Assalamualaikum,

Kebetulan bercuti hari ni bolehlah sediakan karipap sardin panas-panas untuk hidangan minum petang dengan anak-anak. Sedap karipap ni...ranggup sekali kulitnya dan intinya juga enak. Kalau buat sendiri boleh letakkan inti lebih sikit tapi harus pandai mengagak, takut nanti karipap terbuka ketika di goreng. Resepinya saya ambil dari blog yatie memories dan menurut cerita tuan empunya blog resepi kulit karipap ni asalnya dari blog hana memories. Terima kasih keduanya untuk karipap yang sedap ini dan izinkan saya berkongsi resepinya sekali lagi di sini :)

Jom kita lihat cara menyediakannya...
KARIPAP SARDIN
Bahan-Bahan
250gm tepung gandum
2 sudu besar marjerin - panaskan (boleh juga letakkan semua minyak panas - tanpa majerin)
2 sudu besar minyak masak - panaskan
garam
1/2 cawan air atau lebih sikit (tuang sikit-sikit sehingga jadi doh)

INTI
1 tin besar sardin
3 tangkai cili merah besar -di hiris (saya gantikan dengan 2 sudu teh serbuk cili)
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
garam dan gula secukup rasa
air dan sedikit jus limau nipis

**Inti di atas adalah untuk dua adunan.

Cara menyediakannya:

1. Untuk membuat kulit karipap - campurkan tepung, marjerin dan minyak masak yang telah dipanaskan (untuk mendapatkan kulit karipap yang rangup). Gaul rata guna sudu sebab panas.Bancuh garam dan air. Masukkan sedikit-sedikit. Uli doh hingga boleh dicanai dan mudah ketika mengelim.

2. Untuk buat inti - Sardin di toskan airnya dan hancur-hancurkan. Ketepikan seketika.

3. cincang bawang besar dan bawang putih. Tumiskan hingga naik bau. Masukkan serbuk cili dan kacau rata. Kemudian masukkan sardin yang di hancurkan, gula dan garam secukup rasa. Masukkan sedikit jus limau nipis dan gaul sebati. Kalau dah  secukup rasa bolehlah di angkat dan sejukkan.
4. Apabila inti telah sejuk, boleh la mulakan proses mencanai dan mengelim. 

5.Setelah siap mengelim, goreng dengan api yang sederhana supaya karipap tak berjerawat/ mengerutu/gelembung.


Assalamualaikum,

Kurang seminggu lagi sesi persekolahan bagi tahun 2013 akan berakhir dan anak-anak masih tetap ke sekolah walaupun buku teks sudah di serahkan dan tidak ada proses perbelajaran dalam bilik darjah. Namun begitu pihak sekolah dan guru-guru tetap kreatif menjalankan berbagai aktiviti yang berfaedah untuk pelajar baik di sekolah rendah atau menengah, contohnya seperti hari ini...pihak sekolah mengadakan jamuan akhir tahun dan setiap pelajar di galakkan membawa makanan ke sekolah dan ini bagi saya suatu aktiviti yang baik sekali untuk mengeratkan hubungan antara sesama pelajar dan guru-guru.

Bila anak suarakan untuk membawa makanan ke sekolah, yang terlintas di fikiran saya adalah muffin. Dan pagi ini saya bangun awal untuk siapkan muffin pandan kelapa. Resepinya rujuk dari majalah saji keluaran 2012 dan saya gandakan adunannya. Nak cuba buat juga? Jom kita intai resepinya... :)
MUFIN PANDAN KELAPA
Bahan-bahan
100gm tepung gandum - di ayak
3/4 sudu kecil serbuk penaik - di ayak
1/4 sudu soda bikarbonat - di ayak
1/4 sudu kecil garam halus
60gm gula kastor 100ml santan
60ml minyak jagung 
50gm kelapa kering 
1 biji telur - gred A
1 sudu kecil pes pandan
sesikit pewarna hijau

Bahan Hiasan 
Sedikit kelapa parut kering 
Badam - di cincang 

Cara menyediakannya:

1. Satukan telur dan gula dan pukul hingga hancur.
2. Kemudian masukkan minyak jagung dan curahkan santan.
3. Tambahkan sedikit pewarna hijau dan perasakan dengan pes pandan.

