RASAM TELUR

Assalamualaikum,

Jarang saya update blog pada waktu malam kerana waktu begini masa saya selalunya dengan keluarga ataupun selesaikan semua kerja dapur. Maklumlah saya tidak mempunyai pembantu rumah, jadi waktu malam memang terlarut dengan kerja kemas mengemas setelah sibuk ditempat kerja pada waktu siang. 

Tetapi malam ini anak bujang yang baru pulang dari asrama untuk bercuti hujung minggu demam selsema dan sekarang sudah nyenyak tidur selepas menghirup rasam telur yang digandingkan dengan nasi panas dan makan ubat selsema juga.

Jadi alang-alang ada kesempatan dan kelapangan, ada baiknya saya update blog yang sekian lama terbiar tanpa perhatian ni :) 

Perkongsian malam ini adalah rasam telur, sejenis masakan India yang berempah dan memanaskan badan dan baik untuk orang demam khususnya demam selsema.  Resipi asal dari zaliedana dan saya skodeng resipinya di blog Teratak Mutiara Kasih. Terima kasih LinaPg, akak kongsikan resipi di blog ini pula ye. Cuma resipinya saya ubah sikit-sikit, tapi bahannya tetap sama kecuali saya tambah biji sawi.

RASAM TELUR
Bahan-bahan
2 biji Telur 
½ sudu teh biji sawi
2 pelepah daun kari 
3 tangkai cili kering - dipotong dalam 1inci
½ cawan jus asam jawa 
3 cawan air
½ kiub pati ayam
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Bahan ditumbuk
1 sudu teh Jintan putih 
½ sudu teh lada hitam
2 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah

Cara membuatnya : 

1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak, tumis bahan yang ditumbuk dan masukkan daun kari serta biji sawi.


2. Kacau hingga pecah minyak dan naik bau, masukkan jus asam jawa, air dan serbuk kunyit.
 

3. Setelah kuah mendidih, pecahkan telur sebiji demi sebiji kedalam periuk dan renih hingga telur masak.

4. Perasakan dengan garam dan kiub ayam dan bolehlah matikan api dapur. Hidangkan dengan nasi panas.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)