Assalamualaikum, 

Selamat pagi dan selamat berhari minggu. Wah...dah lama menyepi dari berblog, baru pagi ni berkesempatan. Ada beberapa mesej dari pembaca yang bertanya adakah blog ini tidak boleh tinggalkan komen. Terimakasih pada semua yang masih sudi menjenguk ke blog ini. Sebenarnya ada masalah sedikit yang saya rasa harus merujuk kepada yang lebih arif  kerana ada banyak komen yang saya terima tetapi bila di jawap dan siarkan tidak di paparkan pula di dalam blog. Minta maaf dan terima kasih banyak kepada yang sudi komen dan berinteraksi dengan saya. InsyaAllah masalah ini akan segera di atasi.

Diam tak diam, dalam minggu ini kita akan bertemu dengan bulan yang mulia bagi umat islam iaitu bulan Ramadhan. Semoga kita semua di beri kesihatan yang baik untuk menempuh bulan puasa dan menyediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga. Saya ni bukan pandai masak sangat pun...tapi InsyaAllah sepanjang bulan puasa ini harap-harap dapatlah berkongsi resepi untuk sama-sama kita cuba, maklumlah jika asyik membeli di luar saja, kurang nikmatnya. Lagi pula besar ganjarannya menyediakan juadah untuk orang yang berpuasa, apalagi keluarga tercinta. :) 

Baiklah, hari ni saya ingin berkongsi resepi bingka chocomilk yang saya buat semalam. Anak-anak suka sangat dengan bingka ni kerana rasa coklat dan susu. Sesuai juga ni di buat untuk berbuka untuk anak-anak di bulan ramadhan nanti.

BINGKA CHOCOMILK
Sumber : DatinLulu - MyR
Bahan-bahan ( loyang 8x8 inci )

BAHAN-BAHAN DI KISAR HINGGA SEBATI
2 cawan tpg gandum
2 1/2 cawan susu UHT dutchlady berperisa coklat
1/2 cawan susu krimer manis (kurang manis - sila tambahkan susu krimer jika inginkan rasa lebih manis)
4 biji telur (A) - cuci dahulu
1 sudu besar(mumbung) - serbuk koko
1 sudu teh(rata) - garam halus
2 sudu besar butter/marjerin - di cairkn
1 sudu teh esen vanila 

UNTUK DI TABUR ATAS BINGKA
Nestum original
Coklat rice
Cara-cara

1. Panaskan oven 180'C

2. Masukkan 1 sudu besar butter/marjerin ke dalam loyang yg di panaskan di atas api kecil,
Tuangkan adunan yg di blend ke dalam acuan/loyang.

3. Tabur dengan nestum di ikuti chocolate rice.

4.Bakar 45 minit atau hingga masak.

5. Bila bingka sedikit suam/sejuk boleh lah di potong & sedia untuk di nikmati.

Assalamualaikum,

Dah lama tak 'membaking' kek jadi teringin pula. Seperti biasa resepi pilihan saya adalah kek yang mudah dan tidak menggunakan banyak bahan. Untuk sarapan pagi ni saya ada membuat kek mentega pandan mix oren. Anak-anak memang suka kek ni. Selain dari paduan rasa antara pandan dan oren yang lazat, tekstur kek ini juga gebu dan mudah untuk di sediakan.

Jom kita lihat resepinya... :)

KEK MENTEGA - PANDAN MIX OREN
Sumber : Rohaimi Ahmad

Bahan-bahannya
200gm tepung gandum 
170gm gula halus
200gm mentega
3 biji telur
1 sudu teh baking powder
50ml susu cair
pewarna oren dan 1 sudu teh perisa oren
pewarna hijau dan satu sudu perisa pandan
Cara membuatnya:-

1. Pukul mentega dan gula hingga kembang, masukkan telur dan pukul sebati.

2. Masukkan tepung dan baking powder, putar lagi.

3. Masukkan susu cair putar lagi dan bahagikan kepada dua bahagian.
Bahagian 1 : Masukkan perisa dan warna oren 
Bahagian 2 : Masukkan perisa pandan dan warna hijau

4. Griskan loyang dan masukkan adunan berselang seli. Bakar pada suhu 150-160'C api atas dan bawah selama 40minit.

Assalamualaikum,

Masakan kampung memang enak dan membuka selera. Untuk menu malam ni saya masak kari ayam yang di rampai dengan betik muda dan resepinya saya intai dari blog Tiffin Biru. Memang terbaiklah resepi ni. 

