Assalamualaikum, 

Terlambat update blog hari ini, maklum saja kesihatan tidak mengizinkan dan selera makan juga kurang kerana selsema. Malam ni cuma selera makan bubur nasi atau ada orang panggil bubur lambuk. Di sebelah utara ni pula di panggil kanji. Walau apa pun panggilan nama makanan yang menjadi pilihan ketika sakit atau kurang selera makan ini, pembuatannya tetap sama iaitu rebus beras hingga hancur dan di campur dengan lauk-lauk pilihan.

Saya jadi terinspirasi untuk meletakkan telur masin dengan pecahkan nya ke dalam bubur yang sedang mendidih selepas melihat blog dapurkakjee.com. Terliur pula membaca cerita keenakan bubur lambuk telur masin dan melihat bubur yang di hasilkan oleh kak jee.

Resepi saya ini mungkin lain sedikit dari blog kak jee kerana saya letakkan apa yang ada di dapur rumah saya sahaja.

BUBUR LAMBUK TELUR MASIN 

Bahan A
2 cawan beras
13 cawan air 
1 inci halia
4 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
2 kuntum bunga lawang 
5cm kulit kayu manis
1 labu bawang besar
2 bunga cengkih
1 sudu teh lada hitam 
lobak merah 
daging (ikut suka nak letak banyak mana)

Bahan B
1 kiub ikan bilis
4 biji telur masin


Cara membuat :

1. Masukkan semua bahan A ke dalam periuk, rebus sehingga beras hancur.


2. Setelah bubur lambuk masak, kecilkan api dan pecahkan telur masin sebiji demi sebiji kedalam periuk dan kacau perlahan-lahan. Renihkan sehingga telur masak. (tips ini saya dapat dari blog kak jee.)

3. Rasa bubur lambuk tersebut. Jika sudah terasa masinnya kurangkan jumlah kiub ikan bilis tersebut atau jangan masukkan.

4. Hidangkan dengan menabur bawang goreng, daun bawang dan jika suka serbuk cili thai untuk rasa yang lebih pedas.





Assalamualaikum,

Resepi bolu kukus mambo ini saya ambil hasil resepi asal Ibu Fatmah Bahalwan. Jika di Malaysia, perkataan bolu itu lebih menjurus kepada apam kerana faktor perbedaan bahasa.

Resepi ini tidaklah sesukar mana dan sekali mencuba alhamdulillah menjadi, cuma kesilapan saya lakukan kerana menggunakan loyang besar. Jadi bolu ini sedikit mendatar tapi masih tetap sedap. Nanti jika ada kelapangan saya ingin mencuba lagi tapi menggunakan loyang yang bersesuaian untuk mendapatkan bolu yang lebih tebal dan cantik.

Sesiapa yang ingin mencuba bolehlah lihat resepi yang saya kongsikan sekali lagi di sini.

BOLU KUKUS MAMBO

bahan-bahan:
6 biji telur
2 butir kuning telur sahaja
250 gram gula
½ sudu kecil esen vanilla
½ sudu kecil garam
1 sudu kecil ovalette
175 ml santan pekat, masak
200 gm tepung gandum

 Cara membuat : 

1. Sapu mentega pada loyang, lapik dengan kertas..sapu mentega lagi dan tabur sedikit tepung.

2. Pukul telur, gula, ovellete dan esen vanilla sehingga kembang dan berkrim. Masukkan tepung yang di ayak secara beransur-ansur sambil di kacau.





3. Bahagikan adunan kepada empat bahagian dan masukkan perasa pandan, strawberry, lemon dan coklat.


4. Tuang adunan ke dalam loyang dan kukus selama 10minit selapis demi selapis sehingga lapis terakhir kukus selama 20 minit.

5. Angkat dari pengukus dan potong setelah sejuk.



Assalamualaikum, 

Sedapnya menikmati bubur kacang hijau yang di campur dengan jagung. Jika tak ada jagung segar, boleh juga gunakan isi jagung dalam tin (jenis whole kernel). Jika anak-anak saya, mereka suka cicah bubur kacang dengan roti. Teringat ketika saya masih kecil dulu pun begitu. Kalau ibu buatkan bubur kacang saya suka benar patah-patahkan biskut cream cracker dan tabur di atas bubur tersebut. Sedapnya...bila kunyah biskut yang ranggup bercampur dengan bubur yang lemak-lemak manis.

Ibu pernah bagi petua untuk cepatkan kacang hijau empuk adalah dengan meletakkan sudu kedalam periuk ketika merebus kacang tersebut dan saya pernah mencubanya dan berhasil.

