Assalamualaikum,

Malam ini saya ingin berkongsi resepi tomyam ikan yang saya masak untuk makan malam. Ada sebotol pes tomyam yang belum di gunakan iaitu buah tangan  dari  teman sepejabat ketika dia berkunjung ke Padang Besar baru-baru ini. Saya belum pernah menggunakan pes tomyam jenama ini sebelum ini dan setelah siap ternyata rasa tomyamnya menyengat juga dan menepati citarasa.

TOMYAM IKAN ALA HAADYAI
Bahan-bahan
1 ekor ikan siakap (Ikan lain juga boleh)
BAHAN A
dua batang serai (di titik)
1 biji bawang Holland (di hiris)
4 biji cili padi
3cm lengkuas (di titik)
4 sudu besar pes tomyam
2 helai daun limau purut
1 sudu besar sos ikan/sos sotong
1 mangkuk air
3 sudu besar air limau nipis/kasturi

BAHAN B
sedikit bunga kobis & 1 biji tomato
garam dan gula secukup rasa
Cara membuat:

1. Bersihkan ikan dan potong, kemudian masukkan kesemua bahan tadi kedalam periuk berisi air.

2. Biarkan sehingga mendidih, masukkan ikan yang telah di potong, tomato dan bunga kobis.

3. Biarkan selama 10 minit dan masukkan garam dan gula secukup rasa.

Inilah pes tomyam yang saya gunakan... :)
Assalamualaikum,

Makan tengahari di mana hari ni? Bagi saya sama sahaja jika makan di rumah atau di luar, masakan kampung tetap menjadi pilihan utama. Hari ini saya ingin berkongsi kesedapan resepi ikan bakar dan sambal kuinin yang saya buat baru-baru ini.  Resepi ikan bakar ini saya ambil dari resepi asal chef hanieliza tetapi saya gandakan bahan-bahannya mengikut saiz ikan.

Dah lama tak makan buah kuinin, baru-baru ini saya jumpa di pasar basah dan dalam fikiran memang berkira-kira nak buat sambal dan cicah dengan ikan bakar. 

Jom, langsung saja kita lihat...kecur dah air liur ni bila teringatkan keenakan buah kuinin.

IKAN BAKAR DAN SAMBAL KUININ
Bahan-bahan :
1 ekor ikan sederhana besar 

BAHAN B - Di Kisar
3 ulas bawang merah 
2 batang serai 
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam 
10 biji cili kering - rendam dengan air mendidih
Cara membuatnya:

1. Siang ikan, bersihkan dan kelar sedikit.

2. Kisar bahan B dan perapkan dengan ikan selama lebih kurang 20minit.

3. Bakar ikan tersebut hingga masak (saya gunakan pemanggang ajaib - lebih mudah dan menjimatkan masa)

4. Setelah masak, bolehlah di hidangkan dengan sambal kuinin tadi.

SAMBAL KUININ
Bahan-bahan 
Bahan A
5 biji cili merah
3 biji cili padi (jika inginkan lebih pedas boleh lebihkan cili padi)
sedikit asam jawa
4cm belacan 
garam dan gula secukup rasa

Bahan B
Sebiji buah kuinin atau buah bacang 


Cara membuatnya

1. Bakar belacan terlebih dahulu, masukkan semua bahan-bahan A ke dalam lesung batu dan tumbuk hingga lumat.

2. Potong buah kuinin seperti mancis dan masukkan ke dalam sambal yang masih berada di dalam lesung tadi, tumbuk lagi seketika.

3. Setelah siap, masukkan ke dalam piring dan sedia untuk di hidangkan.  




Assalamualaikum,

Apa khabar agaknya malam ini ye? Jika saya di sini, sejuk je sepanjang hari kerana hujan dari siang tadi tidak berhenti membasahi bumi Langkawi. Bila sejuk-sejuk begini enak juga hirup sup yang panas di gandingkan dengan sepinggan nasi atau roti.

Selepas pulang dari kerja petang tadi saya memasak sup tulang untuk makan malam ni. Dah hampir seminggu tulang lembu yang saya beli di pasar terperuk di dalam peti sejuk maka hari ni terhasil lah sup tulang yang enak sekali. Resepinya saya ambil dari myresepi tapi saya ubah sedikit ikut selera menjadikannya ala-ala sup tulang Thai dengan memasukkan tomato, cili padi yang di ketuk dan perahkan limau kasturi.

Jom kita lihat resepinya...