Bagi yang ingin mencuba, saya kongsikan sekali lagi resepinya di sini. Terima kasih CMG kerana sudi berkongsi resepi yang sedap ini.
KARI AYAM BETIK MUDA
Bahan-bahannya
700gm ayam di potong sederhana besar - cuci dan toskan
300gm betik mengkal- potong kasar
2 sudu besar rempah kari daging 
2 sudu besar cili kisar
2 keping asam gelugur
1 sudu besar kerisik
300ml pati santan
800 ml santan cair
Garam dan gula secukup rasa

Bahan yang di kisar halus
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras
1/2 inci belacan
Bahan tumis
4 ulas bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 pelepah daun kari
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Cara membuatnya:-

1. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan-bahan tumis dan tumis hingga harum dan bawang layu, masukkan bahan kisar dan cili kisar, tumis hingga garing, tuang bancuhan rempah kari dan masak hingga terbit minyak. Gunakan api sederhana.

2. Masukkan ayam, gaul rata dan biar ayam kecut sebentar. Tuang santan cair, kacau rata dan biar mendidih hingga ayam separuh masak. Masukkan asam gelugur dan kerisik. Tuang pati santan, tambah garam secukup rasa dan secubit gula. Biar mendidih dengan api sederhana.

3. Akhir sekali masukkan betik tadi, kacau dan masak hingga betik sedikit lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Betik akan lembut sendiri dalam periuk. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman..




Assalamualaikum,

Sebagai pembuka selera petang ni, saya buatkan kerabu telur masin yang resepinya saya ambil dari group masakan di FB iaitu resepi sumbangan dari teman maya saya, Sasha Rahmat. Memang pemilik resepi ini kreatif dalam menyediakan pelbagai masakan yang enak dan link ke blognya ada di blog saya ini. Sayangnya sudah lama dia menyepikan diri dari berblogging. Mungkin kesuntukan masa dan sibuk dengan tugas harian.

Kerabu telur masin ini memang enak sebagai pembuka selera dan sesuai bagi yang kurang selera makan. Di tambah pula dengan kacang botol yang ranggup dan rasa pedas dari cili padi yang di tumbuk dengan udang kering atau belacan...hmm memang sedap.

Jom kita lihat resepinya... :)

KERABU TELUR ASIN
Sumber : Sasha Rahmat

4 biji telur asin - direbus
2 biji tomato - potong ikut suka
6 biji kacang botol - dibersihkan & di potong nipis
1 biji bawang besar hiris
6 ke 8 biji cili api ditumbuk dgn sedikit belacan -kalau nak pedas boleh tambah lagi & jika tak suka belacan boleh tukarkan kepada udang kering
1 batang serai dihiris
1 biji limau nipis - perah ambil jusnya
gula secukup rasa
Cara membuatnya:-

1. Di dalam 1 mangkuk campurkan semua bahan kecuali telur asin
seratakan & cukupkan rasanya.

2. Telur asin dibelah 2 dan keluarkan dari kulitnya. Belah 4 atau 6
campurkan telur asin ke dalam mangkuk yg berisi bahan-bahan lain tadi.
Siap untuk dihidangkan.


Assalamualaikum,

Untuk minum petang hari ini saya buatkan roti jala dan hidangkan dengan kari ayam, lauk baki makan tengahari tadi. Sangat mudah menyediakan roti jala sekarang ni dengan menggunakan botol muncung tiga yang banyak di jual di kebanyakan pasaraya. Orang yang tak pernah buat roti jala pun boleh buat dengan jayanya walaupun pertama kali menggunakannya. Ini dari pengalaman saya, di mana saya hanya menjala 3 biji pertama roti ini dan selebihnya anak gadis saya yang membuatnya.

Jom kita lihat resepi dan cara membuatnya...

