ke sekolah. Paduan antara keju dan jus lemon dalam adunan muffin ni benar-benar memikat selera.

Jom kita lihat resepinya...
MUFFIN KEJU LEMON  
sumber : Just Try & taste 

Bahan-bahan
250gram tepung gandum
120gram keju cheddar parut
150 gram gula pasir
3 sudu teh baking powder double acting 
1/4 sudu teh garam
2 sudu teh parutan kulit jeruk lemon 
1 sudu teh jus lemon (saya tambah)
1 biji telur ayam - gred A
235ml susu cair
20 gm keju cheddar parut untuk taburan
100gm mentega/margerin - cairkan
Cara membuat:

1. Set oven pada suhu 180'C. Sedian mangkuk cupcakes dari kertas atau acuan muffin. Jika menggunakan acuan seperti saya, sapu acuan dengan mentega dan tabur sedikit dengan tepung. 

2. Ayak tepung gandum, baking powder dan garam. Ketepikan seketika.
3. Di dalam mangkuk lain, pukul telur dengan 'hand whisk' atau garfu. Masukkan gula, kulit lemon dan mentega cair. Kacau rata hingga sebati.
4. Masukkan tepung gandum dan susu cair secara bergantian, kacau perlahan seperlunya saja hanya agar adunan basah. Jangan terlalu lama mengacau, tidak perlu risau dengan gumpalan-gumpalan kecil tepung yang terbentuk. Ketika di bakar gumpalan tersebut akan meleleh.  Masukkan pula parutan keju, kacau rata. 
5. Masukkan adunan ke dalam acuan muffin dan tabur lebihan keju.Bakar muffin pada suhu 180'c selama kira-kira 15 - 20 minit atau hingga masak. Bergantung pada oven masing-masing.

Salam Pagi Jumaat, hari ketiga di tahun baru masehi 2014. Resepi hari ni yang ringkas sahaja, maklumlah sementara nak sesuaikan waktu dengan kesibukan dan masa persekolahan anak-anak, sehari dua ini menu yang ringkas sahaja jadi pilihan. 

Menu yang begini hanya sesuai untuk orang yang baru belajar memasak dan orang bujang. Bagi yang dah mahir dan pandai memasak tu sila abaikan. Sekadar perkongsian dan idea untuk kaum ibu yang sentiasa sibuk dan mengejar masa. Resepinya ringkas sahaja, kalau nak ikan goreng lebih ranggup bolehlah gunakan tepung goreng segera yang di jual di pasaran, khusus untuk menggoreng ikan, ayam dan makanan laut. 
IKAN GORENG TEPUNG 
4 ekor Ikan Kembung 
1/2 cawan tepung jagung  
1 biji telur 
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Siang ikan dan bersihkan. Lap dengan tisu dapur, agar tidak terlalu berair dan gaulkan dengan sedikit garam.
2. Pukul telur dan celupkan ikan sebentar. Seterusnya golekkan kedalam tepung jagung.
 3. Goreng di dalam minyak yang panas hingga garing.

SAMBAL NENAS
Bahan-Bahan 
5 biji cili merah (besar) 
5 tangkai cili padi 
1/2 inci belacan - di bakar terlebih dahulu
garam dan gula secukup rasa
1 biji tomato
sedikit potongan nenas
Cara membuatnya

1. Tumbuk semua bahan hingga lumat (kecuali nenas) dan tambahkan garam serta gula secukup rasa.
2.  Akhir sekali masukkan nenas yang di potong kecil dan tumbuk lagi sekejap sahaja sekadar nenas dan sambal  bercampur. Hidangkan dengan ikan goreng tepung tadi dan nasi panas.

Assalamualaikum, 

Selamat menyambut tahun baru 2014 untuk semua yang singgah di blog ini dan teman-teman di luar sana. Semoga tahun ini di beri kesihatan yang baik, ekonomi yang stabil, kebahagiaan dan ikatan kekeluargaan yang lebih erat. Yang lebih penting lagi semoga tahun ini kita berpeluang meningkatkan keimanan kerana kunci di atas segalanya adalah pemantapan spiritual dari dalam diri. Ini peringatan untuk diri sendiri juga.

Baiklah...resepi pertama untuk tahun baru ini, saya ingin berkongsi menu kari tulang nangka muda. Jika di sebelah utara kari begini ada kalanya menjadi menu di majlis kenduri kahwin. Memang sedap masakan kampung begini. Resepinya sama sahaja seperti kari daging biasa, cuma kali ini saya gunakan cara lebih mudah iaitu kari ala-ala tumis darat.
KARI TULANG NANGKA MUDA
Bahan-bahannya:
1kg tulang lembu (tulang bercampur dengan daging)
200ml santan pekat
3 keping asam gelugur
Garam, gula 
Serbuk perasa (jika tak suka jangan letak)
Air secukupnya
2 sudu besar kerisik 
Minyak untuk menumis
200gm nangka muda - di rebus hingga empuk dan toskan

Bahan untuk menumis (Bahan A)
1 inci halia - dihiris nipis
1 biji bawang besar - di hiris nipis  
3 ulas bawang putih - dihiris nipis
3 tangkai daun kari - buang tangkainya
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 bungkus kecil serbuk kari (larutkan dengan sedikit air)- saya guna jenama Baba's
2 sudu besar serbuk cili - jika suka pedas (larutkan juga dengan serbuk kari)

Penyediaannya:

1. Tulang dicuci bersih dan rebus hingga empuk. Untuk menjimatkan masa saya gunakan periuk tekanan tinggi jadi kerja merebus lebih cepat. Boleh juga gunakan cara biasa.

2. Di dalam kuali : Tumis bahan-bahan A sehingga berbau wangi, masukkan serbuk kari yang telah di bancuh tadi sambil di kacau. Masak dengan api perlahan hingga terbit minyak. 

3. Seterusnya tuang rempah yang di tumis tadi kedalam periuk berisi daging rebus yang telah empuk dan kacau (air rebusan daging tadi masih ada dalam periuk).

4. Masukkan santan, kerisik dan asam keping. Kacau rata.

5. Akhir sekali masukkan nangka yang di rebus tadi dan renihkan hingga mendidih dan kari masak. Jangan lupa perasakan dengan garam, serbuk perasa(jika suka) dan sedikit gula. Jika kuah pekat, boleh tambahkan dengan sedikit air. Suaikan dengan citarasa.