Assalamualaikum,

Lebih kurang seminggu lagi umat islam akan menyambut kedatangan Hari Raya Aidil Adha @ Hari Raya Korban. Walaupun pada hari Raya ini lebih kepada tumpuan melakukan ibadah korban, tradisi kunjung mengunjung tetap juga diteruskan dan sedikit sebanyak kenalah ada sejenis dua biskut untuk dihidangkan kepada tetamu selain daripada hidangan istimewa yang lain. 

Hari ini saya ingin berkongsi resipi biskut telur masin yang saya buat pada hari Raya Aidilfitri yang lepas. Resipi ini saya ada kongsikan didalam Majalah Saji keluaran Bumper sebab itulah tiada disediakan langkah demi langkah seperti biasa.

Jom kita lihat resipi dibawah ini dan selamat mencuba :) 

BISKUT TELUR MASIN
Bahan-bahannya
250gm tepung gandum
20gm tepung jagung
¼ sudu teh baking powder
1/8 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu besar susu tepung
4 butir kuning telur masin
170gm mentega – dilembutkan
80gm gula icing
½ sudu teh garam halus

Untuk Hiasan
1 biji telur – dipukul ringan
Bijan putih dan hitam secukupnya

Cara membuatnya :

1.Kukus kuning telur masin dan setelah masak , sejukkan dan  lenyek dengan garfu.

2. Ayak tepung gandum, tepung jagung , baking powder, soda bikarbonat dan susu tepung. Ketepikan seketika.

3. Putar mentega dan gula icing menggunakan mixer sehingga gebu.

3. Perlahankan kecepatan mixer, masukkan bahan yang diayak tadi sedikit demi sedikit (3 peringkat) dan masukkan juga telur masin. Campurkan hingga menjadi doh.

4. Masukkan doh kedalam plastik dan simpan didalam petisejuk (chiller) selama 30minit. Setelah itu  canaikan adunan kepada ketebalan 1cm dan terap dengan acuan kegemaran.


5. Atur biskut didalam loyang yang telah dilapik kertas kek terlebih dahulu dan hias dengan sapuan telur dan tabur bijan keatas biskut.

6. Bakar biskut selama lebih kurang 10 -  15minit atau sehingga  biskut masak. Setelah biskut masak sejukkan diatas redai dan bolehlah disimpan kedalam balang kedap udara.
Assalamualaikum, 

Nasi lemak memang memang enak dinikmati tak kiralah sebagai sarapan pagi, minum petang ataupun makan malam. Rasanya dah banyak entry resipi nasi lemak dalam blog ini tapi saya tepek jugalah hari ini resipi nasi lemak sambal udang special. Lagipun dah lama tak update sebarang cerita. Bukan tak ada resipi yang hendak dikongsikan, tapi nak start menulis tu kadang-kadang mood menjunam kelaut dalam. Gitu kaedahnya...cakap jelah malas kan senang :D 

Apapun jom kita tengok resipi nasi lemak sambal udang special yang saya sediakan dibawah ni. Sayang kamu-kamu semua yang masih sudi masuk ke blog ini tau. Mmuah ciket!

NASI LEMAK SAMBAL UDANG 
Bahan-bahan
1 kg beras - Basuh dan toskan
1 liter santan - 5 cawan santan
3 helai daun pandan koyakkan dan simpul
1 inci halia - dihiris nipis
3 ulas bawang merah - dihiris
garam secukupnya
sedikit gula jika suka

Cara membuatnya :

1. Masukan semua bahan kedalam rice cooker, masak sehingga beras sebati dengan santan.

2. Bila nasi kering, kacau rata dan tutup semula tudung periuk. Biarkan ia sentiasa panas dalam rice cooker tersebut.

3. Setelah nasi masak, hidangkan bersama sambal udang, telur rebus, ikan bilis goreng, ulam timun dan kacang goreng.

SAMBAL UDANG
500gm udang 
10 tangkai cili kering - di potong dan rendam dalam air mendidih
1 labu bawang holland - di hiris 
1 inci belacan 
2 ulas bawang putih
3 sudu besar ikan bilis 
1 labu bawang besar - dimayang bulat
garam dan gula secukup rasa
1/2 cawan minyak masak untuk menumis

Cara membuatnya :

1. Goreng bawang holland, belacan ikan bilis dan bawang putih (berasingan satu persatu) hingga layu. toskan.

2. Toskan pula cili kering yang direndam dalam air mendidih dan campurkan dengan bahan yang digoreng tadi. Kisar hingga halus.

