Assalamualaikum, 

Uii...rajinnya merebus kacang kuda untuk buat salad pagi ni. Hehehe...jangan salah faham , sebenarnya kacang kuda ni beli yang dah siap rebus dipasar malam. Bila sampai rumah malam tadi anak-anak pun dah kekenyangan dan tak layan dah kacang kuda ni. Saya masukkan kedalam petisejuk dan pagi ni buatkan salad dengan merampai bersama jagung rebus, ayam goreng dan telur rebus. Bakar roti juga untuk dipadankan dengan salad sebagai sarapan pagi ini.

Chickpeas salad atau salad kacang kuda memang sedap dinikmati begitu sahaja atau bersama roti bakar. Membuatnya pun mudah sahaja. Jom kita lihat resipi.

CHICKPEAS SALAD
Bahan-bahan 
1 cawan kacang kuda - siap direbus 
½ cawan isi jagung rebus
1 biji tomato - dicincang 
Daun salad secukupnya 
1 labu bawang besar/holland 
2 biji telur di rebus - kupas dan potong kecil 
1 ketul ayam goreng - di potong kecil

SOS SALAD - Campurkan semuanya
1 cawan mayonis
½ cawan yogurt
1 sudu besar cuka/jus lemon
1 sudu teh gula pasir
Garam dan serbuk lada hitam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Potong isi jagung dan asingkannya kedalam mangkuk besar.
2. Campurkan juga kacang kuda yang telah siap direbus.
3. Masukkan kesemua bahan-bahan lain seperti tomato, daun salad, bawang besar/holland dan isi ayam kedalam mangkuk tersebut. 
4. Campurkan sos salad dan kacau hingga semua bahan-bahan bercampur. Akhir sekali masukkan telur rebus dan kacau lagi. 
5. Chickpeas salad telah siap disediakan dan lebih sedap dimakan selepas masukkannya kedalam petisejuk. Saya letakkan juga sedikit sos thousand island ketika menghidangkannya sebab anak suka. 
Assalamualaikum, 

Sotong masak ala mamak sangat sesuai digandingkan dengan sebarang nasi minyak atau nasi putih. Apalagi jika ada acar timun dan nenas memang membuka selera.

Menu ini dah lama saya masak dan hasil perkongsian resipi dari sahabat baik saya yang dioleh semula. Resipi asal ada didalam buku pertama saya  Jom Masak lauk pauk - langkah demi langkah keluaran Grup buku Karangkraf. Ada 37resipi  lagi yang lazat dan mudah disediakan didalam buku tersebut dan buku ini telah berada dipasaran sejak bulan April 2015 yang lalu. Yang menariknya buku ini menunjukkan cara memasak langkah demi langkah, lengkap dengan gambar dan resipi yang mudah difahami walaupun anda tidak mahir di dapur. 

InshaAllah buku resipi kedua saya akan berada di pasaran pada bulan depan dan 'book review' akan menyusul sehari dua lagi. 

Untuk hari ini jom kita lihat resipi sotong masak ala mamak terlebih dahulu.
SOTONG MASAK ALA MAMAK
500gm Sotong - boleh gantikan dengan udang 
2 biji tomato masak - dicincang 
1 labu bawang besar - dihiris bulat 
2 tangkai daun kari
1 inci kulit kayu manis
garam & gula secukup rasa

Bahan Kisar
20 tangkai cili kering - yang telah di rebus - toskan
1 sudu teh lada hitam 
2 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih
1 inci halia
3 sudu besar serbuk rempah kari daging 

Cara memasak:

1. Panaskan minyak, tumis tomato, bawang besar , daun kari sehingga wangi dan kekuningan.
2. Seterusnya masukkan kulit kayu manis.
3. Tuang bahan kisar dan kacau sehingga pecah minyak.
4. Masukkan garam dan gula secukup rasa, kemudian masukkan sotong dan gaul rata, biarkan masak. 

