Assalamualaikum & salam pagi khamis.

Awal pagi lagi di sini hujan sudah turun dengan lebatnya dan menimbulkan suasana dingin tapi saya tak boleh tidur dan bangun awal buatkan chocolate rice orange muffin untuk anak-anak sebagai sarapan pagi sebelum bertolak ke sekolah. Resepi asalnya saya ambil dari Chef idola saya, iaitu kak Hanieliza tetapi saya ubahsuaikan sedikit mengikut bahan yang ada di dapur rumah saya sahaja. Maklumlah pagi-pagi hari masuk kedapur ada saja bahan yang tak lengkap. Muffin yang saya hasilkan ini bersaiz jumbo dan makan sebiji pun kenyang sampai tengahari :D. Lihatlah pada gambar tu, muffin lebih besar dari buah oren.

Bila anak-anak bangun dari tidur, tersenyum riang mereka terhidu bau muffin oren yang baru keluar dari oven  dan masih lagi panas. Terimakasih kak Liza kerana berkongsi resepi muffin yang enak ini dan izinkan saya berkongsi sekali lagi resepinya di sini untuk rujukan pada masa depan dan mungkin ada yang ingin cuba membuatnya.

CHOCOLATE RICE ORANGE MUFFIN
Bahan A
2 cawan tepung gandum ]
1 sudu teh baking powder ] ayakkan 2 kali
1/2 sudu teh soda bikarbonat ]
1 cawan gula perang
2 sudu besar coklat rice (saya tak letak kerana tak ada bekalan tetapi saya gantikan dengan coklat chips dan hiaskan dengan badam cincang)
Bahan B 
1/2 cawan butter cair
1 cawan jus oren
1 biji telur [pukul sedikit]
1 sudu kecil oren paste
Cara membuatnya:-

1. Panaskan oven suhu 180 api [atas dan bawah] selama 15 minit.

2. Masukkan semua bahan A dalam mangkuk dan gaulkan rata.



3. Curahkan bahan B dan kacau rata.(kacau sebentar sahaja kerana jika terlebih kacau muffin akan menjadi keras)

4. Masukkan kertas muffin dalam acuan muffin.
5. Sudukan adunan dalam kertas muffin hampir penuh. Boleh hiaskan dgn coklat chips jika suka.



6. Bakarkan selama 20 minit atau sehingga masak (bergantung pada oven masing-masing)

7. Sejukkan dan boleh dihidangkan.
Assalamualaikum,

Dah lama rasanya tidak buat kek untuk keluarga. Dek kerana rindu nak 'membaking', malam tadi saya kembali membelek-belek oven yang sekian lama beristirehat sepanjang saya sibuk dengan tugas pada cuti sekolah 2 minggu lepas.

Projek 'warm up' untuk melepaskan gian membaking adalah kek yang mudah iaitu indocafe cake, iaitu resepi asalnya saya ambil dari Rohaimi Ahmad (FB). Sedap kek ni, mudah pula membuatnya. Anak-anak suka sangat rasanya hasil paduan nestum & serbuk nescafe.

Jom semak resepinya...
INDOCAFE CAKE
Bahan-bahan
150gm gula halus
200gm mentega atau majerin
3 biji telur - gred A
200gm tepung gandum
50gm nestum - (original)
3 sudu besar susu pekat manis
1 sudu teh ovelette
1 sudu besar serbuk indocafe (saya gantikan dengan serbuk nescafe)
1 sudu teh baking powder
*Taburan badam cincang (pilihan)

Cara membuatnya

1. Pukul gula, ovelette dan majerin hingga kembang.

2. Masukkan telur pukul dan masukkan tepung gandum, baking powder serta pukul lagi.

3. Masukkan pula nestum, susu dan serbuk indocafe/nescafe. Pukul hingga sebati.

4. Sediakan loyang bersaiz 8inci ataupun 7inci. Sapukan majerin dan taburkan tepung pada loyang. Lapik dengan kertas minyak.

5. Masukkan adunan kedalam loyang dan taburkan badam cincang. Bakar pada suhu 150'c - 160'c selama 45minit guna api atas bawah.

6. Setelah kek sejuk, bolehlah di potong dan hidangkan.


Assalamualaikum,

Petang semalam ketika ke pasar basah, seperti biasa saya menjenguk di gerai makcik yang menjual ulam-ulaman kampung kerana selalunya ulam atau sayuran kampung yang susah di dapati ada di jual di situ. Kebetulan pula ada di jual kelopak-kelopak roselle yang masih segar dan saya beli 1/2 kg dengan harga RM 3.00 untuk di jadikan jus.

Mengikut carian di google, roselle di perkenalkan di Asia Tenggara melalui Malaysia sejak lebih dari tiga abad yang lalu dan di Malaysia roselle di kenali sebagai asam paya, asam kumbang atau asam susur oleh penduduk tempatan. Di India Barat pula ia di sebut sebagai Jamaican sorrel. Di Afrika, biji roselle di makan kerana di percayai mengandungi minyak-minyak tertentu. Manakala di Sudan, Roselle di proses untuk di jadikan minuman tradisional yang di namakan karkadeh iaitu minuman kebangsaan mereka.