3. Tumis bahan kisar dan kacau hingga cili benar-benar masak dan pecah minyak.

4. Seterusnya masukkan udang kedalam bahan tumisan dan perasakan dengan garam dan gula.

5. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar, kacau hingga bawang layu bolehlah matikan api dapur.

Assalamualikum, 

Haa...hari ini menu yang acah-acah suasana hari raya sedikit iaitu Biskut Arab Susu. Padahal baru minggu lepas saya buat biskut ini untuk anak bawa pulang ke asrama dan habiskan susu tepung yang masih berbaki. Kalau biar tersimpan lama-lama pun lemau dan keras je dalam balang, ada baiknya lah buat biskut. Lagipun resipi biskut arab susu ni sangat-sangat mudah. Campur je semua bahan...bulat-bulatkan, letak ceri dan bakar dalam oven. 

Bila biskut dah masak, golekkan dalam gula icing sampai gebu ye sebab adunan dalam biskut ni tak gunakan gula. Kalau kurang disalut dengan gula icing memang kurang manislah jawabnya. Gambar dibawah ini agak kurang 'berbedak' sedikit kerana saya hanya ayak gula icing keatas biskut sebelum sesi fotografi.

Resipi Biskut Arab Susu ini saya ambil dari blog yatiememories. Terima kasih ye yati kalau membaca entry ini dan izinkan saya berkongsi resipi disini pula :). Jom kita lihat bahan-bahannya dan selamat mencuba.

BISKUT ARAB SUSU 
Bahan-Bahan
2 cawan  susu tepung (Saya guna susu NESPRAY)
2 cawan minyak Sapi (tak perlu di cairkan dulu)
Sedikit garam
7 cawan tepung gandum(di ayak)
Ceri merah dan hijau secukupnya - potong kecil-kecil
Gula aising ( Untuk digaul biskut bila dah masak sahaja)

Cara membuatnya :

1. Campurkan susu tepung, minyak sapi dan sedikit garam. Gaul hingga sebati.

2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh.

3. Bentukkan doh menjadi bulat-bulat kecil, hias dengan ceri dan bakar hingga masak (15- 20min) pada suhu 180' C.

4. Bila biskut dah masak, sejukkan sebentar dan gaul dengan gula aising.

Assalamualaikum, 

Dah lama blog ni tidak di update tetapi alhamdulillah, masih ada yang sudi masuk melayari resipi-resipi lama yang tersimpan. Terima kasih banyak saya ucapkan.

Alang-alang ada masa petang ini, saya ingin berkongsi  resipi kek pisang simple tetapi sangat sedap bila dinikmati dengan topping nutella dan parutan keju. Kek ini saya buat masa anak sulung balik bercuti mingguan dari asrama baru-baru ini. Sedap tau, gandingan kek ini dengan nutella & keju. Jom try buat kek pisang dengan nutella :) 
KEK PISANG DENGAN NUTELLA
Saiz loyang : 8 inci 
Bahan-bahan 
3 biji telur - Gred A
200gm tepung naik sendiri 
1 sudu teh baking powder 
120gm gula kastor  (saya guna gula perang)
120gm mentega
200gm pisang - dilenyek 
1 sudu teh esen pisang/vanilla

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c. Sediakan loyang bulat bersaiz 8 inci dan sapu dengan mentega. Lapik dengan kertas baking, ketepikan seketika.