Assalamualaikum, 

Wah...laksa gorenglah pulak sarapan pagi ni. Ini semua sebab sayang nak buang laksa yang masih berbaki. Kan dua hari lepas saya buatkan laksa lemak...bila tak habis tu, saya masukkanlah  kedalam peti sejuk. Jadi pagi ni acah-acah sarapan pagi di jepun lah pulak, makan udon goreng. 

Kepada sesiapa yang tak pernah masak laksa goreng ni, cubalah sekali. Serius sedap tau...kenyal-kenyal gitu. Bahan-bahan sos untuk menggorengnya tu macam biasa kita guna untuk goreng bihun atau mee juga. Jom kita tengok bahan-bahan dan cara menggorengnya..lain kali kalau ada laksa yang tak habis jangan dibuang, sayang tau. Tukarkan kepada laksa goreng.  

 

LAKSA GORENG 
Bahan-bahan
Laksa yang telah siap di rebus - anggaran 300gm 
minyak untuk menumis
2 ulas bawang putih - dicincang 
2 sudu besar cili kisar 
100gm udang - dikopek kulit dan buang urat dibelakangnya
1 sudu besar bijan - goreng sebentar tanpa minyak 

Sayuran : Saya guna lobak merah - dihiris seperti bilah mancis, daun bawang dan sayur tau miu (boleh gantikan dengan taugeh)

Bahan sos
1/4 cawan air
1 sudu besar sos tiram 
1/2 sudu besar kicap pekat 
3 sudu besar kicap manis 
1 sudu besar kicap cair
sedikit serbuk perasa - jika suka

Cara memasak:

1. Panaskan minyak didalam kuali, tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan cili kisar sambil dikacau. 
 2. Masukkan udang, lobak merah dan daun bawang dan kacau lagi sebentar sahaja. Seterusnya masukkan laksa dan kacau hingga sebati.
3. Tuang pula bahan sos dan air dan kacau lagi hingga semua bahan bersalut dengan laksa. 
4. Tabur sayur tau miu dan kacau lagi. Jika tak ada sayur ini gantikan dengan taugeh.
5. Setelah secukup rasa, matikan api dapur dan masukkan laksa goreng kedalam pinggan. Tabur bijan goreng dan sedap juga dihidangkan dengan cili jeruk. 
Assalamualaikum, 


Pasta bakar berkeju memang hidangan yang tidak akan di tolak oleh anak-anak saya. Agaknya semua hidangan berkeju menjadi kegemaran kanak-kanak ye :) . Ada banyak pasta jenis 'elbow' masih berbaki dalam simpanan didapur rumah saya tidak terusik, jika guna pun hanya kadang-kadang saya campurkan kedalam sup ayam. Bila bercuti semalam adalah sedikit masa untuk menggodek dan membakar. 

Saya sekadar gunakan bahan-bahan lain yang ada dalam simpanan seperti tomato sup untuk menyediakan bahan asas dalam sos. Kalau tidak ada tomato sup gantikan dengan tomato masak yang telah dikisar atau boleh juga gunakan sos spaghetti segera yang banyak di pasaran dalam berbagai perasa.  

PASTA BAKAR BERKEJU

Bahan A - dikisar
1 labu bawang holland - dipotong dadu
2 ulas bawang putih - dicincang 
1 tin tomato sup - saya guna jenama kimball (boleh gantikan dengan sos spaghetti segera)
2 biji tomato masak -  dicincang 
1 sudu besar pes cili 
1 sudu besar serbuk kari daging 
 ½  sudu teh oregano 
2 keping keju cheddar - dicincang 
garam dan gula secukup rasa.