Roselle kaya dengan antioksida (flavonoid dan antosianin), vitamin A, B dan C. kelopaknya digunakan untuk merawat jangkitan kencing, sembelit, menurunkan tekanan darah dan paras kolesterol. 

Banyak kebaikan jus ni ya...Tapi bagi saya, rasanya yang masam dan lazat seakan-akan jus ribena tu buatkan rasa ketagihan dan tak cukup segelas :D. Jom kita lihat bagaimana caranya untuk membuat jus yang mudah ni...

JUS ROSELLE 
Bahan-bahan 

20-25 kuntum kelopak Roselle 
2.5 liter air 
1 hingga 1.5 cawan gula - mengikut rasa (anda boleh gantikan dengan madu atau gula batu)
(bermula dengan 1 cawan gula, jika merancang untuk menambah ais kemudian bolehlah tambahkan kandungan gula)


Cara membuatnya:

1. Kopek kelopak roselle dan tanggalkan biji benih di dalamnya.

2. Masukkan kelopak roselle yang siap di kopek , gula dan air dalam periuk besar dan rebus selama 15-20 minit.

4. Masak hingga mendidih dan sebati. Hidangkan panas atau sejuk dengan ketulan ais.



Assalamualaikum,

Salam ceria pagi isnin. Bagaimana cuaca di tempat anda pagi ni? Di sini masih lagi hujan berlarutan sejak semalam. Cuaca memang tak menentu sekarang ni, sekejap hujan sekejap lagi pula panas terik. Untung zaman sekarang sudah canggih dan penggunaan mesin basuh memudahkan kerja surirumah menyuci dan mengeringkan pakaian. Kalau zaman dahulu, pasti rimas nak menguruskan bab pakaian jika cuaca begini..tambahan pula yang ada anak ramai yang lasak macam saya ni. :) 

Dah sarapan ke pagi ni? Kata seorang kawan saya tu...saya ni asyik share dan tayang bab makanan je. Tak jemu-jemu ke? :D. Bukan niat nak tayang pun...maklumlah, memasak pun ala kadar dan tak berapa nak ada skill. Sekadar berkongsi pengalaman memasak untuk yang baru nak belajar dan simpan resepi di sini untuk rujukan anak di masa depan. Dulu masa teknologi belum canggih, sekali nak masak terpaksa telefon mak bertanyakan resepi. Sekarang kan mudah anak-anak nak rujuk resepi terus di blog tanpa bertanya lagi.

Baiklah pagi ni saya ingin berkongsi resepi nasi goreng kurma yang sempat saya sediakan untuk sarapan anak-anak sebelum ke sekolah. Sedap juga, sesekali mencuba kelainan...jom kita lihat resepinya.

NASI GORENG KURMA 
Bahan-bahan
4 1/2 cawan nasi putih
1 sudu besar cili kisar dengan sedikit belacan
3 ulas bawang merah di hiris nipis
1/2 sudu besar serbuk rempah kurma (sebarang jenama)
1 cawan isi ayam di potong dadu
1 biji telur
sebatang lobak merah di potong dadu
1/2 biji bawang besar di mayang 
minyak untuk menumis
kicap sotong atau boleh juga di gantikan dengan garam secukup rasa.
Cara membuat:-

1. Tumis bawang merah dan cili kisar hingga garing

2. Masukkan serbuk rempah kurma, garam (atau kicap sotong) dan lobak merah. Gaul rata.

3. Masukkan pula isi ayam dan kacau sehingga masak. Pecahkan telur dan kacau sebati.

4. Akhir sekali masukkan nasi dan gaul rata. Enak di hidangkan dengan secawan teh panas.

Assalamualaikum,

Hujan terlalu lebat disini...dari petang membawa ke malam hari. Bila hujan dan sejuk-sejuk begini selalunya buatkan perut lapar. Oleh kerana anak-anak sudah kekenyangan menikmati burger selepas pulang dari kelas al quran tadi saya cuma masak ringkas untuk diri sendiri  dan abah mereka, iaitu nasi putih di gandingkan dengan ikan goreng gelama masin dan sup tembikai muda. Benar-benar membuka selera dalam hujan lebat begini. 

Pernah dengar sup tembikai muda? Di pasar basah di sini banyak di jual putik tembikai muda yang di bawa masuk dari selatan Thailand. Mungkin ada masakan masyarakat thai yang di campurkan dengan putik tembikai ini, tapi saya lebih suka memasaknya ala-ala sayur air dan mencampurkannya dengan udang hidup,ikan bilis dan lada hitam yang di tumbuk kasar. Sungguh enak rasanya..di makan dengan nasi panas. Jika tak ada putik tembikai, boleh juga gunakan separuh kulit tembikai biasa dan buangkan kulit keras di bahagian luarnya.