2. Didalam mangkuk adunan, pukul mentega dan gula kastor sehingga ringan dan gebu. 

3. Masukkan telur satu demi satu dan pukul lagi hingga sebati dan masukkan esen pisang/vanilla.


4. Seterusnya masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder kedalam bahan yang dipukul tadi dan kaup balik hingga sebati. Masukkan juga pisang yang dilenyek kedalam adunan.

 5. Tuang adunan kedalam loyang dan bakar selama lebih kurang 45minit atau sehingga kek masak.

 6. Setelah kek sejuk, bolehlah dihias dengan sapuan nutella dan tabur dengan keju parut.

Assalamualaikum dan selamat petang untuk semua pembaca blog yang sudi singgah disini. Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan kerana didalam kemeriahan pengguna media sosial lain seperti Instagram, facebook dan twitter berkongsi resipi masih ada lagi yang menyelusuri blog-blog masakan termasuk blog fiza's cooking ini. 

Jika ada kelapangan memang saya akan update blog kesayangan ini kerana memasak dan menulis memang hobi utama saya walaupun kadangkala tenggelam seketika didalam kesibukan tugas harian. Resipi yang dikongsikan pun tidaklah yang luar biasa atau yang tular pun, sekadar hidangan harian yang dimasak untuk keluarga. Ada follower yang bertanya kenapa saya tak buat video memasak dan share di Instagram dan youtube. Bukan tak nak...tapi masa yang agak terbatas. Update Instagram pun jarang-jarang, apalagi buat video...ye tak? InshaAllah mungkin suatu hari nanti. Untuk masa sekarang saya buat setakat yang mampu sahaja kerana ada komitmen lain yang harus diberi perhatian yang lebih.

Untuk petang ini saya ingin berkongsi resipi muffin kopi O. Walaupun kopi O, tapi warnanya tidaklah gelap kerana dah bercampur dengan mentega cair dan tepung. Tentang rasa kopinya memang sangat sedap dan ada 'kick'. Saya guna Nescafe kopi O black roast dalam tin tu. Kalau yang belum pernah tengok bolehlah google ye.  

Jom tengok resipi muffin kopi O dan langkah demi langkah mudah dibawah ini dan selamat mencuba ye:) 
MUFFIN KOPI O
Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum 
1/2 cawan gula kastor
1/3 cawan gula perang 
1 sudu teh baking powder 
1 sudu teh baking soda
1 sudu besar serbuk coklat
1/2 sudu teh serbuk kayu manis 
1 cawan kopi O - saya guna Nescafe kopi O black roast
1/2 cawan mentega - dicairkan dan sejukkan terlebih dahulu
1 biji telur - Gred A
sedikit esen vanilla
hirisan badam/coklatchips untuk taburan - pilihan

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c. Sediakan acuan muffin.

2. Didalam mangkuk besar, masukkan tepung gandum, gula, gula perang,baking powder, baking soda, serbuk coklat dan serbuk kayu manis. Kacau hingga bercampur dengan ballon whisk.

3. Didalam mangkuk lain, kacau kopi O, mentega cair, telur dan esen vanilla hingga bercampur.

4. Tuang bahan tersebut kedalam tepung tadi dan kacau. Jangan terlebih kacau, cukup dalam kiraan 10 kali dan jangan risau jika ada gumpalan dalam adunan kerana ia akan hilang bila dibakar. Jika terlebih kacau akan buatkan muffin menjadi keras.

5. Seterusnya sudukan adunan kedalam cawan muffin dan tabur hirisan badam atau coklat chips keatas muffin. Saya guna white chocolate chips.  
6. Bakar muffin dalam 25 - 30minit atau sehingga masak dan sejukkan sebelum dihidang. 
Assalamualaikum, 

Hari ini saya update entry tertunggak yang tak sempat nak masuk ke blog sebelum ini. Sebelum tu nak bagitahu, gambar nasi goreng sempoi ni agak kurang lawa sedikitlah sebab saya tak sempat nak keluarkan kamera dah lepas masak. Hanya ambil gambar pakai handphone je dalam remang-remang senja gitu. Mana nak kejar waktu magrib lagi...nasib baiklah tak ada penampakkan, hanya segelas ribena bertenggek nun dihujung meja :D.