Bahan B
400gm isi daging ayam cincang - boleh gantikan dengan daging lembu
1 tin cendawan butang - toskan dan hiris 
1 cawan keju cheddar yang telah disagat
2 cawan pasta - rebus hingga lembut dan toskan 
(Masukkan sedikit garam kedalam air rebusan) 
sedikit daun sup untuk taburan

1. Panaskan kuali, tumis bahan A dan masukkan semua bahan-bahan mengikut urutan. Masak sehingga agak pekat. Perasakan dengan garam dan gula. Seterusnya masukkan isi ayam kedalam bahan sos dan kacau. 
2. Masukkan pula cendawan butang dan kacau lagi.
3. Masukkan pasta pula yang telah siap di rebus. Ketika pasta bersalut dengan bahan kuah dan kelihatan pekat, pindahkan kedalam loyang.
4. Seterusnya tabur keju cheddar yang telah disagat memenuhi pasta dan akhiri dengan sedikit taburan daun sup cincang. 
5. Bakar didalam oven pada suhu 180'c sehingga masak. Saya masak dalam 45minit sehingga keju agak garing di bahagian atas. Setiap oven mempunyai kapasiti yang berbeza dan suaikan masa membakar mengikut oven anda.

Assalamualaikum,

Kek marble ros adalah sejenis kek yang paling mudah nak buat dan tak muak dimakan. Zaman kanak-kanak dulu mak selalu buat kek ni masa nak raya tetapi bezanya dulu tak letak susu segar. Kek marble ros ini jugalah yang selalu saya buat jika anak-anak ada jamuan makan di sekolah atau untuk dibawa ke kelas pengajian Iqra.

Bagi saya rasa kek ini memang sedaplah sebab adunan yang merah itu saya letakkan sedikit esen ros dan adunan yang putih tu esen vanilla. Nak membuatnya pun tak renyah...main putar je dan bakar di dalam oven. Namun ada juga kesalahan yang dilakukan oleh adik-adik yang baru berjinak-jinak dalam bidang 'baking' ini iaitu tidak memanaskan oven terlebih dahulu sebelum mula membakar kek. Itulah kadang-kadang buatkan kek bantat atau tak menjadi. Nak buat kek ni kena tenang dan ikut step by step, InsyaAllah pasti menjadi. Alah bisa tegal biasa :)

Jomlah kita tengok resipi kek marble ros yang saya buatkan ni. Jangan lupa mencuba ye :)


KEK MARBLE ROS
Bahan A - Di ayak 
2 cawan tepung gandum 
2 sudu teh baking powder

Bahan B
1 cawan gula kastor
½ cawan mentega
3 biji telur - Gred A
½ sudu teh esen vanilla
½ sudu teh esen ros
1 cawan susu segar
1 sudu teh pewarna merah

Cara membuatnya ;

1. Panaskan oven pada suhu 180'c dan sediakan loyang dengan menyapu mentega dan lapikkan dengan kertas surih.

2. Di dalam sebuah mangkuk, masukkan mentega dan gula kastor. Pukul sehingga gula hancur dan gebu. Masukkan pula telur satu persatu satu sambil dipukul lagi.
 3. Seterusnya masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil diselang seli dengan susu segar dan pukul lagi.
4. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan esen ros dan pewarna merah dan satu bahagian lagi dicampurkan dengan esen vanilla.
5. Tuang kedua adunan tersebut berselang seli kedalam loyang dan lorekkan dengan lidi sate/pisau untuk mendapatkan corak marble.
6. Bakar di dalam oven selama 35-45 minit atau sehingga masak dan saya gunakan api bawah sahaja.

Assalamualaikum, 

Cuti umum selama dua hari berturut-turut ditambah dengan cuti hujung minggu sehingga 27hb Disember ini memberikan kesempatan yang cukup untuk menghabiskan masa ke destinasi percutian bersama keluarga, membeli belah keperluan persekolahan anak-anak dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan. Walau apapun yang kita lakukan yang penting ikatan dengan keluarga dan anak-anak makin terjalin erat.