SUP TEMBIKAI MUDA
Bahan-bahan 
500gm tembikai muda (putik)
3 ulas bawang merah 
sedikit udang dan ikan bilis
2 ulas bawang putih
1 tangkai cili merah
1 kiub ikan bilis 
1 sudu besar lada hitam - di tumbuk kasar
4 cawan air 
Cara membuatnya:-

1. Kupas kulit tembikai dan potong dalam bentuk kiub, ketepikan.


2. Tuang sedikit minyak kedalam periuk, tumis bawang merah, bawang putih, lada hitam, cili merah, udang dan ikan bilis. Kacau rata hingga naik bau.

3. Masukkan air kedalam periuk beserta kiub ikan bilis. Kacau sebentar.


4. Masukkan pula isi tembikai kedalam kuah sup tadi dan renihkan hingga masak. Perasakan dengan garam dan sedia untuk di hidangkan.

Assalamualaikum,

Menu apa makan malam hari ni? Alhamdulillah, hari ini saya sempat sediakan nasi goreng pattaya atas permintaan anak-anak. Selalu jika order di gerai, agak berminyak dan tidak menepati citarasa. Jika sediakan sendiri di rumah kita boleh kurangkan minyak dan lebihkan lauk.

Kerana sudah malam, saya cuma gunakan apa sahaja yang ada di dalam peti sejuk di rumah dan sayur campur saya gantikan dengan lobak merah di potong dadu serta baby kailan. Jika masukkan kacang panjang yang di potong nipis dalam nasi goreng ni, tentu lebih enak rasanya. 

Baiklah saya ingin kongsikan resepi nasi ini bagi yang ingin mencubanya sendiri di rumah...

NASI GORENG PATTAYA
Bahan-bahan
2 cawan nasi putih
1 keping dada ayam - potong kecil dan udang segar 
1 lobak merah - di potong kiub
1 tangkai cili merah di potong serong
2 biji cili padi - dicincang halus
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1 sudu teh lada hitam - di tumbuk kasar
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos ikan
garam dan lada sulah secukup rasa
2 biji telur - dipukul (untuk dadar)

Cara membuatnya:

1) Panaskan kuali dengan sedikit minyak. Masukkan bawang putih dan lada hitam, tumis hingga kekuningan dan wangi.

2) Masukkan ayam, udang, lobak merah, sayur baby kailan, dan cili serta tumis selama 2 minit. Pastikan sayur-sayuran lembut dan daging telah masak.

3) Pada ketika ini masukkan nasi, terus masak sehingga semua bahan-bahan bercampur. Tambahkan sos tomato, sos ikan, garam dan lada sulah secukup rasa rasa.

4) Goreng selama 2 minit lagi dan periksa perasa. 

5) Dalam kuali anti lekat, buat dadar dari dua biji telur tadi hingga kekuningan.

6) Letakkan secawan nasi goreng di tengah-tengah dadar dan lipat kepada empat bahagian. 

7) Telangkupkan ke dalam pinggan dan hidangkan dengan sos cili.


Assalamualaikum,

Semenjak cuti sekolah ni jarang-jarang berkesempatan masuk kedapur menyediakan hidangan untuk keluarga kerana masa di rumah amat terhad. Tapi jemu juga kan jika asyik makan di luar tiap hari. Oleh kerana tidak sampai hati dengan permintaan anak-anak yang mahukan saya masak sejak semalam lagi, buatkan mood memasak datang kembali walaupun keletihan. Kebetulan  hari ni pulang ke rumah lebih awal, sempatlah saya singgah di pasar basah dan mencari sesuatu yang boleh di masak untuk makan malam ini.

Saya ingin berkongsi resepi ringkas dan cepat di sediakan iaitu lala tumis berempah. Bagi saya rasanya memang sedap dan anak-anak pun sukakannya.

LALA TUMIS BEREMPAH 
Bahan-bahan

1 kg siput lala (di rendam dalam air terlebih dahulu untuk mengeluarkan pasir)

Bahan Kisar 
2 labu bawang besar 
1 inci halia - di mayang
10tangkai cili kering - di rendam dalam air panas hingga lembut
2 ulas bawang putih 
2 batang serai - di mayang halus 


Bahan C
3 sudu besar serbuk kari daging/ayam 
2 tangkai daun kari 
1 kiub ikan bilis 

Cara Menyediakannya:

1. Masukkan 2 sudu besar minyak kedalam kuali dan tumis bahan kisar hingga naik bau.

2. Masukkan pula serbuk kari, kiub ikan bilis dan daun kari. Kacau hingga rata.

3. Seterusnya masukkan lala, kacau rata dan tutup kuali sebentar hingga kulit lala terbuka dan sebati dengan kuah. Rasakan garam dan gula mengikut selera masing-masing. 

4. Jika inginkan kuah yang lebih bolehlah di tambah sedikit air dan setelah masak masukkan ke dalam mangkuk dan sedia untuk di hidangkan dengan nasi putih.