Assalamualaikum,
Cuti umum selama dua hari berturut-turut ditambah dengan cuti hujung minggu sehingga 27hb Disember ini memberikan kesempatan yang cukup untuk menghabiskan masa ke destinasi percutian bersama keluarga, membeli belah keperluan persekolahan anak-anak dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan. Walau apapun yang kita lakukan yang penting ikatan dengan keluarga dan anak-anak makin terjalin erat.
Bila bercuti begini ada sahajalah yang nak di masak di dapur. Sebagai penggemar laksa, saya ada masakkan laksa kuah lemak sebagai menu istimewa hari ini. Laksa lemak saya ini berbeza sedikit dengan laksa lemak ala Thai yang kuahnya agak kekuningan kerana saya suka pedas dan masukkan lebih cili kering ketika mengisar bahan-bahannya untuk menghasilkan kuahnya. Jika anda kurang suka, boleh kurangkan jumlah cili kering yang digunakan. Ada juga yang padankan laksa kuah lemak ini dengan laksa jenis halus tetapi saya lebih suka laksa jenis biasa.
Rasa laksa kuah lemak ini memang sedap sekali dan anak-anak saya amat menyukainya. Kalau Ingin mencuba bolehlah ikut resipi di bawah ini.
LAKSA KUAH LEMAK
Bahan A
500gm ikan kembung - di rebus
6 keping asam gelugur
1 kuntum bunga kantan
5 tangkai daun kesum
Garam secukup rasa
2 sudu besar minyak masak - untuk menumis
1 cawan santan pekat
1 bungkus laksa direndam dan rebus hingga lembut - Toskan
Bahan B (Dikisar)
2 labu bawang besar
10 tangkai cili kering - kurangkan sedikit jika suka warna kuah kekuningan
½ sudu teh serbuk kunyit
2 sudu besar rempah kari ikan
1 inci lengkuas
2 batang serai
1/2 inci belacan
2 sudu besar udang kering
Bahan ulaman
1 biji timun
Telur rebus
cili padi
Daun salad/daun selom
limau nipis
Cara memasak :
1. Asingkan isi ikan yang telah di rebus dan ketepikan seketika. Kisar tulangnya menggunakan air rebusan tersebut serta tapis. Air tersebut akan digunakan sebagai kuah laksa nanti
2. Panaskan minyak dalam periuk dan tuang bahan kisar, masak hingga pecah minyak .
3. Masukkan air rebusan yang telah di tapis tadi kedalam bahan kisar dan kacau hingga larut. Masukkan juga isi ikan yang telah diasingkan tadi kedalam kuah laksa.
4. Seterusnya masukkan daun kesom, bunga kantan, asam keping dan perasakan dengan garam secukup rasa.
5.Masak hingga kuah sehingga mendidih dan akhir sekali masukkan santan serta renihkan.
6. Setelah kuah benar-benar masak dan secukup rasa, padamkan api dapur dan hidangkan bersama laksa dan ulam-ulaman.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)