Bila bercuti begini ada sahajalah yang nak di masak di dapur. Sebagai penggemar laksa, saya ada masakkan laksa kuah lemak sebagai menu istimewa hari ini. Laksa lemak saya ini berbeza sedikit dengan laksa lemak ala Thai yang kuahnya agak kekuningan kerana saya suka pedas dan masukkan lebih cili kering ketika mengisar bahan-bahannya untuk menghasilkan kuahnya. Jika anda kurang suka, boleh kurangkan jumlah cili kering yang digunakan. Ada juga yang padankan laksa kuah lemak ini dengan laksa jenis halus tetapi saya lebih suka laksa jenis biasa.

Rasa laksa kuah lemak ini memang sedap sekali dan anak-anak saya amat menyukainya. Kalau Ingin mencuba bolehlah ikut resipi di bawah ini.

LAKSA KUAH LEMAK 
Bahan A 
500gm ikan kembung - di rebus
6 keping asam gelugur
1 kuntum bunga kantan 
5 tangkai daun kesum 
Garam secukup rasa
2 sudu besar minyak masak - untuk menumis
1 cawan santan pekat 
1 bungkus laksa direndam dan rebus hingga lembut - Toskan

Bahan B (Dikisar)
2 labu bawang besar 
10 tangkai cili kering - kurangkan sedikit jika suka warna kuah kekuningan
 ½ sudu teh serbuk kunyit 
2 sudu besar rempah kari ikan 
1 inci lengkuas
2 batang serai 
1/2 inci belacan 
2 sudu besar udang kering 

Bahan ulaman 
1 biji timun 
Telur rebus 
cili padi 
Daun salad/daun selom
limau nipis
Cara memasak :

1. Asingkan isi ikan yang telah di rebus dan ketepikan seketika. Kisar tulangnya menggunakan air rebusan tersebut serta tapis. Air tersebut akan digunakan sebagai kuah laksa nanti

2. Panaskan minyak dalam periuk dan tuang bahan kisar, masak hingga pecah minyak .
3. Masukkan air rebusan yang telah di tapis tadi kedalam bahan kisar dan kacau hingga larut. Masukkan juga isi ikan yang telah diasingkan tadi kedalam kuah laksa. 
4. Seterusnya masukkan daun kesom, bunga kantan, asam keping dan perasakan dengan garam secukup rasa.

5.Masak hingga kuah sehingga mendidih dan akhir sekali masukkan santan serta renihkan.
6. Setelah kuah benar-benar masak dan secukup rasa, padamkan api dapur dan hidangkan bersama laksa dan ulam-ulaman.

Assalamualaikum, 


Lama menyepi dan hari ini baru ada kesempatan untuk update blog. Kena merajinkan diri semula nampak gayanya ni. Lama sangat dah blog terabai macam tak bertuan.  Kita 'warm-up' dengan menu yang mudah-mudah je lah ye setelah dua minggu lebih menyepikan diri. Hari ini saya nak kongsikan resipi kek pisang yang mudah sangat nak membuatnya. Kisar je, tuang kedalam loyang dan bakar. Resipi asal dari teman blogger, kak Reen khan yang di kongsikan di Instagramnya dan telah saya cuba baru-baru ini. 

Enak betul digandingkan dengan secawan kopi panas di petang hari dan yang lebih penting lagi mudah dan cepat membuatnya.

Jom kita lihat resipi :)    


KEK PISANG YANG SIMPLE DAN SEDAP
4 biji pisang emas - dihiris nipis dan lecek 
1 cawan gula kastor
1 cawan minyak masak 
4 biji telur - Gred A
1 ½ cawan tepung gandum (diayak bersama 1 sudu teh baking powder dan 1 sudu teh soda bikarbonat)
1 sudu besar air limau nipis
1 sudu teh esen pisang 

Cara membuatnya: 

1. Panaskan oven ke suhu 185'c (api atas dan bawah)


2. Sediakan loyang , lenser dengan margerin dan alas kertas minyak.

3. Kisar gula, telur, minyak didalam blender hingga putih dan gebu. (3 - 5 minit)

4. Tuang kedalam mangkuk. Masukkan campuran tepung dan kacau rata dengan senduk.
5. Masukkan pisang, esen dan air limau. Gaul sebati.