4. Masukkan semua bahan ayak, kelapa kering dan garam halus. Gaul sebati.

5. Masukkan adunan kedalam acuan muffin dan taburkan kelapa kering serta badam cincang. Bakar selama 30 minit pada suhu 180'c.



Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca yang sudi singgah di sini. Masak apa ya untuk keluarga hari ni? Kalau hari minggu begini, bakar ikan untuk makan tengahari pun sedap juga kan. Tambahan pula jika ikan bakar tu di balut pula dengan daun pisang. Aromanya lebih membuka selera. Kerja membakar ikan ni pula lebih mudah sekarang semenjak 'magic pan' di di perkenalkan di pasaran. Cuma untuk rasa dan aroma yang lebih memikat boleh juga di balut ikan tersebut dengan daun kunyit atau daun pisang sebelum membakarnya.  

Jom kita lihat resepinya...mudah je.
IKAN BAKAR DAUN PISANG 
4 ekor ikan selar atau kembung
5 tangkai cili besar - merah
3 tangkai cili padi 
1 batang serai - di hiris halus
5 ulas bawang merah  - di mayang
3 ulas bawang putih - di mayang
2 biji buah keras
1/2 inci belacan 
1/2 inci lengkuas - di hiris nipis
1 inci kunyit hidup - di hiris nipis
Garam secukup rasa
Cara memasak

1. Siang ikan dan cuci hingga bersih. Keringkan air (boleh gunakan tisu dapur) yang melekat pada ikan tersebut dan ketepikan seketika.
2. Kisar semua bahan-bahan hingga halus dan lumurkan dengan ikan tadi. Perapkan kira-kira 10minit.
3. Bungkus ikan tadi dengan daun pisang dan bakar hingga masak. Saya hanya gunakan 'magic pan' untuk membakar ikan tersebut.

4. Bila ikan dah masak, bolehlah di hidangkan dengan nasi panas.

Assalamualaikum,


Petang-petang begini sedap 'mengudap' jagung rebus cicah pula dengan kelapa parut sambil menonton TV. Nak nak pula layan cerita hindustan...hmmm, sedar tak sedar habis setongkol jagung  di kerjakan.

Teringat zaman kanak-kanak dulu. Selalunya kalau di kampung kegunaan kelapa parut ni selain daripada di hidangkan dengan kuih tradisional seperti lompang, lopes, onde-onde(buah melaka) atau kasui, ianya di hidangkan juga dengan ubi kayu, keledek atau pisang rebus. Hmmm bagi orang yang di besarkan di kampung seperti saya ni memang sedap sangatlah hidangan begini. Mengembalikan nostalgia lama dengan ibu. Selalunya kelapa yang ibu gunakan di kukur sendiri dan ubi kayu, keledek, jagung atau pisang pula di tanam sendiri di belakang rumah. Zaman saya kanak-kanak dulu inilah yang paling sedap...tak adalah nak mewah dan bersantai di restoran makanan segera macam anak-anak sekarang.

Baiklah, jom kita kembalikan nostalgia dengan jagung rebus cicah kelapa...:)
JAGUNG REBUS DAN KELAPA PARUT
Bahan-bahan
Beberapa tongkol jagung (saya gunakan 6 tongkol - beli rm 10.00 je dari pasar malam :)
Garam 
Gula 
Kelapa parut 

Cara memasak:

1. Kupas kulit jagung, tetapi tinggalkan satu lapisan nipis. Ini adalah untuk mengelakkan isi jagung menjadi kecut selepas di rebus.
2. Masukkan garam secukup rasa ran rebuslah hingga masak dan empuk. Sementaramenunggu jagung masak, gaulkan gula dengan kelapa parut dan ketepikan.
3. Setelah jagung masak, hiris isi jagung dan masukkan ke dalam sebuah mangkuk. Gaulkan dengan kelapa parut tadi dan sedia di nikmati. 