Ceritanya saya memang sibuk seharian di pejabat hari tu. Sampai rumah pun dah senja, jadi saya masak yang simple sahajalah. Anak-anak pula selera lebih kepada burger dan ayam goreng yang saya beli dalam perjalanan pulang. Akhirnya saya ambil seketul ayam goreng yang dibeli tadi untuk buat nasi goreng. Sekejap sahaja dah siap, maklumlah dah nama pun nasi goreng sempoi...memang mudahlah. 

Jom tengok resipi nasi goreng sempoi dan selamat mencuba :) 

NASI GORENG SEMPOI
Bahan-bahan
1 mangkuk nasi sejuk 
1 ketul ayam goreng (leftover) - ambil isinya 
1 biji telur 
3 ulas bawang merah - dimayang
1 ulas bawang putih - dimayang
1 sudu besar sambal belacan (leftover) - kalau tak ada boleh gantikan dengan cili kisar
1 tangkai kacang panjang - dihiris nipis
sedikit carrot - dipotong dadu kecil 
1 sudu besar sos tiram 
1 1/2 sudu besar kicap sotong 
sedikit lada sulah

Cara membuatnya :

1. Masukkan minyak didalam kuali, tumis bawang putih dan bawang merah hingga wangi dan masukkan telur. Kacau telur hingga hancur.
 2. Masukkan pula isi ayam goreng yang telah dicarik-carikkan. Kacau hingga sebati.

3. Seterusnya masukkan kacang panjang dan carrot, kacau sebentar dan tambahkan sambal belacan@cili kisar.


4. Akhir sekali masukkan nasi dan kuatkan api dapur. Tambahkan sos tiram dan kicap sotong dan kacau dengan cepat agar semuanya sebati. Perasakan sedikit dengan lada sulah , kacau sebentar dan matikan api dapur. Bolehlah dihidangkan.

Assalamualaikum, 

Sayur favourite saya yang mudah nak memasaknya tetapi enak walaupun hanya digandingkan dengan nasi panas dan ikan goreng sahaja. Memang menu ini penyelamat diwaktu sibuk sebab mudah dan cepat untuk dimasak. Rasanya semua dah pandai nak memasak lemak labu kuning dan kacang panjang ni. Tapi saya masukkan juga ke blog ini bagi yang belum tahu. Boleh juga gantikan kacang panjang dengan bayam ataupun sayur petola...ikutlah selera masing-masing ye. 

Jom tengok resipi dan step by step yang saya sediakan dibawah ini dan selamat memasak :)  

MASAK LEMAK LABU KUNING DAN KACANG PANJANG
labu kuning secukupnya 
7 tangkai kacang panjang 
3 ulas bawang merah - di hiris
2 ulas bawang putih - di hiris
air secukupnya
2 cawan santan pekat 
segenggam udang hidup - di kopek kulitnya dan cuci bersih
3 tangkai cili padi - dibelah 2

Cara memasak :

1. Kupas labu kuning, potong kiub dan potong kacang panjang kira-kira ukuran 1 inci. Bersihkan dan masukkan kedalam periuk bersama bawang merah, bawang putih dan cili padi.

2. Masukkan pula udang yang telah dibersihkan kedalam periuk tadi.

3. Seterusnya masukkan air, santan pekat dan masak hingga mendidih dan labu menjadi agak empuk. Kacau kuah sesekali agar santan tidak pecah.

4. Perasakan dengan garam secukup rasa dan kacau perlahan-lahan agar sayur sebati dengan santan. Renihkan sebentar dan setelah masak bolehlah matikan api dapur.

5. Sayur masak lemak labu kuning dan kacang panjang ini enak dihidangkan dengan nasi putih bersama lauk-lauk lain.