6. Tuang adunan kedalam loyang dan bakar didalam oven selama 45minit atau hingga kek masak.
Assalamualaikum, 

Brunch untuk hari ini untuk anak-anak sebelum meninggalkan rumah adalah nasi briyani Thai atau lebih dikenali sebagai nasi Komok bagi slanga lidah melayu seperti saya. Sebutan yang betul dalam bahasa Thai adalah Khao Mok Gai. Nasi ini memang popular di kalangan muslim di Thailand.

Mula-mula goreng ayam untuk buat nasi ni...memang aromanya betul-betul membuka selera. Maklumlah saya perap dengan segala rempah-ratus dalam resipi ni, masukkan dalam zip lock bag dan simpan dalam peti ais semalaman sebelum menggorengnya awal pagi tadi. Kalau tak nak perap semalaman pun boleh juga, 1 jam pun dah cukup semua rempah tu meresap dan membangkitkan aroma serta rasa yang sedap.

Nak try buat? Jom usha resipi :D

KHAO MOK GAI - Nasi Briyani Thai 
Bahan untuk perap ayam 
1 ekor ayam - Potong 12

Bahan B
1 sudu besar serbuk kari 
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh serbuk ketumbar 
1/2 sudu teh jintan putih
1 sudu teh garam 
1 sudu besar gula 
1 sudu teh serbuk kayu manis 

Cara memasak:

1. Bersihkan ayam dan keringkan dengan tisu dapur. Gaulkan dengan dengan bahan B dan perap selama 1 jam atau semalaman.

2. Seterusnya goreng didalam minyak yang banyak hingga keperangan, angkat dan toskan.
BAHAN UNTUK NASI 
2 sudu besar minyak sapi + 2 sudu besar minyak masak - Untuk menumis
2 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga 
3 kuntum bunga lawang 
1/2 labu bawang besar - dipotong dadu 
4 ulas bawang merah - ditumbuk kasar 
2 ulas bawang putih - ditumbuk kasar
1 sudu besar rempah kari 
1/2 susu cair
4 1/2 cawan air 
1 kiub ayam 
Garam secukup rasa
2 helai daun salam/bay

Cara memasak:

1. Panaskan periuk dan masukkan minyak sapi bersama minyak masak. Tumis bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga hingga berbau wangi dan masukkan juga bahan yang di tumbuk, rempah kari dan daun salam.
2. Masukkan beras dan kacau hingga sebati agar bercampur dengan rempah tumisan tadi. Tuangkan susu cair serta air kedalam periuk dan masukkan juga garam serta kiub ayam.
3. Seterusnya susun ayam goreng didalam periuk dan masaklah nasi seperti biasa
4. Bila nasi dah masak, keluarkan ayam goreng tersebut dan hidangkan bersama nasi serta sos pedas.

BAHAN-BAHAN UNTUK SOS
Bahan A
¼ cawan gula
1 sudu kecil garam
2 sudu besar cuka
 1 sudu besar air

Bahan B
2 tangkai daun bawang - di hiris
3 tangkai daun ketumbar - di hiris
½ inci halia - di kupas dan hiris
2 tangkai cili hijau - di hiris (saya guna cili merah)

Cara membuatnya :

1. Campurkan garam dan air di dalam periuk, kacau dengan api sederhana sehingga gula larut, kemudian masukkan cuka dan kacau lagi hingga rata

2. Kisar semua bahan B hingga hancur.

3. Tuang kedalam campuran gula yang di masak tadi dan hidangkan bersama nasi serta ayam.
Assalamualaikum, 

Selamat berhujung minggu untuk semua pembaca blog. Petang-petang begini sedap makan laksa kan..nak-nak pula laksa yang dimasak sendiri. Boleh letak bahan-bahan secukup rasa dan kalau saya suka pedas.