Assalamualaikum,

Kek Marble memang menjadi kegemaran tiap lapisan masyarakat, mungkin kerana rasanya yang tidak muak dan enak hasil paduan antara perasa coklat dan vanilla. Membuatnya juga tidaklah serumit mana jika tau tekniknya. Ada berbagai cara pula resepi kek marble ini dan hari ini saya ingin berkongsi resepi kek marble warisan dan mungkin juga resepinya sama seperti yang ada pada pembaca. Jom kita lihat resepi kek yang mudah ini, enak juga buat sarapan pagi atau minum petang bersama keluarga tercinta.  
KEK MARBLE WARISAN 
Sumber : majalah rasa (sept 2013)

Bahan-bahan
250gm mentega - saya hanya gunakan majerin 
210 gula kastor 
5 biji telur 
1 sudu makan ovalette (saya kurangkan kepada 1 1/2 sudu teh)
230gm tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik 
1 sudu serbuk koko 
80ml susu segar

Cara memasak:

1. Pukul mentega dan gula sehingga kembang dan gebu. Kemudian masukkan ovellate dan telur sedikit demi sedikit di ikuti dengan esen vanila. Teruskan memukul.
2. Seterusnya masukkan tepung dan susu segar secara berselang seli. Pukul lagi sehingga sebati.
3. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu daripada bahagian di adun dengan serbuk koko sehingga mesra.
4. Tuang kedua-dua adunan secara berselang seli kedalam loyang bersaiz 7 inci yang telah di lengser minyak dan beralas kertas. Bakar dengan suhu 180'c selama satu jam dan biarkan sejuk sebelum di potong.

Assalamualaikum, 


Kangkung ikan masin adalah sayur yang ringkas tetapi membuka selera untuk di gandingkan dengan nasi panas. Memasaknya juga tidak mengambil masa yang lama. Selalunya sayur kailan di goreng dengan ikan masin tetapi jika gantikan dengan kangkung juga sedap rasanya. Saya gunakan ikan masin jeruk di dalam botol untuk resepi ini inspirasi dari di SINI.

Jom kita lihat resepinya.. :)
KANGKUNG IKAN MASIN
Bahan-bahan

Satu ikat kangkung 
1 keping ikan tenggiri masin(yang dijeruk dalam botol)-potong kiub kecil-kecil.
1 sudu teh minyak dari botol ikan masin tadi
1 biji bawang besar - dimayang bulat
1 inci halia - diketuk
bawang putih-diketuk
1 sudu besar sos tiram
1 susu besar sos ikan
sedikit air asam limau nipis & serbuk lada sulah
minyak untuk menggoreng
Cara memasak:

1. Panaskan minyak dan tumis ikan masin tenggiri tadi hingga naik bau, kemudian tumis bawang putih,bawang besar dan halia .Masukkan juga sos tiram.

2. Masukkan sayur dan tambah minyak dari botol ikan masin tadi. masukkan sos ikan kacau rata.
3. Masukkan sedikit air (dalam 2 sudu besar). Biarkan seketika dan setelah masak hidangkan di dalam pinggan. Taburkan sedikit lada sulah dan perahan asam limau tadi.




   
Assalamualaikum,

Baru dua hari tak jenguk blog rasa dah lama sangat dah. Malam ni ada kelapangan sedikit bolehlah update apa yang patut dan saya ingin kongsikan resepi char kuey teow. Mudah sebenarnya membuat char kuey teow ni jika tau caranya. Bertambah enak jika di makan dengan cili jeruk...hmm nikmat. Jom langsung saja kita lihat resepinya :).
CHAR KUEY TEOW
Bahan A
500gm kuey teow
1 sudu besar cili kisar (boleh lebihkan jika suka pedas)
1 cawan kerang
taugeh dan kucai
1 biji telur
3 ulas bawang putih di cincang
Bahan B
4 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
3 sudu kecil kicap pekat
3 sudu besar kicap manis
1 kiub pati ikan bilis 
 garam dan gula secukup rasa

Bahan C
200 gm udang - Boleh lebihkan
1 1/2 cawan air
Cara memasak

1. Rebus udang hingga separuh masak (bahan C). Kemudian asingkan kulit dan kepala udang tadi. Isi udang diketepikan dulu.
2. Kisar kulit dan kepala udang tadi, bersama air rebusan tadi, tapis dan ambil stoknya.

3. Tuang minyak di dalam kuali, tumis cili kisar dan bawang putih yang di cincang tadi hingga berbau wangi. Masukkan udang dan kerang yang telah di rebus.
4. Masukkan pula stok udang dan semua bahan B. Apabila kuah mendidih barulah masukkan kuey teow, kucai dan taugeh.

5. Pecahkan telur, kacau dan bolehlah di angkat.