Malah ada petua untuk melazatkan lagi bubur kacang hijau, sebelum rebus kacang tersebut elok di goreng tanpa minyak sehingga agak garing sedikit dan berbau wangi. Selepas itu rendam dalam air lebih kurang 2 jam agar cepat kembang dan bangkit baunya. Boleh cuba tips ni kan...tapi oleh kerana nak cepat, saya masak bubur kacang hijau berjagung ni seperti biasa sahaja dan rasanya tetap enak. 

BUBUR KACANG HIJAU BERJAGUNG 

Bahan-bahan 
200gm kacang hijau ( di bersihkan  dan di rebus)
1 cawan isi jagung dalam tin (jenis whole kernel)
500ml santan cair  
250ml santan pekat 
2 sudu besar susu pekat manis
40gm gula pasir (boleh tambah jika suka manis)
80gm gula melaka (di hancurkan) - boleh juga guna gula merah
2 helai daun pandan di simpulkan 
sedikit garam 

Cara membuat :

1. Bersihkan kacang hijau dan rebus hingga empuk.

2. Masukkan jagung, gula pasir, gula melaka, daun pandan, garam dan santan cair.


3. Kacau selalu hingga mendidih kemudian tuangkan santan pekat dan isi jagung. kacau lagi hingga bubur masak. Jika bubur agak pekat, bolehlah di tambah air. Apabila mendidih, angkat dan hidangkan. Bubur ni juga sedap di hidangkan sejuk dengan memasukkan kedalam peti ais.

Assalamualaikum dan salam pagi jumaat, penghulu segala hari :)

Kuih tradisional melayu merupakan hidangan yang tak luput dek zaman, sentiasa mendapat permintaan dan di gemari ramai. Cara pembuatannya juga tidaklah sesukar yang di bayangkan dan tak menggunakan banyak bahan. Salah satu kuih kegemaran saya adalah kuih kasui kerana rasanya yang lemak hasil paduan gula merah dan kelapa parut yang di gaul dengan sedikit garam.

Saya kongsikan resepi kuih kasui di sini sekali lagi bagi yang ingin cuba membuatnya :) 

KUIH KASUI
Sumber : reenkhan7067.blogspot.com

Bahan A
5 cawan air
1 cawan gula merah
1 cawan gula pasir
2 helai daun pandan
sedikit kicap pekat (saya gantikan dengan pewarna coklat)

Bahan B
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung ubi
1/2 sudu teh kapur makan (bancuhkan dengan sedikit air untuk dapatkan paste pekat)
kelapa parut putih
sedikit garam


Cara-Caranya: -

1. Masukkan semua bahan A kecuali pewarna kedalam periuk dan masak sehingga gula Larut. Angkat dan tapis untuk buang benda asing dalam gula merah. Masukkan sedikit pewarna coklat dan biarkan sejuk.

2. Alaskan Loyang 4 segi berukuran 10 x 10 x 3 inci dengan Plastik dan ketepikan.


3. Masukkan semua tepung dalam bekas dan kemudian masukkan bancuhan gula tadi sedikit demi sedikit dan kacau rata dengan mengunakan whisk. Masukkan air kapur dan kacau rata.

4. Tapiskan bancuhan dan masukkan kedalam periuk. Masak sehingga naik wap. Kacau sentiasa mengunakan sudip kayu.

5. Tuangkan adunan kedalam loyang dan kukus selama 30 minit sehingga masak.



6. Bila kuih sudah sejuk baru potong dan gaul dengan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.
Assalamualaikum,

Sebagai Ibu yang mengejar masa antara kerjaya dan masa di rumah dengan keluarga, kadangkala kerja memasak ini tidak dapat di lakukan sempurna seperti surirumah yang masanya lebih banyak bersama anak-anak di rumah.

