NASI LEMAK SAMBAL UDANG SPECIAL

Assalamualaikum, 

Nasi lemak memang memang enak dinikmati tak kiralah sebagai sarapan pagi, minum petang ataupun makan malam. Rasanya dah banyak entry resipi nasi lemak dalam blog ini tapi saya tepek jugalah hari ini resipi nasi lemak sambal udang special. Lagipun dah lama tak update sebarang cerita. Bukan tak ada resipi yang hendak dikongsikan, tapi nak start menulis tu kadang-kadang mood menjunam kelaut dalam. Gitu kaedahnya...cakap jelah malas kan senang :D 

Apapun jom kita tengok resipi nasi lemak sambal udang special yang saya sediakan dibawah ni. Sayang kamu-kamu semua yang masih sudi masuk ke blog ini tau. Mmuah ciket!

NASI LEMAK SAMBAL UDANG 
Bahan-bahan
1 kg beras - Basuh dan toskan
1 liter santan - 5 cawan santan
3 helai daun pandan koyakkan dan simpul
1 inci halia - dihiris nipis
3 ulas bawang merah - dihiris
garam secukupnya
sedikit gula jika suka

Cara membuatnya :

1. Masukan semua bahan kedalam rice cooker, masak sehingga beras sebati dengan santan.

2. Bila nasi kering, kacau rata dan tutup semula tudung periuk. Biarkan ia sentiasa panas dalam rice cooker tersebut.

3. Setelah nasi masak, hidangkan bersama sambal udang, telur rebus, ikan bilis goreng, ulam timun dan kacang goreng.

SAMBAL UDANG
500gm udang 
10 tangkai cili kering - di potong dan rendam dalam air mendidih
1 labu bawang holland - di hiris 
1 inci belacan 
2 ulas bawang putih
3 sudu besar ikan bilis 
1 labu bawang besar - dimayang bulat
garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan minyak masak untuk menumis

Cara membuatnya :

1. Goreng bawang holland, belacan ikan bilis dan bawang putih (berasingan satu persatu) hingga layu. toskan.

2. Toskan pula cili kering yang direndam dalam air mendidih dan campurkan dengan bahan yang digoreng tadi. Kisar hingga halus.

3. Tumis bahan kisar dan kacau hingga cili benar-benar masak dan pecah minyak.

4. Seterusnya masukkan udang kedalam bahan tumisan dan perasakan dengan garam dan gula.

5. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar, kacau hingga bawang layu bolehlah matikan api dapur.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)