SUP TULANG 
Sumber : nor_67 (My Resepi)

Bahan-bahan ( 4 - 5 org makan )

1 kg tulang lembu (lebih sedap jika digunakan tulang rusuk)
3 biji bawang merah - dimayang halus
1 ulas bawang putih - dimayang halus
2 inci halia diketuk
1 sup bunjut (sup tulang)
1 1/2 sudu besar lada hitam - ditumbuk
Bahan penumis :5 kuntum bunga cengkih, 3 biji buah pelaga, 1 btg kulit kayu manis dan 1 kuntum bunga lawang (saya gunakan yang ada di dalam sup bunjut - sup tulang tadi)
3 biji ubi kentang
garam dan gula secukup rasa
1 batang celery jika suka (saya tak guna)
1 kiub pati ayam
air
bawang goreng dan daun sup

Bahan saya tambah 
5 biji cili padi  - di ketuk
2 biji limau kasturi 
1 biji tomato 

Cara-cara

1. Bersihkan tulang dan masukkan kedalam periuk bersama air. Sukatan air mestilah sekali ganda lebih dari paras tulang. Masaklah sehingga daging 1/2 empuk. Jgn buka api terlalu kuat kerana ini akan menyebabkan daging di tulang akan menjadi keras dan liat. Sebaiknya gunakan api yg sederhana sahaja. Masukkan sedikit garam supaya isi daging menjadi lebih sedap.

2. Buang bahagian berminyak yg terdapat dipermukaan air rebusan tulang tersebut. Biarkan sehingga ia sejuk dan masukkan kedalam peti ais. Akan terdapat satu lapisan membeku dibhg atasnya dan bolehlah dibuang, manakala air rebusan yg dibahagian bawah itu dimasukkan kembali kedalam air rebusan tulang. Kaedah ini dapat menghalang mulut/bibir kita menjadi berminyak setelah makan sup tersebut. Kaedah ini juga boleh digunakan jika hendak memasak gulai tulang. (saya tidak gunakan kaedah ini kerana kesuntukan masa)

3. Masukkan sup bunjut, halia dan ubi kentang. Bolehlah ditambah air jika kuah kelihatan tidak mencukupi. Masukkan juga serbuk lada hitam dan kiub pati ayam.

4. Dalam kuali berasingan, panaskan sedikit minyak dan tumislah bahan penumis hingga wangi dan masukkan bawang merah dan bawang putih yg telah dimayang. Goreng sehingga bawang tersebut menjadi garing dan curahkan kesemuanya kedalam periuk rebusan tulang (termasuk minyak).

5. Masukkan celery jika ada dan masukkan garam dan gula mengikut cita rasa masing-masing. Masaklah sehingga ubi kentang dan daging empuk. Masukkan juga tomato yang di potong empat.

6. Hidangkan ke dalam mangkuk dan taburlah bawang goreng dan daun sup. Perahkan limau kasturi dan masukkan cili padi yang di ketuk untuk melazatkan lagi sup.

Assalamualaikum, 

Semua rakyat Malaysia yang layak hari ini mengundi dan saya tidak kecuali. Sesungguhnya undi itu adalah rahsia dan hak bagi setiap warganegara. Walaupun perbagai yang kita dengar dan terima sepanjang tempoh berkempen, tetapkan hati untuk memilih pemimpin yang kita percayai boleh menaikkan Malaysia dari segi ekonomi, spiritual dan kepentingan pendidikan anak-anak kita di masa depan. Saya tak pandai bila bercakap soal politik kerana ini bukanlah bidang saya...tetapi sebagai warganegara Malaysia, semestinya saya sudah mempunyai calon pilihan sendiri. :)

Baiklah, hari ini saya masih ingin bercakap soal masak-memasak. Sebelum berangkat membuang undi di Maktab Mahmud Cawangan Langkawi pagi ini, masih sempat lagi saya buatkan sarapan untuk anak-anak. Seperti biasa, bahan-bahannya sekadar yang ada di dalam peti sejuk rumah saya sahaja. Walaupun begitu, ia tetap juga enak di nikmati dengan secawan kopi panas..apalagi di dalam kesejukan oleh kerana hujan yang  turun tidak berhenti sejak awal pagi tadi di sini. 

NASI GORENG SOTONG 
Bahan-bahan 
3 cawan nasi sejuk - di peroi
2 biji telur
100gm sotong - di potong bulat 
50gm fishball - di belah dua 

1 sudu besar kicap sotong
2 sudu besar sos tiram 
satu kiub ikan bilis - maggi
lobak merah - di potong dadu 
kacang panjang di hiris nipis
sedikit lada sulah 
3 biji cili padi 
3 ulas bawang merah - di hiris nipis 
2 ulas bawang putih - di ketuk

Cara membuatnya:-

1. Panaskan minyak, tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi. Di ikuti dengan sotong dan fishball serta sayuran (lobak merah & kacang panjang)

2. Pecahkan telur ke dalam kuali dan kacau. Masukkan kicap sotong, sos tiram dan kiub ikan bilis. Masukkan juga cili padi yang di ketuk.

3. Besarkan api dan masukkan nasi dan kacau dengan cepat hingga nasi sebati dengan lauk dan sayuran. Taburkan lada sulah dan rasa nasi goreng tersebut. Jika sudah secukup rasa, tutup api dan bolehlah di hidangkan.