Walaupun begitu sehabis mungkin saya ingin juga menyediakan juadah buat keluarga tercinta, walaupun sesuatu yang ringkas dan masa yang terbatas. Kesuntukan masa buatkan saya lebih memilih resepi yang ringkas tetapi boleh di nikmati oleh anak-anak sebelum berangkat ke sekolah. Pagi ini saya ada cuba buat kek pandan, yang resepinya saya ambil dari group masakan di facebook. Mudah benar resepinya dan anak-anak saya pun suka. Kepada yang suka mencuba resepi kek yang mudah, jom kita lihat resepinya... :)

KEK PANDAN
Sumber : Kak Mai Zura

2 cawan tepung gandum 
1 sudu kecil baking powder
( Di ayak bersama)

3 biji telur
1 1/2 cawan gula kastor
1 cawan minyak jagung /masak
sedikit pewarna hijau 

Dikisar dan tapis
2-3 helai daun pandan 
3/4 cawan air
(Boleh Juga ganti dengan paste pandan 1 sudu kecil)



Cara-cara

1. Satukan kesemua bahan-bahan di atas kecuali tepung. Masukkan dalam blender dan kisar halus.

2. Tuangkan dalam mangkuk besar dan masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil di kacau sebati.

3. Tuang ke dalam loyang yang di sapu majerin terlebih dahulu.



4. Bakar dengan suhu 170'c anggaran 45minit atau hingga masak. Kek ini lebih enak di nikmati selepas beberapa jam.
Assalamualaikum, 

Sedang merancang untuk makan tengahari? Sesekali makan seafood sedap juga kan. Selera saya memang tidak dapat lari dari seafood walaupun berjaga-jaga dengan paras kolestrol yang naik sebelum ni mungkin juga faktor tempat tinggal yang di kelilingi laut dan mudah mendapatkan bekalan hidupan laut yang segar membuatkan saya terbiasa dan lebih gemar makan seafood.

Baru-baru ini saya dapat bekalan ketam segar dan cuba masak chilly crab dan resepinya saya ambil dari Chef terkenal Malaysia iaitu Chef Wan. Jom kita lihat resepinya... :). Mungkin ada yang ingin mencuba.
CHILLY CRAB 
Bahan-bahan
1kg ketam
2 sudu tepung jagung di campur dengan 60ml air 
1 biji telur di pukul
1 biji nenas di cincang (saya guna nenas dalam tin)

Bahan kisar 
1 1/2 sudu besar serbuk cili
6 biji cili merah 
6 ulas bawang putih
100gm bawang merah
1/2 inci halia


Sos ( Di campur)
3 sudu besar cili sos
2 sudu besar gula
2 sudu besar cuka 
250ml sos tomato 
Cara membuat:-

1. Salut ketam dengan telur yang di pukul dengan 1 sudu makan tepung jagung. panaskan minyak dan goreng ketam sehingga keemasan. Toskan dan ketepikan.

2. Panaskan 2 sudu minyak dan tumis bahan yang di kisar sehingga wangi, masukkan bahan sos dan masak hingga mendidih.


3. Tutup dan reneh selama kira-kira 10 minit, tambahkan tepung jagung dan telur yang di pukul.

4. Kacau ketam perlahan-lahan dan reneh sehingga sos masak. Perasakan dan hidangkan dengan nasi panas.










Assalamualaikum,

Petang-petang begini asyik jika dapat mengudap makanan ringan sambil bersantai. Kudapan yang sihat adalah yang di buat sendiri di rumah kerana bebas dari serbuk perasa dan kandungan garam yang tinggi.

Hari ni saya ingin berkongsi resepi rempeyek yang di buat dari sayur bayam. Bayam ini adalah pemberian dari seorang teman hasil dari kebun nya sendiri. Daunnya segar dan besar dan sesuai sangat di buat rempeyek. Soal rasanya, memang sedap sekali dan rangup. Sungguh mengasyikkan bila di kunyah apalagi jika sedang berkumpul dengan teman-teman atau keluarga sambil menonton TV. Jom langsung saja kita lihat resepinya... :)

REMPEYEK BAYAM 
Sumber : lan_ieza (my resepi)

Satu ikat daun bayam hijau yang segar - basuh dan toskan 
150gm tepung beras
150gm tepung jagung 
1 sudu besar jintan manis - di kisar halus 
1 sudu besar jintan putih - di kisar halus
1 sudu besar ketumbar - di kisar halus
4 ulas bawang putih - di kisar 
segenggam udang kering - di kisar 
1 biji telur
1 sudu besar air kapur makan
1 kotak kecil santan segera
air untuk bancuhan adunan
garam dan minyak untuk menggoreng 

Cara-cara

1. Campur semua bahan (kecuali daun bayam) dan campur air, kacau hingga sebati.

2. Jika adunan terlalu pekat, tambah air begitu sebaliknya jika cair tambah sedikit tepung.


3. Celup daun bayam kedalam adunan dan goreng dengan api perlahan.

5. Nota : Jika daun habis dan masih berbaki adunan, boleh di tambah kacang tanah dan buat rempeyek biasa.