ROTI JALA 
(Sumber: K.Ummi Kuantan) 

2 cawan tepung gandum
2 cawan air
1 biji telur
1 sudu kecil garam halus
beberapa titik pewarna kuning

1. Masukkan semua bahan ke dalam blender dan kisar hingga semua sebati. 
Perapkan selama 1/2 jam.
3. Sediakan kuali leper non-stick dan panaskan dengan api sederhana.

4. masukkan adunan kedalam acuan roti jala.Kirai adunan atas kuali.

5. Biarkan hingga roti jala tu masak, angkat dan gulung/lipat ikut citarasa masing2


Assalamualaikum,

Atas permintaan anak-anak yang teringin nak makan durian, malam tadi saya beli 3 biji durian memandangkan di Langkawi sekarang memang musim jual durian dan rambutan. Bukan durian tempatan tetapi yang di bawa masuk dari Thailand.

Saya gandingkan durian dan tanak pulut ala kedah iaitu di makan bersama  santan dan gula, tetapi anak pertama saya tak suka makan durian. Baunya yang kuat dalam bonet kereta sementara nak sampai rumah pun buatkan dia pening dan merungut sepanjang jalan.

Cara nak tanak pulut ni mudah sahaja, iaitu sukatan air di masukkan sama paras dengan pulut.Itu petua yang di berikan oleh ibu saya. Bagi yang tak pernah masak pulut pasti tertanya-tanya, sama paras tu sukatannya macamana? Untuk itu saya kongsikan resepi pulut durian ala utara yang saya ambil dari blog periuk tanah untuk memudahkan pembaca blog ini terutama sekali adik-adik yang baru belajar membuat rujukan dan lebih faham.

PULUT DURIAN 
Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)
1) 1 cawan beras pulut. Basuh dan toskan. 

2) Masukkan beras pulut ke dalam periuk nasi. Masukkan juga 1 cawan air dan 1 sudu besar minyak masak. Masak seperti biasa.

Saya tak biasa masukkan minyak, mungkin yang buatkan pulut durian nampak berkilat seperti di restoran Thai itu mereka masukkan sedikit minyak ketika tanak pulut seperti resepi di blog periuk tanah.

Bahan lain:

2 cawan santan sederhana pekat + 1/2 -1 sudu teh garam (ikut rasa masinnya)
Masak atas api perlahan sehingga mendidih.
2 sudu besar gula pasir.

Hidangkan seperti di dalam gambar. Cara menikmatinya, tuangkan santan ke atas pulut.
letak sedikit gula. Makan dengan isi durian.




Assalamualaikum,

Petang ini saya ingin berkongsi resepi agar-agar santan gula merah yang mudah di sediakan dan menjadi pilihan terutama sekali ketika cuaca panas. Agar-agar ini saya sediakan sebagai pencuci mulut ketika berpuasa sunat rejab baru-baru ini. Tentu kebanyakan orang tahu cara membuatnya tapi saya ingin berkongsi resepinya sekali lagi untuk rujukan di masa depan, terutama sekali untuk anak gadis saya yang sangat gemarkan puding ini. Ini adalah resepi dari Chef Hanieliza. Harap-harap nanti bila menjelang bulan ramadhan, dapatlah dia sediakan untuk mamanya pula dengan merujuk resepi di sini :).

Jom kita lihat resepinya...

AGAR-AGAR SANTAN GULA MERAH 
Bahan-bahan:
10gm serbuk agar-agar
1 cawan gula merah
1/2 cawan gula halus
1 liter air (5 cawan)
2 cawan santan pekat dari sebiji kelapa (saya gunakan santan kotak) 
1 biji telur dipukul dengan santan tadi
secubit garam
1 helai daun pandan
Cara membuatnya:-

1. Masak air dengan gula dan daun pandan (selepas gula larut tapis untuk membuang benda asing yang terdapat dalam gula merah- jika ada). Masukkan pula serbuk agar-agar dan kacau hingga semuanya larut dan mendidih.
2. Pukul telur dan santan dengan whisk.

2. Kecilkan api kemudian tuangkan campuran santan dengan telur, garam dan kacau terus hingga mendidih. 

3. Bila masak, tuang ke dalam loyang atau acuan kegemaran.

Agar-agar ini lebih enak jika di masukkan kedalam peti sejuk terlebih dahulu.