PISANG SIRA

Assalamualaikum

Perkongsian resipi pagi ini adalah pisang sira dari negeri cik Siti Wan Kembang. Jujurnya saya kurang arif mengenai resipi sebenar pisang sira ni sebab pernah makan pun sekali dua sahaja ketika berkunjung kesana, dan di Langkawi ini memang tak pernah lihatlah orang berjualan pemanis mulut ini.

Resipi yang saya buat ini adaptasi dari blog Nadz@cute oven small kitchen, dan menurut Nadz resepi pisang sira ni, tak ada yang standart tertentu. Ianya bergantung kepada citarasa masing-masing. Kalau suka makan pisang sira dengan air gulanya yang banyak, tambahkan lagi air dan juga gulanya. Kalau suka air gulanya sedikit likat perlulah lebihkan gula, tetapi baiknya kurangkanlah  gula, nanti kena diabetes pula kan.

Bunga cengkih dan bunga lawang tu pula boleh adjust ikut selera masing-masing juga. Mungkin ada orang yang suka bau rempah-rempah ni. Ada juga yang lebih suka menikmati pisang sira yang biasa/kosong sahaja. Jadi adjustlah sama ada nak letak banyak atau sikit dua bahan itu atau tak nak letak langsung pun boleh. Kalau saya cuma letakkan bunga cengkih sahaja.

Baiklah terimakasih untuk Nadz dan saya kongsikan sekali lagi resipi pisang sira yang telah saya cuba ini :) 
PISANG SIRA
Bahan-bahan :
5 biji pisang nangka - kupas dan belah dua
1 cawan air
½  cawan gula pasir
5 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 helai daun pandan
Setitis pewarna kuning

Cara menyediakannya :

1. Masak gula bersama air di dalam periuk. Masukkan daun pandan dan biar sehingga menggelegak dan gula larut.

2. Sementara itu kupas kulit pisang dan belah pisang kepada dua bahagian memanjang.

3. Kecilkan api dapur. Titiskan setitis pewarna kuning dan masukkan pisang bersama bunga cengkih dan bunga lawang.

4. Setelah itu tutup periuk dan reneh sehingga pisang empuk dan matikan api dapur. Boleh dihidang setelah hilang wap panasnya ataupun lebih sedap disejukkan dahulu di dalam peti ais.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)