Assalamualaikum,

Sudah makan malam? Menu ringkas saya malam ini, dan menjadi kegemaran anak-anak adalah sambal ikan bilis dan kentang. Sangat ringkas tetapi sedap di nikmati dengan nasi panas. Anak-anak memang suka hidangan begini..tak perlu masak lauk pauk yang berbagai untuk memancing selera mereka, kerana mereka suka sangat sambal yang di campur dengan kentang.

Resepinya mudah sahaja..seperti masak sambal tumis biasa juga. Saya kongsikan sekali lagi resepi di sini untuk rujukan anak dara saya yang seorang tu, dan pada adik-adik yang baru belajar memasak.

SAMBAL IKAN BILIS DAN KENTANG 

Bahan A
1 cawan ikan bilis 
4 ketul kentang - di kupas dan potong enam (seperti wedges)

Bahan B
10 tangkai cili kering - di potong dan rendam dalam air mendidih
1 1/2 cawan air
1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah 
1 sudu makan cuka
4cm belacan (jika suka)
Garam dan gula 

Cara membuatnya

1. Goreng ikan bilis dan kentang yang di potong. Ketepikan.

2. Masukkan kesemua bahan B ke dalam blender dan kisar halus.

3. Masukkan dua sudu minyak ke dalam kuali, tumis bahan B yang di kisar tadi. Masak hingga agak pekat dan masukkan garam dan gula secukup rasa.

4. Masukkan pula ikan bilis dan kentang, kacau hingga rata dan sedia untuk di hidangkan.


Assalamualaikum, 

Hari ini seharian sibuk di luar rumah dengan aktiviti anak-anak. Bila pulang ke rumah senja tadi, semuanya keletihan tapi perut minta di isi. Untuk menu makan malam ni saya masakkan ikan kacang-kacang masak cuka, iaitu resepi yang paling mudah dan cepat di masak. 

Kebanyakan orang memang tau memasak lauk ini, tetapi saya kongsikan sekali lagi di sini untuk rujukan adik-adik yang baru belajar memasak.

IKAN MASAK CUKA

Bahan-bahan
1 kg ikan (saya guna ikan kacang-kacang)
1/2  cawan cuka 
2 cawan air 
4 cm halia - dimayang kasar
2 biji bawang besar - dimayang kasar
4 ulas bawang putih - dimayang kasar
1/4 sudu teh biji sawi
1 biji cili merah
beberapa biji cili padi - di ketuk  (jika sukakan pedas)
4 biji timun kecil (boleh juga gunakan timun biasa)
Garam dan kunyit 
Cara memasak:
1. Siang ikan, gaulkan dengan garam dan kunyit dan goreng seketika.

1.Tumiskan bahan yang dimayang bersama biji sawi dengan sedikit minyak.
2.Apabila naik baunya, masukkan cuka dan juga air.Biarkan mendidih, masukkan juga timun yang di potong mancis tadi.

3.Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa kemudian masukkan ikan.

4.Masukkan cili merah dan cili padi (jika suka), biarkan mendidih seketika. Jika inginkan kuah lebih, sila tambah sedikit air. kacau rata dan angkat.

Assalamualaikum,

Jom cuba minuman untuk menghilangkan dahaga tengahari ni iaitu jus buah kedondong, atau sebelah utara ni orang memanggilnya buah amra. Buah ini saya beli di pasar basah petang semalam dan tujuannya untuk di makan begitu sahaja dengan kuah rojak. Hari ini saya bertukar fikiran dan menjadikannya jus yang enak sekali. Teringat ketika zaman persekolahan dulu, suka benar saya dengan jus ni. Ketika itu buah kedondong mudah di dapati kerana terdapat dua pohon besar di hadapan rumah ibu dan selalunya berbuah lebat. Jika sekarang, ada ketikanya sahaja saya menjumpai buah ini di pasar basah atau pasar malam.

Selain enak di jadikan jus dengan asam boi, buah kedondong juga di masak pajeri atau di jadikan kerabu. Tapi, hari ini saya ingin berkongsi resepinya dalam bentuk jus. Saya guna resepi yang sama juga dengan resepi jus limau kasturi asam boi yang ada dalam blog ini. Jom kita lihat :)

JUS KEDONDONG ASAM BOI 

Bahan-bahannya
10 biji buah kedondong - (di belah empat, jika buah yang agak tua potong dan keluarkan empulurnya)
1 1/2 cawan air
1/2 cawan gula pasir 
5 biji asam boi - warna putih 
3 biji asam boi - warna merah (untuk hiasan)

Cara membuatnya:

1. Masukkan buah kedondong, air, gula dan asam boi putih kedalam blender dan kisar hingga halus. Saya kisar sekali dengan kulit buah kedondong, tanpa mengupasnya. 


2. Tapis dan tuangkan ke dalam gelas. Masukkan ais kiub dan taburkan asam boi merah untuk mendapatkan warna yang cantik dan rasa yang lebih sedap. Sedia untuk di hidangkan...walaupun ringkas, minuman ini memang sedap dan menghilangkan dahaga. :)