Resipi Laksa asam ikan sardin tin ini memang simple dan cepat di masak. Kuahnya memang sedap dan secukup rasa. Resipi asalnya dari teman FB saya iaitu Nor Sue Ella tapi saya ubahsuai sedikit dengan menambah isi udang kertas yang di kisar halus. Tapi kalau tak letak isi udang pun memang dah sedap dan yang penting cepat di sediakan.

Nak cuba? Jom cari bahan-bahan.

LAKSA ASAM IKAN SARDIN TIN
Bahan-bahan
1 peket laksa kering di rendam 1 jam - rebus hingga empuk dan toskan
Secekak daun kesum
2 kuntum bunga kantan
8 keping asam gelugur
Garam secukup rasa

Bahan kuah  
1 tin besar sardin - ambil sosnya sekali  
1 labu bawang besar  
1/2 inci belacan  
8 tangkai cili kering   
4 cwn air + 6 cawan lagi
1 cawan isi udang - di kisar (saya guna udang kertas)

Bahan sampingan
Timun - dihiris seperti mancis
Bawang besar - dihiris nipis
Telur rebus
Hirisan cili padi
Limau nipis/limau kasturi

Cara menyediakan :

1. Semua bahan kuah dikisar halus dan tuang kedalam periuk.
 2. Lebihan sisa bahan kisar dalam blender di tambah dengan 6 cawan air dan curah dalam periuk. Masukkan juga isi udang yang telah di kisar halus.
2. Masukan pula daun kesum, bunga kantan, 8 keping asam gelugur dan garam secukup rasa.
3. Bila dah menggelegak dan secukup rasa bolehlah di matikan api dapur. Ikut kepekatan kuah yang anda suka dan hidangkan laksa dengan bahan-bahan sampingan yang lain.

Assalamualaikum,


Lamanya tak update blog. Ada yang rindu tak? Hee..hee, apapun saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pengunjung blog yang tetap setia masuk kesini walaupun dah lama tak berkongsi resipi-resipi baru. Sibuk benar dengan tugas pada awal-awal cuti sekolah macam ni. Maklumlah masa cuti beginilah pulau Lagenda ini di banjiri oleh pelancong tempatan. Balik kerja memang dah lewat dan kalau sempat masak pun yang ala kadar sahaja. Tak sempat nak shoot gambar bagai.

Tapi petang semalam saya sempat buatkan puding roti coklat tau. Yang mudah-mudah macam ni sempatlah. Tak sampai hati melihat roti choco raisin gardenia terbiar di almari dapur menghampiri tarikh luput dan anak-anak pun buat tak tahu je. Bila dah siap transfer kepada puding roti, dihidangkan pula dengan aiskrim vanilla, berebut...sampai tak cukup di buatnya. 

Resipi puding roti coklat ni macam puding roti biasa yang kita buat tu juga dan saya buat ikut resipi asal di blog Hana cuma saya gantikan susu segar dengan susu segar perasa coklat dan guna roti coklat choco raisin. Taburkan juga almond cincang dan hirisan ceri. Memang sepadan dan enak sekali dipadankan dengan aiskrim vanilla. Nak cuba buat? Jom kita tengok resipinya :)

PUDING ROTI COKLAT
Bahan A
8 keping roti - Choco raisin gardenia

Bahan B
2 cawan susu segar - perasa coklat 
2 sudu besar gula kastor
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla

Bahan C
2 sudu besar mentega - dicairkan
2 sudu besar kepingan badam
1 sudu kecil ceri cincang

Cara-cara

1. Sediakan mangkuk. Satukan semua bahan B dan kacau dengan spatula sehingga gula hancur.
2. Seterusnya carik-carikkan roti dan masukkan ke dalam mangkuk tersebut. Biarkan roti  terendam dalam 15 minit.
3. Masukkan separuh kismis/ceri/kepingan badam dan juga mentega cair dan gaul sebati. 

4. Kemudian tuang ke dalam loyang yang telah digris dengan sedikit mentega.Taburkan baki kismis/ceri/kepingan badam diatas adunan.
4. Bakar pada suhu 180 C selama 30 minit atau sehingga masak.